Anda di halaman 1dari 8

HIBURAN MELAMPAU

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN


RAMAI wartawan menghubungi saya bertanya pendapat tentang beberapa tindakan artis kita yang
menimbulkan berbagai-bagai kontroversi. Saya menangguhkan jawapan terhadap kebanyakan soalan itu
bimbang nanti disalahtafsirkan. Biar saya sendiri yang menulisnya agar lebih jelas maksud saya.
Sebelum saya pergi lebih jauh, wajar dijelaskan terlebih dahulu bahawa saya bukan antihiburan atau
seni. Sebabnya, Islam itu bukan agama antihiburan dan seni. Cuma setiap perkara dalam Islam, ada
batasan dan disiplinnya.
Dalam sahih al-Bukhari, al-Rubaiyi binti Muawwiz menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. datang
ke majlis perkahwinannya dan mendengar beberapa orang gadis memukul kompang dan
menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa Peperangan Badar
sehingga salah seorang daripada mereka berkata: Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa
yang akan berlaku pada hari esok. Baginda bersabda: Jangan engkau kata begitu, katalah apa
yang engkau katakan sebelum itu.
Dalam hadis tersebut baginda tidak melarang hiburan pada hari keramaian seperti perkahwinan. Cuma
baginda melarang ungkapan atau lirik yang salah. Hanya yang mengetahui apa yang akan berlaku esok
hari ialah Allah. Maka baginda membetulkannya.
Baginda bertindak bagaikan lembaga penapisan dan penilaian seni atau hiburan agar tidak menyanggahi
batasan agama yang murni ini.
Islam tidak jumud sehingga menjadikan hidup ini kaku dan tidak ada langsung rempah-ratus kehidupan
yang diselang-seli oleh hiburan dan keseronokan dengan kadar yang tidak melampaui batas sehingga
boleh menghilangkan matlamat hidup yang sebenar.
Dalam riwayat al-Bukhari juga daripada Aisyah bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki
Ansar, maka baginda bersabda: Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang
Ansar sukakan hiburan. Dalam hadis yang bertaraf hasan yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan alTirmizi, baginda bersabda: Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan
suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan
diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.
Kegembiraan pada hari perkahwinan dizahirkan secara nyata dengan hiburan kompang atau alatan yang
lain dan suara. Suara di sini ada yang mentafsirkannya sebagai iklan pernikahan. Juga boleh ditafsirkan
sebagai nyanyian seperti hadis al-Bukhari sebelum ini.
*Masjid
Bahkan baginda mengizinkan pertunjukan yang menghiburkan di masjid sekalipun. Ini seperti
hadis al-Bukhari. Kata Aisyah r.a: Suatu hari Rasulullah s.a.w. berada di pintu bilikku, ketika itu
orang-orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda melindungiku dengan
selendangnya agar aku dapat melihat kepada permainan mereka. Kemudian baginda bangun
keranaku sehingga aku beredar (bosan). Kamu andaikan kadar seorang anak gadis yang muda
yang berminat dengan hiburan.
Hadis-hadis ini menunjukkan keizinan Islam untuk penganutnya menikmati hiburan dengan batasan yang
ditetapkan. Ini kerana hidup yang diciptakan Allah akan menempuh berbagai-bagai situasi dan keadaan.
Kadangkala ia memerlukan kerehatan dengan hiburan yang berprinsip bagi membantu melegakan
ketegangan urusan hidup. Juga hiburan membantu memeriahkan acara yang patut dihidupkan suasana
kegembiraan seperti perkahwinan atau Hari Raya.
Di samping itu, ada pula insan lain yang tidak memerlukan itu semua. Maka hiburan bukan suatu
kemestian tetapi suatu keizinan dan peluang untuk insan. Atau paling tinggi suatu galakan Nabi untuk
suasana tertentu. Justeru, hiburan bukan fokus utama dalam masyarakat Islam. Ini kerana, hiburan jika

