Anda di halaman 1dari 9

BAB 2: Etika dalam Agama Islam

Setelah selesai Bab ini, anda akan dapat:


a) Menerangkan etika Islam dalam hubungan dengan manusia
b) Menyenaraikan etika Islam yang berkait dengan pekerjaan
c) Menghuraikan etika Islam dalam bidang perniagaan

3.1 Mukadimah
3.2 Akhlak dalam Islam
3.3 Etika hubungan sesama manusia menurut Islam
3.4 Etika kerja dalam Islam
3.5 Etika perniagaan Islam
Rujukan

3.1 Mukadimah

Seperti mana dinyatakan dalam Bab 2, salah satu sumber utama etika adalah agama.
Kebanyakan prinsip-prinsip etika yang diutarakan oleh agama-agama merupakan etika
mutlak. Bab ini membincangkan etika atau akhlak yang disarankan dalam agama Islam
khususnya yang berkait dengan hubungan dengan manusia, yang berkait dengan perniagaan
dan pekerjaan.
3.2 Akhlak dalam Islam
Akhlak berasal dari perkataan bahasa Arab akhlaq yang bererti perangai, budi, tabiat dan
adab. Akhlak bererti tingkah laku seseorang yang didorong oleh suatu keinginan secara sedar
untuk melakukan suatu perbuatan yang baik. Perkataan akhlak juga merujuk kepada budi
pekerti seseorang individu; iaitu kelakuan atau gerak geri seseorang. Etika Islam adalah
sinonim dengan akhlak.
Asas utama akhlak dalam Islam adalah al-Quran dan al-Hadith. Dalam masa yang sama,
Islam turut mengiktiraf sumber kemanusiaan yang terdiri daripada penakulan akal, naluri
serta pengalaman manusia. Bagaimana pun, akal dan pengalaman ini mestilah digunakan
dengan berpandukan al-Quran dan al-Hadith. Kombinasi sumber ketuhanan dan sumber
kemanusiaan ini menghasilkan etika Islam yang mantap bagi mendasari segala aktiviti
kehidupan manusia. Akhlak hendaklah diamalkan dalam pengurusan diri, rumah tangga,
berinteraksi dengan manusia lain mahu pun pentadbiran negara. Dengan perkataan lain,
gandingan teori dan amalan ini menjadikan etika Islam cukup lengkap untuk dilaksanakan
dalam segenap aspek kehidupan.
Etika Islam meliputi nilai positif dan nilai negatif Nilai positif merujuk kepada nilai yang
memberi kesan baik kepada hati dan diri manusia serta dituntut untuk diamalkan. Nilai
negatif pula meninggalkan kesan yang kurang baik dan wajar dihindari kerana mendatangkan
kemudaratan kepada banyak pihak. Dari aspek hubungan, etika Islam mengambil kira nilainilai dalam hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan sesama manusia hubungan dengan
alam sejagat. Dari segi skop nilai, etika Islam meliputi dimensi zahir (kelakuan) dan batin
(kejiwaan) manusia. Etika Islam diinterpretasikan melalui pendekatan lahiriah iaitu melalui
penampilan, sikap, perlakuan dan bahasa, mahupun pendekatan batiniah iaitu melalui hati
(Nor Azzah Kamri, (2007).

a) Apakah yang ditaksirkan sebagai akhlak menurut agama Islam?


b) Nyatakan sumber-sumber yang menjadi asas akhlak dalam Islam.

3.3 Etika Hubungan Sesama Manusia dalam Islam

Agama Islam mementingkan hubungan mesra antara manusia. Citra dan hati budi seseorang
itu bukan bergantung kepada bangsa, warna kulit, keturunan, pangkat atau hartanya, tetapi
diukur berasaskan ketinggian budi pekerti yang terpuji. Interaksi sesama manusia perlu
mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh Islam. Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya
membentuk satu masyarakat yang bersatu padu dan harmoni antara masyarakat Islam dan
bukan Islam di Madinah. Baginda telah memainkan peranan penting dalam mengimbangi
hubungan integrasi yang bersepadu antara masyarakat Islam dengan kaum Yahudi dan
Nasrani.

