Anda di halaman 1dari 6

MENELITI FAKTA SEJAUHMANAKAH KEBENARAN PEJUANGAN GOLONGAN

KIRI
PENDAHULUAN
Tanggal 31 ogos 1957 merupakan tarikh yang sangat bermakna melayu penduduk Malaysia. Hal
ini demikian kerana, tanggal 31 ogos 1957 merupakan tarikh kemerdekaan negara. Kemerdekaan negara
telah memberi sinar dan harapan baru kepada penduduk tanah melayu untuk merasakan secebis
kebahagiaan dalam kehidupan setelah sekian lama ditindas oleh penjajah. Kemerdekaan negara sesuatu
yang sangat berharga dan bukan sesuatu perkara yang mudah untuk diperoleh. Pejuang-pejuang terdahulu
terpaksa berjuang, berkorban jiwa dan raga untuk mendapat untuk memerdekakan tanah air tercinta.
Tokoh-tokoh perjuang yang terdahulu seperti Dato Onn Jaafar, Tengku Abdul Rahman, Dato Bahaman
dan Tok Jangut telah banyak berjasa dan rela berkorban nyawa untuk mendapat kemerdekaan negara.
Peranan Tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar dalam usaha menyatukan padu orang melayu dalam
menuntut kemerdekaan merupakan perkara yang penting dan berjasa kepada negara. Peranan Tengku
Abdul Rahman yang sanggup pergi ke London untuk berbincang dan berunding dengan pihak British
untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa tumpahan darah. Disini kita dapat melihat peranan tokoh-tokoh
terdahulu sanggup berkorban dan berjuang semata-mata untuk mengecapi kemerdekaan. Tetapi
pernahkah kita terfikir tentang peranan golongan kiri yang kurang dikenali sebagai pejuang nasionalisme
iaitu semangat cinta akan negara dan bangsa, mungkin turut sama-sama memainkan dalam menuntut
kemerdekaan negara. Kita sering terbaca di dalam buku-buku sejarah dan akhbar tentang tokoh-tokoh
perjuang United Malays National Organisation atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang
dikenali sebagai UMNO dalam menuntut kemerdekaan tetapi kita lupa tentang golongan yang kurang
dikenali dan kurang difahami ini. [1] Pada penulisan saya kali ini, saya mengkaji penulisan golongan kiri,
memahaminya serta akan mengemukakan hujah-hujah supaya kita boleh menilai peranan golongan kiri
dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu walaupun secebis sumbangan yang diberikan oleh golongan
kiri . Kadang-kadang kita tertanya-tanya adakah penentang-penentang Malayan Union sahaja yang
dianggap pejuang kemerdekaan. Saya tertarik untuk mengeluarkan pandangan dan kata-kata seorang
tokoh PKMM daerah Temerloh iaitu Jaafar Hussin yang mengatakan bahawa, adakah pejuang-pejuang
yang sanggup bermatian-matian dan berjuang menentang Inggeris pada zaman penjajah tidak wajar
dianggap pejuang?. Apakah pejuang-pejuang Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang wujud sejak sebelum
Perang dunia Kedua dahulu tidak perlu dicatatkan dalam lembaran untuk tatapan generasi sekarang dan
akan datang. Menurut Cheah Boon mungkin semangat nasionalisme melayu telah muncul sejak awal
1930. Surat-surat khabar Melayu digunakan untuk membangkitkan semangat satu bangsa untuk
mempertahankan hak-hak mereka daripada ancaman penjajah. Tetapi malangnya gerakan nasionalisme
Melayu telah berpecah kepada 2 aliran iaitu aliran kanan dan aliran kiri. Menurut Rustam A. Sani aliran
kiri dan kanan ini dipengaruhi oleh asal usul pemimpin gerakan itu. Pemimpin aliran kanan terutamanya
dari golongan aristokrat dan pentadbir. Contohnya Tengku Abdul Rahman Putra Al-Hajj. Pemimpin
aliran kiri biasanya berasal dari desa dan tani.[2] Peranan Kesatuan Melayu Muda (KMM) Parti
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar
(AWAS) yang turut berjuang tidak diberikan pengiktirafan. Setelah membaca pandangan dan penulisan
tokoh-tokoh golongan kiri tersebut membuat saya berfikir sejenak dan cuba meneliti fakta untuk
disampaikan dalam esei kali ini.

