Anda di halaman 1dari 5

TAJUK : Huraikan Masalah Sosial Yang Di Kesan Di Kalangan

Pelajar
Petikan Dari : Laman Tuanmat.tripod
1.0 Pengenalan
Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah
melanda masyarakat kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik yang
dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja
dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka kegiatan merekalah yang hangat
diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media
massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang
masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada
masalah sosial dan perbuatan jenayah membabitkan pelajar dan remaja benar-benar
membimbangkan kita.

Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat
pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para
remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah
merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak
semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang
mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah
laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada
alam yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim, 1950).
Mereka bukan sekadar nakal dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau
berkelakuan tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah , lari
dari rumah , seks bebas serta serta lagi melepak tidak memeranjatkan kita.. Mereka kini
sudah berani melakukan perbuatan jenayah berat seperti menganggotai kumpulan
samseng seperti kumpulan gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api
mahupun dengan senjata api, merogol, pelacuran, judi, vandalisme penyalahgunaan
dadah , minum minuman keras, terbabit video lucah dan sebagainya. Keadaan seperti
ini bukan sahaja berlaku disekolah bandar dan di pinggiran bandar, malah disekolah
luar bandar. Pelajar yang sering melanggar disiplin atau salah laku sekolah digelar
pelajar devian.
2.0 Teori Punca Salah Laku Dan Masalah Sosial Pelajar
Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca devian. Teori fungsionalisme
menganggap devian sebagai disfungsi pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan
devian merupakan tindakan golongan tertindas terhadap pihak minoriti yang
menindas. Teori subbudaya dan deprivasi status pula berpendapat devian berpunca
daripada budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya masyarakat besar. Deprivasi
selalu berpunca daripada kekurangan ekonomi dan kelemahan emosi. Remaja
terutamanya daripada latar belakang kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam
akademik mengalami kekecewaan dan tekanan status lalu bertindak melakukan devian.

Teori interaksionisme melihat devian sebagai sesuatu yang subjektif dan merupakan
suatu proses sosial. Pelajar sengaja memilih tingkahlaku tertentu mengikut kemahuan
mereka yang sesuai dengan cara mereka menginterpretasi sesuatu . Kajian Tattum
(1986) mendapati bahawa pelajar sengaja melakukan devian sebagai teknik neutralisasi
dalam interaksi mereka. Menurut Merton (1938) terdapat empat jenis devian iaitu
inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan cara yang salah), ritual (tindakan
mengulang perbuatan), undur (seseorang yang tidak lagi berminat dengan matlamatnya
lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan ) dan menentang (menolak matlamat
persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat lain).

3.0 Masalah-Masalah Sosial Pelajar


3.0.1 Seks Bebas Dan Jenayah Seksual
Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan
membimbangkan kita terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota . Apa yang
menyedihkan kita ialah penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun
ketika mereka mereka berada di tingkatan satu dan dua. Seorang guru disiplin di sebuah
sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan
dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut
Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi
petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius.

Seorang lagi guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau
pernah membuat tinjauan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan
merasa sungguh terkejut kerana mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan meneguk
minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan terdapat
seorang pelajar wanita di sekolahnya terlibat dalam pengedaran pil ecstasy. Pelajat
terbabit kerap ponteng sekolah dan apabila disiasat , pihak sekolah mendapati pelajar
itu adalah ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah
seksual di kalangan pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin meningkat
sejak kebelakangan ini. Di antara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti
mencabul kehormatan , merogol dan juga pelacuran . Mangsa yang dicabul oleh mereka
bukan sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita dewasa. Selain jenayah seksual,
beliau mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar nikah dan
pelacuran dikalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, sehingga bulan Jun tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur berjaya
diselamatkan daripada kancah pelacuran dan kegiatan seks haram di seluruh negara
dan sepanjang tahun lalu pula seramai 230 remaja bawah umur yang terlibat berjaya
diselamatkan dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seks oral dibawah meja di bilik darjah oleh
empat orang murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan guruguru, didapati bahawa seorang daripada murid itu mengulangi apa yang yang
dilihatnya dalam sebuah filem lucah , bersama-sama ibu bapanya pada malam
sebelumnya. Di sebabkan oleh sebab sifat ingin tahu, dia meminta rakan-rakannya
untuk mencubanya di bawah meja selepas guru mereka meninggalkan bilik darjah.

