Anda di halaman 1dari 4

Tips menghadapi Peperiksaan UPSR 1.

Elakkan Situasi Yang Boleh Mengganggu Perasaan Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. 2. Semak Jadual Peperiksaan Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan. Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari. 3. Merancang persiapan peperiksaan Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan. Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari. Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit. Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan. Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu. Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda. Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah. b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah. Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan. Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya. Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang. Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian. Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir. Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda. c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah. Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir. Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan.

UNIT BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEKOLAH KEBANGSAAN PENGKALAN BAHARU

Petua Untuk Menghadapi Peperiksaan UPSR


1) Datanglah dengan cukup bersedia dan lebih awal pada hari peperiksaan. 2) Bawalah semua alat tulis yang anda perlukan, seperti pensel, pen, jam (tangan), pemadam, pembaris, dan lain-lainnya. Kelengkapan ini akan membantu anda untuk memberi sepenuh tumpuan sepanjang masa peperiksaan. 3) Tenang dan percayakan diri anda. 4) Ingatkan diri anda bahawa anda sudah siap sedia dan akan menghadapi peperiksaan dengan baik. 5) Bersantailah tapi berhati-hati. 6) Pastikan meja dan kerusi anda dalam keadaan baik dan selesa untuk anda menulis. Duduk dalam keadaan menegak. 7) Baca soalan sebelum menjawab. 8) Mulai dengan menjawab soalan mudah yang anda tahu, kemudian dengan soalan yang susah. 9) Semasa menjawab soalan aneka pilihan, ketahuilah jawapan yang patut dipilih. Mula-mula, abaikan jawapan yang anda tahu salah. Tekalah pilihan jawapan ketika tidak ada pilihan jawapan yang dapat anda abaikan. Jangan mengubah suatu pilihan jawapan jika anda tidak pasti kerana pilihan pertama jawapan anda biasanya betul, jangan menggantinya kecuali anda yakin dengan pembetulan yang kamu lakukan. 10) Semasa menjawab soalan esei, fikirkan dulu jawapannya sebelum menulis. Buat rangka karangan untuk esei dengan mencatat dulu beberapa idea yang ingin anda tulis. Kemudian susun isi-isi itu mengikut susunan yang mana penting atau perlu dibincangkan dulu. 11) Semak jawapan, elakkan keinginan untuk cepat meninggalkan dewan atau bilik setelah anda menjawab semua soalan ujian. Pastikan anda telah menjawab semua soalan. SEMOGA KEJAYAAN AKAN MENJADI MILIK ANDA

PERSEDIAAN ASAS 1.Semangat Yang Tinggi 2. Pembacaan Yang Banyak 3. Kefahaman Yang Jelas 4. Ulangkaji Berterusan 5. Keyakinan Diri

PERINGATAN KEPADA PELAJAR


Tidak keterlaluan membaca sehingga kurang tidur. Belajar dengan hati yang tenang dan lapang. Pastikan semua kerja atau masalah diselesaikan terlebih dahulu sebelum anda memulakan pembelajaran/study. Disiplinkan diri anda. Pastikan anda tidak membuang masa dengan kerja-kerja yang sia-sia. Tepatilah masa belajar yang anda telah tetapkan dan pastikan anda ada masa untuk merehatkan otak secukupnya. Elakkan daripada memaksa diri anda untuk belajar sekiranya anda letih dan mengantuk. Berbincang dengan rakan yang lebih memahami dan elakkan daripada sifat malu bertanya. Elakkan daripada sifat menangguhkan sesuatu kerja yang diberi oleh guru serta jauhkan sikap mengambil jalan mudah dengan meniru kerja kawan tanpa memahami akan maksud dan konsepnya. Elakkan mengumpulkan nota yang diberikan oleh guru sehingga bertimbun barulah hendak mengulangkajinya.

Sesungguhnya seseorang pelajar akan mencapai tahap penguasaan yang maksimun jika dia mampu mengaplikasikan teknik dan kaedah belajar yang betul. Setiap pelajar mempunyai cara belajar yang berbeza, janganlah meniru gaya belajar orang lain yang tidak sesuai dengan kita. Nota ini sebagai panduan sahaja, ubahlah ia agar sesuai dengan teknik dan cara anda sendiri.

Anda mungkin juga menyukai