Anda di halaman 1dari 3

KARANGAN CEMERLANG SPM : Bahagian B (100 markah)

Arahan
Sebagai seorang pengawas, berikan pendapat anda tentang peranan-peranan yang
perlu dilakukan untuk membentuk murid yang berdisiplin.
Dalam meladeni arus pascamodenisme yang semakin mencabar dari semasa ke
semasa ini, nusa yang kita cintai ini semakin utuh dan terkenal di persada
antarabangsa. Jelas bahawa pembangunan negara kita semakin rancak dan selaras
dengan negara-negara maju yang lain bak aforisme yang sering diperkatakan, duduk
sama rendah berdiri sama tinggi. Namun begitu, dari segi pembangunan atau
pembinaan jati diri murid yang berdisiplin, negara kita masih belum berjaya
sepenuhnya. Semakin negara kita berusaha mencapai status negara maju, semakin
meningkat peratus pelajar sekolah yang terlibat dengan gejala-gejala yang tidak sihat.
Hal ini telah diakui oleh Datuk Ahmad Fuad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran
dalam satu program temu bual televisyen. Usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak
untuk mengatasi kemelut yang semakin meruncing ini. Saya sebagai seorang
pengawas yang telah diberikan mandat oleh pihak sekolah, mempunyai cara yang
tersendiri untuk membentuk murid yang berdisiplin. Izharnya, seseorang individu
yang bergelar pengawas berperanan penting dalam membantu pihak sekolah dalam
membentuk murid yang berdisiplin.
Peranan utama saya untuk membantu pihak sekolah dalam membentuk murid
yang berdisiplin adalah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sekolah
dengan sebaik mungkin. Hal ini saya anggap afdal kerana pengawas telah
diklasifikasikan sebagai orang kedua selepas guru dalam membentuk peribadi murid
yang mulia dan mengharmonikan sekolah. Soal membentuk dan melahirkan murid
yang berdisiplin amat penting kerana Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata, jika
kamu ingin mengetahui masa depan sesebuah negara, lihatlah generasi muda yang
berada di hadapan anda. Maka, kata-kata ini menunjukkan bahawa generasi muda
yang berdisiplin, berdedikasi dan beriltizam dalam setiap aspek amat penting kepada
negara dan jatuh bangun sesebuah negara bergantung kepada generasi muda itu.
Jadi, saya sebagai pengawas akan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan
sekolah dengan melakukan beberapa tindakan yang sewajarnya diimplementasikan
oleh seorang pengawas sekolah seperti menegur pelajar-pelajar yang berambut
panjang, memantau mereka yang berpakaian tidak mengikut spesifikasi yang
sepatutnya dan meleraikan pergaduhan antara mana-mana pelajar sekiranya
difikirkan tindakan itu tidak membahayakan nyawa. Tindakan-tindakan seperti ini
penting atau adiwarna diambil demi memastikan keadaan sekolah aman, sesi
pembelajaran (P&P) berjalan lancar dan perhubungan pelajar sentiasa terkawal.
Tuntasnya, penguatkuasaan peraturan sekolah merupakan elemen yang penting
dalam membentuk modal insan yang madani dan syumul.
Selain itu, modus operandi lain yang sepatutnya saya lakukan adalah
menunjukkan teladan yang baik kepada semua pihak terutama rakan murid dalam
semua aspek termasuk pemakaian, pertuturan, pembelajaran dan yang paling
penting, sikap dan perwatakan. Hal ini demikian kerana para pelajar atau murid
merupakan insan yang baru sahaja mengenali dunia sebenar. Ramai pelajar atau
murid yang masih mentah dan mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara
terutama. Jika persekitarannya baik, maka baiklah seseorang itu. Jika persekitaran
sebaliknya pula muncul, natijah yang membawa impak negatif akan menjuarai
tindakan seseorang. Jadi, para pengawas seharusnya berupaya menjadi suri teladan
kepada orang lain dan seharusnya memantapkan diri lagi dengan sifat-sifat yang
mulia dan berkarisma. Keupayaan untuk melakukan pengawasan dan pengawalan