Namun apa yang sangat menyedihkan ialah sikap ibu bapa itu sendiri yang sanggup
mendedahkan anaknya kearah gejala sosial dengan menonton video lucah bersamasamanya. Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini ? Apakah
faktor yang menyebabkan berlakunya semua ini ? Adakah anak yang perlu
dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak yang perlu dipersalahkan ? Ibu bapa
hendaklah menjadi pemangkin dan contoh teladan yang baik bagi anak-anak kerana
pengaruh media massa pada zaman ledakan maklumat dan lambakan bahan-bahan
lucah seperti majalah dan VCD lucah amat mudah mempengaruhi tingkah laku anakanak dan para pelajar.

Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus
wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan
kesan kepada pembangunan sosial dan insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi
lebih terbuka dan bebas. Salah satu daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah

masalah penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan remaja.


Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan keterlaluan,
penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif yang semakin menular di
kalangan remaja. Justeru itu, satu bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian
terbuka yang sesuai dengan minat dan citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar
mereka dapat mempertingkatkan potensi diri mereka dan memanfaatkannya ke arah
yang lebih positif.
3.0.2 Samseng Dan Gengsterisme
Gejala samseng atau gengsterime di sekolah menengah di seluruh negara juga semakin
membimbangkan .Mereka ternyata semakin berani mencabar undang-undang dan
tidak takut melakukan kesalahan jenayah termasuk menggunakan senjata merbahaya..
Berita Harian , 12 Julai 2001 lalu melaporkan dalam tempoh 10 tahun antara 1989
hingga 1998 kadar jenayah membabitkan remaja lelaki dan pelajar meningkat
sebanyak 35 peratus dan 25 peratus bagi remaja perempuan. Kemeterian Pendidikan
dengan kerjasama polis telah mengenal pasti pelajar di 456 sekolah menengah di
seluruh negara terdedah kepada kegiatan samseng. Angka ini bukan sedikit dan
menunjukkan gejala ini ini berada pada tahap membimbangkan .

Kalau kita menyorot kembali gejala ini, kita akan diperlihatkan kepada pembabitan
pelajar dalam kes jenayah berat seperti membunuh, merogol, menyamun, mengugut
dan kes pukul. Terdapat juga pelajar yang terlibat dengan dadah, mabuk, memiliki
senjata api menceroboh , judi dan membuli. Peristiwa terbaru ialah kejadian membakar
sekolah dan rumah guru yang dilakukan oleh pelajar sekolah. Seawal belasan tahun
pelajar sudah terjebak dengan jenayah ekstrem seperti membunuh , merogol dan
menyamun. Mereka yang sudah menjinakkan diri dengan kes seperti mencuri
motosikal, pecah rumah dan memukul orang , tidak mustahil akan terbabit dengan
jenayah berat seperti membunuh, sindiket senjata api , pengedaran dadah dan juga
rompakan senjata api. Mengikut laporan Menteri Pendidikan semasa persidangan di
Parlimen, statistik kesalahan membunuh, merompak, merogol dan dadah yang
dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh
mengikut negeri-negeri
dari tahun 1999 hingga tahun 2000 dan pertengahan tahun 2001 ialah 12 kes bunuh,
123 kes rogol dan 51 kes samun dan rompakan.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya gejala-gejala tersebut seperti
faktor rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri pelajar itu sendiri .
Ramai pelajar dan remaja mudah terpengaruh dengan media yang memberikan
ganjaran keseronokan dan mula tersesat dengan meniru apa yang dilihat dan dibaca.
Kewujudan media berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar
yang kebanyakannya merosakkan pemikiran mereka. Selain itu rumah tangga yang
porak peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga menyumbang kearah kelakuan
tidak baik di kalangan remaja .Sekiranya ini berlaku pelajar atau remaja akan
mengambil jalan singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat sebagai jalan
keluar kepada permasalahan mereka.
3.0.3 Ponteng Sekolah
Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial yang baru di kalangan
pelajar sekolah di negara kita. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pendidikan menunjukkan pelajar terbabit dengan gejala itu agak membimbangkan iaitu
32092 orang pada tahun 1993, 154305 (1995) dan 80937 pada 1997. Pelajar sekolah
menengah, terutama di peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti sebagai
kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng. Daripada keseluruhan pelajar
yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah dari
kalangan pelajar lelaki dan baki 3 peratus adalah pelajar perempuan.
Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan , Datuk Mahadzir Mohd Khir ,
masalah ponteng lebih ketara berlaku di kalangan pelajar peringkat menengah iaitu
tingkatan dua dan tiga terutama mereka yang bersekolah di kawasan bandar dan
sekolah di pinggir bandar.

