Anda di halaman 1dari 13

PENDEKATAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENDIDIKAN ISLAM YANG EFEKTIF


Oleh :
Hj.Samsudin bin Md Noor
Muqaddimah
Guru adalah profesion yang amat sinonim dengan masyarakat, dan sebahagian besar
masyarakat beranggapan guru adalah satu kerjaya yang sangat mulia. Guru dikaitkan
secara langsung dengan mengajar di dalam bilik darjah dan murid pula belajar daripada
apa yang diajar oleh guru.
Pengajaran ialah proses penyampaian kemahiran, ilmu pengetahuan, sikap dan nilainilai. Proses pengajaran merangkumi pelbagai perkara dan fungsi yang saling berkaitan
dan hendaklah bertindak serentak bagi mencapai kejayaan. Pengajaran yang efektif
adalah yang menghasilkan pembelajaran murid. Pembelajaran juga bermaksud satu
proses mendapatkan pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai yang baru, menyebabkan
tingkah laku seseorang itu akan turut berubah.
Proses pengajaran dan pembelajaran berlaku apabila guru mengajar dan murid belajar.
Kefahaman tentang Falasafah Pendidikan Kebangsaan, Falasafah Pendidikan Islam bagi
Guru Pendidikan Islam, matlamat dan misi Kementerian Pelajaran adalah penting
sebelum guru mengatur langkah ke arah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Falasafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat Dan Misi
Falasafah Pendidikan Kebangsaan : Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha
berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan
bersatupadu untuk melahirkan insane yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah
bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berktrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberikan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan Negara.
Falasafah Pendidikan Islam : Pendidikan Islam adalah suatu usaha berterusan untuk
menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan asSunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian, dan pandangan hidup
sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri,
masyarakat, alam sekitar dan Negara kea rah mencapai kebaikan di dunia dan di
akhirat.
Matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia : Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia
dan bersatu padu. Melahirkan insan yang beriman, berilmu, berakhlak mulia,
berketrampilan dan sejahtera. Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan
kemajuan Negara. Memberi peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.
Misi Kementerian Pelajaran Malaysia : Membangunkan sistem pendidikan yang
berkualiti dan bertaraf dunia bagi memperkembang potensi individu sepenuhnya dan
memenuhi aspirasi Negara.
Kepekaan guru terhadap kehendak Falasafah Pendidikan Kebangsaan, Falasafah
Pendidikan Islam, matlamat dan misi Kementerian Pelajaran Malaysia, memberi mesej
jelas kepada guru untuk melaksana tanggungjawab pendidikan supaya dapat
merealisasikannya di dalam kegiatan kurikulum iaitu pengajaran dan pembelajaran dan
juga aktiviti kokurikulum. Semasa merancang pengajaran aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah, antara perkara yang perlu diambilkira ialah kaedah

12

yang berpusatkan murid, keadaan yang kondusif, persekitaran dan peralatan yang
selamat, meransang cetusan idea, menggalakkan pemikiran secara terbuka yang
sesuai dengan tahap pemikiran murid, meningkatkan kemahiran maklumat iaitu
mengakseskan maklumat, memproses maklumat dan menambahkan nilai kepada
maklumat. Penggunaan bahasa yang mudah difahami dan bahasa halus dan tidak
mmenyentuh sensetiviti kaum dan agama, pembentukan keyakinan diri, semangat
berpasukan, peka terhadap situasi setempat dan membentuk sikap yang positif.
Pendekatan Pengajaran Dan Pembelajaran
Murid-murid yang berada kira-kira 8 12 waktu sehari di dalam bilik darjah, mereka
adalah golongan yang suka kepada pergerakan, sememangnya tidak selesa dan
menjemu jika mereka terpaksa duduk dalam keadaan kaku dengan mendengar
sepanjang masa guru berada dalam bilik darjah tersebut. Bagi mencapai FPK, matlamat
dan misi KPM maka pendekatan pengajaran releven dan sesuai yang melibatkan
penjanaan intelek, emosi, rohani dan jasmani dan berketrampilan memerlukan gerakan
bersepadu yang menyentuh mental, perasaan, komunikasi, dan pergerakan anggota
badan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya murid berupaya
meningkatkan potensi melalui latihan, bimbingan, intraksi dan hubungan langsung
antara murid dengan guru, sesama murid dan murid dengan persekitaran dan murid
dengan bahan-bahan dilihat, disentuh, dilakukan secara amali dan ekspirimen.
Minat yang mendalam dalam diri seseorang guru untuk menjana peningkatan
profesionalisma hendaklah disokong dengan motivasi diri, berusaha mengumpul
berbagai maklumat yang diperolehi dari pelbagai sumber yang mudah diperolehi
seperti keratan akhbar, bahan-bahan daripada cekera padat, internet, rakaman foto dan
vedio dan sebagainya, daripada bahan-bahan tersebut guru akan memikirkan
bagaimana terbaik untuk direalisasikan dengan isi-isi pembelajaran, kadangkala guru
mendapat ilham untuk menggunakan bahan tersebut dengan kaedah tertentu ketika
sedang membuat kerja tertentu, ketika itu guru perlu segera mencatat idea-idea
tersebut supaya dapat diaplikasikan di dalam bilik darjah.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran
Pendekatan emosi
Murid yang terganggu emosinya sukar untuk menerima pengajaran dan pembelajaran
dengan berkesan. Gangguan emosi berlaku kerana sebab-sebab tertentu, antaranya
seperti permasalahan yang berlaku dirumah, tekanan daripada rakan-rakan, tekanan
daripada masyarakat, tekanan daripada guru di sekolah. Bagi menghilangkan tekanan
guru terhadap murid, guru berusaha mendekatkan perasaan guru dengan perasaan
murid supaya ianya berlaku titik pertemuan yang disebut sebagai empati. Sabda
Rasulullah S.A.W bermaksud, sesungguhnya dalam jasad anak Adam itu ada seketul
daging, apabila ia baik nescaya baiklah seluruh anggota badan, dan apabila ia jahat,
nescaya jahatlah seluruh badan, ketahuilah ialah hati.
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Guru menyayangi murid seperti menyayangi anak sendiri sehingga lahirnya rasa
sayang murid kepada guru, guru membantu murid sehingga murid merasai tidak
sepatut melakukan sesuatu yang tidak baik kepada guru, guru menggunakan kalimahkalimah yang baik dalam pertuturan sehingga murid-murid merasakan perlu bertutur
dengan baik kepada guru, guru bersimpati dan melahirkan rasa empati terhadap murid
terutama murid yang ada masalah sehingga mereka rasa berterima kasih kepada guru.
Contohnya, guru A berhadapan murid B yang suka melawannya, guru A menjemput
murid B ke biliknya, katakan kepadanya, B benci kepada ustaz ke?, B tidak sukakan
ustaz ke? Tahukah B, ustaz sangat sayang kepada B, ustaz terlalu inginkan B berjaya, B
kenalah sayangkan pada ustaz, insyaAllah ustaz akan terus sayangkan B. Guru A
teruskan agenda- agenda penyayang sehingga hatinya berubah untuk mendekatkan

