Anda di halaman 1dari 7

Orang yang menyampaikan dan mendidik ilmu terutama di sekolah (Kamus Dewan Edisi ke-3) Frasa di atas merupakan

definisi guru yang diperoleh daripada Kamus Dewan keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ketiga. Insan yang bergelar guru adalah melengkapi segala-galanya baik sebagai pendidik, pengasuh, pembimbing, penasihat, pencetus idea dan fikiran, penderma wang ringgit serta penyumbang tenaga dan masa. Guru juga merupakan ibu bapa kepada murid di sekolah, pemimpin dan penggerak kelompok komuniti setempat, agama, bangsa dan negara. Guru ibarat sepohon kelapa yang tinggi menjulang dengan buah yang penuh di tandan, berguna dari pucuk hinggan ke pangkal. Di dalam agama islam turut mengangkat darjat guru pada kedudukan yang tinggi dan istimewa selepas ibu dan bapa malah mengajar penganutnya supaya memuliakan guru. Dalam usaha kerajaan untuk mencapai kesepaduan antara kaum dan melahirkan modal insan yang berkualiti, pendidikan dilihat sebagai satu platform yang amat berkesan dan mampu memberikan impak yang besar dalam percambahan mentaliti yang menuju ke arah perpaduan kaum yang jitu. Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh para guru dianggap sebagai peranan utama kerana guru adalah jentera barisan hadapan yang mengambil peranan dalam proses pembelajaran dan penerapan nilai murni ke dalam diri pelajar. Dalam merealisasikan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Negara sudah tiba masanya guru meningkatkan momentum usaha dan memainkan peranan sebagai medium yang berkesan membentuk modal insan yang berkualiti pada masa hadapan. Dalam merealisasikan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara, guru sememangnya memainkan peranan yang amat penting kerana mereka adalah guru yang mengajar secara langsung tentang amalan murni dan nilai patriotik di sekolah dan tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa untuk menerapkan nilai-nilai ini di rumah. Prinsip pertama dalam Rukun Negara Malaysia adalah Kepercayaan Kepada Tuhan. Faktor kepercayaan kepada agama merupakan perkara utama yang harus ditekankan oleh guru kepada murid-murid. Ibu bapa mengharapkan agar pihak sekolah dan juga guru dapat meningkatkan kepercayaan anak-anak mereka kepada Tuhan dan agama. Perkara ini menjadi lebih kritikal dalam era globalisasi. Hal ini kerana, kehidupan yang begitu mementingkan materialistik, teknologi dan hiburan dapat menjejaskan keinginan manusia kepada Tuhan. Dalam kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan dalaman iaitu kerohanian melalui pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap dan suci akan melahirkan akal yang sihat, jasmani yang cergas dan sahsiah yang terpuji dalam kalangan murid. Pembinaan kekuatan dalaman ini akan lebih mudah dilaksanakan jika guru

memfokuskan aktiviti yang membina kekuatan rohani di sekolah seperti solat berjemaah yang dianjurkan kebanyakan sekolah di Malaysia pada waktu Zohor dan Asar. Pada masa yang sama, murid yang bukan beragama Islam juga akan diisikan dengan aktiviti mengikut ajaran mereka. Selepas setiap aktiviti selesai, guru boleh menerangkan mengapa aktivitui seumpama ini dijalankan agar murid dapat mendalami aspek kerohanian dalam diri mereka justeru intipati yang ingin disampaikan kepada mereka dapat difahami dan diamalkan dalam jangka masa panjang. Prinsip kedua Rukun Negara ialah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong dan negara. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah payung negara yang menaungi seluruh rakyat di negara ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali. Prinsip yang ketiga adalah Keluhuran Perlembagaan. Perlembagaan merupakan elemen yang menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri. Setiap rakyat Malaysia tidak kira pangkat, kedudukan, taraf atau darah sekalipun adalah sama di sisi undang. Sebesar mana kuasa seseorang itu, sekuat mana pun pengaruhnya, dia tetap berada di bawah perlembagaan undang-undang lagi. Justeru, perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara ini. Kita seharusnya sedar betapa pentingnya kesepaduan antara kaum terutama di Negara berbilang bangsa seperti Negara kita. Kesepakatan ini merupakan tunjang atau nadi bagi menggerakkan negara kita menuju ke arak kecemerlangan. Sebagai seorang guru, kita bukan sahaja mengajar dan memberi input tentang moral, tetapi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik pelajar-pelajar kita mengenal, menghargai, serta mengamalkan apa yang telah dipelajari. Guru perlu menegaskan tentang kepentingan kesepaduan antara kaum yang sentiasa menjadi perkara asas dalam membina kerukunan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa. Antara perkara yang boleh dipraktikkan oleh guru ialah menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pertuturan seharian. Adalah sangat penting dan wajar bagi setiap warga Malaysia mampu untuk menggunakan