berlebih-lebihan maka ia akan mengganggu tumpuan hidup umat yang agung iaitu menjadi khalifah
dengan membina tamadun yang bertunjangkan akidah dan pengabdian diri kepada Allah dan membawa
rahmat untuk manusia sejagat.
Keizinan Nabi untuk para sahabat menikmati hiburan dengan kadar yang munasabah tidak pernah
mengganggu mereka membawa misi agung yang disebut oleh Ribi bin Amir di hadapan angkatan tentera
Parsi: Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari
pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada
keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.
Malangnya, apa yang kelihatan dalam masyarakat Muslim kita, hiburan yang merupakan keizinan untuk
meredakan ketegangan urusan hidup atau sebagai peluang menikmati keseronokan telah dijadikan fokus
utama dalam kehidupan. Media seakan mengajak generasi kita menumpukan sepenuhnya kemampuan
diri untuk berlumba-lumba di bidang hiburan. Sehingga jika dilihat kepada media elektronik dan cetak,
seakan tidak ada agenda lain yang lebih utama dalam kehidupan generasi baru dari berhibur dan
berseronok sepanjang masa.
Hiburan yang diizinkan dengan kadar yang munasabah telah menjadi candu dan barah yang membunuh
tumpuan remaja dan para pemuda untuk membina tamadun secara bermaruah dan merdeka.
Lebih buruk lagi, kebanyakan hiburan yang disebarkan itu bukan sahaja tidak mempunyai nilai
kesopanan dan tamadun, bahkan sebahagian adalah lambang keruntuhan akhlak dan
ketidakmerdekaan jiwa. Sebahagian yang melibatkan diri dalam dunia hiburan itu; kisah, pakaian,
bahasa dan gaya mereka bukan sahaja tidak memperlihatkan kematangan dan tamadun, bahkan
menonjolkan ciri-ciri kebodohan diri. Lihat sahaja sesetengah adegan lawak jenaka zaman kita
atau aksi sesetengah artis.
Di samping itu, acuan atau reka bentuk hiburan itu sendiri gagal menunjukkan jati diri umat yang
mempunyai tamadun dan budaya yang tersendiri. Lihat sahaja nama-nama program realiti hiburan yang
ditampilkan, kebanyakannya melambangkan jiwa yang tidak merdeka yang menceduk dari reka bentuk
sehingga ke nama program pun tidak mampu diubah.
Para penggiat hiburan, ramai yang menjadikan Barat kayu ukur dalam kegiatan mereka. Maka sehingga
ada yang merasai gelagat buruk artis Barat sama ada Paris Hilton atau Britney Spears atau seumpama
mereka mempunyai nilai seni yang tersendiri.
Mereka lupa bahawa Barat sedang mengalami keruntuhan moral yang parah disebabkan para artisnya.
Nilai-nilai buruk dan hodoh telah bertukar menjadi sesuatu yang normal dalam kehidupan mereka
sehingga merosakkan ikatan keluarga, budaya asal mereka bahkan agama mereka sendiri. Para artis
mereka adalah lambang dan penyumbang kepada keruntuhan tersebut.
Namun Barat masih mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya mereka telah berjaya membina tamadun
kebendaan yang hebat yang menjadikan mereka dipandang megah oleh dunia. Maka kecuaian mudamudi mereka masih dapat ditampung dengan tamadun kebendaan yang telah mereka bina. Untuk
mereka melangsungkan apa yang sudah mantap tidaklah begitu sukar.
Juga, aktiviti hiburan mereka telah membawa pulangan ekonomi yang tinggi. Ini kerana, dunia lain
memandang tinggi jenama mereka dan sanggup membayar harga untuk menikmati hiburan mereka.
Adapun kita, belum berjaya membina tamadun kebendaan, mahupun budaya seperti mereka. Lebih
malang lagi, kegiatan seni kita lebih banyak membazirkan wang bangsa sendiri dan gagal menghasilkan
pulangan ekonomi untuk negara.
Dalam keadaan kita yang dilanda berbagai-bagai masalah yang gagal diselesaikan dengan kadar
yang selesa; dadah, kerosakan akhlak, gejala jenayah remaja, malas, sikap tidak bertamadun anak
bangsa; adakah patut kita fokuskan tenaga dan kemampuan remaja kita ke arah hiburan tidak
berhenti-henti atau hiburan tanpa sempadan? Program realiti hiburan ada yang telah
memerangkap cita-cita hidup anak muda sehingga gagal memikirkan kemampuan diri selain dari
menjadi artis segera.

