Anda di halaman 1dari 3

Masih Relevankah "Jangan Jaga Tepi Kain

Orang"
Written by Abu Bakar Bin Yang. Posted in Utusan Malaysia
Dalam masyarakat Melayu ada satu pepatah yang begitu terkenal yang menggambarkan kepedulian
masyarakat yang begitu mendalam terhadap hal ehwal orang lain. Terkenalnya pepatah ini sehingga
ianya sering digunakan oleh orang Melayu dan mungkin juga orang bukan Melayu dalam perbualan
harian berbanding dengan pepatah-pepatah yang lain. Pepatah yang dimaksudkan ialah jangan jaga
tepi kain orang' yang membawa maksud jangan ambil peduli hal orang lain. Persoalannya ialah adakah
pepatah ini masih relevan dengan cara hidup kita hari ini? Dan lebih-lebih lagi kita orang Islam adakah
pepatah ini selaras dengan tuntutan agama? Sebenarnya pepatah ini mempunyai pro dan kontranya
yang tersendiri bergantung dari sudut mana kita melihatnya.
Sekiranya pepatah jangan jaga tepi kain orang' ini membawa maksud buangkan sifat ingin tahu yang
berlebih-lebihan mengenai sifat buruk dan keaiban seseorang maka memang layak pepatah ini
diamalkan. Ini adalah kerana sifat suka mengambil tahu tentang keburukan orang lain seringkali akan
disusuli pula dengan tabiat suka menyebarkan keburukan itu kepada orang lain. Ini mengupat namanya
dan diharamkan oleh agama. Bahkan al Quran telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat buruk ini
di dalam surah al Hujurat, sebahagian daripada ayat ke 12, yang maksudnya:
"Janganlah setengah daripada kamu mengupat setengah yang lain..."
Begitu juga pepatah ini wajar diterima-pakai dan diamalkan sekiranya ia membawa maksud menjauhi
sifat suka mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain. Hal ini juga telah diperingatkan kepada kita
oleh Islam supaya menjauhi sifat tajassus' atau mengintip dengan tujuan untuk mencari keaiban dan
keburukan orang yang tersembunyi, sepertimana firman Allah SWT di dalam surah dan ayat yang sama
seperti di atas, yang membawa maksud:
"Dan janganlah kamu mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang..."
Buruknya amalan mengupat dan sifat tajassus' ini sehingga Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan
kita supaya menjauhi sifat-sifat ini dengan sabda Baginda yang bermaksud:
"Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya; Janganlah kamu
mengumpat kaum Muslimin dan janganlah kamu mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang
mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya, dan siapa yang diintip Allah
akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya"
(Hadith riwayat at Tirmidzi)
Namun apa yang ingin dilihat disebalik pepatah yang kelihatannya tidak begitu molek diamalkan ini ialah
ianya masih tetap relevan dengan tuntutan kehidupan harian kita masa kini sehingga mungkin ianya
terpaksa diubah dari jangan jaga tepi kain orang' kepada tolong jaga tepi kain orang'. Apa yang ingin
dimaksudkan di sini ialah kita harus mengakui bahawa persekitaran hidup kita sekarang tidak lagi aman
dan selamat seperti suatu masa dahulu.
Di mana salah satu puncanya ialah runtuhnya institusi kejiranan dan lemahnya institusi
kekeluargaan. Jiran sudah tidak lagi mengenali jirannya dan saudara-mara pun jarang sekali ingin
bersemuka dan bertanya kabar. Rasa bertanggungjawab terhadap jiran tetangga dan saudara-mara
sudah semakin terhakis dalam budaya hidup masa kini. Dan antara penyebab yang membawa kepada
tidak lagi berasa bertanggungjawab kepada permasalahan masyarakat dan kejiranan itu ialah
menggunakan alasan jangan jaga tepi kain orang' sebagai jalan mudah untuk menidakkan rasa
tanggungjawab. Sedangkan banyak perkara di dalam masyarakat kita hari ini menuntut supaya kita lebih
bertanggungjawab, dan banyak hal dapat diselesaikan sekiranya sikap ingin tahu dan ingin
bertanggungjawab ini disuburkan, dan secara tidak langsung pepatah jaga tepi kain orang' perlu
diketengahkan semula.
Contoh ketara yang boleh ditonjolkan ialah seperti kes-kes buang bayi, penderaan dan penculikan
terhadap kanak-kanak yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini. Dalam kehidupan moden dan di era
globalisasi ini kita tidak dapat menafikan adanya manusia yang bertopengkan iblis dan bernafsukan
syaitan. Jika tidak masakan timbul kes-kes jenayah terhadap kanak-kanak seperti yang dapat kita lihat di
dada-dada akhbar saban hari. Semua yang berlaku ini memberikan kita satu amaran jelas bahawa para
ibubapa dan setiap anggota masyarakat perlu lebih peka dan mengambil tahu terhadap persekitaran
masyarakat serta keselamatan anak-anak kita dan anak-anak jiran kita.
Rasa tanggungjawab dan kepekaan ini mungkin boleh menyelamatkan masyarakat kita dari terus
dicerobos dengan masalah pembuangan bayi, golongan yang gemar mendera anak-anak ataupun
golongan pedofilia' yang sering mengambil kesempatan dari kecuaian dan kelalaian ibubapa. Dalam kes
penculikan anak-anak umpamanya, kita tidak dapat menafikan bahawa mungkin para ibubapa tidak
dapat mengawal dan memberikan tumpuan seratus peratus kepada anak-anaknya apatah lagi bagi
mereka yang mempunyai ramai anak. Namun para ibubapa juga perlu memahami bahawa anak-anak
kecil bahkan anak-anak yang sudah meningkat remaja tidak berupaya untuk menjaga diri mereka sendiri,
dan inilah peluang yang sering dinantikan oleh golonganpedofilia' ini. Sepertimana yang dikatakan oleh
En. Sabri Abd. Rahman, Pengerusi Gabungan Bertindak Pencegahan Penderaan Seksual Kanak-kanak,
bahawa anak-anak kecil mahupun yang sudah meningkat remaja sebenarnya masih tidak berupaya
untuk melindungi diri mereka sendiri.
Sehubungan itu, katanya, ibu bapa tidak boleh mengandaikan kanak-kanak tidak kira berapa peringkat
umur mereka berupaya untuk menjaga diri sendiri dan paling penting, tidak dibiarkan berada di luar
mahupun di dalam rumah tanpa ada pengawasan orang lebih dewasa. Menurut beliau lagi, tiada istilah
tempat yang benar-benar selamat untuk kanak-kanak. Statistik menunjukkan kejadian seperti ini iaitu
penculikan termasuk jenayah keganasan dan penderaan terhadap kanak-kanak boleh berlaku di mana
saja termasuk di rumah yang kononnya dianggap selamat. Justeru, mereka perlu lebih berhati-hati dan
tidak memandang remeh isu keselamatan kanak-kanak.
Mesej jelas daripada senario kehidupan masyarakat kita ini menggambarkan bahawa mahu tidak mahu
rasa prihatin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran hidup kini mesti diwujudkan semula. Dan
pepatah jangan jaga tepi kain orang' perlu diubah kepada tolong jaga tepi kain orang' sekiranya kita
inginkan suasana yang lebih aman dan selamat.


