Anda di halaman 1dari 3

Bagaimana Saya Memeluk Agama Gereja Yesus Benar

Sdri. Revelina, Manila

Semasa saya berusia 16 tahun, saya telah jatuh sakit dengan tenat. Ketika saya masih
berbaring keseorangan dan ingin bertemu dengan doktor, saya telah ternampak seorang
imam berjubah putih dengan diiringi oleh dua orang jururawat. Imam itu berkata kepada saya,
“Kamu tidak sepatutnya berjumpa dengan doktor, kamu harus berdoa, dahulu saya pun
seorang doktor juga”. Pada ketika itu, saya cuma dapat melafazkan kata-kata Doa Bapa.
Hairan sekali lidah saya mula bergulung semasa berdoa, namun saya tidak dapat memahami
apa yang sedang berlaku. Selesai saja berdoa saya menjadi tidak sedarkan diri. Saya dapat
merasakan roh saya sedang merayau-rayau di sebuah tempat yang amat indah dan terdapat
bunga-bungaan dan rumput-rumpai kelihatan sangat mekar dan segar. Cuaca di sana juga
begitu nyaman dan selesa. Saya mengelilingi tempat itu tiga kali sebelum saya terjumpa satu
laluan kaki dan terus mengikuti laluan tersebut. Dalam perjalanan itu, saya ternampak satu
lautan darah yang amat luas terbentang di hadapan saya. Ketika itu saya sudah sampai di
persisiran pantai. Dari situ saya ternampak sebuah rumah besar yang terletak jauh di
seberang sana. Rumah itu mempunyai banyak pintu. Di situ juga kelihatan ramai orang
sedang keluar masuk. Tetapi yang menghairankan mereka kelihatan langsung tidak
mengenali sesama yang lain.

Semasa saya ingin merentasi lautan untuk pergi ke rumah besar tersebut, tiba-tiba muncul
seorang yang berbadan tegap dengan memakai jubah putih dan berjanggut panjang di
hadapan saya. Lelaki tersebut bertanya ke mana saya hendak tujui. Saya menjawab saya
ingin pergi ke rumah besar tersebut. Lelaki itu kemudiannya memberitahu bahawa dia akan
menyelidiki dahulu sama ada saya dibenarkan pergi ke sana atau tidak. Dia mengeluarkan
sebuah buku yang amat besar. Saya rasa buku itu terlalu besar sehingga beranggapan 50
orang pun tidak tentu dapat mengangkatnya, tetapi lelaki ini dengan senang mengangkatnya
dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Lelaki itu kemudiannya mula menyemak buku
tersebut dan mendapati saya tidak dibenarkan untuk pergi ke sana dan berkata, “Pulanglah
ke tempat asalmu kerana masih banyak kerja yang perlu kamu kerjakan.” Kemudian entah
bagaimana saya pun terus terjaga dan mulai sedar. Pada masa itu, saya mendapati ramai
orang sedang mengerumuni saya sambil menangis di sebuah rumah. Pada masa yang sama,
ada pula yang kelihatan ketakutan semasa ternampak saya sehingga melarikan diri dengan
melompat keluar dari jendela! Kemudian barulah saya menyedari bahawa saya telahpun mati
selama 7 jam dan keluarga saya sudah mulai membuat persiapan untuk pengebumian saya.
Sungguhpun tubuh saya kelihatan kurus kering, namun saya dapat merasakan penyembuhan
sepenuhnya. Pada masa itu saya masih lagi menganuti agama Katolik, demi mengotakan
janji ibu bapa saya atas penyelamatan Tuhan terhadap saya, kami telahpun keluar meminta
sedekah selama sehari untuk didermakan kepada pihak gereja di atas segala yang mereka
telah terima. (Note: saya rasa tidak perlu masukkan kenyataan ini).

