Anda di halaman 1dari 4

PAKAIAN MUSLIMAH

1. 1.0 PENGENALAN

Manusia merupakan sebaik-baik kejadian yang dicipta oleh Allah subhanawataa’la (S.W.T). Firman
Allah S.W.T: Al-Quran. At- Tinn 95:4 Maksudnya: “ Sesungguhnya Kami mencipta manusia dalam
bentuk yang sebaik-baiknya”. Berdasarkan ayat ini, manusia sebagai ciptaan-Nya sepatutnya berasa
bersyukur di atas kurniaan ini. Oleh itu, salah satu cara menunjukkan tanda kesyukuran kepada Allah
S.W.T adalah melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala kemungkaran seperti menutup
aurat. Menutup aurat merupakan tuntutan yang wajib dalam Islam. Jadi, apabila seseorang itu tidak
menutup aurat pasti mengundang kemurkaan Allah S.W.T. Sebab itulah agama Islam menitikberatkan
mengenai menutup aurat. Tetapi masyarakat Islam sekarang seolah-olah mengabaikan dan
membelakangkan soal menutup aurat terutamanya cara berpakaian. Oleh sebab itu, kertas kerja ini
akan membincangkan tuntutan menutup aurat dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia antaranya
adalah untuk mengetahui definisi aurat dari segi bahasa. Selain itu, kertas kerja ini juga akan
menyatakan hukum menutup aurat dan ciri-ciri pakaian menurut islam. Di samping itu, kertas kerja ini
akan membincangkan punca-punca masyarakat Islam di Malaysia tidak menutup aurat dan cadangan-
cadangan ke arah masyarakat yang menutup aurat.

2. 2.0 TUJUAN KAJIAN Kajian ini dijalankan adalah untuk mengetahui definisi sebenar aurat.
Selain itu, kajian ini akan membincangkan tentang hukum menutup aurat dan ciri-ciri pakaian menurut
Islam terhadap lelaki dan wanita. Di samping itu, kajian ini akan mengkaji punca-punca masyarakat
Islam di Malaysia tidak menutup aurat dan cadangan ke arah masyarakat Islam di Malaysia yang
menutup aurat.

3. 3.0 SKOP KAJIAN Kajian ini tertumpu kepada masyarakat Islam di Malaysia. Ini kerana,
masyarakat Islam di Malaysia sekarang semakin mengabaikan aspek menutup aurat tidak kira lelaki
mahupun wanita. Dalam Islam, kedua-dua golongan sama ada lelaki atau wanita wajib menutup aurat
tidak kira di mana berada.

4. 4.0 KAEDAH KAJIAN Kajian telah dijalankan menggunakan kaedah resensi perpustakaan di
mana penyelidikan dilakukan berdasarkan pencarian di perpustakaan. Bahan- bahan terdiri daripada
buku, artikel, al- Quran dan hadis.

5. 5.0 HASIL KAJIAN

5.1 Pendahuluan

Setiap syariat yang ditetapkan Allah S.W.T itu telah lengkap dan indah. Ini kerana, setiap syariat itu
pasti membawa kebaikan dan kemudahan kepada manusia. Setiap syariat yang dilarang pula pasti
mengandungi keburukan. Namun begitu, pada akhir zaman ini manusia seolah- olah tidak
mempedulikan lagi tuntutan Allah S.W.T dan Al- Quran. Contohnya dalam isu berpakaian. Ramai
yang mengaku sebagai Islam tetapi batas- batas anggota badan yang perlu ditutup mereka abaikan.
Ramai juga yang tahu menutup aurat, tetapi adakah mereka menutupnya dengan betul seperti yang
ditetapkan oleh Allah S.W.T dan Rasul? Dengan pertambahan fesyen pakaian yang banyak khususnya
tudung, maka aspek- aspek menutup aurat perlu dititikberatkan. Malah, ada kain tudung hanya gah
setakat nama sahaja tetapi masih dikategorikan tidak menutup aurat apabila seseorang memakainya.
Melihat senario ini, maka konsep berfesyen dan menutup aurat perlu ditekankan supaya masyarakat
Islam mendapat penjelasan mengenai menutup aurat mengikut Islam dan perkara-perkara yang
berkaitan dengan aurat yang betul dan menurut kehendak syarak. Dalam Islam fesyen tidak menjadi
persoalan. Apa yang penting adalah menutup aurat. Berdasarkan situasi ini, penyelidik telah
melakukan rujukan berpandukan resensi perpustakaan. Hasil daripada resensi perpustakaan,
penyelidik telah mengenal pasti definisi sebenar aurat dari segi bahasa. Selain itu, penyelidik juga
telah mengenal pasti hukum menutup aurat dan ciri-ciri pakaian menurut Islam. Di samping itu,
penyelidik juga telah menjumpai punca-puna masyarakat Islam di Malaysia tidak menutup aurat dan
cadangan ke arah masyarakat Islam yang menutup aurat.