13

diri dengan guru A. Apabila terjadi demikian, murid tersebut tidak lagi merasa tertekan
dan dia akan mencuba untuk mendengar nasihat guru A, dan apa sahaja yang guru A
suruh buat dia akan buat sebab dalam hati murid B tadi tercatat kalimah guru A. Dan
guru A mesti teruskan sehinggalah mereka tamat pengajian.
Di antara pendekatan untuk menjayakannya, guru tidak begitu mudah melemparkan
tuduhan disebabkan sikap negatif murid berkenaan, gunakan pendekatan positif dalam
menyusun kata, sentiasa bersangka baik, mencuba mengubah sikap yang tidak baik
kepada sikap yang baik tanpa disedari oleh murid berkenaan, berikan bantuan segera
jika mereka menunjukkan masalah, dengan membuka minda murid itu ke arah
kebaikan, mendengar dengan baik segala perkara yang mereka luahkan, tidak
mendedahkan perkara itu kepada orang lain, sentiasa bersifat empati terhadap mereka,
guru sentiasa bersikap terbuka yang menampakkan mereka merasakan serasi dengan
pendekatan guru. Guru perlukan lebih bersabar, dan kawal emosi sendiri dan sentiasa
tenang. Secara tidak langsung guru telah membimbing, melatih, mencerna hati dan
perasaan ke arah pembinaan insan yang sentiasa kasih dan sayang kepada diri sendiri
dan orang lain disamping memiliki sikap bertanggungjawab dan suka melaksakan
segala apa yang dikehendaki guru. Guru boleh menunjukkan ketegasan tetapi
ketegasan itu ditunjukkan dalam keadaan yang sentiasa senyum.
Pendekatan komunikasi
Komunikasi dalam konteks hubungan guru dengan murid ialah proses bagaimana guru
berkongsi pengalaman dengan murid-muridnya dan begitu juga sebaliknya.
Meningkatkan kualiti komunikasi dengan murid salah satu pendekatan bagi
meningkatkan prestasi murid, di antara perkara yang perlu diambil perhatian guru
ketika berkomunikasi dengan murid ialah memberi maklumat yang perlu sahaja, jika
terlalu lama bercakap tentang satu isi meyebabkan murid menjadi bosan. Guru
bercakap tentang perkara yang benar-benar beliau tahu, tidak berbohong, tidak
meremehkan perkara yang serius kepada murid, dan tunjukkan minat mendengar serta
memberi tumpuan tentang apa yang hendak diberitahu oleh murid. Guru perlu bersikap
jujur, tidak mudah membuat tuduhan sehingga menyinggung perasaan murid,
percakapan guru biarkan dapat memberi keuntungan kepada guru dan murid, bercakap
benar, dan bercakap perkara-perkara yang memberi kebaikan, serta membiasakan
memberi penghargargaan dan pengiktirafan.
Perkara-perkara lain yang boleh dilakukan bagi menggambarkan guru suka kepada
murid di kelas berkenaan seperti masuk kelas dengan keadaan yang senyum,
mendekati murid apabila murid sedang melakukan aktiviti atau ingin menjawab soalan
dari guru, memberi hadiah untuk diletakkan di kelas, tunjukkan kegembiraan bersama
jika ada kelucuan tapi bukan bermaksud mengejek, Guru memuji perkara-perkara yang
baik yang dilakukan oleh murid, memberi nasihat atau motivasi bukan leteran. Bukan
marah kepada murid tetapi tegas menyatakan sesuatu perkara dalam senyuman, dan
adil, apabila mahu menghukum, bukan menghukum dengan perasaan geram dan
marah, tetapi menghukum dalam senyuman sekadar memberi peringatan sahaja bukan
deraan, guru sepatutnya menangguhkan hukuman jika dalam situasi yang terlalu
marah. Guru boleh melatihkan diri supaya dapat mengawal diri ketika marah. Isyaratisyarat yang memberi makna yang negatif seperti isyarat lberupa ugutan perlu
dikhindari. Murid-murid akan lebih menghormati guru sekira guru berjaya menunjukkan
kemahiran berkomunikasi yang tinggi dan sebagai langkah dalam pembentukan
sahsiah, kesungguhan, dan minat murid terhadap mata pelajaran yang diajar.
Murid-murid lebih berminat kepada guru yang berwatak periang, pandai mengambil
hati, suka berjenaka, memahami perasaan mereka, empati dan simpati, menuntut guru
supaya berusaha menyesuaikan diri dengan menggunakan pendekatan menawan
perasaan, berkomunikasi secara berkesan serta penyayang. Apabila guru tersebut
sudah berada dihati murid, maka ketika itu pelbagai kaedah yang bertujuan
mempercepatkan proses pemibinaan intelek, emosi, rohani dan jasmani dapat
dilaksanakan dengan jayanya.

