Anda di halaman 1dari 6

1

HIDUP SEJAHTERA TANPA DENGGI


14 Februari 2014/ 14 Rabiulakhir 1435H

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,


Kebersihan adalah perkara yang dituntut oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya
supaya dipelihara, dijaga dan diamalkan dalam setiap urusan kehidupan.
Sememangnya orang-orang yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT adalah
mereka yang bersih dari segi rohani dan jasmani. Di kesempatan ini, marilah kita
berazam untuk menjadi di kalangan hamba-hamba Allah SWT yang tinggi tahap
ketakwaan kepadaNya dan bersih dari segi dalaman dan luaran.
Justeru, mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk Hidup
Sejahtera Tanpa Denggi.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kebersihan adalah perkara yang amat dititikberatkan dalam Islam. Ini kerana,
penjagaan kebersihan menggambarkan kualiti iman seseorang Muslim dan
2

memperlihatkan komitmennya dalam melaksanakan segala perintah Allah dan
Rasul-Nya. Isu penjagaan kebersihan ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh
mana-mana individu yang mengaku sebagai seorang Muslim dan pengikut ajaran
yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Mari kita renungi bersama firman Allah
SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 222 :

Bermaksud : Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat
kepadanya dan menyayangi orang-orang yang membersihkan diri.
Alangkah indahnya jika kita memperolehi kasih sayang daripada Allah SWT ini
hanya kerana kita menjaga kebersihan samaada diri sendiri dan persekitaran di
samping sentiasa bertaubat kepadaNya. Inilah ciri-ciri orang yang bertakwa kepada
Allah SWT. Inilah yang menjadi pemangkin kepada penjagaan diri dan alam sekitar
dari sebarang kekotoran yang mengundang pelbagai wabak penyakit seperti denggi.
Hayati bersama sabda Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Muslim Rahimahullah daripada Abi Malik al-Asyari RA :


Bermaksud : Kebersihan itu adalah salah satu cabang keimanan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Amalan menjaga kebersihan ini hendaklah dibudayakan dalam kehidupan kita. Islam
sangat mengambil berat aspek kebersihan dan memberi keutamaan supaya
menjaga kebersihan diri sendiri, tempat tinggal, tempat ibadat, tempat-tempat awam,
tempat makan seperti restoran dan sebagainya. Persekitaran yang bersih ini akan
menjadikan kehidupan masyarakat sentiasa aman dan sihat tanpa wabak penyakit.
Apabila masyarakat dapat hidup dalam suasana ini, sudah tentu setiap pekerjaan
dapat dilaksanakan. Bahkan, amal ibadat juga dapat dilaksanakan dengan
sebaiknya. Sebaliknya, jika persekitaran kotor dan tidak dijaga dengan baik, maka
3

sudah pasti masyarakat akan terdedah dengan pelbagai penyakit berjangkit seperti
demam denggi.
Baru-baru ini, Putarajaya telah dikejutkan lagi dengan wabak denggi yang meningkat
dari hari ke sehari apabila terdapat sebanyak 63 kes denggi yang didaftarkan di WP
Putrajaya dan 12 wabak telah dilaporkan setakat 10 Februari yang lalu. Inilah akibat
daripada gaya hidup masyarakat terutama di wilayah ini yang mengambil sikap acuh
tak acuh. Walaupun pihak berkuasa tempatan telah berusaha menjamin kebersihan
kawasan sekitar namun, wabak ini tetap berlaku. Persoalannya, kenapakah ianya
masih berlaku sedangkan Putrajaya sentiasa dijaga persekitarannya? Realitinya,
masih ada dari kalangan kita yang tidak bertanggungjawab menjadikan persekitaran
terutamanya kawasan sekitar rumah sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Akibatnya, jiran-jiran tetangga juga terdedah kepada wabak ini. Bukankah Rasulullah
SAW pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah
Rahimahullah daripada Ibn Abbas RA :


Bermaksud : Tidak ada mudharat dan tidak boleh memudharatkan.
Bayangkan sekiranya berlaku penyebaran wabak denggi sehingga menyebabkan
kematian yang berpunca dari rumah kita sendiri, tidakkah kita berasa bersalah?
Janganlah hanya apabila diri sendiri dan keluarga yang merana disebabkan penyakit
ini baru kita sedar dan menyesal.