Ikhlas adalah syarat asasi dalam Islam. Sifat ikhlas ialah melakukan sesuatu amalan
tidak untuk keuntungan untuk diri sendiri, mencari pangkat dan darjat, inginkan
kemasyhuran, pujian atau dikenali seluruh dunia tetapi kerana Allah SWT. Sifat ikhlas
boleh diumpamakan seperti akar tunjang bagi sebatang pokok. Walaupun
tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat oleh pandangan mata,
namun ia menjadi penguat dan menyokong pokok itu tumbuh tegak dan teguh walau
pun dirempuh oleh angin kencang dan ribut yang melanda. Keteguhan peribadi
seperti ini akan melahirkan seorang yang mampu bertahan walaupun diuji dengan
pelbagai dugaan.

Amanah adalah suatu sifat dan sikap yang menunjukkan kesetiaan, ketulusan serta
kejujuran dalam hubungan sesama manusia. Amanah dalam hubungan sesama
bererti mesej yang disampaikan mestilah benar atau tidak tujuan mengkhianati
sesiapa. Nabi Muhammad s.a.w. digelar al-amin yang bererti orang yang amanah.
Tanpa sifat amanah hubungan sesama manusia tidak akan dapat menegakkan
kebenaran.

Hubungan sesama manusia perlu bersifat adil dan tidak berat sebelah atau
membawa kezaliman kepada pihak lain.

Rendah Diri penting dalam hubungan sesama manusia. Ketiadaan sifat merendah
diri akan menimbulkan sifat sombong atau membesarkan diri dan menunjuk-nunjuk
dalam diri. Justeru, sifat dan sikap merendah diri ini perlu diamalkan kerana sifat
sombong dan menunjuk-nunjuk akan membawa kepada kesusahan serta kesesatan.

Dengki ialah perasaan iri hati atau rasa benci terhadap seseorang. Biasanya perasaan
ini timbul pada seseorang manusia bila mana dia melihat orang lain mendapat
nikmat atau mempunyai kelebihan daripadanya kemudian dia mengharap semoga
nikmat dan kelebihan yang ada pada orang lain itu hilang dan berpindah pada
dirinya. Sifat dengki menghabiskan segala amal kebajikan seseorang. Seperti dengan
sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, Jauhilah oleh kamu sifat dengki itu,
bahawasanya perasaan dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api
memakan kayu yang kering.

Rasuah bukanlah fenomena baru. Ia adalah fenomena universal tanpa batasan


waktu dan tempat. Tiada negara boleh mendakwa ia boleh bebas dari jenayah
rasuah. Kewujudan rasuah bermula sejak sejarah peradaban manusia, dinodai oleh
sifat-sifat tamak dan haloba. Rasuah merupakan suatu jenayah berat yang mudah
menular dalam sistem hidup masyarakat. Islam melarang dengan tegas manusia
terlibat dengan gejala rasuah.

Bertengkar dapat juga diertikan dengan berbantah. Secara takrif yang agak lebih
tepat bertengkar dapat diertikan dengan bertukar fikiran untuk mencari
kemenangan tanpa hakim. Dengan demikian setiap perbincangan yang hanya
bertujuan untuk mencari kemenangan, kemegahan adalah tidak baik. Bertengkar
yang dibolehkan adalah untuk mencari kebenaran. Pertengkaran yang tidak diingini
4

dalam Islam yang dapat menimbulkan perselisihan faham dan pergaduhan atau
perkelahian akhirnya wujudlah permusuhan.

Fitnah dapat diertikan dengan menghasut yang bermaksud menyampaikan cakap


seseorang kepada orang lain dengan menambah di sana-sini supaya orang yang
mendengar menjadi benci dan naik radang. Perbuatan ini amat tidak disukai dalam
Islam sebab orang yang menghasut itu tergolong dalam golongan orang yang jahat.
Adapun Islam tidak menerima orang jahat itu sebagai saksi apa lagi untuk
mendengar cakapnya.

Mengumpat ialah memperkatakan seseorang di belakangnya. Biasanya yang


diperkatakan ini adalah sekitar kelakuan, keadaan badan, perangai dan sebagainya.
Islam melarang manusia mengumpat, iaitu memperkatakan keburukan seseorang di
belakangnya atau mereka-reka perkara dusta yang membabitkan seseorang untuk
tujuan memburuk-burukkannya supaya harga dirinya jatuh di tengah masyarakat.

Huraikan etika hubungan sesama manusia menurut agama Islam.