14

Pendekatan Penampilan
Penampilan guru banyak mempengaruhi murid, seorang guru sekolah rendah di
England., sekolah itu menerima guru lelaki baru yang baru datang untuk bertugas di
sekolah itu, tiba-tiba menjadi idola murid-murid kerana beliau memakai kasut bertali
yang berlainan dengan kasut guru-guru lain. Disebabkan penampilannya yang hebat itu
menyebabkan prestasi pelajaran murid-muridmya menjadi bertambah baik.
Kajian pakar-pakar psikoloji menunjukkan bahawa penampilan, gerak geri, cara
berpakain yang kemas, rambut bersikat rapi atau mengenakan songkok yang kelihatan
kemas, bertudung dengan rapi, wajah yang ceria dan tanpan, diikuti dengan kata-kata
yang bernas serta mempunyai pengetahuan dalam perkara yang hendak diajar, sudah
cukup untuk mempengaruhi murid, kerana pandangan murid yang positif terhadap guru
akan memberi rangsangan bagi membantu meningkatkan minat murid terhadap
pengajaran guru.
Penampilan yang hebat yang ditunjukkan oleh guru boleh membentuk sifat-sifat
karisma iaitu kualiti yang ada dalam diri seserang bukan disebabkan statusnya
sebagai seorang guru. Penampilan terpuji ini dijadikan sebagai penunjuk teladan.
Antara sebab yang menjadikan Rasulullah S.A.W diletakkan sebagai pemimpin nombor
satu di dunia adalah kerana penampilan diri sebagai qudwah hasanah kepada manusia
seluruhnya. Sekira guru Pendidikan Islam mampu meletakkan diri sejajar dengan apa
yang disarankan dalam Islam maka mereka tidak menghadapi laluan yang sukar untuk
mempengaruhi murid sepertimana yang dikehendakinya.

Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran


Pengajaran dan pembelajaran yang bersifat holistik, meliputi semua elemen. Guru
hendaklah bijak merancang pengajaran supaya lebih bersifat dinamik, yang mampu
memperkembangkan kognitif dan perubahan sikap sejajar dengan kehendah Falasafah
Pendidkan Kebangsaan, Falasafah Pendidikan Islam, matlamat, dan misi Kementerian
Pelajaran Malaysia. Guru yang berkalibar sentiasa berusaha secara positif, inovatif dan
kreatif dalam mencorakkan pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan.
Pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik yang boleh diketengahkan dalam pengajaran
dan pembelajaran guru.
Kaedah lisan
Guru menyampaikan maklumat terus melalui percakapan, percakapan guru semesti
jelas dan boleh didengari oleh semua murid, susunan fakta secara yang mudah
difahami yang disokong oleh bahan-bahan tertentu seperti alat bantuan mengajar atau
bahan bantuan belajar, gaya persembahan yang menarik minat murid, dan hubungan
mata merupakan elemen penting dalam pengajaran. Guru sepatutnya mengelakkan diri
dari memberi penjelasan yang meleret dan berbelit-belit sehingga menyukar murid
memahami, akibatnya murid sudah tidak faham lagi apa yang dimaksudkan oleh guru.
Guru yang menyampaikan pengajaran melalui kaedah berpusatkan guru, di mana
peranan guru hanya sebagai penyampai maklmuat atau ilmu semata-mata, tidak dapat
membantu meningkatkan potensi murid kerana murid-murid tidak dibimbing dan diberi
peluang untuk berintraksi dan melatih diri mengembangkan potensi mereka melalui
aktiviti-aktiviti pembelajaran dalam kelas. Ada pepatah mengatakan, usah beri ikan
kepada mereka, tetapi berilah mata kail dan pancing, maksudnya berilah kepada alat
dan kemahiran untuk mendapat dan mengolah ilmu. Intraksi guru dengan murid lebih
banyak berlaku secara lisan, guru boleh menyusun aktiviti supaya murid juga
berintraksi dengan guru melalui lisan seperti menjawab soalan, memberi pandangan,
sumbangsaran, merumus, menilai, membuat keputusan dan sebagainya.

