Anda di halaman 1dari 2

Terapi muzik cara berkesan damaikan minda, emosi

Oleh Dr Noordin Darus

MUZIK adalah sebahagian daripada warisan budaya manusia. Kewujudan dan kepentingannya kepada

manusia dicatatkan sejak zaman purba lagi. Muzik membantu mengembangkan panca indera dan

membangkitkan penghargaan terhadap kecantikan melalui bunyi yang teratur. Dunia seni sudah lama

dihargai kerana mencuba untuk mentamadunkan masyarakat dan menjadikan mereka lebih

berperikemanusiaan, selain menimbulkan kesedaran mengenai inti hati manusia. Dunia seni cuba

mengimbangkan pencapaian manusia dari segi teknologi dengan memberikan jiwa kepada kerjanya. Sains

saja tidak mampu menentukan sama ada penemuan teknologi teragung zaman kita akan digunakan untuk

kemajuan dan manfaat manusia. Ini kerana sains tidak pernah dikenali sebagai pejuang nilai moral atau

kepekaan estetik, sebaliknya muzik sepanjang zaman membantu mewujudkan kepekaan moral dan estetik

yang sangat diperlukan dalam sesuatu masyarakat perindustrian yang tidak sensitif. Bagi pembela dunia

seni, adalah lebih penting untuk mengenali dan mencintai umat manusia daripada mengetahui struktur

atom; yang satunya lebih cenderung kepada kewujudan yang aman damai sementara yang satu lagi lebih

cenderung kepada kemusnahan.

Terapi muzik Muzik dapat mententeramkan dan menyantaikan, khususnya muzik gubahan tokoh terkemuka

antaranya termasuk Mozart, Beethoven dan Verdi. Muzik juga mampu menawarkan suatu kelegaan yang

hebat, walaupun sementara saja, daripada kebimbangan, kerunsingan dan kerisauan dunia.

Satu tinjauan yang dijalankan di Amerika Syarikat ke atas penuntut kolej menunjukkan bahawa tahap

kecerdikan dapat dipertingkatkan dengan mendengar muzik gubahan Mozart. Muzik penggubah termasyhur

itu berupaya menurunkan denyutan jantung dan membuat anda bersantai. Maka, tidak hairanlah jika muzik

digunakan sebagai alat terapi. Ada dua keadaan yang menggunakan terapi muzik. Satu daripadanya ialah

keadaan klinikal, di mana terapi muzik itu digunakan untuk tujuan pembetulan. Keadaan yang satu lagi

ialah keadaan pendidikan, di mana terapi muzik itu digunakan untuk meningkatkan kecerdikan. Dalam

keadaan klinikal itu, penyelidikan mendapati bahawa orang yang mengalami masalah psikiatri bertindak

balas dengan lebih baik kepada rawatan apabila mereka diberikan terapi muzik pada masa yang sama.

Terapi muzik dalam keadaan pendidikan membantu pelajar belajar dengan lebih baik. Di samping

meningkatkan kecerdikan, ia juga sangat berkesan untuk membaiki ingatan. Pelajar yang melalui terapi

muzik itu juga menunjukkan keupayaan daya ingatan yang lebih kuat. Menyanyi tidak kira pada tahap

penyanyi opera atau penyanyi bilik mandi, juga pelega tekanan mental dan ketegangan yang amat

berkesan. Tanya sesiapa yang pernah pergi ke pusat karaoke yang ada di merata tempat itu. Tidak

menghairankan yang karaoke yang bermula sebagai suatu fenomena Jepun, meledak dan berakar umbi di

setiap pelosok dunia. Di Jepun, karaoke bermula sebagai satu upacara inisiasi, yang pekerja atau eksekutif

baru dipaksa menyanyi di khalayak ramai sebagai sebahagian daripada orientasi mereka. Bagaimanapun,
selepas semua orang menyedari bahawa kegiatan itu begitu menyeronokkan, bukan setakat kakitangan

baru saja yang berlumba-lumba untuk menyanyi, malah yang lama turut mengambil peluang. Oleh itu,

walaupun anda tidak boleh menyanyi langsung, cukup sekadar bersenandung atau bersiul kerana ia

berupaya meringankan hati anda.

Terapi muzik belum lagi diiktiraf sebagai suatu rawatan penjagaan kesihatan tetapi ia digunakan untuk

melegakan pelbagai penyakit emosi dan fizikal, termasuk kerencatan perkembangan diri, penyalahgunaan

dadah dan penyakit kronik. Ia juga telah didapati berkesan sebagai pembantu pemulihan bagi kecederaan.

Sebagai tambahan, terapi muzik juga digunakan untuk meningkatkan komunikasi dan sebagai alat

bersantai. Saya tahu bahawa pakar terapi di Britain menggunakan terapi muzik untuk meningkatkan mutu

hidup kanak-kanak yang akan mati. Mengikut mereka, setelah segala usaha gagal, satu daripada cara yang

paling mudah dan berkesan untuk membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit membawa maut ialah

muzik. Setiap orang berupaya bergerak balas kepada muzik. Dengan keupayaannya untuk menenangkan,

menggalakkan dan menyembuhkan, muzik dapat mengatasi penyakit dan ketidakupayaan melebihi cara

yang lain. Pilihan muzik yang digunakan dalam terapi muzik adalah satu soal peribadi dan hendaklah

mengikut cita rasa seseorang itu. Saya sendiri menggemari irama keroncong (muzik tempatan) walaupun

anak remaja saya lebih suka kepada muzik zaman sekarang. Untuk menjayakan terapi muzik bagi diri anda,

pilihlah muzik yang anda seronok dengar dan dapat membantu anda bersantai, sama ada muzik

instrumental lembut, muzik klasik atau muzik "rock and roll". Satu lagu yang amat berkesan untuk

menyeronokkan keadaan adalah lagu yang liriknya seperti berikut, "Don't Worry, Be Happy..." (Jangan

Risau, Bergembiralah). Nyanyikanlah (atau bersenandung) bersama saya sementara anda menyelak

halaman ini. Anda di ambang perubahan hidup anda! Sehingga kita berjumpa lagi pada dua minggu yang

akan datang dengan satu topik yang lain. Sebarang pertanyaan sila hubungi 03-77887791 atau e-mail ke

dnd@worldwellness.com.my

http://damak21.blogspot.com/2008/04/terapi-muzik-cara-berkesan-damaikan.html

Anda mungkin juga menyukai