Anda di halaman 1dari 3

BAHAGIAN A SOALAN 2A Tonggak 12 merupakan penerangan secara terperinci mengenai nilai-nilai kerja dalam pembentukan peribadi kakitangan awam

yang bermoral tinggi. Prinsip ini seharusnya menjadi amalan semua kakitangan awam bagi membentuk sebuah organisasi yang mempraktikkan amalan murni dan menghindari sifat-sifat negatif dalam diri kakitangan mereka. Elemen pertama dalam Tonggak 12 adalah menghargai masa. Di antara cara untuk menghargai masa di tempat kerja adalah dengan melaksanakan tugasan yang diberi dengan segera dan menyelesaikan tugasan yang diberi pada waktu yang ditetapkan. Sebagai contoh, seorang pegawai perlu mengelakkan diri dari membazirkan masa seperti dengan berbual kosong dengan rakan sekerja dan mencuri tulang ketika menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh ketua pegawai. Selain itu, ketekunan membawa kejayaan merupakan elemen kedua dalam Tonggak 12. Kakitangan awam perlu memberi tumpuan sepenuhnya dalam melaksanakan tugasan yang diberikan sehingga selesai. Kakitangan awam juga perlu bersabar dan tidak mudah patah semangat walaupun terdapat pelbagai halangan yang perlu ditempuhi, Contohnya, bagi mengekalkan prestasi terbaik dalam peperiksaan umum, semua guru di sekolah tersebut perlulah bekerjasama mendidik murid-murid tanpa mengenal erti putus asa. Elemen seterusnya adalah keseronokan bekerja. Seseorang perlu mencari nikmat dalam pekerjaannya bagi memastikan kerja tidak menjadi suatu beban dalam hidup. Antara cara bagi mewujudkan keseronokan dalam bekerja ialah menjadikan kerja sebagai ibadat dan cabaran dalam hidup. Contohnya, seorang penjawat awam yang cemerlang harus mempunyai inisiatif sendiri bagi meningkatkan mutu kerjanya dan komited melakukan tugasan yang diberi tanpa rasa beban.

Di samping itu, ketinggian peribadi merupakan elemen keempat dalam Tonggak 12. Seorang kakitangan awam perlulah mempunyai sikap yang positif bagi membentuk keperibadian terpuji. Keperibadian sebegini mengelakkan seseorang dari melakukan tugasan dengan niat menunjuk-nunjuk ataupun untuk mengejar pangkat dan kedudukan. Sebagai contoh, guru-guru di sekolah melakukan kelas tambahan dengan ikhlas tanpa mengharapkan imbuhan daripada pelajar. Elemen kelima dalam Tonggak 12 adalah pengaruh teladan. Pengaruh teladan yang positif amat penting kerana ia memberikan seseorang satu bentuk contoh terutama dalam bidang pekerjaan. Kebiasaannya, segala tingkah laku yang ditunjukkan oleh pemimpin akan menjadi contoh kepada masyarakat. Sebagai contoh, seorang Guru Besar yang mempunyai ciri kepimpinan yang berkualiti dan berhemah tinggi akan menjadi ikutan para guru di sekolah. Kesimpulannya, Tonggak 12 merupakan gabungan amalan positif yang perlu diterapkan dalam diri setiap kakitangan awam bagi membentuk sebuah organisasi kerajaan yang cemerlang dan berkualiti. Setiap elemen dalam Tonggak 12 seharusnya diteliti dan diamalkan supaya perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangan kerajaan memberikan manfaat kepada semua pihak terutama masyarakat.

Rujukan

Tonggak 12 Dalam Seminar Nilai dan Etika (n.d.) Retrieved May 15, 2012 from http://www.lpp.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=f4d6f07d-4d09-4aa3b662- 6cb1e03a5e0f&groupId=51779

Tonggak 12 [PPT]. Retrieved May 15, 2012 from the www.ppdjasin.edu.my/upload/.../Tonggak12.ppt

Anda mungkin juga menyukai