Anda di halaman 1dari 13

Tonggak 12

Menghargai Masa Ketekunan membawa kejayaan Keseronokan bekerja Kemuliaan kesederhanaan Ketinggian peribadi Kekuatan sifat baik hati Pengaruh teladan Kewajipan menjalankan tugas Kebijaksanaan berkhidmat Keutamaan bersabar Peningkatan bakat Nikmat mencipta ( Tonggak Dua Belas, INTAN 1992 )

Sebagai seorang penjawat awam, pegawai tertakluk kepada peraturan dan etika yang telah ditetapkan. Salah satu daripadanya adalah mematuhi nilai-nilai yang terdapat dalam Tonggak 12. apakah yang dimaksudkan dengan tonggak 12?

TONGGAK 12 boleh ditafsirkan sebagai;

1. dasar dan pokok kepercayaan dan pegangan kepada sesuatu tindakan oleh pejawat awam.

2. menjadi amalan kepada semua peringkat kakitangan awam di semua peringkat organisasi.

3. mengamalkan sikap yang baik dan menghindari sikap negatif.

4. dasar kepercayaan bahawa nilai-nilai penting akan membentuk peribadi dan peribadi menbentuk organisasi.

5.pengiring kepada Etika Perkhidmatan Awam.

Ketekunan membawa kejayaan

Ketekunan bererti memberi tumpuan kepada sesuatu kerja hingga selesai dengan sempurnanya dan membawa kejayaan serta kecemerlangan kepada agensi dan individu. Bila kita sebut ketekunan yang tergambar dalam ingatan kita ialah semut. Serangga yang kecil ini tidak kenal penat lelah apabila melakukan sesuatu seperti membina sarang ataupun membawa makanan untuk kumpulannya.

Biasanya sang semut akan memikul benda-benda yang berpuluh kali lebih berat daripada dirinya. Namun begitu kegigihan, kesabaran, kekuatan hatinya tidak akan padam sehingga selesai kerja atau matlamatnya tercapai.

Peribahasa sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit memang ditujukan kepada daya usaha sang semut. Daripada Forbes Epigrams kita dapati : Diamonds are chunks of coal that stuck to their jobs.

Kedua-dua benda ini (intan dan arang batu) terdiri daripada unsur yang sama iaitu karbon. Arang batu yang melalui proses perubahan selama berjuta-juta tahun akhirnya berjaya menjadi bahan yang paling keras dan berharga. Victory belongs to the most persevering, kata Napoleon Bonaparte.

Ketekunan membawa gambaran kesungguhan dan kesabaran. Orang yang tekun tidak menerima kekalahan. Genggam bara api biar jadi arang, kata orang tua tua. Orang Islam pula sedia maklum bahawa Allah sentiasa bersama dengan mereka yang sabar (al Baqarah 2:153).

Kakitangan yang tekun bersifat dedikasi dan berdisiplin. Orang yang berdisiplin, bekerja apabila diperlukan bekerja, manakala mereka yang tidak berdisiplin pula tidak bekerja atau curi tulang semasa mereka sepatutnya bekerja. Ketabahan diperlukan apabila berhadapan dengan masalah, besar atau kecil. Setiap halangan adalah cabaran dan bukannya pematah semangat.

Dalam usaha melaksanakan inovasi, ketekunan juga diperlukan. Sikap hangat-hangat tahi ayam " tidak boleh dijadikan model, sebaliknya contohi semangat "kaizen" (lakukan sesuatu secara berterusan dan berkesinambungan),seperti yang diamalkan dalam budaya kerja Jepun. Secara ringkasnya, nilai-nilai yang perlu dipupuk untuk memastikan kejayaan antaranya ialah:

(i) Bersemangat gigih dan tekun; (ii) Berdisiplin (iii) Dedikasi (iv) Cekal (v) Berpandangan jauh (vi) Inovatif dan kreatif.

