Anda di halaman 1dari 4

SEKTOR MARITIM MALAYSIA : KE ARAH PENERAPAN KONSEP PEMBANGUNAN LESTARI Nazery Khalid

Samudra : Nadi kehidupan Kebergantungan Malaysia sebagai sebuah negara yang dikelilingi oleh samudra terhadap persekitaran maritimnya tidak dapat dinafikan. Negara mempunyai pelbagai kepentingan terhadap lautan sekelilingnya, merangkumi antara lainnya perdagangan, pekerjaan, pengangkutan, sumber makanan, rekreasi dan unsur strategik. Berdasarkan keluasan zon eksklusif ekonominya yang diperpanjangkan, Malaysia mempunyai kawasan laut yang lebih luas dari wilayah daratnya. Ciri maritim Malaysia ditekankan oleh bentuk fizikalnya sebagai sebuah negara yang terbahagi dua oleh Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak di Pulau Borneo. Di samping memiliki pesisiran pantai yang panjang, Malaysia juga kaya dengan peninggalan maritim yang gilang gemilang yang mencapai kemuncaknya di abad ke 15 sewaktu kemunculan Pelabuhan Melaka sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa yang unggul. Kini, Malaysia, diam tak diam, tergolong di kalangan negara-negara maritim utama di dunia dari segi jumlah dagangan maritim dan kapasiti kapal dagangannya. Dengan kemunculan ekonomi Malaysia sebagai sebuah kuasa dagangan antarabangsa dunia, kepentingan sektor maritimnya dan kebergantungan negara terhadapnya semakin terserlah. Sebagai bukti kepada keunggulan Malaysia sebagai negara maritim yang berwibawa, pelabuhan-pelabuhan komersilnya telah bertumbuh dengan pesatnya di dekad terakhir ini. Pelabuhan Kelang, pelabuhan dagangan utama negara dan Pelabuhan Tanjung Pelepas kini muncul di dalam senarai 20 pelabuhan pengendali kontena terbesar di dunia. Syarikat perkapalan negara MISC pula telah muncul sebagai pemain utama dalam pengangkutan minyak dan gas global. Sumber-sumber maritim Malaysia memberikan sumbangan yang besar kepada kemakmuran ekonominya. Di samping hidupan laut yang menyediakan sumber protin utama kepada rakyat, kekayaan petroliam dan gas yang kesemuanya dikeluarkan dari dasar laut kini muncul sebagai sumber ekspot komoditi terbesarnya. Tambah menggariskan peranan kritikal sektor maritim kepada ekonomi Malaysia, adalah dianggarkan yang 90% dari jumlah dagangan negara diangkut melalui samudra. Tumpuan nasional dan juga masyarakat antarabangsa juga semakin difokuskan kepada

persekitaran maritim kita, terutamanya di Selat Melaka yang merupakan laluan dagangan tersibuk dan di antara perairan yang paling strategik di dunia. Sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara maju, sumbangan dan peranan sektor maritimnya terhadap memenuhi matlamat ini semakin terserlah. Dengan itu, adalah wajar yang aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan sektor yang kritikal ini dirancang, dikendali dan diuruskan berlandaskan falsafah mesra alam bagi memastikan sumber dan aset maritim negara terpelihara untuk manafaat generasi yang akan datang.

