Rakyat bijak belanja, Negara makmur sejahtera. Assalamualaikum, salam 1 Malaysia. Terima
kasih saudara/saudari pimpinan majlis, kombinasi kehakiman yang ahli lagi bijaksana,
penjaga masa serta hadirin hadirat warga intelek sekalian. Saya pohon agar para hadirin
pinjamkan tujuh minit selanjutnya, kita fokus sepenuh konsentrasi kepada naskhah wacana
ilmiah yang saya bawakan pada hari ini iaitu PENGGUNA BIJAK MENJANA EKONOMI
NEGARA.
Hadirin yang dimuliakan,
Sebaik tirai wahana ilmu dibuka, izinkan saya untuk mengungkap definisi cerakinan frasa
yang mendasari pidato saya terlebih dahulu. Dari aspek literal, menurut sumber Kamus
Dewan Edisi Keempat, pengguna ditakrifkan sebagai orang yang menggunakan manakala
bijak merujuk perihal pandai, cerdik, pintar, sesuai, betul dan mendatangkan kebaikan.
Menjana pula didefinisikan sebagai perbuatan atau tindakan untuk menghasilkan,
mengadakan, melahirkan atau mengeluarkan sesuatu. Sementara itu, konotasi ekonomi
merujuk kepada sistem pengeluaran, pengagihan, penggunaan barang-barang dan
perhkidmatan, pengendalian sumber kewangan sesebuah Negara. Akhir sekali, Negara dapat
didefiniskan sebagai suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah
oleh sebuah kerajaan. Dalam lingkungan konteks pidato saya pada hari ini, setelah
dirangkum menjadi satu, tuntasnya, naskhah pidato saya secara konsepsualnya,
menggagaskan bahawa dengan pengamalan ilmu kepenggunaan, perbelanjaan yang hemat
dan bijak serta pengurusan kewangan yang betul, pengguna mampu menjadi nadi penggerak,
tunjang kerancakan ekonomi Negara.