secara berhikmah merupakan aset berharga seorang pengawas. Saya yakin dan
percaya bahawa para pengawas yang mempunyai keperibadian mulia seperti ini
sentiasa didambakan oleh para murid justeru menjadikan para pengawas ini sebagai
kawan. Jadi, kita seharusnya mendekati para murid itu dengan harapan agar mereka
akan menjadi seperti diri kita sendiri. Dengan itu, murid yang berdisiplin dapat
dibentuk manakala beban sekolah untuk memastikan semua murid berdisiplin dapat
dikurangkan. Senario ini persis slogan, hulurkan tangan ringankan beban. Oleh itu,
melalui peranan ini, saya berharap agar dapat membantu sekolah membentuk murid
yang berdisiplin di samping mengekalkan nama baik sekolah.
Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan
adalah sentiasa bersama dengan para murid yang bermasalah dengan nawaitu ingin
memberi nasihat dan panduan kepada mereka. Langkah turut serta ini menurut
seorang motivator terkenal, Dr. Hushim Yahaya merupakan langkah turun padang
yang akan merapatkan dan memantapkan hubungan pemimpin dengan pihak yang
dipimpin. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda, anak-anak yang dilahirkan ibarat
sehelai kain putih yang bersih lagi suci. Maka, terpulanglah kepada ibu bapa untuk
membentuk akhlak anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani. Melalui
sabda Rasulullah S.A.W. ini, dapatlah kita simpulkan bahawa anak-anak ataupun para
murid merupakan manusia yang memerlukan bimbingan dan dorongan daripada
semua pihak. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi anakanak. Sesetengah murid yang mempunyai masalah tidak mendapat perhatian
daripada ibu bapa yang sibuk bekerja akan melepaskan perasaan tidak puas hati
mereka itu di sekolah dengan melanggar peraturan sekolah bermotifkan dendam
untuk menyakitkan hati kedua ibu bapa. Saya berpendapat bahawa dengan cara
mendekati para murid serta bertanyakan masalah mereka, ini akan mengurangkan
rasa ingin memberontak dalam diri mereka. Dengan memberi nasihat dan
menyelesaikan masalah mereka melalui kaedah yang betul, hal ini secara tidak
langsung akan menarik minat mereka untuk menjadi murid-murid yang berdisiplin dan
berwawasan. Oleh itu, peranan seperti ini perlulah dimainkan agar masyarakat kamil
dapat diwujudkan.
Dalam pada itu, mengajak dan mendorong rakan-rakan melakukan kebaikan
merupakan satu tanggungjawab yang sepatutnya saya lakukan bersama dengan
murid-murid yang lain. Allah S.W.T. amat menyukai hamba-Nya melakukan kebaikan
dengan penuh ketakwaan. Justeru kita boleh memberi panduan, bimbingan dan
dorongan serta perangsang kepada para murid yang ingin melakukan kebaikan
dengan harapan mereka akan seronok dan teruja melakukan amalan murni ini kerana
ada orang atau pihak yang menyokong setiap perbuatan yang dilakukan mereka di
samping mereka mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T.. Selain itu, saya akan
berusaha sedaya upaya untuk sentiasa menanamkan sifat-sifat mahmudah dalam diri
mereka. Ramai pemikir termashyur seperti Confucius dan Socrates juga amat
menekankan penyemaian nilai-nilai moral dalam diri setiap manusia. Jadi, dengan
langkah itu, para murid akan lebih tertarik untuk melakukan kebaikan berbanding
keburukan. Izharnya, modus operandi seperti ini seharusnya saya lakukan demi
memastikan murid yang berdisiplin dapat dibentuk bak kata pepatah di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan.
Peranan saya yang terakhir adalah memastikan bahawa saya berfungsi sebagai
perantara yang berkesan antara para murid dengan pihak sekolah. Saya seharusnya
berupaya menyampaikan maklumat yang jelas kepada murid tentang pelaksanaan
peraturan dan undang-undang sekolah agar murid memahami dan menerima perkara
tersebut dengan sebaik mungkin. Manakala pihak sekolah yang terdiri daripada
pengetua dan lembaga disiplin sekolah serta kaunselor akan saya dan rakan-rakan
pengawas yang lain nyatakan permasalahan murid dengan penuh hikmah dan

sempurna. Saya merasakan bahawa kemampuan berkomunikasi secara berkesan


dengan rakan murid dan guru merupakan suatu aset penting. Apabila bercakap
dengan murid yang nakal, seharusnya saya menunjukkan sikap yang tegas. Apabila
menyampaikan pengumuman semasa perhimpunan, saya akan berusaha
menyampaikan informasi dengan jelas. Dengan ini, mesej pihak sekolah akan dapat
difahami oleh semua pihak. Jelasnya, peranan ini akan memantapkan hubungan murid
dengan pihak sekolah yang akhirnya membentuk disiplin murid.
Kesimpulannya, tiada penyakit yang tiada ubatnya, dan tiada racun yang tiada
penawarnya. Maka, modus operandi yang konkrit, sistematik dan pragmatik perlu
diimplementasikan secara berterusan agar murid yang berdisiplin dapat dibentuk.
Saya dan beberapa pihak yang lain seperti badan pengawas dan pihak sekolah akan
sentiasa menacri jalan atau alternatif untuk memastikan murid yang berdisiplin dapat
dibentuk dan hasrat kerajaan untuk melihat sifar masalah disiplin dapat
direalisasikan pada tahun 2020. Hasrat kerajaan untuk memperkukuh gagasan
1Malaysia akan tercapai dengan terbentuknya murid yang berdisiplin berteraskan nilai
perpaduan dan ketaatan. Saya berharap agar peranan yang saya kemukakan tadi
akan dapat saya realisasikan dan diadaptasi oleh rakan pengawas yang lain serta
pihak-pihak yang lain.

Anda mungkin juga menyukai