Anda di halaman 1dari 1

Tips penjagaan bunga kertas

groups.yahoo.com /neo/groups/tamanflora/conversations/topics/6316 Berikut adalah panduan dalam penanaman bunga kertas Bunga kertas memerlukan cahaya matahari sepenuhnya. Oleh itu untuk menghasilkan pokok yang cantik letakkan ia di tempat terbuka. Pokok yang diletakkan di tempat teduh tidak berbunga sebaliknya hanya gila daun. Siraman yang banyak juga penting bagi pertumbuhan dan kecantikan pokok. Jika musim kering lakukan siraman dua kali sehari tetapi bagi keadaan cuaca yang sederhana sekali sehari memadai. Pembajaan perlu dilakukan dua minggu sekali. Gunakan baja organik dan baja campuran dan ia boleh diselang selikan. Bagi baja campuran pastikan ia adalah baja bunga bukannya baja daun. Kadar baja adalah sekitar satu sudu besar bagi baja campuran dan dua sudu besar bagi baja organik. Ini adalah kadar untuk pokok yang di dalam pasu. Pemangkasan perlu dilakukan apabila bunga mulai gugur dan kurang berseri. Potong bahagian yang nampak tidak elok dan selepas seminggu bolehlah dibaja. Bunga kertas jarang diserang serangga. Bagaimanapun jika terkena serangan boleh disembur dengan racun serangga biasa. Boleh juga diamalkan menyembur racun serangga sekitar sebulan sekali. Tanah hendaklah sentiasa digembur bagi memberikan pertumbuhan yang sihat. Pamasuan semula perlu dilakukan bila akar sudah memenuhi pasu. Untuk itu keluarkan pokok daripada pasu dan pangkas akarnya. Selepas itu bolehlah dimasukkan semula pokok berkenaan di dalam pasu sama atau pasu yang lebih besar dengan diletakkan tanah baru. Selepas memasu semula, letakkan pokok di tempat teduh bagi tempoh dua hingga tiga minggu. Ini kerana pokok masih berada dalam keadaan tertekan dan perlu dimanja. Meletakkan ia di tempat terbuka akan membuatkan pokok semakin tertekan. Siraman secukupnya perlu dilakukan pada pokok yang mengalami pemasuan semula. Dalam pemilihan pasu untuk pokok bunga kertas gunakan pasu tanah liat dan bukannya yang dilicau (dilicinkan). Ini bagi membenarkan kemasukan udara dan supaya air tidak bertakung. Sememangnya ramai yang inginkan pasu yang cantik. Ia tidak salah tetapi biarlah yang bersesuaian dengan keperluan pokok. Ada sesetengah orang mengalami pokok bunga kertas yang luruh daun. Ini disebabkan oleh terlalu banyak baja dan juga kurang siraman. Baja sifatnya panas jika terlalu banyak baja dan diletakkan pula di tempat terbuka ia menjadikan pokok bertambah panas. Kurang siraman juga menyebabkan keadaan semakin kering. Untuk susunan pokok bunga kertas gandingkan pokok dengan warna berlainan dalam satu barisan bagi menaikkan seri. Bagi kotak tanaman atau susunan di balkoni boleh juga diletakkan pokok yang sewarna. Pokok bunga kertas juga boleh dijadikan bonsai. Bagaimanapun, menghimpunkan beberapa warna menjadikan ia lebih menarik. Jumlah warna yang boleh digunakan antara tiga hingga sembilan.

Anda mungkin juga menyukai