15

Kaedah Berpusatkan Murid


Pendekatan ini adalah pendekatan yang bertujuan membina keyakinan dan potensi diri
murid disamping menghilangkan kebosanan murid ketika berada begitu lama dalam
bilik darjah. Guru perlu membuat perancangan dan persediaan yang rapi supaya setiap
aktiviti berpusatkan murid tidak
mengambil masa yang panjang yang boleh
menjemukan murid, aktiviti-aktiviti sebaik-baik berubah-rubah mengikut kesesuaian isi
atau tajuk.
Guru boleh menggunakan teknik menyoal dan murid menjawab atau murid memberi
pandangan atau sumbangsaran. Murid akan suka berintraksi dengan guru yang
mempunyai penampilan yang digemari mereka. Guru hanya memilih perkara-perkara
yang sememangnya boleh dijawab oleh contohnya soalan pencapaian yang mudah
dijawab oleh murid, atau soalan berfikir yang telah diberikan garis panduan tertentu
tapi bukan bersifat menyambung perkataan, adalah lebih baik guru meminta murid
secara rela hati untuk bangun menjawab, sekiranya salah, guru tidak terus menyebut
salah sebalik meminta rakan lain cuba menjawab, kemudian guru memberitahu
jawapan kedua adalah lebih tepat, guru memuji sikap berani murid menjawab. Di
samping itu guru membenarkan murid membuat pertanyaan dan sebelum guru
menjawab, guru memberi peluang murid lain menjawab.
Intraksi dua hala antara dua orang murid, sebaik-baiknya murid mempunyai
pasangannya yang sesuai yang sentiasa berada berdekatan, contohnya murid A dan
murid B, aktivitinya, murid A bertanya murid B, apakah erti syirik? murid B menjawab,
syirik ialah menduakan Allah atau menyengutukan Allah dengan benda-benda yang
lain. Di antara perkara yang hendak disoal ialah perkara yang jelas difahami murid,
bukan soalan yang mempunyai jawapan yang mengelirukan, bermula dari soalan yang
mudah, dua atau tiga soalan sahaja supaya tidak menjemukan murid, beri pujian setiap
kali aktiviti ini dijalankan. Aktiviti menjawab soalan secara bertulis dan membuat peta
minda juga sepatutnya berlaku secara dua hala di mana murid A dan B saling
bekerjasama.
Aktiviti pembelajaran dalam kumpulan, sekiranya kumpulan itu berlaku di dalam bilik
darjah, empat orang adalah cukup sesuai, seorang ketua dipilih dari kalangan mereka
jika kumpulan itu lebih dari lima orang, maka dikhuatiri ada murid yang tidak
mengambil bahagian atau ada murid yang tidak sempat memahami keseluruhan hasil
pembelajaran. Contoh aktiviti yang boleh dijalankan sebagai pencetus kreativiti,
antaranya ialah :
Aktiviti 1. Perbincangan satu bahagian daripada pecahan tajuk atau isi pengajaran,
bincang soalan atau tugasan yang dikemukakan oleh guru, perbincangan isi-isi penting
daripada tajuk berkenaan, dan sebagainya. Guru menyediakan bahan sokongan seperti
kertas edaran, nota, ABM atau BBM, dan langkah-langkah atau prosedur sebagai
pemudahcara, hasil perbincangan boleh ditulis atau dilapor secara bertulis sama ada
atas nama kumpulan atau individu, guru mungkin meminta satu atau dua kumpulan
membentang hasilan mereka.
Aktiviti 2. Setiap kumpulan akan diberikan satu model dalam bentuk grafik atau ABM
beserta soalan, setiap kumpulan akan berbincang sehingga faham dan melukis semula
grafik tersebut contohnya, tajuk ibadah iaitu mengerjakan ibadah haji. Kumpulan 1,
bincang niat dan miqat, kumpulan 2, bincang tentang wukuf, kumpulan 3, bincang
tentang bermalam di Muzdalifah, kumpulan 4, bincang melontar pada 10 Zulhijjah,
kumpulan 5, bincang tentang bercukur atau bergunting, kumpulan 6, bincang tentang
bermalam di Mina, kumpulan 7, bincang tentang melontar tiga jamrah pada 11,12, dan
13 Zulhijjah, kumpulan 8, bincang tentang tahallul dan nafar, kumpulan 9, bincang
tentang saei, dan kumpulan 10, bincang tentang tawaf. Setiap kumpulan diberi masa 5
minit sahaja untuk membincang dan melapor bagi setiap isi kandungan itu kemudian
mereka akan diberikan tajuk atau perkara yang yang lain pula, contohnya, kumpulan 2,

