Anda di halaman 1dari 3

PROGRAM BINA INSAN GURU

BAGI PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG)


1. PENGENALAN PROGRAM BINA INSAN GURU
Guru adalah pembina generasi Malaysia. Pembangunan modal insan berkualiti
tinggi merupakan suatu keperluan dalam usaha melahirkan rakyat yang berilmu,
berkemahiran serta memiliki kekuatan spiritual dan sahsiah yang unggul. Bagi
menjayakan wawasan dan matlamat pendidikan ini, guru-guru Malaysia perlu
memiliki dan menguasai kekuatan ilmu dan intelek yang tinggi, penguasaan
kemahiran profesional yang mantap serta diperkasakan dengan penguasaan
kemahiran dan teknologi baru, penghayatan nilai dan etika keguruan serta kekuatan
peribadi dan sahsiah yang terpuji selaras dengan hasrat negara.
YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ketika
membentangkan Rancangan Malaysia Ke 9 di Parlimen telah menegaskan bahawa
pendekatan kepada pembangunan modal insan haruslah secara holistic,
menekankan pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, modal intelektual,
pembudayaan sikap progresif serta nilai etika dan moral yang tinggi .
Selaras dengan hasrat ini, pendidikan guru hendaklah berterusan sifatnya
dan berpaksikan hasrat serta komitmen untuk membentuk, memupuk dan
melahirkan insan guru yang berkualiti, iaitu yang memiliki pengetahuan dan
ketrampilan profesional yang tinggi serta ciri dan kualiti sahsiah yang terpuji.
Kursus Bina Insan Guru (BIG) merupakan suatu wahana kearah pembinaan
dan pembentukan kualiti insan guru yang dihasratkan selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG). Program ini
melibatkan semua pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan
Kepujian. Program ini direalisasikan dalam tiga fasa yang dilaksanakan ditempat
masing-masing dalam sepanjang tempoh pengajian. Melalui aktiviti yang
dirancang,pelajar dapat mengenal diri (real self) dan mampu mengaplikasikan
pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi ke arah pembangunan diri sebagai
insan guru secara berterusan.Program ini diharap dapat melahirkan guru-guru yang
memiliki kemantapan sahsiah dan kuasa profesional yang tinggi serta sentiasa
bersedia dan mampu menangani pelbagai cabaran pendidikan dan arus globalisasi.
Pelaksanaan Bina Insan Guru (BIG) lebih menekankan kepada pembelajaran
di luar bilik darjah secara alamiah dalam konteks dan situasi sebenar dalam usaha
memperkasakan ilmu, kemahiran, daya intelek, nilai dan akhlak keguruan di
kalangan pelajar. Di samping program dan aktiviti yang dirancang secara khusus,
usaha pembinaan insan guru yang unggul ini juga diperkukuhkan melalui aktiviti
tutorial dan budaya Institut Pendidikan Guru (IPG).














2. MATLAMAT DAN OBJEKTIF PROGRAM BIG PPG
Program Bina Insan Guru (BIG) bermatlamat untuk melahirkan guru-guru yang
mempunyai kemantapan akhlak, nilai-nilai kerohanian dan keguruan, daya
ketahanan diri yang tinggi serta aura keguruan yang selaras dengan prinsip Rukun
Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru.
Pembinaan insan guru merupakan usaha berterusan sepanjang program pendidikan
keguruan berasaskan kesedaran bahawa profesion keguruan adalah mulia dan guru
adalah pembina generasi negara.
Program BIG akan bermula dengan peringkat 1-perkhemahan 1 (45 jam)
yang akan dilaksanakan pada semester kedua dan ketiga. 5 jam pertama
dilaksanakan di IPGK dan 40 jam lagi dilaksanakan secara berasaskan sekolah
(school based). Fokus aktiviti peringkat 1 ini adalah untuk memberi peluang kepada
pelajar:
1. Menggunakan ilmu dan kemahiran dalam pelaksanaan sesuatu tindakan,
amalan atau aktiviti.
2. Menghayati ciri-ciri kerohanian, nilai, etika dan akhlak keguruan.
3. Berupaya mengurus diri dengan mempamerkan disiplin kendiri yang tinggi,
kebolehan berdikari dan penampilan diri yang sesuai.
4. Mempamerkan daya ketahanan dan kekuatan jasmani, emosi, rohani
(spiritual) dan sosial.
5. Memupuk semangat berpasukan, bekerjasama dan bertanggungjawab dalam
melaksanakan tugas secara berkumpulan.
6. Berupaya berfikir secara reflektif dan kritikal ke atas pengalaman, kekuatan
diri serta mengambil tindakan penambahbaikan secara berterusan.
7. Menilai kesesuaian ciri personaliti kendiri dan kerjaya keguruan serta
membina pemikiran positif terhadap kerjaya keguruan.

Anda mungkin juga menyukai