Namun perkara yang paling realiti bagi setiap program realiti hiburan itu adalah penajanya mengaut
untung gila-gila sementara kerugian langsung atau tidak langsung ditanggung oleh anak dan bapa orang
kita.
Sekali lagi, saya bukan antiartis, hiburan dan seni. Anda boleh baca temu bual dengan saya oleh majalah
Pentas terbitan Istana Budaya. Namun saya sedang membicarakan soal untung rugi jangka masa
panjang terhadap umat jika terus dibiarkan generasi kita tenggelam dalam arus hiburan tidak berdisiplin
yang sedang pesat sekarang.
Saya tidak antiartis secara melulu. Bahkan saya tahu ada artis-artis yang ternama juga membaca artikel
saya. Setiap orang ada sumbangannya. Namun saya mengharapkan agar kegiatan seni tidak melanggari
disiplin agama dan memusnah masa depan bangsa. Hiburan kita seakan hilang arah. Dalam banyak hal,
kelihatan tidak banyak memberi sumbangan kepada pembangunan peradaban dan ketamadunan umat.
Islam bukan jumud yang menuntut agar filem atau artis yang berdisiplin mesti mempamer lebai atau
kopiah di atas kepala atau dibacakan nas-nas agama. Yang penting ialah disiplin dalam penampilan dan
kandungan. Sekadar bersongkok atau berkopiah belum tentu isi seninya tidak melanggar batasan Islam.
Dalam industri perfileman, saya rasa kita boleh puji Iran. Walaupun saya dalam banyak perkara pokok
dan cabang amat berbeza dengan mazhab utama negara tersebut. Namun saya akur industri filem di Iran
telah berjaya pada suatu tahap menghasilkan filem-filem yang mempunyai disiplin yang tinggi dan
kualiti yang baik. Bahkan banyak juga filem mereka yang memenangi berbagai anugerah di peringkat
antarabangsa. Tanpa perlu mempamerkan watak yang menyanggahi agama atau menceduk aksi dan
watak Barat, filem Kasut dari Iran berjaya memenangi anugerahnya.
Pihak yang diberikan bajet besar untuk kemajuan Islam pula hendak merancang agar media benar-benar
dimanfaatkan untuk pembangunan umat. Media adalah kuasa ajaib di zaman ini. Janganlah program kita
hanya stereotaip yang tidak boleh dipasarkan untuk generasi baru.
Kepentingan menguasai media atau memanfaatkannya lebih utama dari memikirkan bagaimana
mengelakkan Mufti Perlis daripada muncul dalam Forum Perdana. Sehingga hari ini para penggiat seni
tidak mempunyai penasihat seni dari sudut agama yang praktikal dan produktif.
Anugerah-anugerah prestij agama yang sudah bersifat muzium itu patutlah digantikan dengan
anugerah-anugerah lain yang lebih utama untuk difokuskan. Anugerah filem yang berkualiti dan tidak
menyanggahi syariah umpamanya mungkin boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan seni yang
lebih berdisiplin.
- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Diambil dari Utusan Online

RAKYAT KETAGIH HIBURAN


Fenomena hiburan melampau sememangnya menakutkan saya. Kalau di Ireland, rancangan
realiti TV mencari bakat baru berlangsung satu demi satu, tetapi di Malaysia, lima program
berjalan serentak. Ada untuk remaja, ada untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa dan ada
juga untuk orang tua yang sudah senja. Lagu-lagu lama muncul kembali supaya jiwa rakyat
yang hari ini telah beruban, terusik kembali untuk mengenang zaman remaja mereka di
taman-taman bunga. Semua berhibur, semua berkhayal dan semua terbang ke cloud nine
masing-masing.

Iklan mesti menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone telefon bimbit juga
mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama juga mesti ada unsur hiburan. Mana-mana
agenda yang tiada unsur hiburan dengan sendirinya terpinggir. Kehidupan masyarakat kita
sudah 'entertainment centered'. Segala keperluan hidup diarahkan kepada hiburan malah
wang yang dicari dengan penat lelah, amat mudah ditaburkan kepada sms demi
memenangkan idola masing-masing. Akhirnya terhibur menjadi tujuan hidup! Mana-mana
yang tidak menghiburkan, tiada makna dan tiada nilai.