16

akan ambil tajuk kumpulan 1, kumpulan 3, ambil tajuk kumpulan 2 dan seterusnya.
Diakhir pengajaran pengajaran 80 minit semua pelajar dapat mengetahui cara
mengerjakan haji sepenuhnya, dan guru akan menyediakan kertas edaran tentang plan
mengerjakan haji yang lengkap sebagai kerja rumah.
Aktiviti 3. Setiap kumpulan berada di stesyen-stesyen tertentu yang melakukan aktiviti
tertentu kemudian bertukar ke stesyen lain setelah cukup masa yang ditetapkan,
sehinggalah selesai mereka berkumpul untuk membuat laporan.
Aktiviti 4. Setiap kumpulan diberikan tugasan projek untuk mereka siapkan dalam masa
yang telah ditetapkan dan guru akan memberikan garis panduan, murid dikehendaki
membuat folio atau hasil tugasan.
Aktiviti 5. Murid membentuk empat kumpulan yang besar yang terdiri 8-10 orang dalam
satu kumpulan, dan seorang atau dua ahli akan membuat demonstrasi tentang sesuatu
isi contoh demonstrasi tentang tayammum, murid lain memerhati kemudian setiap
murid akan lakukan bergilir sambil diperhatikan oleh rakan-rakan yang lain, rakan-rakan
lain juga mencuba, sehingga dapat difahami oleh seluruh ahli dalam kumpulan
tersebut.
Aktiviti 6. Setiap kumpulan yang diberi masa 5-10 minit keluar dari bilik darjah
memerhati atau membuat tinjauan tentang satu perkara mengikut arahan guru
kemudian mereka kembali ke bilik darjah dan membincang persoalan yang disediakan
guru berkaitan tajuk yang dipelajari. Setiap wakil dalam kumpulan akan membentang
hasilan bengkel.Contohnya, empat atau lima orang bagi satu kumpulan murid keluar
dari bilik darjah memerhati kejadian alam, kumpulan pertama melihat langit dan awan,
kumpulan kedua melihat gunung, kumpulan ketiga memerhati pokok-pokok, kumpulan
keempat memerhati pergerakan serangga dan sebagai. Kemudian mereka kembali ke
kelas untuk membincang tentang kekuasaan Allah SWT.Pemerhatian terhadap alam
nyata banyak membantu meningkatkan kemahiran berfikir.
Aktiviti 7. Berdasarkan kumpulan yang disertai oleh 4 orang bagi setiap kumpulan. Guru
memberi soalan kuiz yang mempunyai jawapan fakta sahaja, dengan menggunakan
papan hitam, guru mengemukakan soalan, sebaik sahaja selesai soalan diutarakan,
seorang murid dari setiap kumpulan teruskan ke hadapan untuk menulis jawapan,
soalan kedua untuk murid kedua, soalan ketiga untuk murid ketiga begitulah
seterusnya, setiap murid dalam kumpulan mesti terlibat sebagai peserta tapi rakan
sekumpulannya boleh memberitahu jawapannya. Kemudian di akhir pengajaran guru
akan mengira skor, skor-skor dicampur dengan aktiviti kuiz aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang lain, kemudian diberikan hadiah kepada pemenang sebulan sekali,
atau tiga bulan sekali atau 6 bulan sekal, terpulang kepada guru.
Guru boleh mereka cipta berbagai model mengikut kreativiti sendiri tetapi setiap aktiviti
mestilah bertujuan untuk peningkatan intelek, emosi, rohani dan jasmani akhirnya
menjurus kepada sikap bertanggungjawab, berdikari, bekerjasama, berdisiplin dan
menghormati pandangan orang lain dan sebagainya. Guru sepatutnya menjadikan
dirinya pemimpin, pengurus, pengawal, penyelia, pengelola dan pembimbing supaya
program yang dijalankan akan mencapai hasil pembelajaran tanpa sebarang unsur
gangguan yang menyebabkan murid mengambil kesempatan untuk melakukan perkaraperkara lain, yang tiada kaitan dengan hasil pembelajaran.
Aktiviti 8. Guru menyediakan 40 gulung kertas untuk diambil oleh 40 murid dalam
kertas tersebut, ada empat isi pengajaran yang hendak disampaikan isi pertama ditulis
dengan warna hitam dengan 10 kertas yang digulung, isi kedua ditulis dengan warna
merah dengan 10 kertas yang digulung, isi ke tiga ditulis dengan warna biru di atas 10
kertas yang digulung, dan isi keempat ditulis dengan warna hijau dengan 10 kertas
yang digulung. Setiap murid akan mengambil hanya satu kertas sahaja, mereka
berjumpa dalam satu kumpulan berdasar warna tulisan, warna hitam, merah, biru dan
hijau berada dalam kumpulan masing-masing. Kemudian setiap murid akan

17

memberitahu dalam kumpulan tentang maklumat yang diperolehinya, kemudian setiap


ahli akan mendapat maklumat dari rakan-rakan kumpulan bagi melengkapkan semua
maklumat berkenaan isi pelajaran berkenaan.Kumpulan warna hitam bertukar dengan
warna merah, kumpulan warna biru dengan warna hijau, dan membuat aktiviti yang
sama, kemudian tukar lagi dan akhir setiap setiap murid memahami semua maklumat
dari semua warna. Mereka kembali ke kumpulan berbincang semula sebagai
menyatukan semua maklumat yang mereka perolehi dalam satu peta minda.
Aktiviti ini adalah bertujuan membentuk kerjasama, menjalinkan silaturrahim, setiap
murid mendapat semua maklumat, membina emosi, menggerakan jasmani, dan
meningkatkan pergerakan mental.
Kaedah Peta Minda
Peta minda ialah satu bentuk grafik yang mengumpulkan semua isi atau maklumat
yang perlu diingat atau dihafal, cara mengingat dalam bentuk gambar atau grafik lebih
mudah berbanding dalam bentuk susunan ayat demi ayat. Peta minda yang baik adalah
hasil daripada latihan membina yang berulangkali. Antara kelebihan peta minda ialah isi
utama dapat dilihat dengan jelas maklumat tersusun mudah dan cepat untuk ulangkaji,
menjimatkan masa menulis, menjimat waktu ulangkaji, maklumat penting diutamakan,
meningkatkan amalan berdikari dan meningkatkan kreatviti.
Bentuk asas peta minda :