5.2 Penemuan hasil kajian

5.2.1 Definisi Perkataan aurat berasal daripada bahasa Arab iaitu menerusi kata dasar “aar” yang
bermaksud “sesuatu yang aib, cela dan dikeji dan patut disembunyikan sama ada ia berbentuk
perbuatan, sifat atau perkataan” (Badawi, 1991). Selain daripada itu, aurat juga boleh didefinisikan
sebagai “ bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat atau wajib ditutup menurut hukum Islam” (Kamus
Dewan, 1994). Dapat disimpulkan di sini bahawa aurat adalah bahagian yang wajib ditutup dan haram
dipandang. Apabila dikatakan wajib, maka perbuatan yang bertentangan dengannya adalah dikira
berdosa

5.3 Hukum menutup aurat Menutup aurat adalah wajib. Firman allah s.w.t: Al-Quran, Al-A’raf 7:26.
Maksudnya: Wahai anak- anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-
bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa taqwa
itulah yang sebaik- baiknya. Yang demikian itu adalah tanda-tanda (limpahan kurnia) Allah (dan
rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangNya (dan bersyukur).

5.4 Ciri-ciri pakaian menurut islam

5.4.1 Lelaki Dalam Islam, kaum lelaki juga harus menjaga aurat mereka untuk mencapai “kesucian
yang lebih baik” (Shaik Kadir, 2009). Ramai para ulama berpendapat bahawa aurat lelaki adalah
antara pusat dan lutut sahaja. Mengikut (Shofian Ahmad & Lotfiah Zainol Abidin, 2004), antara ciri-
ciri pakaian lelaki adalah: I. Mestilah menutup seluruh auratnya iaitu bahagian di antara pusat dan
lutut. II. Mestilah longgar sehingga tidak menampakkan apa yang dilindungi (aurat). III. Tidak
memakai pakaian dan perhiasan daripada sutera dan emas. Islam sememangnya mengharamkan kaum
lelaki memakai perhiasan daripada sutera dan emas

5.4.2 Wanita Mengikut (Shofian Ahmad & Lotfiah Zainol Abidin, 2004), antara ciri-ciri pakaian
wanita yang telah digariskan oleh Islam adalah: I. Menutup seluruh bahagian anggota badan yang
telah diperintahkan oleh syarak dan membuka bahagian yang dibenarkan sahaja. II. Pakaian longgar
dan tidak jarang. III. Tidak menyerupai pakaian lelaki bagi wanita dan sebaliknya.

5.5 Punca-punca masyarakat Islam di Malaysia memakai pakaian yang tidak menutup aurat Antara
punca-punca masyarakat Islam di Malaysia memakai pakaian yang tidak menutup aurat ialah:

5.51 Pengetahuan agama yang lemah Secara umumnya, masyarakat Islam di Malaysia yang tidak
menutup aurat berpunca daripada kekurangan pengetahuan agama. Walaupun ada pengetahuan tetapi
masih lemah. Seperti sedia maklum, seseorang mendapat pendidikan agama secara tidak formal
daripada ibu bapa mereka sendiri. Seterusnya mendapat didikan agama secara formal apabila
memasuki alam persekolahan. Sikap ibu bapa yang hanya mementingkan pencapaian akademik
sehingga aspek agama diabaikan menjauhkan lagi anak-anak dengan kepentingan menutup aurat.
Menurut Shofian Ahmad dan Lotfiah Zainol Abidin, 2004 ini menyebabkan anak-anak beranggapan
bahawa soal agama tidak penting dalam kegiatan seharian.

5.5.2 Pengaruh media massa

Masyarakat hari ini mudah terpengaruh dengan apa yang dipaparkan di dalam media massa seperti
majalah-majalah dan televisyen (Shofian Ahmad & Lotfiah Zainol Abidin, 2004). Malah kebanyakan
majalah-majalah dan televisyen sering menampilkan wanita yang tidak menutup aurat untuk mendapat
publisiti. Kesannya masyarakat yang kurang pegangan agama terikut-ikut dengan budaya tidak
menutup aurat. Tidak dinafikan media cetak dan elektronik memainkan peranan yang penting dalam
menyebarkan maklumat dan berita-berita dengan cepat, tetapi apabila melibatkan soal aurat, tidak
sepatutnya gambar-gambar model yang tidak menutup aurat disiarkan.