Namun, mungkin akibat desakan kemahuan Islam yang masih ada nyawa, suara-suara
menegur masih kedengaran walaupun tidak begitu diendahkan. Mufti berfatwa, pendakwah
menegur, pemimpin mengeluh. Namun untuk berundur daripada dunia hiburan, jiwa sudah
ketagihan. Bagai penagih yang keluar masuk pusat serenti, begitulah rakyat yang sudah
ketagih hiburan. Sembahyang, sembahyang juga. Tapi kemudian kembali berhibur. Tarian
dan lagu-lagu pathetic terus didendangkan, namun nama-nama Tuhan diselitkan jua.
Akhirnya muncullah suatu trend baru dalam masyarakat kita di mana Islam menjadi
kosmetik paling murah tapi laku.

Persoalannya, salahkah berhibur? Tentu tidak salah... namun hiburan yang bagaimana?
Mentor saya memberikan analogi yang menarik. Katanya, nasyid umpama iklan. Iklan yang
berkesan adalah iklan yang berjaya meningkatkan penjualan produk. Tetapi jika yang
dikenang hanyalah iklan dan kecantikan paras rupa modelnya, sedangkan barangan tidak
terjual malah tersisih dari pasaran, maka iklan itu sudah tersasar. Produk yang diiklankan,
pelakon iklan yang naik saham!

Nasyid menjadi wadah 'mempromosikan' Islam dengan citarasa yang kontemporari. Nasyid
bertujuan 'memperkenalkan' Tuhan. Namun bagi yang mendengar nasyid cintan cintun dan
rap sampah sarap hari ini, berapa ramai yang 'membeli' Tuhan? Adakah cinta kepada Ilahi

meningkat selepas menghayati nasyid seperti itu? Walaupun ada penyanyi wanita tergamak
mengheret jubah dan tudung ke pentas tari menari, atau yang lelaki menyelitkan kalimahkalimah Arab di celah caca merba nyanyiannya itu, persoalannya yang manakah yang laku?
Adakah Islam semakin laku? Adakah Tuhan semakin dibesarkan? Amat pelik, jika nasyid itu
kononnya mempromosikan Islam tetapi Islam tetap tidak laku di pasaran. Jika ia sebuah
iklan, maka nasyid hari ini menjadi contoh iklan yang tidak berkesan. Iklan laku, barang tak
laku. Nasyid laku, Tuhan tetap terpinggir dan dilupakan.

APAKAH SEMUA INI?


Inilah soalan yang membingungkan saya. Kita melihat bagaimana menyebut kalam-kalam
iman seperti Insya Allah, Alhamdulillah, Syukur, Ameen dan lain-lain sudah menjadi seperti
adat. "Semoga Tuhan memurahkan rezeki saya dalam bidang ini!", Tuhan mana yang
mengurniakan kemurahan rezeki dalam bentuk maksiat dan kebinasaan jati diri? Kepada
Tuhan manakah, si artis tadi berdoa? Habis, apa ertinya mereka yang berpenat lelah
melawan hawa nafsu dan syaitan dalam kehidupan sedangkan dalam keadaan menaja
maksiat, Tuhan masih mengurniakan kemurahan rezeki? Saya masih ingat bagaimana salah
sebuah kumpulan ditemuramah oleh televisyen tentang rahsia kejayaan dan keyakinan diri
mereka. Mereka menjelaskan bahawa mereka ada sejenis meditation. Apabila diminta
membuat demonstrasi, mereka yang terdiri daripada beberapa lelaki dan seorang
perempuan berpegangan tangan membentuk bulatan dan... AL-FATIHAH! Selepas itu ketua
kumpulan membacakan doa sambil menadah tangan, memohon supaya Allah melindungi
band mereka dari kekalahan dan mala petaka bahaya.

Terpegun saya menontonnya.

Wartawan tersebut pula mengucapkan syabas kerana walaupun kumpulan tersebut


menyanyikan lagu kontemporari dan moden, tetapi masih tidak lupakan agama!