Di antara faktor-faktor yang menyumbang kearah berlakunya gejala ponteng di


kalangan pelajar sekolah ialah tiadanya minat atau motivasi untuk ke sekolah, tiada
kesedaran betapa pentingnya ilmu pengetahuan , pengaruh persekitaran seperti
melepak di pusat hiburan, pusat membeli belah, melayari internet di kafe siber dan
terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya. Sesungguhnya gejala ponteng
sekolah adalah masalah serius yang perlu diberi perhatian.dengan mengambil
pendekatan bersepadu dengan mengesan punca pelajar terbabit dengan gejala itu dan
kaedah yang berkesan untuk menanganinya..
3.0.4 Black Metal
Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan gejala sosial kian meningkat. Yang
lebih menyayatkan adalah gejala ini seolah-olah epidemik atau wabak yang menjangkiti
remaja melayu babak demi babak, peringkat demi peringkat dan yang terakhir dan
masih terasa bahangnya ialah masalah Black Metal dan kini Pink Metal. Semua ini
sebenarnya adalah masalah lama yang diberi manifestasi baru kerana kelekaan sendiri.
Masalah Black Metal misalnya merupakan masalah masyarakat yang telah
membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu kekosongan atau
vacum yang kaku dan bisu. Kegiatan Black Metal adalah suatu kegiatan yang
mempunyai unsur pemujaan dan penyembahan syaitan malah ada pengikut mereka
yang sudah meminum darah kambing sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka..
Hasil daripada siasatan, polis mendapati 10 pelajar dari sebuah sekolah menengah di
Parit Buntar mula terbabit dengan kumpulan Black Metal sejak 1999. Ada diantara
pelajar berkenaaan terbabit dalam upacara membakar ayat Al Quran dan mengikuti
upacara yang diketuai `tok guru` yang berselubung hitam.

Akibat dari ketandusan aqidah , pelajar Islam mula terpengaruh dengan agenda Yahudi
dengan menafikan tauhid Uluhiyyah. Adalah menjadi perkara yang sangat
menyedihkan dan mengecewakan apabila terdapat golongan pelajar Islam di negara ini
yang terpengaruh dengan budaya yang kurang sihat ini. Ilmu dan pengajaran daripada
simpulan bahasa dan perumpamaan melayu misalnya, tidak langsung mendapat
tempat sebagai pegangan hidup kita.