SIAPAKAH YANG DIMAKSUDKAN GOLONGAN KIRI
Apakah yang dimaksudkan golongan kiri?. Golongan kiri ditakrifkan sebagai golongan atau mereka
yang menentang UMNO, kerana pihak UMNO dapat berunding dengan pihak Inggeris dalam politik
Tanah Melayu. Menurut Khoo Kay Kim golongan kiri dibahagikan dalam beberapa kelompok. Kelompak
yang pertama ialah golongan kiri yang bersifat radikal atau kiri pelampau. Contohnya Parti Komunis
Malaya (PKM) yang mempunyai komitmen yang jelas dari segi ideologi. Golongan ini bersifat agesif dan
ganas serta mengangkat senjata untuk berjuang. [3] Golongan kiri yang seterusnya ialah golongan kiri
yang kuat bersikap anti British. Mereka berjuang habis-habisan untuk membebaskan Tanah Melayu
daripada dijajah. Mereka juga dikenali kiri Islam iaitu Hizbul Muslimin. Hizbul Muslimin dipimpin oleh
Abu Bakar Al- Bakir. Hizbul Muslimin mempunyai banyak pengikut di seluruh negara. Dr. Burhanuddin
yang mempunyai latar belakang pendidikan agama turut termasuk dalam golongan kiri Islam. Sikap anti
penjajah dan sayang tanah air menjadi asas perjuang dan menentang penjajah British. Dr. Burhanuddin
menjadi pemimpin PKMM pada akhir 1945 hingga 1946 yang menjadi medium perjuang golongan kiri
menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu.[4] Pada tahun 1956 Dr. Burhanuddin telah dilantik menjadi
President Parti Islam Se- Malaysia (PAS) dan ramai pengikut aliran kiri Islam turut menyertai PAS.
Lebih menarik Ibrahim Chik tokoh API menyatakan kelantangan suara Merdeka PKMM di Kongres
pertama PKMM. Dengan jelas, menunjukkan sikap PKMM yang jelas sayang akan tanah air dan
mahukan kemerdekaan.[5]
BUKTI-BUKTI KETULUSAN PERJUANGAN DAN MATLAMAT PERJUANGAN GOLONGAN
KIRI DALAM USAHA MENDAPATKAN KEMERDEKAAN.
Sekiranya kita membaca dan mengkaji dengan teliti matlamat serta tulisan pejuang-pejuang golongan
kiri. Kita akan dapat melihat ketulusan dan kemurnian dalam perjuang mereka. Mungkin cara perjuang
mereka yang digambar dalam artikel-artikel dan penulisan sarjana terdahulu agak kejam dan keras. Tetapi
saya dapat merasakan ada matlamat yang murni yang ingin diperjuangkan iaitu kemerdekaan Tanah
Melayu. Pada ketika itu, PKM, API, dan AWAS menyemaikan semangat kemerdekaan Tanah Melayu
dan perjuangan di tahun 1945, 1946, 1947 dan 1948 ramai penduduk dan golongan pemimpin menentang.
Mereka menuduh orang melayu tidak layak merdeka . Mereka mengatakan Macam mana hendak
merdeka, buat jarum pun tidak pandai. Disini kita dapat lihat betapa sinis kata-kata yang digunakan
untuk menentang perjuangan yang ingin membebaskan negara dan menuju kearah kemerdekaan. Kata-
kata yang sinis ini menjatuhkan imej golongan kiri dan seterusnya mengurangkan sokongan masyarakat
tempatan terhadap perjuangan mereka. Golongan yang tidak faham dan golongan menyokong kuat pihak
British menyifatkan perjuangan kemerdekaan ini seperti anjing menyalak bukit. Terdapat juga pihak
mengatakan perjuangan tersebut merupakan perjuangan yang tidak mempunyai matlamat.[6] PKMM pula
jelas menunjukkan matlamat perjuangan ingin menuntut kemerdekaan dan membebaskan Tanah Melayu.
