Anda di halaman 1dari 6

Resipi kejayaan dakwah

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

SEMPENA Bulan Dakwah Kebangsaan yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini, golongan pendakwah
diseru mengambil kesempatan untuk mempergiat aktiviti penyampaian dakwah kepada semua lapisan
masyarakat selaras dengan tema untuk mewujudkan khaira ummah iaitu ummah terbaik.

Dalam usaha untuk mencapai matlamat itu pendakwah hendaklah memantapkan diri dengan pelbagai
disiplin ilmu termasuk memiliki kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai
medium penyampaian dakwah yang berkesan.

Langkah ini dilihat berbaloi apabila jumlah pengguna internet di Malaysia dilaporkan mencecah 500,000
orang.

Dalam era globalisasi maklumat tanpa sempadan, kemahiran itu boleh digunakan sebagai mekanisme untuk
menjawab segala tohmahan dan kritikan tidak berasas terhadap peribadi Nabi Muhammad SAW dan syariat
Islam yang mulia, yang banyak disebarkan menerusi laman web dan blog-blog.

Golongan pendakwah juga harus sentiasa mengamalkan prinsip cakap serupa bikin. Mereka memikul
amanah Allah SWT untuk sentiasa melaksanakan segala ajaran agama dalam diri sendiri sebelum
menyuruh orang lain untuk melakukannya.

Kealpaan pendakwah mempraktikkan prinsip itu bukan sahaja itu menyebabkan objektif dakwah tidak
tercapai malah bakal mengundang kemurkaan Allah SWT yang berfirman, maksudnya; Wahai orang yang
beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak kamu lakukan! Amat besar kebenciannya di
sisi Allah (apabila) kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan. (Surah al-Saf ayat 2-3).

Bahkan dalam situasi masa kini di mana berlaku kepincangan dalam aspek akhlak dan moral masyarakat
Islam, dakwah menerusi personaliti mulia (dakwah bilhal) lebih elok dipraktikkan berbanding dakwah melalui
mulut yang belum tentu mencapai hasil yang diharap-harapkan.

Pendakwah hendaklah mempersiap diri dengan akhlak mulia, penyabar dan tidak cepat melenting apabila
ditegur. Sikap terbuka dan tidak memandang rendah kepada kewibawaan orang lain adalah resipi kejayaan
dakwah.

Setiap individu harus menerima hakikat bahawa manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan
masing-masing. Adalah mulia jika segala kelebihan itu dikongsi bersama bagi memantapkan misi dakwah,
manakala kekurangan diperbaiki untuk faedah bersama.

Kaedah dan cara berdakwah pula perlu seiring dengan situasi semasa agar dakwah tidak hanya tertumpu
kepada segelintir masyarakat sahaja.
Pendekatan dakwah secara bijaksana penting agar segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat
daripada aktiviti dakwah yang dijalankan.

Golongan muda dan remaja Islam yang seperti hilang arah hidup sepatutnya menjadi tumpuan pendakwah
kerana mereka bakal menjadi pewaris negara pada masa hadapan.

Pendekatan dakwah yang sesuai untuk golongan ini perlu difikirkan bersama oleh semua pihak bagi
menarik lebih ramai golongan muda mempraktikkan perintah agama seperti solat yang kemudiannya
mampu mendidik sahsiah dan peribadi mereka.

Lebih daripada itu, pendakwah hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT. dengan
memperbanyak melakukan ibadah dan bermunajat kepada-Nya.

Pendekatan ini merupakan persediaan spiritual yang mampu menahan segala ujian dan cabaran dakwah
yang bermacam ragam, kerana bukan mudah untuk membentuk akhlak dan peribadi manusia.

Ada yang menyokong dan tidak kurang pula yang membantah dengan melakukan tindakan di luar batasan.
Kekuatan dalaman dan pergantungan mutlak kepada Allah SWT diperlukan untuk menghadapi situasi getir
itu.

Golongan para Nabi dan Rasul utusan Allah SWT adalah golongan yang banyak menerima cabaran berat
ketika berdakwah kepada kaumnya. Terdapat di kalangan mereka yang bergelar Ulul Azmi, kerana
hebatnya tribulasi dakwah yang terpaksa dihadapi.

Nabi Ibrahim AS pernah dibakar oleh kaumnya namun dipelihara oleh Allah SWT daripada musibah itu.
Nabi Muhammad SAW juga menerima berbagai-bagai ujian berat dalam usaha untuk mengajak manusia
supaya mengesakan Allah SWT.