Bingung saya memikirkan hal ini. Apakah sebenarnya kefahaman mereka tentang Islam?
Adakah mereka benar-benar memaksudkan bahawa Allah, Tuhan Muhammad, Tuhan Abu
Bakr, Tuhan Imam Syafie, adalah Tuhan yang sama boleh mengurniakan keredhaanNya
kepada acara henjut-henjut mereka di dalam konsert tersebut? Apakah

pelajar-pelajar

Akademi Fantasia benar-benar percaya bahawa di alam bukan Fantasia, Allah SWT telah
menghalalkan

perlakuan mereka hanya kerana sebelum jamming, mereka memberikan

salam? Seperti orang yang makan daging yang unknown, baca sahaja Bismillah dan baham!
Lantaklah daging tu babi ke atau lembu mati dilanggar kereta, yang penting tadi Bismillah
telah dibaca. Err... saya benar-benar kebingungan.

Akhirnya, saya sampai kepada suatu kesimpulan. Saya terkenangkan kepada hadith riwayat
Huzaifah, bahawa Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan bahawa di akhir zaman,
kebenaran itu masih bertahan tetapi bezanya dengan Islam di zaman silam ialah, Islam di
akhir zaman ini berdebu, samar-samar dan berasap. Jika realiti di akhir zaman ini begitu, ini

bererti Islam tidak boleh dinilai dengan pandangan mata biasa kerana di dalam suasana
yang berdebu lagi berasap, dua biji mata di kepala ini akan kemerah-merahan, kabur, berair
dan kelam penglihatannya.

Sesungguhnya yang perlu dicelikkan demi mencari kebenaran di akhir zaman, adalah mata
hati! Hati telah kenal Tuhan kerana dia datang dari Tuhan. Dia tahu di mana nilai kebenaran.
Sebab itu Nabi Muhammad SAW menyuruh kita meminta pandangan hati dalam menilai
kebenaran. Dosa itu adalah apa yang mendatangkan keresahan di hati dan kebaikan pula
mententeramkan jiwa. Asalkan hati itu bersih, ia akan meilhat dengan pandangan Allah.
Pandangan Allah itu adalah world view yang berasaskan tauhid. Tauhidic Mindset itu adalah
suatu pandangan yang menilai kehidupan ini berasaskan pandangan Tuhan. Apa yang baik
di sisi Allah, baiklah padanya, dan apa yang keji di sisi Allah, kejilah terhadap dirinya.
Hakikat ini tidak dapat dicapai oleh mata kasar, namun yang perlu disuburkan adalah pada
mata di hati yang kenal Tuhan dan tahu ke mana ia patut pergi.

Oleh yang demikian, adanya rap dan pop yang dinasyidkan, adanya penari dan penyanyi
yang bertudung dan berjubah, adanya juara Akademi Fantasia yang berlatar belakangkan
agama, hanyalah kosmetik Islam. Kita masih mahu berhibur tetapi kita sedar yang kita
sudah terlalu terhibur. Kita sedar hiburan kita sekarang adalah dosa. Maka dengan adanya
kosmetik Islam tersebut ia dapat mengurangkan rasa berdosa. Sama seperti seorang artis
yang pergi umrah. Menangis-nangis di depan Kaabah dan kemudian balik ke KL berdansa
semula.

Namun

Sedangkan

tidak

diceritakan
sedikit

kepada

pun

wartawan

kemungkarannya

perasaannya
yang

semasa

ditinggalkan.

berumrah

Namun,

itu.

dengan

menggunakan hasil nyanyian itu untuk mengerjakan umrah, ia dapat mengurangkan rasa
berdosa tersebut. Sama juga seperti orang yang menyamun harta orang lain, menipu dan
menindas, kemudian sedekah sedikit hasil kerjanya itu kepada rumah kebajikan. Kurang
sedikit rasa berdosa.

Sedangkan apa yang saya belajar, apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di dalam
pengajarannya ialah: MEMBUANG RASA BERDOSA KETIKA MASIH MELAKUKAN DOSA
ADALAH SEBESAR-BESAR DOSA! Allah.. selamatkan kami dari fitnah akhir zaman.