Menurut Ishak Haji Muhammad menyatakan kami golongan nasionalis radikal dalam Tanah Melayu telah
menubuhkan PKMM dengan tujuan menuntut kemerdekaan penuh atas tanah air Melayu dan bangsa
Melayu.[7]
Ketulusan hasrat murni golongan kiri khususnya dalam PKMM dapat kita lihat apabila Parti
Kebangsaan Melayu Malaya telah mendahului mana-mana parti lain apabila ditubuhkan pada 30
November 1945 di Ipoh[8]. Disini kita dapat lihat semangat pejuang kiri dalam usaha membantu
membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah Inggeris. Sekirannya kita mengkaji dengan lebih teliti
penubuhan PKMM lebih awal daripada UMNO. UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Disini kita dapat
melihat mungkin kesedaran pemimpin golongan kiri lebih awal dalam menuntut dan perjuangkan
kemerdekaan berbanding pemimpin UMNO. UMNO pula ditubuhkan apabila Malayan Union ingin
ditubuhkan. Penubuhan pula UMNO bertujuan menyatukan orang melayu dan sepakat menentang
Malayan Union seterusnya baru berkembang dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Parti Kebangsaan Melayu Malaya telah mengariskan matlamat yang jelas dalam perjuangan.
Contohnya ialah mereka hendak menubuhkan sebuah gabungan Tanah Melayu dan memperjuangkan
semua kaum mempunyai hak yang sama rata. Disini kita dapat melihat bagaimana golongan kiri dari
PKMM memperjuangkan hak sama rata untuk kemakmuran dan keadilan rakyat. Tetapi disini saya
kurang bersetuju kerana hak istimewa harus dikekal kerana hak orang melayu sebagai peribumi asal mesti
dikekal. Contohnya berkaitan urusan pemilikan dan pembelian tanah. Hak sama rata dari segi kebebasan
hak bersuara turut diberikan dalam PKMM. Rakyat hendaklah diberikan kebebasan hak bersuara,
kebebasan menerbitkan akhbar dan berhimpun. [9] Saya pendapat kebebasan hak bersuara adalah wajar
dan kita dapat menilai serta menilai perkara yang ingin sampaikan oleh orang lain. Setiap orang berhak
mengatakan kebenaran dan menyampaikan perkara yang benar. Di sini kita dapat melihat ketulusan nilai
murni dalam perjuangan PKKM yang memberikan asas dan ruang untuk setiap insan bersuara.