Sebagai menyahut dan melaksanakan Tonggak 12, penjawat awam perlu gigih dalam melaksanakan tugas yang mencabar. Menerima dan melaksanakan arahan sebagai satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan demi rasa dedikasi terhadap peranan yang disandang. Menerima sesuatu yang baru sebagai cabaran yang perlu disahut dan

dijayakan tanpa terlebih dahulu menyerah kalah.

Pegawai juga harus rajin dan sentiasa berusaha memajukan diri dalam usaha menjadi lebih baik dan memastikan tugas dan peranan terlaksana. Sentiasa tekun dalam

menjalankan tugas sebagai menunjukkan taat setia terhadap negara yang tidak berbelah bagi.

Dalam menjalankan tugas, pegawai harus sentiasa sabar dalam menghadapi cabaran pekerjaan. Pelbagai cabaran akan ditempuh dalam dunia yang semakin maju dan

berkembanga pesat. Sebagai pegawai yang mempunyai ketekunan yang tinggi, semangat sayangkan negara perlu dikekalkan untuk menghindar kakitangan terlibat dengan perkara yang boleh memusnahkan negara seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Bagi tujuan itu, pegawai harus berdisiplin dalam setiap pekerjaan. Sentiasa tegas dalam menilai baik buruk sesuatu tindakan dan menjaga integriti peranan dan peribadi supaya tidak goyah dengan rancangan yang boleh menghancurkan kepercayaan majikan atau

pegawai atasan, melanggar etika penjawat awam malah mungkin mampu menggugat kesejahteraan negara.

Amalan yang boleh menggambarkan seseorang penjawat awam tidak tekun dalam bekerja.

i)

Tidak menepati waktu bekerja.

Seorang penjawat awam boleh dianggap tidak tekun dalam bekerja apabila kurang berdisiplin. Melaksanakan tugas secara culas dan tidak mematuhi peraturan dan etika sebagai penjawat awam. Terdapat contoh mudah yang memahami keadaan ini. Sebagai contoh, tidak menepati masa. Pelbagai keadaan pula boleh dikaitkan dengan contoh ini. Antaranya ialah, seorang penjawat awam perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau telah dipilih untuk dipatuhi. Merujuk kepada waktu masuk dan keluar pejabat atau waktu bekerja yang telah dipilih oleh seseorang pegawai. Pegawai kerajaan yang

memilih waktu bekerja bermula 8.00 pagi dan berakhir 5.00 petang harus mematuhi waktu kerja tersebut. Pegawai harus berada di pejabat atau tempat bertugas sebelum waktu ditetapkan dan pulang selepas waktu bekerja tamat. Seseorang pegawai dianggap tidak berdisiplin apabila melanggar waktu kerja tersebut. Bukan hanya waktu masuk dan keluar pejabat, tetapi sebarang keadaan berkaitan waktu seperti keluar tanpa izin ketua pada waktu pejabat, atau juga melakukan kerja sampingan tanpa keizinan ketua pada waktu pejabat. Perbuatan ini menunjukkan bahawa seseorang pegawai itu tidak tekun dalam melaksanakan tugas mereka sebagai penjawat awam.

ii) suka bertangguh

Kakitangan awam mempunyai Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang perlu dicapai. Walaubagaimanapun, pegawai yang tidak tekun dalam menjalankan tugas tidak akan berusaha mencapai SKT yang telah ditetapkan oleh dirinya sendiri pada awal tahun untuk dipenuhi sebagai menilai tahap pencapaian dalam melaksanakan tugas. Pegawai yang bersikap acuh tak acuh dan sambil lewa dalam melakukan tanggungjawab yang telah diberikan adalah pegawai yang tidak tekun dalam melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam. Banyak bertangguh dan tidak mengendahkan tarikh atau had waktu yang ditetapkan bagi satu-satu urusan menunjukkan pegawai berkenaan adalah tidak tekun dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang pegawai awam.