Sifat buruk seperti keras hati, gemar berdebat, menyangka diri yang terbaik, sombong dan mata duitan
adalah sifat-sifat yang merosakkan peribadi pendakwah di mata masyarakat.

Amalan buruk ini bakal mengundang malapetaka dan merosakkan matlamat dakwah yang dicita-citakan.

Pendakwah perlu menghindari diri daripada sifat buruk ini jika mahu diterima oleh masyarakat. Pelbagai
gerakan dakwah yang wujud di Malaysia perlu bersatu hati bagi mencapai tujuan dan matlamat dakwah
yang sama.

Jangan asyik menuding jari menyalahkan orang lain sebaliknya sama-sama mencari jalan keluar kepada
permasalahan yang berlaku. Pepatah ada menyebutkan bersatu kita teguh bercerai kita roboh.
Masyarakat Islam juga diseru agar turut bersama-sama dalam aktiviti dakwah menyeru kepada yang baik
dan mencegah perkara-perkara mungkar dan tidak hanya berharap kepada golongan agama bagi memikul
tanggungjawab ini.

Kesedaran semua anggota masyarakat dalam melaksanakan gerak kerja dakwah amat-amat diharapkan.
Malahan cabang dakwah yang luas memberi peluang kepada semua pihak untuk sama-sama bertugas
sebagai agen penyampai dakwah.

Guru berdakwah dengan menyampaikan ilmu kepada murid, peruncit berdakwah melalui sifat amanah dan
jujur dalam perniagaan dan setiap individu muslim berdakwah melalui akhlak dan peribadi mulia sehingga
mampu memperlihatkan kecantikan Islam di mata masyarakat lain.

Selain pendakwah, setiap individu Muslim wajib memikul amanah bagi memelihara diri dan keluarga mereka
daripada kesesatan. Perbuatan sesetengah ibu bapa yang tidak mempedulikan perlakuan buruk anak-anak
adalah sikap tidak bertanggungjawab yang bakal merosakkan masa depan mereka sebagai pemuda
harapan bangsa dan agama.

Bahkan ibu bapa akan dipertanggungjawabkan dengan persoalan itu di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

Pendakwah semestinya memahami tugas dakwah adalah tugas yang berat dan memakan masa yang
panjang.

Pendakwah tidak boleh berputus asa kerana yang berhak dan berkuasa memberi petunjuk hanyalah Allah
SWT sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud; Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak
berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam),
tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya
(menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang
(ada persediaan untuk) mendapat hidayat petunjuk (kepada memeluk Islam). Surah al-Qasas ayat 56).

Untuk itu usaha dakwah tidak hanya meriah dalam bulan dakwah sahaja. Dakwah sepanjang masa
diperlukan bagi menarik lebih ramai orang Islam mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian
sekali gus menyumbang kepada minat masyarakat lain untuk mengenali dan mendalami Islam sebagai
agama yang benar lagi diterima oleh Allah SWT.

Usaha ini juga mampu untuk menangkis tanggapan-tanggapan buruk yang dilontarkan kepada Islam dan
penganutnya.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
Pentingnya dialog antara agama diperbanyakkan

Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID

PARADIGMA modenisme hari ini telah membangkitkan pelbagai kekacauan dan pengingkaran terhadap
martabat kemanusiaan. Ia dicuba dijawab oleh agama-agama dengan cara yang berbeza-beza.

Dari sinilah kemudian muncul pelbagai tawaran teologi agama seperti teologi pembebasan, teologi
transformatif yang semuanya mengarah pada gagasan transformasi dengan agama sebagai peneraju
utamanya. Gagasan ini terus berkonflik dengan melibatkan agama-agama besar dunia.

Kadang kala permusuhan meledak sehingga menjadi pertikaian berdarah seperti yang dapat disaksikan
dalam beberapa pergolakan tragis di beberapa buah negara di dunia. Permusuhan antara agama dapat
diperhatikan melalui konflik pembasmian etnik dan wilayah sebagai mana yang berlaku di Timor Timur
dalam tahun (1999), Lampong (1995), Indonesia.

Demikian juga isu pembinaan kuil Hindu di atas tapak Masjid Babri di Ayudya, Uttar Pradesh pada tahun
1992 di India, yang menyebabkan masyarakat Islam melancarkan tindak balas ke atas penganut Hindu.