PELEMBAGAAN RAKYAT CETUSAN IDEA GOLONGAN KIRI
Apabila kita memahami sejarah dari ruang lingkup lain dan penulisan golongan kita melihat
peranannya dan kesedarannya. Kesedaran golongan kiri khususnya PKMM telah mewujudkan gabungan
golongan kiri yang dikenali sebagai Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Gabungan tersebut terdiri PKMM,
API, AWAS dan Hizbul Muslimin. Pada 22 Februari 1947, PUTERA telah mengadakan Persidangan
Gerakan Kiri Malaya di ibu pejabat PKMM di Jalan Batu, Kuala Lumpur. Gabungan ini dilahirkan untuk
memperkasakan pergerakan kiri di Tanah Melayu. Pada waktu tersbut pergerakan politik Cina turut
menentang penjajah British. Akhirnya PUTERA telah mengambil keputusan untuk bergabung dengan
All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA). AMCJA merupakan gabungan pergerakan Cina
berhaluan kiri. Dengan jelas, menunjukkan dan membuktikan bahawa kerjasama politik pelbagai kaum
telah dicetuskan oleh golongan kiri dalam persada politik Tanah Melayu.[10] Dengan ini, kita dapat
melihat kesedaran awal golongan kiri untuk bersatu dan menentang penjajah PUTERA-AMCJA. Gagasan
Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh penjajah British ditentang oleh
PUTERA-AMCJA. Lantaran itu, mereka telah melahirkan sebuah perlembagaan yang diberi nama
Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947. Dengan ini jelas, menunjukkan usaha gabungan golongan kiri
dalam menuntut kemerdekaan dan membuka mata masyarakat untuk mempunyai kerajaan sendiri. Namun
kerjasama ini tidak direstui oleh pihak British kerana mereka berusaha untuk mencapai kemerdekaan dan
salah satu usaha untuk menjatuhkan British.[11]
PEMBENTUKAN PERLEMBAGAAN RAKYAT USAHA GOLONGAN KIRI UNTUK
MERDEKA
Pada tahun 1947 Perlembagaaan Rakyat telah dihasilkan oleh PUTERA-AMCJA untuk kearah
kerajaan sendiri. Perlembagaan dihasilkan bertujuan untuk dihantar kepada pihak British dan
dipertimbang. Tetapi telah ditolak oleh pihak British kerana golongan kiri dianggap radikal dan ganas.
Tetapi itu bukan isunya disini saya ingin membawa kandungan pembaca menilai kandungan yang
terdapat dalam Perlembagaan Rakyat. Terdapat 10 perkara penting yang terdapat dalam Perlembagaan
Rakyat. Pertama, Perlembagaan Rakyat telah menggariskan Malaya Bersatu termasuk Singapura. Kedua,
satu Dewan Perundangan Pusat bagi seluruh Malaya dengan keseluruhan ahlinya yang dipilih oleh orang
ramai. Disini kita lihat betapa Perlembagaan Rakyat cuba membentuk keadilan dalam perkara 1 dan 2
dalam perlembagaan tersebut. Perkara pertama telah cuba menyeru masyarakat untuk bersatu dan
bergabung dengan Singapura. Dalam perkara 2 memberi rakyat memilih ahli di Dewan Perundangan
Pusat dan memberi kebebasan ahlinya untuk bersuara untuk rakyat.[12] Perkara ke 7 dalam Perlembagaan
Rakyat iaitu Bahasa Melayu harus menjadi Bahasa Kebangsaan dan telah kekal dalam perlembagaan
Malaysia hari ini. Jaafar Hussin berpendapat Perlembagaan Rakyat telah membuka minda dan ada perkara
yang disampaikan oleh Perlembagaan Rakyat kekal dalam perlembagaan hari ini. Jaafar Hussin juga
menyatakan bahawa akhbar Inggeris The Straits Times telah memuji Perlembagaan Rakyat sebagai salah
satu usaha yang bagus dan satu percubaan yang baik.[13]
AKHBAR GOLONGAN KIRI MENDORONG SEMANGAT UNTUK MERDEKA
Ahmad Boestamam tokoh golongan kiri menggunakan akhbar Suara Rakyat untuk membuka mata
rakyat Tanah Melayu. Beliau telah menulis pandangan beliau didalam akhbar Suara Rakyat Suara