Membenteras gejala negatif ini merupakan tanggungjawab sosial semua pihak dari
seluruh anggota masyarakat. Usaha ini memerlukan kerjasama yang padu di kalangan
anggota masyarakat. Dengan komitmen, kesungguhan dan keikhlasan semua pihak,
gejala ini akan dapat ditangani dengan sebaiknya, tanpa kita membebankan mana-mana
pihak.
3.0.5 Dadah, Merokok dan Lari Dari Rumah
Penglibatan pelajar sekolah di negara kita dalam kes merokok, dadah, lari dari rumah
dan judi bukanlah perkara yang baru. Bagi kesalahan menyalahgunakan dadah yang
dilakukan oleh pelajar sekolah bagi tahun 1999 ialah sebanyak 328 kes manakala bagi
tahun 2000 ialah sebanyak 448 kes. Diantara jenis-jenis dadah yang dikesan
dikalangan pelajar ialah ganja, heroin, pil ectasy, menghidu gam, meminum ubat batuk
dan lain-lain bahan yang mempunyai kesan-kesan dadah. Akhbar Utusan Malaysia yang
bertarikh 25.08.2000 melaporkan bahawa 10 orang pelajar ditahan dalam serbuan polis
yang disyaki ponteng dan menghidu gam.

Masalah merokok di kalangan pelajar pula semakin bertambah bilangannya dari sehari
ke sehari. Akhbar Berita Harian bertarikh 30.03 1998 melaporkan terdapat lebih 7000
murid tahun 4 telah merokok diseluruh negeri. Terdapat beberapa sebab pelajar
merokok seperti ingin menonjolkan emej yang hebat dan kedewasaan, ingin mencuba,
dan mengikut tingkah laku ibu bapa , pengaruh rakan sebaya dan iklan serta mudah
diperolehi di pasaran. Manakala satu lagi kesalahan yang selalu melibatkan para remaja
ialah lari atau hilang dari rumah. Statistik untuk tahun-tahun kebelakangan ini

menunjukkan remaja yang lari atau menghilangkan dari rumah semakin


membimbangkan Masalah ini mungkin akan menyebabkan wujudnya masalah yang lebih
besar apabila mereka menghadapi kesulitan hidup setelah dari dari rumah seperti
terlibat dalam pelacuran, pelayan di kelab malam atau disco dan sebagainya.
4.0 Penutup
Melihat kepada permasalahan dan gejala sosial yang melanda para pelajar dan remaja
kita pada hari ini amatlah mencemaskan. Tindakan untuk mengawalnya sudah sampai
ke tahap yang dianggap terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan negara dan
generasi Malaysia. Walaupun sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak
mengenai sikap dan tingkahlaku pelajar dan remaja tetapi kajiannya lebih bersifat
tujuan akademik dan tertumpu kepada punca masalah dan biasanya bersifat umum
sahaja. Di sebabkan terlalu banyak punca yang diramalkan , tindakan untuk
membendung masalah tidak lagi berfokus.

Meskipun ada cadangan mengenai cara mana mengatasi masalah, namun ia hanya
berakhir di meja perbincangan, forum atau seminar. Memang ada program yang
dirangka untuk remaja dan pelajar tetapi ianya hanya memberi manfaat kepada
segelintir mereka sahaja dan lebih bersifat komersial.. Ibu bapa, guru-guru, dan
masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam memikul
tanggungjawab mendidik anak-anak dan para pelajar. Sebagai masyarakat mikro,
sekolah sepatutnya mempunyai ciri-ciri yang ada dalam masyarakat makro. Oleh itu
adalah wajar supaya pelajar didedahkan akan kesan buruk dalam masyarakat malalui
interaksi mereka di sekolah. Kerajaan juga perlu melancarkan satu kempen yang
menyeluruh untuk menyedarkan remaja dan pelajar supaya menghindarkan diri dalam
apa jua bentuk gejala buruk yang boleh merosakkan diri dan nama baik keluarga
mereka. Golongan ini juga perlu didedahkan dengan pengetahuan undang-undang agar
mereka gementar dengan hukuman.

Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan
negara.. Mereka adalah aset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan
penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian,
masalah akhlak di kalangan remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber
tenaga manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu
segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan di atasi
supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap aset yang tidak ternilai ini.

http://mykaunselor.tripod.com/sosial.html

Anda mungkin juga menyukai