Para tetamu Allah yang diberkati,
Marilah kita berusaha untuk memulihkan kembali persekitaran kita melalui langkah-
langkah berikut supaya wabak denggi ini dapat diatasi :
Pertama : Mengubah gaya hidup yang lebih bertanggungjawab terhadap
kebersihan.
Jadilah orang yang bersih, bukan pengotor. Luangkan 10 minit seminggu untuk
memeriksa persekitaran rumah, mengumpul dan membuang sampah,
4

mengasingkan barangan yang boleh dikitar semula, memusnahkan tempat yang
berpotensi untuk pembiakan nyamuk aedes, mencuci kolah atau bekas takungan
dan memasukkan ubat jentik-jentik ke dalam bekas takungan air. Walaupun
tanggungjawab ini nampak kecil, namun hasilnya amatlah besar dan sangat
bermakna kepada diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.
Kedua : Mendapatkan pendedahan mengenai wabak denggi.
Sememangnya Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyalurkan banyak
maklumat mengenai wabak denggi kepada masyarakat melalui pelbagai saluran
seperti risalah-risalah yang diedarkan melalui Pejabat Kesihatan Daerah. Malah,
maklumat tersebut juga telah diperluaskan melalui media cetak dan media
elektronik. Jangalah menjadikan alasan tidak tahu akan perkara ini sedangkan
maklumat tersebut hanya di hujung jari.
Ketiga : Membantu pihak kerajaan berkempen mencegah penyebaran wabak
denggi.
Manusia seringkali terlalai dan leka dari tanggungjawab termasuklah dalam
memelihara kebersihan alam sekitar. Disebabkan oleh sifat ini kita seringkali perlu
sentiasa diberi peringatan. Kempen-kempen yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan
ini juga menjadi peringatan yang sangat berguna kepada masyarakat. Bantulah
pihak kerajaan dan berikan sokongan kepada kempen tersebut dengan memberi
peringatan kepada ahli keluarga dan masyarakat untuk memelihara persekitaran
daripada menjadi tempat penyebaran wabak denggi.
Keempat : Menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Pejabat Kesihatan Daerah sentiasa memberi sokongan dan bantuan jika masyarakat
setempat seperti rukun tetangga dan jawatankuasa penduduk yang mahu
mengadakan aktiviti-aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar daripada
menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Aktiviti sebegini amat digalakkan kerana
ianya bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturrahim tetapi dalam masa yang
sama masyarakat sebanarnya telah menjayakan sunnah Rasulullah SAW dengan
berjemaah melaksanakan amal khair.
5


Saudara-saudaraku yang dirahmati Allah,
Demam denggi amatlah menyakitkan, komplikasi yang dialami oleh penghidapnya
amatlah merbahaya malah jika tidak mendapat rawatan yang secepatnya
berkemungkinan besar boleh membawa kepada kematian. Setakat ini, masih tiada
ubat atau vaksin khusus yang dapat menghindarkan diri kita daripada jangkitan
aedes ini. Oleh kerana itulah setiap dari kalangan kita mempunyai kebarangkalian
yang tinggi dijangkiti. Justeru, berubahlah untuk lebih bertanggungjawab
memastikan kehidupan kita, keluarga dan masyarakat bebas daripada wabak denggi
yang sangat merbahaya. Ingatlah, jika kita berganding bahu dan saling bantu-
membantu mencegah wabak penyakit ini natijah yang baik akan dapat dinikmati
bukan sahaja diri kita dan keluarga tetapi juga masyarakat seluruhnya tanpa
mengira bangsa dan agama. Firman Allah SWT melalui surah al-Maaidah ayat 2 :

Bermaksud : Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan
dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
(maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya
Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengambil beberapa kesimpulan
untuk dijadikan pedoman :
Pertama : Umat Islam yang sebenar ialah mereka yang sentiasa memelihara
kebersihan diri, keluarga dan alam sekitar.
Kedua : Wabak denggi berlaku disebabkan daripada gaya hidup masyarakat yang
tidak mementingkan kebersihan alam sekitar.
6

Ketiga : Setiap anggota masyarakat mestilah bertanggung jawab memastikan
keadaan persekitaran rumah sentiasa terpelihara daripada penularan wabak denggi.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 21 :


Bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak


langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka
sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan
perkara yang keji dan perbuatan mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia
Allah dan rahmaNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu
menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya); dan
(ingatlah Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Anda mungkin juga menyukai