IMAN

hati

yakin
ikrar
lakukan

Iman

IMA
N

perbuatan

Erti

18

Membina peta minda bermula daripada pusat idea yang merupakan tajuk utama
kemudian dipecahkan menjadi cabang-cabang. Peta ini menjadi lebih menarik jika
dimasukkan simbul atau emej dan cabang-cabang atau perkataan yang menggunakan
berbagai warna dakwat seperti merah, biru, hitam dan hijau menjadi peta minda lebih
menarik. Hanya menggunakan satu perkataan bagi satu cabang dan cabang-cabang
yang dibina nampak melengkung. Murid yang kreatif boleh mengubah suai supaya lebih
menarik.
Penggunaan ICT
Teknologi Maklumat Dan Komunikasi adalah alat bantuan mengajar yang dapat tiga
pancaindera utama iaitu telinga, mata dan mulut berfungsi. Penggunaan komputer
sebagai alat aplikasi dengan bantuan LCD, guru dapat menjelaskan sesuatu tajuk yang
sukar difahami secara yang lebih jelas tanpa banyak bercakap dan murid mendengar,
melalui kombinasi teks, grafik, audio, dan video.
Diantara cara yang boleh digunakan sebagai kaedah penyampaian pengajaran dan
pembelajaran melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia yang
dibangunkan dengan menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, vedio serta
animasi lebih menampakkan keberkesanan.
Contohnya, guru mempamerkan peta Semenanjung Tanah Arab, kemudian guru
menunjukkan Mekah sebagai pusat idea, kemudian meletakan tempat-tempat Miqat
Makani dan membina jalan laluan dari Kota Mekah ke tempat-tempat berkenaan. Di
slide yang ke dua menunjukkan jemaah memakai ihram, solat sunat, berniat ihram haji
atau umrah dan di slide ketiga guru mempamer keadaan sebenar orang berniat haji di
Kota Mekah. Kesannya murid mudah faham, mudah ingat dan dapat menjawab dengan
lebih meyakin dalam penilaian bertulis.
Bahan internet juga boleh dijadikan sebagai kaedah pemulihan dan pengukuhan,
bahan-bahan asal seperti maklumat dan gambar-gambar didapati dengan mudah.
Sekolah yang memiliki makmal komputer boleh menggunakan secara yang lebih efektif
apabila setiap seorang atau dua pelajar berada dihadapan komputer masing-masing
dan guru bertindak sebagai pemudahcara.
Bagi kelas yang bercampur antara murid pandai dan murid lemah, guru boleh memberi
tumpuan lebih sedikit kepada murid lemah manakala murid lain boleh belajar secara
sendiri atau kumpulan untuk memahami maklumat yang terdapat dalam pengisian
tersebut.Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang dengan
baikpenggunaannya bersesuaian dengan kurikulum atau hasilan pembelajaran dan
guru menyediakan perkakasan dan perisisian yang boleh mencapai objektif
pembelajaran.
Teori Kecerdasan Pelbagai

19

Howard Gardner mendifinasikan Teori Kecerdasan Pelbagai seperti berikut :


An intelligence is the ability to solve problems, or to create product that
are valued within one or more culture settings.
(Frames of Mind, 1983
)
Murid-murid mempunyai kepelbagaian kecerdasan, yang dirumuskan sebagai
kebolehan menyelesaikan masalah, kebolehan menjana masalah baru untuk
diselesaikan dan kebolehan membuat sesuatu atau menawarkan perkhidmatan yang
bernilai dalam lingkungan sesuatu budaya. sekurang-kurangnya dalam lapan
kecerdassan yang melibatkan kecenderungan murid-murid.
Pertama, Kecerdasan Verbal-Lingguistik, iaitu kebolehan menggunakan kata-kata secara
berksan dalam lisan dan perbuatan, termasuklah kebolehan mengingat maklumat, dan
meyakini orang lain.
Kedua, Kecerdasan menggunakan nombor secara berkesan dan bijak berhujah,
termasuklah memahami kelompok nombor asas, prinsip sebab dan akibat serta
kebolehan membuat jangkaan.
Ketiga, Kecerdasan Visual-Ruang,iaitu kebolehan mengesan dan menggambarkan
bentuk, ruang, warna dan garisan termasuklah kebolehgan mempersembahkan idea
visual dan ruang secara grafik seperti dalam pembinaan peta minda.
Keempat, Kecerdasan Kinestetik iaitu kebolehan menggunakan badan untuk
menyatakan idea, perasaan dan menyelesaikan masalah, termasuklah kemahiran fizikal
seperti koordinasi, kenjalan, kepantasan dan keseimbangan.
Kelima, Kecerdasan Muzik iaitu kebolehan mengesan irama dan lagu, termasuk
kebolehan mengenal lagu dengan mudah serta membeza atau mengubah rentak dan
tempo dalam melodi yang mudah.
Keenam, Kecerdasan Interpersonal, iaitu kebolehan memahami perasaan, motivasi,
tabiat serta hasrat orang lain. Kecerdasan ini juga merupakan kemahiran bertindak
secara berkesan terhadap orang lain secara praktikal, seperti menggalakkan muridmurid menyertai sesuatu projek.
Ketujuh, Kecerdasan Intrapersonal, iaitu kebolehan memahami diri sendiri dari aspek
kekuatan, kelemahan, hasrat dan kehendak, termasuk kemahiran bagaimana seseorang
itu sama atau berbeza dengan orang lain. Kecerdasan ini juga dapat membantu individu
menangani perasaan, beradab sopan, serta mengawal kemarahan atau kesedihan diri.
Kelapan, Kecerdasan Naturalis iaitu kebolehan mengenali dan mengklasifikasi tumbuhtumbuhan, galian dan binatang termasuk rumput dan batu-batan serta pelbagai flora
dan fauna. Ia juga merupakan kebolehan untuk mengenali artifak budaya dari aspek
pakaian dan makanan.
Apabila guru telah mengenal pasti kecerdasan pelbagai untuk memperluaskan strategi
pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif. Guru boleh memikirkan berbagai
aktiviti yang sememangnya diminati oleh murid-murid, antara aktiviti-aktiviti yang
boleh diketengahkan guru seperti berdebat dan berbahas dalam kumpulan atau antara
kumpulan, teka silangkata, teka-teki, mencipta pantun, atau puisi, mempergunakan
kaedah matematik pembinaan rajah-rajah, melukis peta, membuat graf, membuat
pelbagai jenis grafik, memeta minda, melukis, melekatkan gambar, menggunakan lagu
seperti nasyid, termasuk menyusun lirik dan senikata yang mengandungi isi-isi
pelajaran yang dipersembahkan dalam bentuk nasyid dan sebagainya, mengunakan
pergerakan badan seperti main peranan dan lakonan, termasuk aktiviti-aktiviti
menunjukcara, simulasi dan permainan. Menyediakan format pembelajaran berbentuk
kerjasama rakan sebaya, perkongsian idea, untuk memberi peluang murid berintraksi
sesama mereka, murid juga boleh mebuat pemerihatian, membuat penilaian kendiri,
murid juga boleh membuat aktiviti berdasarkan persekitaran seperti melihat fenomena