Rakyat dan sesungguhnya ialah sebuah akhbar Melayu yang berkhidmat untuk melahirkan buah-buah
fikiran atau kemusykilan orang ramai. Oleh itu dipersilakan orang ramai menggunakan dia dengan
sepenuhnya. Supaya hal kemusykilan atau kemahuan orang ramai mendapat pertimbangan. Dengan ini,
Ahmad Boestamam dalam penulisannya jelas menunjukkan bahawa tujuan utama penerbitan akhbar
Suara Rakyat adalah untuk memupuk kesedaran dan membuka minda kepada rakyat tentang merdeka dan
berkerajaan sendiri.[14] Akhbar Suara Rakyat juga menjelaskan banyak berita-berita luar negeri yang
didengar daripada radio bahawa negeri-negeri yang terkemuka seperti Amerika Syarikat dan lain-lain
negeri sedang sibuk bekerja menyelesaikan soal-soal tanah jajahan yang mesti diberi memerintah sendiri
yang termasuk juga Tanah Melayu ini. Kata-kata ini telah membuka minda rakya Tanah Melayu untuk
berfikir dan mencetuskan semangat untuk merdeka. Disini kita dapat melihat usaha golongan kiri dalam
memainkan peranan membuka minda rakyat menggunakan akhbar Suara Rakyat dan seterusnya
memupuk semangat ingin bebas dan merdeka.[15] Abdul Majid Salleh pula menegaskan bahawa
akhbar-akhbar ini memberi ruang yang cukup baik untuk golongan radikal menyampaikan kritikan
terhadap penjajah. Penulis di Pelita Malaya dan Suluh Malaya, pula adalah sama sahaja isinya cuma tajuk
dan gaya bahasanya mungkin agak berlainan sedikit. Tetapi isi dan kandungan tetap menghentam British
ataupun memberi keinsafan kepada rakyat.[16]
REGIMEN KE-10 GERILA PERJUANGAN GOLONGAN KIRI MELAYU ISLAM
Regimen ke-10 ditubuhkan khas untuk orang melayu untuk berjuang menggunakan senjata selepas
PKMM dan banyak persatuan golongan kiri lain diharamkan. Pada awalnya Regimen ke- 10 tidak
mendapat sambutan oleh PKMM kerana mempunyai ideologi komunis dan kurang mendapat tempat
dalam kalangan masyarakat Melayu kerana majoriti beragama Islam. Kehadiran tokoh seperti Dr.
Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad menyukarkan usaha pihak
komunis. Tetapi lama-kelamaan ideologi komunisme telah menyelinap masuk ke dalam perjuangan
PKMM. Pengenalan Akta Darurat pada 1948 telah menyebabkan ramai tokoh-tokoh kepimpinan PKMM
di tangkap.Dengan ini, Ahli-ahli PKMM terpaksa menzahirkan perjuangan berasaskan komunis melalui
Rejimen ke-10 PKM setelah perjuangan berlandaskan undang-undang telah diharamkan.[17]
Kebanyakkan ahli PKMM terdesak serta takut ditangkap lalu menyertai Regimen ke- 10 untuk berjuang
untuk mendapatkan kemerdekaan. Pemimpin Regimen ke- 10 Parti Komunis (PKM) seperti Abdullah
C.D. dan Abu Samah menyatakan mereka berjuang mengangkat senjata hanya untuk menentang pihak
British. Kadang-kadang kita tertanya-tanya adakah Regimen ke 10 berpegang kepada Islam. Hal
dijelaskan oleh Abdullah C. D mengatakan beliau berpegang teguh kepada agama Islam serta
memberitahu ideologi komunis hanya semangat atau dogma iaitu pegangan yang ketat untuk berjuang
menentang penjajah British.[18] Abu Samah mengatakan, saya menyertai Regimen ke- 10 PKM dan
tidak menyertai UMNO dalam berjuang kerana ingin Merdeka. UMNO hanya melaungkan slogan hidup
Melayu dan bukannya berjuang untuk kemerdekaan.[19]
PERJUANGAN GOLONGAN KIRI SELALU DIPERBURUKAN DAN DIPANDANG NEGATIF .
Parti Kebangsaan Melayu Malaya mendapat sokongan yang kurang daripada orang melayu. Hal ini
demikian kerana, sikap PKMM didakwa membawa idelogi menyokong Malayan Union sepenuhnya.