3.4 Etika Kerja dalam Islam


Akhlak (etika) kerja dalam Islam sebenarnya bermula dengan konsep dan pandangan Islam
terhadap kerja itu sendiri. Bekerja adalah untuk mendapat pahala di sisi Allah SWT. Paling
penting ialah untuk melakukan sesuatu yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
seseorang yang terlibat dengan apa jua jenis pekerjaan hendaklah sedar dan mengamalkan
berikut:

Seseorang yang mempunyai akhlak yang baik perlu melakukan sesuatu pekerjaan
dengan kemahiran dan ketekunan yang tinggi. Seseorang yang mempunyai akhlak
(etika) tidak akan bekerja sambil lewah atau melambatkan dalam menyiapkan
tugasannya dan tidak sekar melepas batuk di. Meskipun kerja itu dianggap
membosankan tetapi apabila pekerja itu mempunyai akhlak dan anggapan yang baik
terhadap kerja yang dilakukan maka kerja tersebut tidak dianggap sebagai bebanan.

Begitu juga dengan amanah diri pekerja. Amanah merupakan akhlak yang perlu
dipelihara oleh setiap pekerja sebagai teras keharmonian dan kejayaan sesebuah
organisasi. Amanah sangat berat dan ia perlu disampaikan dengan benar dan jujur.
5

Kejujuran dapat dilihat apabila seseorang pekerja itu melakukan tugas sepertimana
yang diarahkan oleh ketua atau majikannya mengikut garis panduan yang ditetapkan
dan tidak sama sekali melanggar batas peraturan. Sekiranya amanah dilakukan di
luar peraturan syarak maka pekerja itu boleh dianggap sebagai tidak berakhlak. Oleh
sebab itu, amanah itu perlu dipikul dan dijaga dengan baik.

Selain itu, akhlak (etika) kerja ini juga mempunyai hubungan rapat dengan faktor
masa atau bijak mengurus masa. Cendekiawan Islam menyifatkan masa itu sebagai
sesuatu yang hidup. Kehidupan tidak akan bererti melainkan masa yang digunakan
untuk beramal semenjak dari lahir hinggalah kepada saat yang terakhir. Bagaimana
seseorang menghargai nyawa yang ada padanya maka begitulah dia menghargai
masa.

Akhlak (etika) kerja juga menekankan aspek menjaga hubungan sesama rakan
sekerja. Hubungan ini penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang baik dan
menyeronokkan bukan membina permusuhan. Apabila hak sesama rakan dijaga
dengan baik maka ia akan dapat mewujudkan persekitaran kerja yang baik.
Persekitaran kerja yang baik dapat dilihat apabila pekerja saling tegur menegur,
memberi senyuman dan bertanyakan khabar. Hubungan yang baik ini juga akan
mewujudkan semangat bekerjasama, saling bantu-membantu, bertukar-tukar fikiran,
bersangka baik, nasihat menasihati dan sebagainya. Sebaliknya, sikap dan nilai buruk
seperti iri hati, hasut-menghasut dan berprasangka buruk perlu dijauhi serta
dihapuskan bagi mengelakkan sebarang ketidaksefahaman di tempat kerja.
(sumber: Mastura Mohd Zain, 2015. Institut Kefahaman Islam Malaysia IKIM)

Huraikan etika kerja yang harus diamalkan dalam dunia pekerjaan.

3.5 Etika Perniagaan dalam Islam

Menurut hadith, setiap peniaga perlu memahami bahawa pembabitan mereka dalam urusan
perniagaan adalah satu ibadat dan sangat dituntut dalam Islam. Namun begitu, setiap peniaga
Muslim wajar mengetahui dan memahami etika perniagaan Islam secara mendalam sebelum
berkecimpung dalam bidang perniagaan terutama dalam mengendalikan urusan jual-beli
bersama pelanggan. Berikut adalah beberapa etika (akhlak) perniagaan:

Etika perniagaan Islam ini adalah untuk


memastikan setiap peniaga yang
menceburi dalam bidang perniagaan
dapat mengelakkan diri daripada
segala sifat keji dan membiasakan
dengan sifat terpuji. Keadaan ini
penting bagi menjamin kepentingan
ummah dapat terpelihara daripada
segala unsur yang boleh mencetuskan perbalahan, ketidakadilan, pertikaian,
penindasan dan rasa ketidakpuasan hati dapat dihalang. Di samping itu, mereka
dapat melindungi hak kedua-dua pihak iaitu antara peniaga sebagai penjual dan
pengguna sebagai pelanggan barangan terbabit.