http://saifulislam.com/artikel/trenddosa.html
Sejak akhirakhir ini masalah jenayah menjadi satu perkara yang serius dalam Negara kita.
Setiap hari pasti ada satu berita yang meletup dan sensasi tentang gejala yang semakin
membobrokan itu. Apa yang mendukacitakan ialah masalah yang kini menjadi siulan ramai turut
diwarnai dengan penglibatan remaja yang berpelajaran tinggi. Kes curi motor, lumba haram,
berpeleseran dan pelbagai lagi seakan direstui amalannya dikalangan mahasiswa yang
menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Ragam anak kota ini semakin menjadijadi
dan meresahkan semua pihak. Antara jalan penyelesaian yang perlu diambil kira oleh pihak
universiti ialah menjadikan universiti sebagai pusat intelektual. Ini kerana universiti merupakan
sebuah tempat yang melahirkan graduan cemerlang untuk menjadi pemimpin Negara pada

masa akan datang. Di samping itu, mentaliti dan pandangan mahasiswa di universiti sering
menjadi sumber rujukan masyarakat. Justeru amat rugi sekiranya mahasiswa yang berdiri di
atas nama orang yang berpendidikan, goyah dan berkelakuan tidak senonoh sehingga terbabit
secara langsung dalam aktiviti dan gejala kurang sihat.
Selain itu, budaya hedonisme atau budaya hiburan yang melampau semakin menggila di
kalangan penuntut universiti. Bahkan budaya hiburan sering menjadi agenda utama dalam
sesebuah universiti masa kini. Fungsi universiti sebagai pusat untuk memupuk budaya berilmu
semakin hilang dan tidak diyakini. Memang tidak dinafikan bahawa manusia memerlukan masa
untuk berehat dan berhibur tetapi sekiranya hiburan telah disalahguna maka manusia akan lalai
dan alpa. Inilah antara situasi yang berlaku di kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi.
Disebabkan terpengaruh dengan rakan sebaya ditambah pula unsur hiburan berlebihan dan
penekanan kepada budaya intelektual berkurangan maka hilanglah taring mahasiswa di mata
masyarakat. Selain itu, sikap sesetengah artis yang berkelakuan tidak sopan tidak wajar
dijadikan contoh oleh mahasiswa apatah lagi sebagai idola mereka.
Cukuplah konsert hiburan yang wujud disekitar ibukota. Jangan pula dicemari institusi pengajian
tinggi negara. Ini bagi merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara agar terus dihayati dengan
sempurna. Lantaran itu, seluruh IPTA diseru menjadikan Universiti Islam Antarabangsa sebagai
contoh dalam menyuburkan konsep ilmiah dan intelektual dikalangan mahasiswa. Konsep
Taman Ilmu dan Budi diperkenalkan dengan tujuan memupuk budaya berpengetahuan
sepatutnya dipuji dan dijadikan model kepada IPTA lain. Namun begitu tempias dari budaya
hedonisme dan hiburan melampau tetap dirasai di universiti tersebut. Justeru budaya
hedonisme perlu dihapuskan dalam institusi pengajian tinggi demi mengangkat nama baik
universiti. Bahkan mutu dan kualiti sesebuah universiti yang memperjuangkan budaya
intelektualisme dapat mengharumkan nama negara. Tambahan pula, pihak universiti perlu
menjadi perantara utama kepada rakyat dengan menganjurkan diskusi ilmiah dan forum
intelektual kearah melahirkan graduan bersahsiah dan mempunyai nilainilai murni. Ini sejajar
dengan saranan kerajaan untuk menyuburkan budaya budi pekerti dan etika kehidupan yang
tersusun.
Oleh itu, diharapkan agar pihak universiti dapat memantau budaya hiburan yang semakin
menjadi di pusat pengajian tinggi. Di samping itu diharapkan agar konsep Islam Hadhari dapat
membendung budaya hiburan melampau dan menyuburkan budaya intelektualisme di kalangan
mahasiswa.
KERATAN AKHBAR
Kesal TV3 belanja RM7 juta untuk galakkan hedonisme
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) - Tindakan TV3 yang sanggup membelanjakan RM7 juta untuk sebuah
program pertandingan nyanyian berkumpulan baru-baru ini amat dikesali dan didakwa mencambahkan budaya
hedonisme yang semakin parah di kalangan remaja di negara ini.
Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk
melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.