Malangnya kita seringkali tidak mahu dilabelkan sebagai penyibuk dan suka sangat nak jaga tepi kain
orang. Tetapi tahukah kita dengan menjadi tukang sibuk' dan suka jaga tepi kain orang inilah mungkin
suatu hari dapat menyelamatkan nyawa insan kecil yang mungkin anak jiran kita atau mungkin juga anak
kita sendiri. Kita tidak dapat menggambarkan betapa wajah-wajah ibubapa yang dirundung malang ini
saban hari meratapi kehilangan anak kesayangan mereka, kesakitan demi kesakitan dan penderitaan
demi penderitaan.
Bagi menghadapi gejala yang semakin membarah ini pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah
menubuhkan satu unit baru khas untuk menangani kes-kes seperti ini. Usaha ini seharusnya dipuji dan
disokong oleh semua pihak. Cuma yang menjadi persoalan kita hari ini ialah bagaimana pula dengan
tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat. Adakah kita hanya perlu berpeluk tubuh dan menjadi
pemerhati sahaja atau mungkin ada peranan yang boleh kita mainkan.
Sebagai ahli masyarakat yang prihatin kita boleh menjadi sebagai pemberi maklumat kepada unit khas ini
supaya kes-kes yang melibatkan kanak-kanak ini dapat diuruskan dengan lebih cepat dan
berkesan. Untuk mendapatkan maklumat maka kita perlu kepada tukang sibuk' dan menjadi orang yang
suka menjaga tepi kain orang. Menjaditukang sibuk' dan suka menjaga tepi kain orang ini pula bukanlah
bererti mencari maklumat yang bukan-bukan yang tidak ada hubung kait dengan masalah yang
dihadapi. Memadailah dengan maklumat yang sesuai dan cukup untuk disampaikan kepada pihak polis
bagi melicinkan urusan siasatan mereka.
Justeru dengan meningkatnya kes-kes pembuangan bayi, dan kemunculan penjenayah-penjenayah yang
zalim, kejam dan sadis ini di dalam masyarakat kita, wajar bagi kita untuk kembali mengukuhkan institusi
kejiranan dan kekeluargaan kita. Kerjasama yang mantap sangat perlu di antara kita sebagai ahli
masyarakat dengan pihak yang diberi kuasa. Mungkin kita adalah dari kalangan orang yang prihatin
tetapi takut untuk dilabelkan sebagai tukang sibuk dan suka menjaga tepi kain orang. Namun ini
hanyalah andaian kita terhadap orang lain, kerana hakikatnya realiti kehidupan masyarakat kita sendiri
sudah sedar betapa menjaga tepi kain orang' ini yang kena pada tempatnya adalah satu tanggungjawab
yang perlu disuburkan semula agar menjadi budaya sihat yang membawa kepada kesejahteraan kita
semua.

Anda mungkin juga menyukai