Anda di halaman 1dari 4

TAMADUN ISLAM : MASALAH YANG DIHADAPI SELEPAS KEWAFATAN

NABI MUHAMMAD

Pengenalan
1. Nabi Muhammad wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11 Hijrah di Madinah.
2. Baginda tidak pernah mengatakan secara lisan siapakah yang baginda pilih
sebagai pemimpin umat Islam yang seterusnya.
3. Namun perundingan yang dijalankan di kalangan masyarakat Islam di Madinah
telah memutuskan untuk melantik Abu Bakar al-Siddiq sebagai Khalifah yang
pertama.
Masalah yang Dihadapi
Terdapat Perselisihan Pendapat Mengenai Kewafatan Nabi
1. Terdapat perselisihan tentang berita kewafatan Nabi Muhammad. Terdapat
sebahagian daripada umat Islam termasuk Saidina Umar sendiri yang tidak
dapat menerima berita tersebut.
2. Umat Islam berada dalam keadaan yang penuh kekeliruan dan emosi.
3. Penyelesaian dilakukan oleh Saidina Abu Bakar apabila beliau membacakan
ayat al-Quran yang antara lain bermakna bahawa Nabi Muhammad hanya
seorang pesuruh Allah seperti rasul yang terdahulu yang pernah hidup dan
kemudiannya akan mati. Namun, Islam tetap kekal dan tidak akan mati.
Perselisihan Tentang Tempat Pengebumian Nabi

1. Umat Islam kemudiannya berselisih pendapat tentang tempat untuk


mengebumikan jenazah baginda.
2. Sebahagian pihak mahukan agar baginda dimakamkan di Mekah manakala
pihak lain mahu baginda dimakamkan di Madinah.
3. Ada juga yang mahukan Nabi dimakamkan di Baitul Muqaddis.
4. Perselisihan tersebut diselesaikan oleh Abu Bakar apabila dibacakan kepada
mereka sepotong hadith di mana Nabi Muhammad pernah bersabda yang
bermaksud "para nabi dikebumikan di mana mereka meninggal dunia". Oleh itu,
Nabi Muhammad dikebumikan di Madinah.
Menyelesaikan Masalah Perlantikan Khalifah
1. Selepas kewafatan Nabi Muhammad, sebahagian besar golongan Ansar telah
berkumpul di sebuah dewan bernama Saqifah Bani Saidah, untuk melantik Saad
Bin Ubadah sebagai pengganti Nabi.
2. Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah al-Jarrah telah mendengar berita tersebut
lalu menuju ke Saqifah Bani Saidah.
3. Masalah pemilihan pengganti Nabi menjadi kusut apabila golongan Ansar
bersungguh-sungguh mahukan jawatan tersebut dengan alasan mereka adalah
pembela Allah dan Islam.
4. Perjuangan mereka terhadap Nabi dan agama Islam adalah tidak ternilai dan
golongan Muhajirin adalah sebilangan kecil dari mereka dan mereka berada di
Madinah dalam keadaan merantau atau menumpang.
5. Abu Bakar telah memberikan hujah dan alasan yang sebaik-baiknya mengapa
pemilihan bakal pengganti Nabi mestilah dari golongan Muhajirin. Beliau juga
membacakan hadis Nabi yang bermaksud "Para imam adalah daripada golongan
Quraisy".
6. Hujahnya ini dapat menyedarkan golongan Ansar tentang kepentingan memilih
golongan Muhajirin sebagai pengganti Nabi Muhammad.
7. Akhirnya, Abu Bakar dipilih sebagai pemimpin umat Islam. Melalui cara ini, krisis
perlantikan Khalifah yang amat kritikal itu dapat diatasi dan diselesaikan dengan
cara sebaik-baiknya. Ia berjaya menghindari umat Islam dari kemungkinan
bahaya perpecahan politik yang amat membimbangkan.
Meneruskan Gerakan Ketenteraan Usamah Bin Zaid

1. Sebelum Nabi Muhammad wafat, baginda telah membentuk sebuah angkatan


tentera yang diketuai oleh Usamah Bin Zaid Bin Harithah untuk menentang
penduduk Daerah Ghassan yang telah membunuh beberapa orang utusan Nabi.
2. Apabila Abu Bakar menjadi Khalifah beliau menghadapi masalah yang kritikal
sama ada untuk meneruskan atau membatalkan sahaja gerakan ketenteraan
tersebut.
3. Ada yang berpendapat ia perlu dibatalkan kerana Mekah dan Madinah sendiri
menghadapi ancaman dan pemberontakan dari kaum Absy dan Zubyan.
Tambahan pula, Usamah Bin Zaid masih dalam usia belasan tahun. Namun,
Khalifah Abu Bakar menunjukkan ketegasannya dengan meneruskan gerakan
tersebut.
4. Tentera Usamah mencapai kejayaan gemilang dalam tempoh 40 hari.
Kemenangan ke atas wilayah kekuasaan Rom ini memberikan kesan politik yang
penting terhadap negara Islam. Ia menyedarkan kaum-kaum yang ingin
menyerang Madinah bahawa masyarakat Islam bukan mudah diugut atau
digugat.
5. Kemenangan ini juga mengukuhkan kedudukan politik dan keselamatan umat
Islam kerana tentera Usamah Bin Zaid ditugaskan untuk menjaga keselamatan
Madinah.
Menentang Gerakan al-Riddah
1. Al-Riddah ialah gerakan anti kerajaan Islam atau gerakan mengingkari ajaranajaran Islam. Ia terdiri dari gerakan 3 golongan iaitu golongan-golongan nabi
palsu, golongan yang murtad dan golongan yang enggan membayar zakat.
2. Kesemua golongan ini merupakan anasir yang membahayakan kerana boleh
menghancurkan keutuhan Islam jika tidak dihadapi dan ditentang bersungguhsungguh.
3. Langkah awal Khalifah Abu Bakar ialah menghantar utusan-utusannya kepada
ketua golongan tersebut dan mengajak mereka kembali ke pangkal jalan. Hanya
segelintir dari mereka menyahut seruan Khalifah Abu Bakar seperti Bani Abdul
Qais di Bahrain. Namun kebanyakannya masih degil.
4. Oleh itu, Khalifah Abu Bakar telah membentuk sebanyak 11 pasukan tentera
yang diketuai oleh panglima-panglima Islam yang terkenal dan dihantarkan ke
seluruh Tanah Arab untuk memerangi gerakan al-Riddah.
5. Akhirnya, semua gerakan al-Riddah dapat dilenyapkan dan Islam kembali
menjadi agama yang suci dan tunggal di Tanah Arab. Golongan penentang Islam
berjaya ditundukkan supaya mematuhi ajaran-ajaran Islam.

Rumusan
Pelbagai masalah sosial, politik dan kepimpinan telah dihadapi oleh umat Islam sebaik
sahaja wafatnya Nabi Muhammad. Namun, umat Islam menunjukkan ciri-ciri perpaduan
dan persefahaman dengan menyelesaikan setiap masalah secara kolektif dan
perbincangan sehingga akhirnya semua masalah dapat diatasi demi untuk kebaikan
ummah dan negara Islam itu sendiri.

Anda mungkin juga menyukai