Anda di halaman 1dari 2

28.

SAMBUTLAH AIDIL FITRI SEBAGAI HARI IBADAH

Hari raya adalah hari yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua orang sama ada kanak-kanak
maupun orang dewasa, lelaki maupun perempuan, kaya ataupun miskin, di bandar atau di kota.
Semua orang pasti bergembira kerana meraikan kejayaan menunaikan kewajipan berpuasa.

Hari raya dalam Islam sebenarnya bukanlah hanya semata-mata hari untuk bersuka ria bahkan
hari raya merupakan hari ibadah yang diberi pahala jika disambut mengikut adab-adabnya.

Adab-adab berhari raya dalam Islam telahpun diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sunnah
baginda. Sambutan dimulakan oleh Rasulullah s.a.w. sebaik sahaja terbenam matahari pada
hari akhir Ramadan. Ketika itu disunatkan bertakbir dan bertahmid, disunatkan juga kita banyak
beribadah seperti menunaikan solat-solat sunat, bersedekah, bermaaf-maafan sesama kaum
keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai.

Pada pagi hari raya disunatkan mandi sunat hari raya. Kemudian berpakaian dengan pakaian
yang terbaik yang kita miliki tetapi tidak semestinya baru. Jika Hari Raya Aidil Fitri, makanlah
terlebih dahulu sebelum menuju ke masjid untuk Solat Sunat Hari Raya. Jangan lepaskan
peluang untuk Solat Hari Raya kerana ia adalah salah satu solat sunat yang digalakkan
berjamaah. Bahkan bagi perempuan yang uzur, walaupun mereka tidak boleh untuk bersolat,
namun mereka juga digalakkan untuk bersama kaum muslimin yang lain ke perkarangan masjid
bagi mendengar khutbah dan meraikan hari yang mulia ini.
Ketika balik daripada Solat Hari Raya, disunatkan kita melalui jalan lain daripada jalan yang kita
pergi. Ini bertujuan supaya kita dapat bertemu atau berziarah dengan rakan taulan dan
bermaaf-maafan serta menghubungkan silaturrahim. Namun begitu, jangan bersalaman
dengan orang yang bukan mahram ketika saling bermaaf-maafan kerana perbuatan itu
diharamkan oleh Islam. Peliharalah aurat dan pergaulan, sambutlah hari raya dengan
berhemah, jangan membazir makanan, jangan dilalaikan dengan hiburan.

Jika pergi berziarah atau bertamu di hari raya, pilihlah waktu-waktu yang sesuai atau
sebagaimana yang diundang. Elakkan duduk berlama-lama kerana ia akan mengganggu tuan
rumah. Makanlah apa yang dihidangkan, jangan membazir.
Bagi pihak tuan rumah pula, hendaklah memuliakan tetamu yang datang, hormati tetamu dan
pamerkan rasa gembira dengan kedatangan tetamu itu. Segerakan menghidangkan makanan
kepada tetamu.

Sewaktu hendak pulang, tetamu hendaklah meminta izin atau memberitahu tuan rumah,
menunjukkan wajah ceria sebagai tanda gembira dengan layanan tuan rumah. Sebaiknya tuan
rumah hendaklah keluar mengiringi tetamu sampai ke pintu rumah dengan wajah gembira dan
kata-kata yang manis.

Demikianlah antara adab-adab yang sepatutnya diamalkan sempena sambutan hari raya.
Mudah-mudahan ianya akan menjadi amalan kita bersama. Sambutlah hari raya yang bakal
menjelang tiba sebagai hari ibadah.

Anda mungkin juga menyukai