Kearah penerapan konsep pembangunan lestari di dalam sektor maritim Akhir-akhir ini, konsep kelestarian atau sustainability telah diterapkan di dalam pelbagai sektor ekonomi. Idea ini mula mendapat perhatian antarabangsa melalui penerbitan Lapuran Bruntland pada tahun 1987 dan kemudiannya tersebar sebagai satu konsep global sewaktu Persidangan Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada bulan Jun 1992. Persidangan Dunia mengenai Pembangunan Lestari di Johannesburg, Afrika Selatan pada bulan September 2002 mengukuhkan lagi agenda konsep ini dengan membawa perhatian dunia terhadap cabaran dan kepentingan pembangunan lestari. Persidangan mengenai perubahan iklim yang berlangsung di Bali pada bulan November 2007 juga menggariskan kepentingan pembangunan lestari demi memelihara integriti alam sekitar. Pembangunan lestari membawa maksud berlainan kepada mereka yang mempunyai kepentingan yang berbeza-beza. Prinsip ini bukan sahaja terhad kepada pemeliharaan alam sekitar dan sumber-sumbernya, malahan juga merangkumi pengurusan sumber manusia dan kewangan serta pembangunan fizikal. Kebelakangan ini, diperhatikan yang dimensi teras-generasi telah diperkenalkan di dalam penerapan konsep pembangunan lestari dengan meningkatnya penghargaan umum terhadap manafaatnya. Walaupun konsep ini telah mula digunapakai di dalam beberapa aktiviti maritim, namun ianya masih belum diterapkan di dalam perancangan dan pentadbiran sektor maritim negara secara menyeluruh dan sistematik. Walaupun Malaysia telah muncul sebagai antara negara-negara maritim utama di dunia, aktiviti-aktiviti di dalam sektor ini tidak dirancangkan secara sistematik dan berlandaskan konsep pembangunan lestari atau sustainable development. Fokus strategik harus diberikan kepada membangunkan sektor ekonomi maritim di Malaysia dan mengekalkan integriti persekitaran maritimnya. Antara aspek-aspek utama yang perlu diberikan perhatian dalam usaha memperkenalkan falsafah pembangunan lestari di dalam sektor maritim tempatan termasuklah : Meningkatkan keesedaran awam terhadap kepentingan memelihara persekitaran dalam pembangunan sektor maritim. Mengambilkira perundangan alam sekitar serta kepentingan ekonomi pihak-pihak yang terlibat di dalam sektor maritim ke arah mencapai kesepakatan di antara kedua-duanya dalam penerapan nilai-nilai pembangunan lestari.

Meletakkan akauntabiliti sebagai pelantar kepada perlakuan pihak-pihak yang berkepentingan di dalam sektor maritim. Merancang aktiviti-aktiviti ekonomi maritim yang kritikal seperti pembangunan pelabuhan serta eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas di lautan secara mesra alam. Membina satu pangkalan maklumat atau database yang lengkap untuk sektor maritim bagi membantu perancangan pembangunannya. Menerapkan amalan terbaik atau best practices dalam menguruskan aktivitiaktiviti ekonomi maritim berdasarkan pengalaman negara-negara maritim utama di dunia. Meningkatkan kesedaran awam dan memupuk sikap bertanggungjawab di kalangan penagamal industri maritim terhadap menjayakan konsep pembangunan lestari di dalam aktiviti-aktiviti ekonomi maritim. Memperkenalkan sistem pengurusan bersepadu bagi memelihara kelestarian persekitaran maritim seperti pesisiran pantai dan pulau-pulau.

Berdasarkan kepentingan sektor maritim sebagai penyumbang yang signifikan kepada kemakmuran ekonomi negara, adalah penting yang pihak-pihak yang berkepentingan di dalam sektor ini berusaha meningkatkan tahap prestasi, produktiviti dan dayasaing sektor ini. Namun, dala memenuhi objektif ini, persekitaran maritim itu sendiri perlu dipelihara supaya pulangan ekonomi boleh diraih darinya secara beterusan, bukan sahaja untuk masa terdekat ini malah untuk generasi akan datang. Malaysia haruslah mengambil pendekatan yang bersepadu dalam merancang pertumbuhan sektor maritimnya dengan menggunakan konsep pembangunan lestari. Falsafah berhemah yang dipromosikan oleh pembangunan lestari boleh dijadikan asas bagi menyelaraskan pelbagai dasar yang digunapakai di dalam sektor maritim tempatan. Pendekatan sebegini boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial tanpa mengabaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar negara.

Lautan kita, masa depan kita Salah satu ciri unik samudra raya ialah sifat rentas-benuanya. Sejajar dengan ini, pengurusan lautan luas menuntut komitmen, penglibatan dan kerjasama semua pihak yang berkepentingan di dalam sektor maritim bagi mengekalkan kelestarian samudra dalam pada kita meraih manafaat dari sumber dan persekitarannya. Pendekatan bersepadu dalam menguruskan pembangunan sektor ini memerlukan sokongan dan jalinan rapat di kalangan pelbagai agensi kerajaan, pengamal industri, Badan Bukan Kerajaan (NGO), komuniti akademik dan saintifik serta masyarakat awam bagi memenuhi tanggungjawab masing-masing terhadap memelihara integriti persekitaran maritim. Pendekatan sebegini penting bagi menunjukkan kesungguhan Malaysia dalam memenuhi tuntutan pelbagai perundangan antarabangsa mengenai maritim dan alam sekitar yang telah diratifikasikannya.