20

alam fauna dan flora da untuk dikaitkan dengan hasil pembelajaran.


Guru yang berinovasi sentiasa mencari pendekatan yang menarik supaya pembelajaran
berlaku dan
hasil pembelajaran tercapai. Guru berperanan menentukan objektif
pembelajaran, menyesuaikan gaya pengajaran guru dengan pembelajaran murid,
menyediakan pelbagai kaedah dan teknik dan aktiviti-aktiviti yang berkesan, memilih
bahan bantuan mengajar dan belajar yang lebih sesuai, sentiasa memerhatikan
kemampuan murid merealisasikan aktiviti yang dirancang serta membuat refleksi untuk
tindakan susulan.
Kaedah Memupuk Kemahiran Belajar
Kemahiran belajar di kalangan murid perlu dipupuk supaya mereka memperolehi cara
belajar yang berkesan. Murid dilatih tentang kemahiran mendengar iaitu membimbing
murid supaya mendengar dengan penuh teliti, sentiasa berada dalam suasana tenang
dan selesa, memotivasikan diri sendiri supaya dapat memberi tumpuan kepada
pembelajaran, memandang ke arah guru dan memberi perhatian terhadap apa yang
diperkatakan, ditunjuk dan yang ditulis oleh guru.
Kemahiran membaca iaitu membaca untuk mendapat maklumat ringkas dengan
pantas, murid membaca tajuk, pendahuluan dan rumusan dengan menggunakan gerak
mata yang cepat, memberi tumpuan pada bahan yang dibaca. Membaca secara laju,
memerlukan kecekapan membaca cepat serentak dengan memahami kandungannya.
Cara membaca laju iaitu murid menumpu kepada idea-idea utama, mengingat semua
maklumat dan membuat catatan nota atau menanda isi penting dan mengaitkan isi
bacaan dengan pengalaman dan pengetahuan yang sedia ada.
Kemahiran mengingat juga penting kepada murid, guru boleh menyusun isi menjadi
satu cerita, jadikan sebuah lagu, atau puisi. buat catatan, tanda isi penting, simulasi,
tunjukcara, lakonan, membuat senarai semak, mencipta akronim seperti SISWI untuk
suami, isteri,saksi,wali dan ijab kabul (rukun nikah), AMBIK untuk akal, merdeka, baligh,
islam dan kuasa (syarat wajib haji) membuat peta, graf, peta minda, ingat dalam
kumpulan seperti 530 419 025 345 (no kad pengenalan)

Kaedah-kaedah Pengajaran dan Pembelajaran


Guru boleh mengkaji kaedah-kaedah yang sedia ada kemudian cuba memikirkan
aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan situasi dan kemampuan murid.
Kontruktivisme ialah satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau
konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada,
pengetahuan yang baru diterima digabungkan dengan pengetahuan yang sedia ada
untuk membina pengetahuan yang baru.Pengajaran dan pembelajaran ini berpusatkan
murid, murid sendiri mendapatkan maklumat, guru mengetahui pengetahuan yang
sedia ada pada murid, merancang kaedah dan aktiviti yang sesuai, menjadi fasilitator
bagi membina pengetahuan, pereka bentuk, menyedia peluang dan menyelesaikan
masalah.
Kontekstual adalah suatu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan
isi kandungan dengan pengalaman harian individu, klehidupan masyarakat dan alam
pekerjaan. Individu mengekalkan maklumat dengan lebih berkesan melalui pengalaman
sendiri, individu memiliki pelbagai jenis kecerdasan dan pembelajaran ini
mengambilkira pelbagai gaya pembelajaran secara konkrit iaitu mengalami dan
melakukan, melihat dan mengalami, memikir dan melakukan serta melihat dan
memikir. Kesannya, murid dapat mengaitkan mata pelajaran yang dipelajari dengan
pekerjaan, kehidupan, pengalaman harian, boleh mendapat pembuktian, dapat
menguasai pengalaman abstrak melalui pengalaman konkrit dan meluaskan konsep

21

kerjasama di kalangan murid.