Sebagaimana ketekunan membawa kejayaan, pegawai-pegawai awam yang tidak berjaya menerapkan nilai ketekunan dalam tugas mereka seharian adalah sukar untuk berjaya. Banyak yang boleh dijadikan contoh teladan yang bermanfaat apabila dirujuk. Antaranya, pegawai yang mempunyai masalah disiplin, adalah sukar untuk cemerlang dalam tugasnya yang membawa implikasi lain yang lebih teruk. Pegawai memperoleh markah SKT yang rendah yang malahan membawa pelbagai lagi keburukan dan kerugian dalam mencapai tahap yang lebih baik atau memperbaiki diri. Mana-mana kakitangan yang mempunyai markah SKT rendah, tidak layak untuk naik pangkat. Malah lebih teruk lagi apabila mereka mungkin tertangkap atau dihukum atas kesalahan serta kecuaian yang berlaku di sesebuah organisasi.

Langkah-langkah yang wajar diambil untuk menjadikan anggota organisasi anda mengamalkan ketekunan membawa kejayaan.

Sesebuah organisasi mempunyai corak pengurusan yang tersendiri bergantung kepada pengurusan ketuanya dan visi juga misi yang telah ditetapkan untuk dicapai. Walaubagaimanapun, sesebuah organisasi akan lebih berjaya apabila menerapkan nilai ketekunan membawa kejayaan yang terdapat dalam Tonggak 12. Mengubah cara kerja ke arah lebih baik akan memberikan ruang kejayaan yang lebih besar kepada sesebuah organisasi.

i)

Memupuk semangat kerjasama antara ahli pasukan.

Bagi memastikan setiap program berjalan seperti yang dirancang, setiap organisasi biasanya akan melibatkan seluruh tenaga kerja dalam organisasi tersebut untuk samasama menyumbang tenaga menjalankan peranan masing-masing. Inilah yang

dikatakan kerja berpasukan. Sebagai contoh, mengadakan sambutan sesebuah majlis atau program. Semangat ketekunan setiap tenaga kerja akan menentukan

keberhasilan atau kegagalan sesebuah perancangan. Bukan hanya ketekunan, tetapi ketekunan dalam pasukan adalah lebih penting. Ibarat sebatang lidi yang mudah untuk dipatahkan, tetapi seberkas lidi adalah amat kuat dan sukar sekali untuk dipatahkan. Bak kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh.

Semangat ketekunan yang tinggi setiap individu dalam pasukan adalah amat penting untuk memastikan hala tuju pasukan tersebut. Bukan hanya secara individu, tetapi penerapan dalam pasukan adalah lebih penting kerana kita tidak berseorangan dalam organisasi. Kerjasama yang padu dan hubungan erat setiap ahli dalam pasukan akan lebih memantapkan prestasi dan mempercepat proses mencipta kejayaan organisasi mencapai visi misi dan objektif yang telah ditetapkan.

ii)

dedikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Tugas sebagai penjawat awam adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Sikap sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh boleh merosakkan prestasi dan mencalar imej jabatan atau organisasi. Dalam sesebuah jabatan, sikap yang negatif bukan hanya mencemar imej diri malah memberikan impak negatif kepada seluruh organisasi. Sebagai contoh, amalan rasuah yang berleluasa yang mungkin hanya

dilakukan oleh segelintir kecil individu dalam organisasi tetapi mencemarkan imej seluruh organisasi berkenaan.