Perlu diingat yang penerapan nilai-nilai pembangunan lestari di dalam sektor maritim bukanlah satu matlamat yang boleh dicapai secara terpencil tanpa komitmen pelbagai pihak di luar sektor maritim. Banyak tindakan yang seiring perlu diambil oleh pelbagai sektor ekonomi lain bagi membina asas kukuh ke arah penerapan konsep pembangunan lestari di dalam sektor tersebut. Sebagai contoh, kejayaan perancangan pelabuhan supaya ia bertumbuh secara lestari bergantung kepada pertumbuhan seiring ekonomi dan dagangan negara serta global. Penangkapan ikan secara lestari bergantung kepada faktor sosio-ekonomi dan kemasyarakatan di dalam komunit nelayan. Faktor-faktor luaran sepertinya bertindak sebagai pemangkin yang menggalakkan aktiviti ekonomi maritim sepertinya dijalankan berdasarkan konsep pembangunan lestari. Satu persekitaran dinamik diperlukan bagi menzahirkan etika pembangunan lestari di dalam industri maritim. Ia merupakan persekitaran di mana proses membuat keputusan boleh digerakkan dengan pantas dan kesedaran awam terhadap kepentingan memelihara persekitaran dan sumber-sumber maritim berada di tahap yang tinggi. Sebagai tambahan, perilaku pihak-pihak yang terlibat di dalam sektor maritim harus terikat dengan kesedaran tanggungjawab bagi menjamin persekitaran sedemikian. Kerjasama kukuh juga harus wujud di kalangan semua pihak yang terbabit di dalam industri ini bagi menjayakan cita-cita konsep pembangunan lestari di dalam sektor maritim tempatan. Masanya telah tiba untuk negara mempunyai satu strategi pembangunan aktiviti-aktiviti ekonomi maritim yang berpandangan jauh yang mempunyai ciri-ciri yang disebutkan. Strategi tersebut perlu dikendalikan oleh pucuk pimpinan yang komited serta didorong oleh sokongan institusi yang cekap dan penguatkuasaan yang serius. Pendekatan sedemikian bakal membantu Malaysia menjayakan objektif pembangunan lestari dan mejadikannya sebuah negara maritim yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar yang disegani di kalangan masyarakat antarabangsa. Dengan semakin meningkatnya kepentingan sektor maritim terhadap membangunkan ekonomi negara, adalah wajar yang pihak-pihak yang berkepentingan terhadap lautan membuat perancangan yang rapi dan membangunkan aktiviti-aktiviti ekonomi maritim dengan agresif bagi menyokong hasrat kerajaan untuk mempertahankan kepentingan maritim negara. Aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perlindungan maritim serta inisiatif kerjasama di dalam sektor ini yang sejajar dengan memenuhi kehendak pembangunan lestari harus dirancang dengan teliti dan dipromosikan secara beterusan. Kesimpulannya, pembangunan lestari harus dijadikan teras dan aspirasi utama dalam perancangan aktiviti-aktiviti ekonomi maritim di Malaysia bagi menjamin yang generasi akan datang dapat menikmati persekitaran serta sumber-sumber lautan yang terpelihara, Anak cucu kita bakal berterimakasih kepada generasi kini yang telah meletakkan asas pembangunan lestari dalam membangunkan sektor maritim negara serta berusaha untuk memelihara kesinambungan alam maritim anugerah Tuhan yang tidak terperi nilainya ini.

Nazery Khalid ialah Fellow Penyelidik di Institut Maritim Malaysia (MIMA). Tulisannya merupakan pendapat peribadi semata-mata dan tidak mewakili pendapat rasmi MIMA.

Anda mungkin juga menyukai