Semasa saya berusia 54 tahun, saya telah menziarahi anak perempuan saya di Hong Kong.
Saya telah membuat permohonan visa penduduk sementara (resident visa) dan ianya telah
diluluskan. Saya kemudiannya memalsukan umur kedua anak lelaki saya supaya mereka
boleh dibawa masuk untuk bekerja di Hong Kong. Malang sekali, semasa kedua anak saya
pergi ke Hong Kong untuk mendapatkan status penduduk sementara mereka, pihak imigrasi
telah menyiasat tujuan kemasukan dan umur mereka sehingga mendapati mereka bersalah
atas cubaan memalsukan dokumen mereka. Lalu kami telah ditahan dan kemudiannya
dipenjarakan selama 3 bulan kerana cubaan memalsukan dokumen. Selepas tamat tempoh
dipenjarakan, kami telah dihantar pulang ke Filipina.

Setiba saja di rumah, saya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya
sehingga saya sentiasa menjadi resah, tidak selesa dan hilang tumpuan. Entah mengapa
saya terasa seperti ada sesuatu yang harus saya lakukan, tetapi saya tidak tahu apakah
perkara tersebut. Lalu saya menanyakan apa yang tidak kena dengan diri saya sendiri?
Dalam keresahan dan dengan tidak disengajakan saya telah mencapai sebuah buku yang
berjudul “Our Daily Bread” di bawah katil saya. Lalu saya mula membaca buku tersebut.
Namun saya langsung tidak memahami sedikit pun kandungannya. Lama-kelamaan, barulah
saya memahami mesej dan ajaran yang disampaikan dalam buku. Setelah selesai membaca
saya pun bangun dan berjalan menuju ke tingkat bawah. Semasa saya sedang berjalan, saya
dapat merasakan seakan-akan ada sesuatu yang mengekori saya, namun saya tidak
mengendahkannya. Masa itu, menantu saya telah terserempak dengan saya dan
menanyakan ke mana saya ingin pergi? Dengan spontan saya menjawab, “Saya tidak tahu”.
Kemudian saya mula berjalan dan dengan hairannya saya telah sampai dan terhenti betul-
betul di hadapan rumah Diakenis Anna. Dia kelihatan sedang membaca sebuah alkitab. Dia
menoleh ke arah saya sejenak lalu tersenyum dan mengajak saya untuk masuk ke
rumahnya. Kemudian beliau mula mengongsikan Injil dan beberapa doktrin dengan saya.
Sejak dari masa itulah baru saya berasa tenang dan selesa dengan diri saya sendiri.

Hari seterusnya, Dns. Anna telah menjemput saya untuk menghadiri satu kebaktian di Gereja
Yesus Benar. Saya bersetuju mengikuti kebaktian tersebut dan telah mendengarkan topik
tentang pembaptisan. Semasa kebaktian sedang berlangsung, ada satu ayat yang sering
bermain-main di dalam kepala saya “tiada sesiapa yang dapat mengetahui akan hari
kedatangan Tuhan yang ke-2 kali”. Saya menjadi gentar dan terus berasa ketakutan setelah
mendengarkannya. Pada masa yang sama timbul pula buah fikiran kedua yang menyatakan
“seseorang harus dilahirkan semula melalui air untuk memasuki kerajaan syurga” dan ini
menenangkan saya semula. Setelah sesi kebaktian berakhir, saya mendapati pihak gereja
akan membuka pintu pembaptisan pada bulan Mei. Saya terus menanyakan samada saya
layak untuk dibaptis atau tidak. Malang sekali menolak permintaan saya memandangkan
saya masih perlu mendalami doktrin kebenaran dan asas kepercayaan. Namun begitu, saya
begitu asyik dan tanpa henti meminta diri untuk dibaptis. Atas kecekalan saya, gereja
akhirnya membenarkan saya untuk dibaptis.

Mulai dari hari itu barulah saya merasakan diri menjadi sempurna, selesa, dan mendapat
kepuasan dalam hidup. Sungguh menghairankan pengalaman hangat yang saya rasakan
semasa menerima penyelamatan Tuhan. Saya yakin Tuhan pasti telah menyediakan tujuan
dalam hidup saya, dan Dia pasti sentiasa berada di sisi saya dengan memimpin dan
menyayangi saya. Semoga segala kemuliaan hanya untuk Tuhan. 

Anda mungkin juga menyukai