Sebagai anggota penjawat awam, dedikasi perlu bagi melahirkan warga kerja yang bermutu tinggi. Sikap dedikasi boleh mengikis amalan tidak amanah dan tidak ikhlas dalam menjalankan tugas. Tugas hakiki adalah apa yang telah ditetapkan dan Malahan, setiap penjawat awam,

diamanahkan oleh kerajaan utntuk dilaksanakan.

diberikan emolumen yang setimpal dengan tugas dan kelulusan mereka sebagai memenuhi keperluan kehidupan seharian dan jaminan masa depan yang baik. Tindakan

menerima rasuah , imbuan, atau suapan adalah tindakan tidak wajar yang salah disisi undang undang negara juga disisi agama. Melakukan tugas dengan fokus dan ketekunan yang tinggi akan malah menjamin pendapatan yang halal kepada umat islam dan memberikan rezeki yang barakah bagi memenuhi tuntutan-tuntutan yang lain pula.

Sikap dedikasi juga malah menghasilkan output yang sangat bagus. Contoh yang mudah, seorang guru yang berdedikasi dalam menyampaikan ilmu, bukan sahaja menjamin rezeki dan pendapatan yang bersih, tetapi juga mampu melahirkan insan-insan cemerlang yang berjaya.

iii)

tidak berputus asa

Kehidupan adalah amat mencabar.

Setiap individu pula akan melalui pengalaman

berbeza dalam menjalani kehidupan masing-masing. Sungguhpun begitu, apa yang pasti, pengajaran yang diperolehi adalah sangat bermakna andai kita tahu menilai baik buruk sesuatu perkara. Dalam sektor pekerjaan juga akan memberikan pelbagai pengalaman baru yang memang mempunyai pahit manisnya sendiri.

Pasti ada keadaan di mana anda merasa seperti tidak dihargai, ditindas atau tidak dipedulikan dalam organisasi. Banyak faktor yang mempengaruhi keadaan ini. Mungkin ia disebabkan oleh kesalahan lalu, atau mungkin juga perasaan dengki dan tidak puas hati. Walau apapun, yang lebih penting adalah cara bagaimana anda sebagai warga

sesebuah organisasi menangani keadaan ini kerana pastinya ia memberi impak terhadap hubungan sesama ahli dalam organisasi malah terhadap mutu kerja seharian.

Jangan mudah berputus asa. Teruskan usaha anda dengan penuh tekun dan sabar. Sentiasa berusaha memperbaiki diri. Pasti anda akan menyerlah. Libatkan diri secara optimum dalam apa jua tugasan atau peranan yang perlu anda laksanakan. Disamping mungkin mampu memperbaiki prestasi diri dan meraih kepercayaan ketua dan organisasi, anda sudah pastinya mencapai kepuasan kendiri malah berjaya melaksanakan tugas anda dengan cemerlang yang mungkin juga menyumbang terhadap kecemerlangan orang lain. Contoh yang mudah sekali lagi dapat dilihat dalam kerjaya perguruan. Seorang guru yang tidak pernah berputus asa mengajar dan menyampaikan ilmu dengan sepenuh hati pasti akan mampu menghasilkan pelajar cemerlang. Kehebatan anda direfleksi oleh anak didik anda. Ia merupakan sebuah kejayaan yang sangat indah.

KESIMPULAN

TONGGAK 12 adalah nilai yang perlu diterapkan dalam organisasi bagi memberi inspirasi terhadap mencapai visi dan misi mereka. Mempraktikkan nilai dalam Tonggak 12 akan mampu untuk melahirkan warga kerja yang cemerlang prestasi, sahisiah dan amalan. Sebagai penjawat awam, mematuhi dan menerapkan nilai dalam Tonggak 12 adalah perlu bagi memastikan organisasi beroperasi dengan penuh dedikasi.

Penerapan nilai ketekunan membawa kejayaan adalah sangat penting bagi menimbulkan kepercayaan bahawa dengan ketekunan yang tinggi dalam melaksanakan kerja atau peranan dalam organisasi, individu itu akan pasti mencapai kejayaan. Dengan semangat yang tinggi, bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa, stiap individu dan organisasi berhak dan akan pasti mampu mencapai target atau KPI yang telah ditentukan dengan jayanya.

RUJUKAN

http://citacita.tripod.com/nota/tunggak.html

Anda mungkin juga menyukai