Pembelajaran Masteri iaitu satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi
memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran dalam satu unit pembelajaran
sebelum berpindah ke unit pembelajaran seterusnya. Model pembelajaran masteri :

Unit Pembelajaran 1
Penetuan Hasil Pembelajaran

Pengajaran dan Pembelajaran

Penilaian

Tindakan susulan
aktiviti pengayaan

Ya

Murid
menguas
ai atau
tidak

Ya

Tidak

Tindakan susulan
aktiviti pemulihan

Teruskan

Unit Pembelajaran 2
Pembelajaran Koperatif adalah pembelajaran yang berasaskan kumpulan kecil muridmurid yang terdiri daripada tiga atau orang. Mereka bertanggungjawab ke atas
pencapaian individu atau kumpulan dan setiap ahli kumpulan memberi sumbangan.
Kajian masa depan merupakan strategi secara saintifik yang dibina untuk menambah
keupayaan murid dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup dan membuat keputusan
Strategi ini memboleh murid mempunyai pengetahuan dan kefahaman tentang kajian
masa depan berfikir secara kritis dan kreatif serta membuat keputusan, berkomunikasi
secara berkesan, membuat kajian dan mengurus maklumat serta membina sikap yang
dihubungkaitkan dengan masa depan.
Penutup
Kejayaan sesuatu pendekatan yang hendak diketengahkan oleh guru dalam pengajaran
dan pembelajaran bergantung kemampuan guru mengurus, memimpin ,mengelola,
menyelia dan mengawal kelas tersebut. Guru dengan kebijaksanaan menggunakan
pelbagai cara bagi memikat minat murid terhadap pengajaran dan pembelajaran yang
dilaksanakan didalam atau diluar bilik darjah. Seorang guru seharusnya bijak
merangsang murid berfikir, berbincang, menunjuk cara, mahir berkomunikasi dan
berintraksi, berhujah malah boleh membimbing rakan sekumpulan atau sekelas dengan
berkesan.
Setiap guru sewajarnya memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan
berbagai kemahiran dan meningkatkan personaliti diri bagi memudahkan mereka

22

menggunakan berbagai pendekatan yang difikirkan sesuai sejajar dengan perubahan


dan masa. Usaha yang berterusan daripada setiap kaum guru untuk melihat muridmurid yang diajar dan dididik serta dibimbing menjadi modal insan yang cemerlang
dan berkualiti. Guru yang berkualiti adalah guru yang berani memikul tanggungjawab,
sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatan, dan kesanggupan dan keberanian
melakukan perubahan untuk meningkatkan kepuasan bekerja.

BIBLIOGRAFI
Abdullah Hassan, Ainon Mohd, Kemahiran Interpersonal Untuk Guru, PTS Profesional
Publishing Sdn Bhd 2005
Aminudin Mansur, Bersatu Memertabatkan Profesion Keguruan, Pendidik Bil 32
Januari 2007,,Widad Publication Sdn Bhd
Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran, Pusat
Perkembangan Kurikulum, KPM tahun 2001
Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran, Pusat
Perkembangan Kurikulum , Kementerian Pelajaran Malaysia, 2001
Belajar Cara Belajar, Pusat Perkembangan Kurikulum , Kementerian Pelajaran
Malaysia, 2001
Ee Ah Meng, Psikologi Pendidikan II, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, edisi kedua, 2003
Falasafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat Dan Misi, PPK Kementerian Pelajaran
Malaysia
Gardner,H.(1983). Frames of Mind. New York : Haper & Row
Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, Kepimpinan Instructional, Jemaah Nazir Sekolah,
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Lazear,D. (1994). Multiple Intelligence Approaches to Assessment. Australia : Howker
Brownlow Education
Mohd Azhar Abd Hamid, Panduan Meningkatkan Kecerdasan Emosi, Percetakan Zafar
Sdn Bhd, 2006
Mok Soon Sang, Ilmu Pendidikan Untuk KPLI, Kumpulan Budiman Sdn Bhd Subang
Jaya Edisi Ketiga 2004
Pembelajaran Masa Depan, Pusat Perkembangan Kurikulum , Kementerian Pelajaran
Malaysia, 2001
Pembelajaran Masteri, Pusat Perkembangan Kurikulum , Kementerian Pelajaran
Malaysia, 2001
Pembelajaran Secara Konstruktivisma, Pusat Perkembangan Kurikulum , Kementerian
Pelajaran Malaysia, 2001
Pembelajaran Secara Kontekstual, Pusat Perkembangan Kurikulum , Kementerian
Pelajaran Malaysia, 2001
Rozli Hashim, Enam Proses Menghasilkan Pengajaran Kreatif Dan Efektif, Pendidik,
Wadad Publication Sdn Bhd,Mac 2006,

23

Rusmini Ku Ahmad, Integrasi Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Dalam Pengajaran


Dan Pembelajaran, Jurnal IAB Kementerian PendidikanMalaysia, Jun 2003

24

Anda mungkin juga menyukai