Bahasa Kebangsaan kita iaitu Bahasa Melayu dalam pertuturan hariannya.Penggunaan bahasa yang sama antara kaum lain dapat memupuk semangat perpaduan kaum yang jitu selain dapat meningkatkan lagi semangat cinta akan tanah air. (Datuk Dr Arwan Sariyan,2013) yang merupakan Ketua Pengarah DBP menegaskan bahawasanya Bahasa Kebangsaan adalah maruah Negara kita. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling wajar digunakan oleh pelajar semasa berkomunikasi dengan bangsa lain di Malaysia tambahan pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Prinsip keempat ialah Kedaulatan Undang-undang. Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum, gender mahupun kedudukan. Dalam mendidik murid untuk sentiasa menjadi warganegara yang sentiasa mengamalkan peraturan dalam kehidupan seharian, guru Pendidikan Moral boleh memulakannya dengan perkaran yang kecil dan mudah sahaja contohnya sentiasa menggalakkan murid-murid untuk mengikuti peraturan sekolah seperti hadir ke sekolah tepat pada masanya dan tidak membuang sampah meratarata. Walaupun hal ini kedengaran tidak penting, namun apabila kita menerapkan murid dengan asas yang kukuh, maka tidak mustahil jika ia berkembang ke arah yang lebih baik pada masa hadapan. Guru juga haruslah sentiasa meningkatkan amalan pedagogi dalam pengajaran, sesuai dengan ragam murid yang pelbagai. Kepelbagaian dalam cara mengajar membolehkan murid terus fokus dan tidak bosan serta objektif pembelajaran yang dirancang juga dapat dicapai. Ini secara tidak langsung dapat mengelakkan masalah ponteng sekolah akibat pengajaran guru yang tidak memberangsangkan, secara tidak langsung murid-murid sendiri dapat mengamalkan peraturan sekolah dengan lebih berintegriti. Prinsip kelima ialah Kesopanan dan Kesusilaan. Guru sentiasa menjadi perhatian umum dari hujung rambut ke hujung kaki. Apa sahaja yang dipakai, diperkatakan, dilakukan atau ke mana sahaja guru pergi, mereka tetap menjadi perhatian masyarakat. Guru muaddib adalah guru yang mengajarkan adab dan budi pekerti. Dalam hal ini, guru berusaha memastikan adab dan budi pekertinya adalah ditahap yang cemerlang. Ini adalah kerana guru merupakan model kepada murid-murid dan masyarakat sekelilingnya. Guru tidak seharusnya umpama ketam mengajar anaknya berjalan betul. Guru Muaddib bukan sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti mengamalkan nilai-nilai murni tersebut. Dunia pendidikan sentiasa menjadi tumpuan semua pihak kerana tunjang utama dalam pemerkasaan pembangunan negara dijana melalui keberkesanan sistem pendidikan. Justeru, kualiti pendidik atau guru menjadi pemangkin kepada usaha membina generasi

modal insan bertaraf dunia. Malah, aspek melahirkan modal insan yang berkualiti itu menjadi agenda teras dalam RMK 9 dan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Hal itu menunjukkan betapa seriusnya negara dalam merencanakan barisan pelapis kepemimpinan dan warga kerja yang mampu menjana pembangunan negara ke arah pencapaian Wawasan 2020. Tidak dinafikan bahawa sekolah merupakan sebuah agen sosialisasi yang penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Namun begitu, tanpa guru, sesebuah sekolah itu tidak dapt merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaaan tersebut. Guru juga sebenarnya secara tidak langsung menerapkan nilai-nilai murni dalam diri muridmurid untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari pelbagai aspek JERIS iaitu, jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial selaras dengan matlamat dan objektif Falsafah Pendidikan Kebangsaaan. Oleh yang demikian, peranan guru-guru juga dilihat sebagai satu elemen major dalam proses merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada masa hadapan. Dalam falasafah tersebut perkara yang disentuh adalah bahawasanya pendidikan di Malaysia bertujuan untuk membentuk individu yang berkembang secara holistik baik dari segi intelektual dan moral agar mereka dapat memberikan sumbangan terhadap negara. Ini akan dilaksanakan oleh guru berdasarkan garis panduan yang telah disediakan dalam falasafah ini. Antaranya adalah guru-guru harus percaya dan patuh kepada tuhan, berakhlak mulia, dan memupuk perpaduan. Kepercayaan kepada tuhan merupakan aspek yang utama dalam membentuk pelajar. Bukan sahaja aspek ini ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaaan, malahan ianya diberikan penekanan dalam rukun negara oleh kerana ia adalah prinsip yang pertama sekali. Mempunyai kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan mendidik seorang manusia membuatkan mereka berfikir lebih rasional tentang tindak-tanduk mereka. Untuk membentuk nilai percaya dan patuh keapda tuhan dalam diri murid-murid, guru harus bertindak dan berperanan sebagai role model kepada murid. Kepercayaan dan kepatuhan yang dipamerkan secara tidak langsung akan diterapkan dalam diri pelajar. Melalui aktiviti main peranan, guru bolehlah memainkan peranannya sebagai Muaddib iaitu sebagai pendidik adab dan budi pekerti dalam aktiviti ini. Guru mewujudkan situasi perayaan Deepavali. Guru mengarahkan beberapa murid memainkan peranan sebagai tuan rumah dan tetamu yang datang ke rumah untuk beraya bersama-sama. Dalam aktiviti ini akan memainkan ramai pelajar bagi mewujudkan suasana sebenar sesuatu perayaan. Penerapan adab budi pekerti melayan tetamu dan hormat menghormati amat ditekankan dalam aktiviti main peranan. Cara meminta maaf ketika hari perayaan agama