AJK PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata hiburan melampau atau hedonisme yang lahir daripada program-program
realiti TV semakin tidak terkawal dan mengakibatkan kesan yang huruk kepada akhlak dan fikrah remaja yang
secara langsung mendatang kesan sosial yang kronik kepada negara.
"Adalah lebih mulia dan baik bagi media seperti TV3 menyumbangkan jutaan ringgit itu kepada mereka yang
memerlukan daripada menggalakkan masyarakat lalai dan khayal dengan hiburan supaya lari daripada menghayati
realti kehidupan yang sebenar," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Seiring dengan rancangan Bersamamu yang mengalakkan rakyat dan penonton menderma kepada yang susah, Tv3
sepatutnya menjadi contoh terlebih dahulu dan melakukan perkara yang sama,bukannya mementingkan nilai
komersial semata-mata yang ada antaranya merosakkan fikrah remaja" katanya lagi.
Tambahnya lagi, jika sebuah rumah kos rendah boleh dibina dengan jumlah RM30,000, dengan jumlah RM7 juta
tersebut sudah pasti dapat menyelamatkan ribuan rakyat yang hidup susah, merempat dan tiada tempat berteduh
akibat daripada bencana alam, kemalangan ataupun disebabkan oleh kemiskinan.
Kos tersebut juga dapat menampung yuran persekolahan dan pendidikan bakal pemimpin masa hadapan seperti
anak-anak yatim dan anak-anak keluarga miskin yang semakin membebankan sehingga menyebabkan mereka
kandas dalam pelajaran dan tidak dapat meneruskan pengajian mereka.
Beliau diminta mengulas laporan bahawa rancangan Gang Starz terbitan TV3 yang menelan kos penganjuran dan
penerbitan terbesar berjumlah RM7 juta dan turut menyediakan hadiah wang tunai paling lumayan dalam sejarah
penganjuran pertandingan nyanyian di negara ini iaitu AS$100,000 (RM343,985) untuk juaranya.
Malah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato' Farid Ridzuan dilaporkan
memberi jaminan akan mengadakan rancangan dengan 'lebih hebat' pada masa akan datang.
Insya-Allah kami akan menganjurkan Gang Starz yang lebih besar pada tahun depan, katanya dalam satu sidang
akhbar.
Kata Idris,program dan rancangan hiburan seperti ini secara sedikit demi sedikit telah menerapkan nilai-nilai yang
rosak kepada pemikiran remaja yang mengakibatkan mereka lalai kepada pelajaran dan malas untuk meneruskan
pendidikan.
"Remaja akan berpendapat bahawa bakat lebih penting daripada ilmu pendidikan kerana program dan rancangan
hiburan telah 'mengajar' mereka menjadi sebegitu rupa,yang ahirnya mengabaikan pelajaran dan menggalakkan
ponteng sekolah" katanya lagi.
Selain itu dakwanya, budaya hedonisme ini dianggap sebagai salah satu agenda kerajaan dengan kerjasama media
untuk mematikan kesedaran politik di kalangan masyarakat khususnya para remaja supaya lupa dan tidak sensitf
kepada masalah yang berlaku dalam negara seperti gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, kadar jenayah yang
meningkat dan masalah beban kos sara hidup yang semakin tinggi dari masa ke semasa.
"Macam di Indonesia sewaktu era Suharto, rakyatnya digula-gulakan dengan hiburan melampau supaya lupa realiti
bahawa mereka terpaksa tidur di dalam kotak-kotak dan kaki lima," katanya
Jika tidak dibendung dengan segera kata Idris akan memberi implikasi yang besar dan kesan buruk akan dilihat
dalam jangka masa 50 tahun akan datang.
"Akan lahirlah generasi muda yang kosong pengisian ilmu dari sudut mental dan spiritual mereka, bila terlalu lalai
dan seronok dengan hiburan yang disogokkan," katanya lagi.
Isu hiburan melampau ini juga pernah diulas oleh Mufti Negeri Perak, Dato' Seri Dr Hj Harussani di dalam laman
web Jabatan Agama Islam Perak dua tahun lalu yang menyatakan bahawa umat Islam kini menghadapi krisis akidah
yang sangat membimbangkan dan pengaruh hedonisme, merupakan masalah utama yang melanda remaja masa kini
seperti leka asyik memuja artis @ idola mereka.
Harussani sebelum ini juga pernah mengeluarkan fatwa bahawa konsert 'Jom Heboh' anjuran Media Prima Berhad
sebagai haram di sisi agama.

Anda mungkin juga menyukai