Anda di halaman 1dari 3

Fiqh Dakwah Dalam Surah Yasin

Posted on 27 May 2009 by srkad



Dalam edisi kali ini kita cuba paparkan satu kisah sebagai suri teladan semua. Kisah ini
mengandungi banyak pengajaran yang kita boleh ambil dalam usaha kita menyebarkan risalah
penyelamat ini.
Latar belakang
Yasin: 13-19
Dan buatlah bagi mereka suatu perumpamaan, iaitu penduduk suatu negeri ketika utusan-utusan
datang kepada mereka. 13
(iaitu) ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan, lalu mereka mendustakan
keduanya; kemudian Kami kuatkan dengan (utusan) yang ketiga, maka ketiga utusan itu
berkata: Sesungguhnya kami adalah orang-orang diutus kepadamu. 14
Mereka menjawab: Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami dan Allah yang Maha
Pemurah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah pendusta belaka. 15
Mereka berkata: Tuhan kami mengetahui bahwa sesungguhnya kami adalah orang yang
diutus kepada kamu. 16
Dan kewajiban kami tidak lain hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas. 17
Mereka menjawab: Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, sesungguhnya jika
kamu tidak berhenti (menyeru kami), nescaya kami akan merejam kamu dan kamu pasti akan
mendapat siksa yang pedih dari kami. 18
Utusan-utusan itu berkata: Nasib malang kamu adalah kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu
diberi peringatan (kamu bernasib malang)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampui
batas. 19
Terdapat perbezaan pendapat berkenaan dengan nama kampung dan hakikat identiti pendakwah
tersebut. Ada yang mengatakan bahawa kampung tersebut adalah Antioch, di Syria. Riwayat
yang kita dapati ada mengatakan bahawa utusan tersebut adalah utusan yang dihantar oleh Nabi
Isa as kepada penduduk Antioch. Riwayat yang tidak bersetuju dengan pandangan ini
mengatakan bahawa riwayat-riwayat ini didapati daripada sumber Israiliyyat dan mengatakan
bahawa Antioch adalah salah satu kampung yang menerima seruan Nabi Isa as dengan mudah
berbeza dengan sikap penduduk kampung dalam kisah al-Quran ini.
Identiti kampung tersebut tidak pernah diterangkan secara teliti melalui al-Quran dan hadeeth
sahih, dan hikmah kisah ini, seperti banyak kisah-kisah lain dalam al-Quran, terletak bukan pada
fakta-fakta kering, tapi kepada pengajaran di sebaliknya yang sentiasa hidup di sepanjang zaman
tidak terikat kepada masa dan tempat.
Para penduduk kampung tersebut terdiri dari kalangan mereka yang tidak beriman kepada Allah
malah melakukan kezaliman terbesar iaitu menyengutukan Allah. Mereka menolak utusan
tersebut dengan alasan mereka juga manusia. Tidak mungkin manusia boleh menjadi utusan
Allah.
Penduduk Makkah pada zaman Rasulullah saw turut menolak baginda dengan alasan yang sama:
1) Makan dan minum serta berjalan di pasar: Al-Mukminun: 7, 33, 34
2) Ada kuasa sihir: Al-Anbiya: 3
3) Manusia tidak boleh menjadi Rasul, kenapa tak hantar malaikat saja: Al-Mukminun: 24
Penduduk bandar tersebut bertindak merancang untuk membunuh para utusan tersebut.
Fiqh 1: Usaha seruan kepada Allah memerlukan usaha kolektif. Ini adalah sunnatullah, 3 orang
yang sabar lebih kuat daripada 2 orang yang sabar dengan izin Allah. Allah mengirim seorang
lagi utusan kepada kampung tersebut selepas 2 orang sebelumnya ditolak bulat-bulat oleh
penduduk. Yasin: 14
Pemuda dan dakwah
Yasin: 20-25
Dan datanglah dari hujung kota, seorang rijal dengan bergegas-gegas dia berkata: Hai kaumku,
ikutilah utusan-utusan itu. 20
Ikutilah orang yang tidak meminta balasan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang
mendapat petunjuk. 21
Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-