juga akan ditekankan agar murid memahami pentingnya saling memaafkan antara satu sama lain. Tidak dinafikan bahawa tugas utama guru adalah untuk mendidik matapelajaran yang dikhususkan kepadanya, namun dewasa kini dengan masalah sosial yang semakin meningkat adalah menjadi tanggungjawab guru untuk membanteras perkara ini sebelum berlaku dengan lebih teruk iaitu dengan membentuk akhlak yang murni dalam diri muridmurid sejak mereka kecil lagi. Jadi, di sini jelas menunjukkan kepada kita memang menjadi tanggungjawab teras seseorang guru itu membentuk jati diri dan akhlak anak muridnya dengan keluhuran budi pekerti yang tinggi dan mempunyai akhlak yang mulia. Sebenarnya, teras utama dalam aspek pendidikan adalah untuk membimbing dan memberi pendidikan akhlak murni. Jadi, dalam apa jua mata pelajaran yang diajar oleh seseorang guru, penerapan nilai murni itu tidak boleh diabaikan. Ini yang dikatakan nilai merentas kurikulum. Sebagai seorang insan yang bergelar guru di Malaysia, ia adalah menjadi tanggungjawab bagi guru-guru untuk membentuk perpaduan dalam kehidupan masyarakat yang berbilang diversiti. Perkara ini telah ditekankan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaaan iaitu pendidikan di Malaysia bertujuan untuk melahirkan rakyat yang member sumbangan terhadap keharmonian negara. Aspek ini boleh dilaksanakan oleh guru dengan menjadi agen sosialisasi. Agen sosialisasi di sini bermaksud memberi peluang kepada pelajar untuk menguasai pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang difikirkan sesuai untuk perkembangan diri dan masyarakat. Peranan sebagai agen sosialisasi adalah untuk memastikan perubahan dan perkembangan tingkahlaku murid adalah mengikut nilai, norma dan kehendak masyarakat. Tugas guru juga bukan sekadar penyampai ilmu, malah memupuk sikap, nilai dan sahsiah yang sempurna selaras dengan keperluan kendiri dan tuntutan masyarakat. Falsafah Pendidikan Kebangsaaan antara lain menyatakan, Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Berdasarkan inti pati Falsafah Pendidikan Kebangsaaan ini, guru memainkan peranan yang penting sebagai penggilap potensi anak muridnya. Setiap manusia diberi kelebihan dan keistimewaan masing-masing, tetapi tetap jua mempunyai kelemahan tersendiri. Bagi seorang guru, bukan kelemahan seseorang murid itu dicari, tetapi

keistimewaan itu yang dicari dan digilap agar menjadi manusia yang berguna bukan sahaja untuk diri sendiri, malahan untuk masyarakat dan negara. (Keow, 2008) Oleh itu, seorang guru itu harus bijak mencungkil bakat serta kebolehan murid-muridnya agar tidak disiasiakan begitu sahaja bakat yang mereka peroleh dan pada masa yang sama potensi yang sudah sedia ada bisa dikembangkan lagi. Oleh yang demikian, dapatlah kita lihat bahawa guru memainkan peranan yang besar dalam membentuk generasi muda yang bakal membimbing negara ini. Ia adalah menjadi tanggungjawab bagi para guru untuk mendalami perkara-perkara yang dinyatakan di atas dan mencari alternetif dan kaedah yang sesuai. Hakikatnya seseorang guru sewajarnya mesti sedar akan peranan mereka dan harapan negara dalam membina generasi insan yang berwibawa, berintelek tinggi, berakhlak mulia serta bersahsiah towering personality. Ingatlah pendidik akan pesanan yang pernah diluahkan oleh Beecher, kanak-kanak adalah umpama simen basah dan setiap orang yang jatuh ke atasnya akan memberi kesan kepadanya.

Rujukan Kamus Dewan Edisi ketiga. (1994). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka. Keow, C. L. (2008). Falsafah dan Pendidikan di MAlaysia. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Omar, A. Z., & Shuid, M. (2014). Pedagogi dan Pentaksiran Moral. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

Anda mungkin juga menyukai