Malah keganasan perkauman sudah menjadi punca utama penderitaan umat manusia pada penghujung
abad kedua puluh yang lalu.

Memandangkan perselisihan antara agama semakin memuncak dalam keadaan masyarakat pelbagai kaum
dan di merata-rata tempat, maka perlu ditekankan betapa pentingnya dialog antara kaum, agama, budaya
atau peradaban diadakan pada masa kini.

Dialog dan persefahaman antara satu sama lain merupakan prasyarat untuk membina hubungan yang adil
dan saksama antara pelbagai budaya dan peradaban.

Penyebab utama ketegangan ini berakar daripada interaksi yang berasaskan sikap yang beranggapan pihak
masing-masing yang paling benar. Masing-masing menganggap merekalah pengikut agama yang paling
unggul.

Mereka bersaing untuk menyebarkan dakwah. Saingan ini kadang-kadang membawa ketegangan dan
keupayaan untuk mencipta situasi yang saling memahami dan menghormati antara agama menjadi lebih
sukar. Kadang-kadang kesukaran semakin bertambah kerana didorong oleh kepentingan politik, mahupun
teologi.
Umat manusia tanpa mengira apa agama sekalipun sepatutnya bersatu mengajak manusia memusatkan
perhatian terhadap perintah Tuhan yakni kesedaran betapa pentingnya menyelesaikan persoalan keadilan
sosial, kehormatan manusia, kebebasan dan nilai-nilai etnik yang dihadapi oleh dunia ketika ini.

Perkara-perkara perbezaan yang boleh menimbulkan perselisihan harus dihindari.

Setiap pemeluk agama bertanggungjawab untuk membudayakan sikap keterbukaan, menerima perbezaan
dan menghormati kemajmukan, disertai ketaatan dan komitmen terhadap agama masing-masing.

Islam bukan hanya bertujuan mempertahankan kewujudannya sebagai agama, tetapi juga mengakui
kewujudan agama-agama lain dan memberinya hak untuk hidup berdampingan sambil menghormati
penganut agama lain.

Realitinya hari ini yang sangat menyayat hati adalah agama dijadikan elemen utama dalam mesin
penghancuran manusia - suatu kenyataan yang sangat bertentangan dengan ajaran semua agama di atas
permukaan bumi ini.

Perbezaan pendapat dalam dialog adalah wajar, malahan perbezaan itulah yang menimbulkan dialog.
Tetapi perbezaan pendapat itu tidak boleh dianggap sebagai alasan untuk menempatkan suatu keputusan
dan memberikan penilaian yang berat sebelah.

Dalam hal ini, dialog bertujuan untuk menanggapi situasi tertentu yang menuntut orang untuk memilih
bekerjasama daripada berkonfrontasi dan saling menyalahkan dan mengalahkan.

Di samping itu, sikap keterbukaan dan toleransi juga amat penting sebagai landasan dialog antara agama.
Tanpa adanya ketiga-tiga unsur ini, dialog yang bakal dilakukan sudah tentu tidak akan mencapai hasil yang
baik.

Melalui dialog antara agama yang secara jujur dan kesediaan menerima kelemahan masing-masing
merupakan langkah yang mampu menyelesaikan banyak masalah.

Harapan tersebut di atas membuktikan bahawa perdamaian dunia merupakan sesuatu yang amat
diperlukan dan tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Langkah awalnya ialah menciptakan kesedaran secara
kolektif tanpa mencurigai pihak manapun di antara kita.

Dalam rangka mencipta kesedaran kolektif ini ada hal-hal yang harus dilakukan secara bersama, ada yang
tidak perlu dilakukan dan ada pula harus dihormati. Ada pun hal-hal yang harus dilakukan adalah seperti
berikut:

Pertama: Mewujudkan kemahuan bersama untuk menciptakan perdamaian dengan melahirkan satu
kesedaran secara kolektif ke arah tersebut.
Kedua: Duduk secara bersama merumuskan idea-idea terbaik untuk menciptakan perdamaian dengan
meletakkan kepentingan bersama dari kepentingan kelompok.

Ketiga: Bersama-sama menahan diri untuk tidak terlibat dalam konflik kepentingan yang boleh membawa
kepada konfrontasi secara fizikal (peperangan).

Strategi-strategi lain yang boleh diambil oleh orang Islam dan bukan Islam antara lain ialah hendaklah
dipatuhi sepenuhnya prinsip kebebasan beragama iaitu tiada paksaan dalam agama.

PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim).

Anda mungkin juga menyukai