Nyalah kamu (semua) akan dikembalikan? 22
Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selainNya jika (Allah) yang Maha Pemurah
menghendaki kemudaratan terhadapku, nescaya syafaat mereka tidak memberi manfaat
sedikitpun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku? 23
Sesungguhnya aku kalau begitu pasti berada dalam kesesatan yang nyata. 24
Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)
ku. 25
Sesetengah pendapat mengatakan pemuda yang disebut dalam kisah ini adalah Habib An-Najjar.
Ada yang menganggap ayat 25 merujuk kepada pengisytiharan pemuda tersebut kepada
kaumnya, sesetengah yang lain menganggap kata-kata itu ditujukan oleh pemuda kepada para
utusan. Allah lebih mengetahui.
Fiqh 2: Pendokong-pendokong Islam harus bertindak pantas lebih-lebih lagi apabila terdapat
bahaya yang mengancam dakwah Islam. Dalam kisah ini, lelaki tersebut diceritakan berlari dari
lokasi kampung yang paling jauh, demi menyeru kaumnya supaya mengikut seruan para utusan
yang sedang dalam bahaya. Yasin: 20
Fiqh 3: Dua ciri-ciri para utusan yang harus ada pada pendokong-pendokong Islam - [tidak
meminta balasan daripada yang diseru] [berdiri di atas petunjuk yakni bukan di atas al-hawa]
Yasin: 21
Fiqh 4: Serulah kepada manusia seolah-olah kita sedang menyeru kepada diri kita
sendiri. Kita menyeru manusia apa yang kita seru kepada diri kita juga. Pendokong Islam tidak
patut menyeru manusia dan dalam masa yang sama meletakkan diri sendiri di luar seruan
tersebut, seolah-olah seruan Islam hanya ditujukan oleh Allah kepada yang diseru bukan kepada
yang menyeru. Pendakwah menyeru kepada conscience sebelum menyeru kepada akal. Yasin:
22-24
Fiqh 5: Selepas berdakwah, pendokong Islam harus menyatakan pendiriannya di dalam perkara
yang didakwah itu. Yasin: 25
Sunnatullah dan dai yang tulus ikhlas
Yasin: 26-27
Dikatakan (kepadanya): Masuklah ke syurga. Dia berkata: Alangkah baiknya sekiranya
kaumku mengetahui. 26
Apa yang menyebabkan Tuhanku memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk
orang-orang yang dimuliakan. 27
Pemuda ini akhirnya mati syahid semata-mata kerana beliau beriman kepada Allah dan ajaran
para utusanNya. Beliau wafat akibat direjam, dan menurut Qatadah, penduduk kampung tersebut
telah merejam beliau ketika beliau sedang berdoa: Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku
kerana mereka tidak mengetahui. Mereka terus merejam beliau sehingga beliau wafat dalam
keadaan sedang mendoakan hidayah untuk kaumnya. Semoga Allah merahmati beliau.
Allah telah mengambil beliau ke sisiNya , sebagaimana Dia mengambil Yasir ibn Amir,
Sumayyah binti Khabbab dan Khubayb ibn Adi begitu juga ramai lagi di sepanjang jalan dakwah
ini.
Detik seterusnya begitu menusuk jiwa raga. Ketika Allah memberinya khabar gembira tentang
syurga, beliau masih mengingati kaumnya yang ingkar seraya berkata: Alangkah baiknya
sekiranya kaumku mengetahui walhal beliau sudah dipelawa oleh Rabb al-Jalil.
Seolah-olah beliau cuba berkata: Kalaulah mereka mengerti apa yang aku saksikan ini, dan
mengambil pengajaran dari kematianku, jika tidak semasa hidupku dan seterusnya mengikut
jalan yang benar.
Ibnu Abbas berkata: Beliau tulus ikhlas terhadap kaumnya semasa hidup dengan berkata, Hai
kaumku, ikutilah utusan-utusan itu dan tetap dalam keadaan itu setelah wafat dengan berkata,
Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui, apa yang menyebabkan Tuhanku memberi
ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan.
Rujukan:
Tafsir Tafhim Al-Quran oleh Al-Maududi
Tafsir Quran Al-Azeem oleh Ibnu Kathir

Anda mungkin juga menyukai