Anda di halaman 1dari 1

PENDERAAN MEMBAWA PENDERITAAN

Penderaan merupakan perbuatan berbentuk dendaan atau hukuman terhadap individu di bawah jagaan
orang yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Lazimnya dendaan yang dikenakan itu kejam dan
melebihi had hukuman yang sewajarnya berdasarkan kesalahan yang dilakukan oleh mangsa yang
dijaganya. Penderaan ini menyebabkan kecederaan pada tubuh badan atau kesan terhadap emosi.

Kesan kecederaan terhadap fizikal mangsa adalah seperti parut akibat sebatan, cucuhan punting
rokok, tangan terseliuh, pekak dan kabur penglihatan. Kesan terhadap emosi pula adalah disebabkan
trauma atau fobia terhadap sesuatu penderaan yang pernah dialami.

Penderaan yang sering berlaku dalam masyarakat kita adalah terdiri daripada penderaan ibu atau
bapa terhadap anak, penderaan majikan terhadap pembantu rumah, penderaan pembantu rumah terhadap
kanak-kanak di bawah jagaanya, dan penderaan suami terhadap isteri. Namun begitu, penderaan yang
amat tidak berperikemanusiaan ini lebih serius terhadap kanak-kanak.

Melalui beberapa kajian yang dijalankan didapati kebanyakan pendera kanak-kanak ialah ibu
bapa kanak-kanak itu sendiri. Bayangkanlah penderaan ini dilakukan oleh insan yang digelar ibu bapa.
Sedangkan haiwan pun tahu menyayangi anaknya.

Mengikut pakar-pakar psikologi dan sosiologi terdapat beberapa punca sebenar penderaan
berlaku. Salah satu daripadanya ialah ketengangan hidup yang penuh dengan persaingan, menyebabkan
ibu bapa melepaskan geram kepada anak-anak. Hal ini dikaitkan pula berubahnya corak keluarga, iaitu
pada masa ini kebanyakan keluarga ialah keluarga nukleus.

Kurangnya didikan agama dan moral turut dikemukakan sebagai sebab berlakunya penderaan, di
samping sejarah pahit ibu bapa dari segi penderaan yang dialami ketika mereka kecil dahulu.

Cara-cara mengatasi turut diperkatakan dan dilaksanakan. Salah satu cara adalah dengan
menyediakan talian terus bagi memudahkan orang ramai membuat laporan tentng kes penderaan yang
berlaku. Pelbagai kempen juga dijalankan untuk menyedarkan orang ramai tentang tanggungjawab
melaporkan kes penderaan kepada pihak berkuasa. Ceramah dan kursus dianjurkan untuk menambah
kefahaman tentang cara-cara membina hubungan mesra dalam keluarga serta mendisiplinkan anak-anak
dengan kasih saying, sabar dan tegas tetapi halus.

* Keluarga nukleus ialah keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak mereka sahaja *

Anda mungkin juga menyukai