PKMM dikatakan telah menolak sistem pemerintahan beraja dan mahukan kerakyatan terbuka diberikan
serta ingin memenuhi kehendak orang bukan Melayu. Tetapi sebenarnya PKMM menerima Malayan
Union kerana British telah menjanjikan kemerdekaan. Golongan UMNO pula, mendapat sokongan padu
ketika itu kerana menentang Malayan Union dan berjuang untuk orang melayu. PKMM didakwa telah
menjadi alat atau dipergunakan oleh pihak British yang menaburi janji manis untuk memberikan
kemerdekaan. Sekiranya kita mengkaji Perlembagaan Rakyat perkara ke 4 iaitu sultan-sultan Melayu
haruslah mengambil tempatnya sebagai raja-raja berperlembangaan yang berdaulat penuh dan menerima
nasihat-nasihat rakyat melalui institusi-institusi yang demokratik.[20] Dengan ini jelas menunjukkan
sikap PKMM dalam Perlembagaan Rakyat yang masih menjaga hak raja-raja. Mungkin ketika PKMM
menyokong Malayan Union hasrat utamanya untuk rakyat dan ingin mendapat kemerdekaan dengan
cepat. PKMM juga dikatakan merupakan alat orang bukan Melayu, komunis dan bahkan pihak British.
Golongan kiri juga dikatakan adalah parti pelampau (radikal) yang dipengaruhi oleh gerakan nasionalis
Indonesia dan memperjuangkan cita-cita menyatukan Tanah Melayu di bawah sebuah republik Melayu
Raya atau Indonesia Raya. Golongan kiri didakwa berjuang secara radikal bukan sahaja kerana mereka
menolak terus jalan perundingan dalam mencapai kemerdekaan, bahkan cuba mengenepikan hak-hak
orang Melayu demi memenuhi cita-cita politik. Kini, tulisan golongan kiri diterbitkan untuk menjelaskan
sejarah dari kedua belah pihak.
PENUTUP
Disini kita melihat dan menilai sendiri sejauhmana kebenarannya. Tetapi saya akan merumuskan
daripada keseluruhan esei ini. Sekiranya kita mengkaji penulisan dan memahami konteks perjuangan
golongan kiri sedikit sebanyak ada kebenaran dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Sikap mereka
di tonjolkan dalam usaha membuka minda rakyat dalam akhbar Suara Rakyat, menggubal Perlembagaan
Rakyat untuk di pertimbangkan oleh pihak British merupakan usaha murni untuk menyedarkan orang
Melayu. Golongan kiri juga membuka berusaha dalam mencetuskan idea-idea baru dalam
memperjuangkan kemerdekaan dan menyemai semangat anti penjajah yang jarang kita baca dalam buku-
buku sejarah. Keikhlasan dan secebis usaha untuk membantu rakyat Tanah Melayu untuk merdeka
mungkin ada kebenaran. Penubuhan Kesatuan Melayu Muda dan PKMM selaku parti politik sebelum
penubuhan parti politik lain menunjukkan kesedaran mereka dalam untuk merdeka dan menyeru
kesedaran dalam diri rakyat Tanah Melayu. Tujuan esei ini bukanlah tujuan mengangkat golongan kiri
tetapi mencari kebenaran dan ketulusan dalam menulis sejarah. Pejuang-pejuang negara seperti Tengku
Abdul Rahman tetap pejuang utama kemerdekaan dan peranan mereka tidak boleh diragukan. Peranan
golongan kiri ini mungkin membantu dalam usaha menpercepatkan kemerdekaan negara dan memberi
British berfikir. Saya dengan rasa rendah diri berpendapat perjuangan golongan kiri ada peranannya
dalam usaha kemerdekaan Tanah Melayu walaupun peranan yang diberikan cuma secebis keringat dan
patut ditulis dalam lipatan sejarah untuk golongan muda mengetahui sejarah yang sebenarnya sejarah.
Keganasan dan kekejaman yang dilakukan golongan kiri tidak di sokong sama sekali serta ditentang.
Sebenarnya, sejarah ditulis oleh orang menang dan pemerintah negara ada tujuan, kita sebagai ahli
sejarah yang baru seharusnya menilai, mengkaji dan menyampaikan sejarah yang sebenarnya sejarah.

Anda mungkin juga menyukai