Hak kedua-dua pihak perlu dijaga bagi memastikan setiap perniagaan yang
dijalankan berlangsung dengan baik dan dapat menjauhi semua unsur penipuan.
Dalam al-Quran berulang kali mengingatkan peniaga supaya bersikap jujur dan
melarang keras melakukan penipuan serta penyelewengan dalam perniagaan.
Peringatan yang berulang kali ini menggambarkan bahawa penipuan dalam bentuk
dan kadar yang pelbagai adalah sesuatu yang sering terjadi dalam dunia perniagaan.

Penipuan daripada segala segi adalah haram dalam etika perniagaan Islam. Penipuan
akan merosakkan hubungan antara pembeli dan penjual, malah boleh mencetuskan
perbalahan dan pergaduhan yang berpanjangan. Oleh itu, sifat jujur peniaga dapat
menghindari kesan negatif terhadap perhubungan antara peniaga dan pelanggan
mereka.

Peniaga dianjurkan supaya menitikberatkan kualiti kerja atau hasil atas barangan
yang diniagakan. Adalah ditegah peniaga mengeksploitasi pelanggan dengan menjual
barangan yang berkualiti rendah pada harga yang tinggi semata-mata kerana tidak
ada orang lain yang menawarkan barangan yang serupa.

Kualiti produk yang rendah tidak dapat menjamin pembelian pada masa depan dan
tidak dapat menjamin kesetiaan pelanggan kepada barangan berkenaan.
Implikasinya akan membawa kepada kegagalan perniagaan. Barangan yang berkualiti
dengan harga yang berpatutan bukan saja dapat meningkatkan jualan tetapi juga
dapat menjaga reputasi perniagaan.

Peniaga perlu amanah. Islam melarang keras peniaga yang tidak amanah. Peniaga
tidak boleh membohongi dan mengkhianati pelanggan, menjual barangan dengan
harga terlalu tinggi dan melengahkan pembayaran kepada pengedar atau pembekal
barangan ke kedainya. Misalnya, dalam perniagaan menerusi internet walaupun
peniaga tidak bersemuka dengan pelanggan, namun mereka perlu menjaga amanah
dalam memastikan barangan yang ditempah itu sama kualitinya dengan barang yang
dipesan.

Peniaga yang beretika juga perlu menjalankan perniagaan dengan adil. Keadilan
bermaksud peniaga harus bersikap sederhana dalam semua perkara tanpa
menguntungkan sebelah pihak, layanan sama rata atau saksama terhadap semua
pelanggan, memberi pertimbangan yang adil dan tidak berat sebelah serta
memberikan hak kepada orang yang berhak. Kepuasan pelanggan adalah keutamaan
mereka.

Peniaga hendaklah sentiasa mengutamakan hubungan komunikasi antara


pelanggan. Ucap kata-kata manis, saling hormat-menghormati, lemah-lembut dan
cubalah mempertimbangkan kepentingan semua pihak.

Perniagaan hendaklah menjauhi daripada riba (usury). Amalan riba menindas


pengguna dan ianya adalah haram dalam Islam. Riba adalah suatu amalan yang
memberikan keuntungan kepada pemberi pinjaman/pembiaya walhal pihak pemberi
pinjaman tidak terdedah sedikit pun kepada sebarang risiko. Riba perlu dijauhi
kerana tergolong dalam dosa-dosa besar.

(sumber: Nor Hartini Saari, Fahami Etika Perniagaan dalam Islam, e-Muamalat,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM)

Bincangkan etika-etika yang harus dipatuhi oleh peniaga dan urusan jualbeli menurut agama Islam.

RUJUKAN

Mastura Mohd Zain (2010). Perniagaan/perdagangan Islam dan perlindungan pengguna.


Institut Kefahaman Islam (IKIM).
Nor Azzah Kamri (2007). Etika Islam: Satu Pengenalan.
http://azzahk.blogspot.com/2007/04/etika-islam-suatu-pengenalan.html
Ahmad Bashir Aziz (2009). Nilai dan etika pengurusan: Analisa dari perspektif agamaagama di Malaysia. Jabatan Pentadbiran Muamalat. Fakulti Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia
Nor Hartini Saari, Fahami Etika Perniagaan dalam Islam, e-Muamalat, Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia - JAKIM)

Anda mungkin juga menyukai