Anda di halaman 1dari 2

Dewasa kini, isu salah laku disiplin bukan sahaja sering menjadi buah mulut orang ramai malah

sudah menjadi isu basi yang meniti daripada mulut ke mulut jagatraya ini. Statistik menunjukkan
bahawa lebih daripada 53 peratus remaja Malaysia mengalami kebejatan moral yang kritikal dan
kerap kali menyumbang kepada peratus salah laku yang kian meningkat dari hari ke hari.
Kesedaran tentang peranan- peranan penting yang harus mereka galas di pundak mereka seperti
tidak mendapat tempat dalam sanubari mereka. Remaja sekolah kini masih leka dengan fantasi
dunia sehingga tidak mengamalkan moral- moral yang baik dan sukar untuk berdisiplin. Justeru,
sebagai seorang murid atau remaja sekolah, terdapat beberapa peranan yang dapat saya
sumbangkan untuk membantu pihak sekolah dalam membanteras salah laku disiplin rakan- rakan
di sekolah saya.

Pengawas sekolah berfungsi untuk membantu pihak sekolah serta guru- guru dalam
memastikan sekolah sentiasa dalam keadaan yang terkawal. Pengawas sekolah ini dilantik oleh
guru- guru dalam kalangan pelajar yang berdedikasi dan bertanggungjawab. Namun, saat ini,
terdapat segelintir pengawas sekolah yang bangga akan pangkat seterusnya menjadi malas untuk
melaksanakan tanggungjawab mereka. Oleh itu, peranan pertama yang mampu saya mainkan
ialah menjadi pengawas yang berkaliber serta tidak bangga akan pangkat saya. Dengan cara ini,
saya dapat membantu pihak sekolah mengurangkan salah laku disiplin. Contohnya, jika terdapat
pelajar yang membuli, saya boleh menulis nama mereka dan melaporkannya kepada pihak
pentadbir agar tindakan yang setimpal dapat diambil. Hal ini mampu mengurangkan bilangan kes
salah laku sekolah.

Selain itu, antara peranan yang boleh saya sumbang terhadap pihak sekolah dalam kes
salah laku disiplin ialah membawa pengaruh yang positif kepada rakan sekolah saya yang
tersasar ini. Menurut kata Dr. Ary Ginanjar Agustian, seorang motivator yang berasal dari
Indonesia dalam salah satu programnya, “salah satu faktor menjadi ketua dan menghapuskan
yang bathil ialah seseorang itu haruslah berpengaruh”. Berdasarkan ungkapan beliau saya
menjadi yakin bahawa membawa pengaruh positif kepada rakan pelajar saya yang nakal itu akan
dapat mendorongnya tidak lagi melakukan kesalahan disiplin. Walaupun bukan mudah untuk
melaksanakan usaha tersebut, namun sehari selembar benang lama- lama menjadi kain.

Di samping itu, saya juga dapat menurunkan bilangan kes salah laku disiplin dengan
menasihati mereka. Setelah menjadi pengawas sekolah yang berkaliber dan bertanggungjawab
serta berpengaruh, mendekatkan diri dan menasihati mereka yang kebejatan moral menjadi lebih
mudah. Menurut hadis Rasulullah S.A.W. , “nasihat- menasihati akan menjadi kurang pada akhir
zaman”. Jadi, saya ingin menegakkan yang hak dan menghapuskan yang bathil melalui peranan
menasihati ini. Sebagai contoh, apabila terdapat yang membuang sampah merata- rata dalam
kawasan sekolah, saya akan menasihati mereka dengan berkata bahawa mereka telah
memburukkan imej sekolah serta diri mereka sendiri. Tegasnya, dengan menasihati mereka,
aktiviti salah laku disiplin dapat dikurangkan.

Bukan itu sahaja, saya dengan bantuan guru kaunseling akan membantu mereka
menjadi baik. Segelintir pelajar melakukan kesalahan disiplin adalah berpunca daripada
permasalahan keluarga, permasalahan hubungan dan lain- lain. Hal- hal sedemikian telah
memberi tekanan kepada mereka dan akhirnya melakukan kesalahan disiplin dan melanggar
peraturan sekolah dek mahu mencari keseronokan. Justeru, saya bersama- sama guru kaunseling
dapat menawarkan diri untuk membantu mereka berbekalkan simpati yang mengusik sanubari.
Memberi kaunseling kepada mereka merupakan contoh yang terbaik demi membantu mereka
keluar dari gelombang hedonisme yang akhirnya menyebabkan kes salah laku meningkat.

Akhir sekali, saya akan berbincang dengan para pentadbir sekolah agar undang-
undang sekolah diperketat dan dikuatkuasakan sepenuhnya. Undang- undang yang luwes dan
tidak dikuatkuasakan sepenuhnya tidak akan dapat mengurangkan kesalahan disiplin pelajar,
malah ia hanya menyumbang kepada peratusan salah laku pelajar yang meningkat naik kini.
Sekolah yang terbilang diukur pada undang- undangnya yang ketat.

Deduksinya, kesemua peranan yang dapat saya sumbangkan untuk membantu pihak
sekolah dalam menangani kes salah laku disiplin pelajar sekolah saya tersebut mampu
menjadikan sekolah- sekolah di Malaysia menjadi terbilang. Semua pihak hendaklah bahu-
membahu agar masalah ini dapat kita bendung bersama supaya aspirasi negara dan harapan
pemimpin untuk mengejar kemajuan dan ketamadunan negara tidaklah sekadar angan- angan
Mat Jenin.

Anda mungkin juga menyukai