Anda di halaman 1dari 2

Ciri-ciri Guru Berkesan

Konsep sekolah berkesan yang diperkenalkan dalam sistem pendidikan adalah bermatlamat
untuk membawa sistem pendidikan ke arah kecemerlangan. Seiring dengan slogan
Pendidikan Bertaraf dunia konsep sekolah berkesan menuntut warga pendidik khususnya
untuk mencapai tahap kualiti yang tinggi dalam pendidikan. Dato' Dr. Abdul Shukor
Abdullah(1995) telah menyenaraikan 17 ciri guru yang berkesan, namun berdasarkan
pengalaman 30 tahun sebagai seorang guru, saya merumuskan 5 ciri utama guru berkesan
dalam bilik darjah.

1. Berilmu Pengetahuan

Guru berkesan adalah mereka yang menguasai pengetahuan dan kemahiran untuk
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Sentiasa berusaha menambah
ilmu pengetahuan samada melalui pembacaan buku atau media elekronik, mengikuti kursus,
bengkel dan seminar. Pengetahuan berkaitan penggunaan teknologi ICT dalam pengajaran
juga penting kerana ini akan memberi dampak yang positif kepada minat pelajar. Membuat
penilaian juga memerlukan pengetahuan dan kemahiran kerana dengan penilaian telus dan
sistematik akan membantu guru memberi nilai tambah dalam pengajarannya.

2. Kreatif

Guru yang kreatif akan sentiasa mencari idea baru dan menarik dalam kaedah dan teknik
pengajarannya serta menghasilkan Bahan Bantu Mengajar yang berkesan. Selain itu, sentiasa
menyesuaikan bentuk pengajarannya dengan pelajar yang berbeza minat dan tahap
kebolehan. Dengan ini, pelajar berasa seronok, bertambah minat, faham, menghayati bahan
yang diajar, meningkatkan kemahiran dan aspek kognitif pelajar serta dapat melakukan aktiviti
yang berkaitan dengan pembelajaran yang telah dijalani.

3. Komunikasi Berkesan

Kemahiran berkomunikasi adalah kebolehan menyampaikan isi pelajaran dengan jelas dan
menarik agar mudah difahami pelajar. Selain itu cara guru berkomunikasi dengan pelajar
hendaklah menggunakan stail komunikasi menyokong yakni dengan menjadi pendengar yang
baik, memahami , menghargai dan tidak melukakan perasaan pelajar. Sikap guru yang pandai
menjaga hati pelajar mereka seperti kerap menegur sapa, berbual-bual, dan mudah dibawa
berbincang akan memberi keyakinan pada pelajar untuk bertanya dan mengemukakan masalah
yang dihadapi, dengan ini pengajaran akan lebih berkesan. Interaksi dua hala yang wujud
akibat berkomunikasi yang baik ilihat sebagai satu medium yang penting kea rah pembelajaran
berkesan .

4. Dedikasi

Guru yang dedikasi sentiasa ikhlas dan sabar ketika mengajar terutamanya kepada murid-murid
yang lemah tanpa mengabaikan pelajar yang cerdas. Seorang yang berdedikasi tidak kedekut
ilmu, tidak terlalu serius dan boleh menyelitkan unsur-unsur humor dalam pengajarannya. Guru
yang dedikasi juga adalah guru yang tidak kedekut dan berkira dalam pekerjaannya misalnya
membeli dan menyediakan BBM, mengadakan hiasan kelas seperti bunga, alas meja dan
langsir, menyediakan suasana pembelajaran yg sesuai, menarik dan selesa dalam bilik darjah.
Kelas yang kondusif akan menyeronokkan pelajar. Keadaan itu akan memudahkan guru
melaksanakan pengajaran .

5. Kasih sayang

Perbuatan, tuturkata dan tingkahlaku guru yang menggambarkan sifat kasih sayang
dapat membantu guru melaksanakan tugas dengan gembira dan berkesan. Guru yang tidak
pilih kasih, prihatin terhadap anak-anak muridnya sebagai seseorang manusia, dan turut
mengambil berat tentang masa depan mereka akan memberikan kesan yang mendalam di jiwa
pelajar. Pelajar yang terasa di sayangi akan dapat menumpuhkan perhatian dalam
pembelajarannya. Kasih saying juga penting bagi perkembangan sahsiah dan emosi pelajar

Salah satu strategi untuk melahirkan guru yang berkualiti ialah dengan meningkatkan
keberkesanan proses pembelajaran. Bilik darjah adalah medan perjuangan utama kepada
kerjaya seorang guru. Di bilik inilah mereka menunjukkan kebolehan dan keupayaan
melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, adalah penting seorang guru
mengurus bilik darjahnya dengan baik bagi membolehkan pelajar mengikuti pengajaran guru
dengan mudah dan berkesan. Guru yang berkesan adalah adalah tonggak kecemerlangan
sistem pendidikan sebagaimana hasrat Falsafah pendidikan Kebangsaan selaras
kehendak masyarakat dan Negara.

Anda mungkin juga menyukai