5.5.3 Modenisasi

Proses modenisasi yang dibawa oleh barat berjaya mempengaruhi masyarakat Islam khususnya,
(Shofian Ahmad & Lotfiah Zainol Abidin, 2004). Setiap perkara yang dibawa oleh barat mempunyai
agenda tersendiri. Barat menganggap menutup aurat telah mengongkong kebebasan wanita (Ustaz Dr.
Mohd. Asri Zainul Abidin, 2004). Bagi masyarakat Islam yang berfikiran sempit, mereka dengan
yakin menerima dan bersetuju dengan apa yang dibawa oleh barat. Negara barat cuba sedaya upaya
mencari jalan supaya masyarakat mengikut gaya hidup mereka. Bukan semua perkara yang dibawa
negara barat tidak elok. Masyarakat Islam perlu mengekalkan budaya ketimuran yang mana lebih baik
daripada negara barat.

6.0 Cadangan ke arah masyarakat Islam di Malaysia menutup aurat

Pakaian menutup aurat merupakan jaminan Allah S.W.T ke atas hamba-Nya daripada sebarang
perkara yang tidak diingini. Di samping itu pakaian Islam merupakan lambang identiti seorang muslim
dan muslimah. Pada zaman sekarang, penutupan aurat menjadi lebih penting kerana banyak unsur-
unsur fitnah telah berlaku seperti jenayah rogol, sumbang mahram, seks sejenis dan bermacam-macam
lagi (Shofian Ahmad & Lotfiah Zainol Abidin, 2004). Antara cadangannya adalah melibatkan:

6.1 Ibu bapa dan keluarga

Ibu bapa memainkan peranan yang penting ke arah memastikan dan mendidik anak-anaknya
berpakaian menutup aurat bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ini kerana
kanak-kanak cepat belajar dan mudah untuk diajar berkaitan menutup aurat. Menurut Shofian Ahmad
dan Lotfiah Zainol Abidin, 2004 mengatakan suami pula bertanggungjawab ke atas isterinya.
Seandainya ada bapa atau suami yang tidak melarang anak atau isteri mendedahkan aurat maka
mereka termasuk golongan yang dayus. Berpakaian menutup aurat bukanlah diamalkan dalam
beberapa keadaan tertentu atau terhad pada sesuatu waktu yang tertentu atau dipaksa apabila mencapai
usia baligh. Suruhan menutup aurat hendaklah disertai dengan penerangan tentang perkaitannya
dengan tuntutan agama. Tanpa pengetahuan agama, amalan menutup aurat ini mungkin bersifat
sementara dan tidak memberi kesan yang baik kepada keperibadian anak tersebut bak kata pepatah
“bagai mencurah air ke daun keladi”. Cara ini memberi kesan jangka masa panjang kerana apabila
anak-anak mencapai usia baligh, mereka tidak akan berasa kekok, janggal, malu, rimas dan terbeban
untuk berpakaian menutup aurat. Sebaliknya mereka akan berasa takut dan malu untuk mendedahkan
aurat.

6.2 Masyarakat sekeliling

Masyarakat sekitar juga berperanan ke arah mewujudkan pemakaian menutup aurat. Menurut Shofian
Ahmad dan Lotfiah Zainol Abidin, 2004 setiap anggota masyarakat juga perlu mempraktikkan pakaian
yang menutup aurat agar pemakaiannya akan menjadi majoriti yang besar. Selain itu, apabila setiap
anggota masyarakat mementingkan kewajipan Islam ini, maka akan wujud kekuatan untuk
menghalang atau menegur individu yang masih mendedahkan aurat. Selain itu, masyarakat yang
prihatin akan menjadikan anak-anak jiran seperti anak-anak mereka sendiri. Mereka akan berasa
bertanggungjawab menegur anak-anak jiran yang mendedahkan aurat di luar rumah ataupun di luar
pengetahuan ibu bapa mereka

. 6.3 Diri sendiri

Diri sendiri merupakan faktor yang paling penting ke arah menerapkan kesedaran untuk berpakain
menutup aurat (Shofian Ahmad & Lotfiah Zainol Abidin, 2004). Walaupun semua pihak telah
memainkan peranan masing-masing tetapi jika individu itu dengan sendiri tidak berusaha untuk
menutup aurat maka usaha ke arah mewujudkan masyarakat yang berpakaian menutup aurat akan
gagal. Ini samalah dengan perumpamaan “hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih”. Berpakain
menutup aurat sepatutnya dilakukan kerana Allah S.W.T. Sekiranya tidak kerana Allah S.W.T maka ia
akan bersifat sementara dan berpakaian tersebut tidak dapat menghalang mereka daripada melakukan
maksiat lain. Antara cara-cara adalah dengan berdoa kepada Allah S.wW.T agar diberi taufik dan
hidayah selain daripada meminta di jauhkan daripada segala kemaksiatan. Mereka perlulah
mempertingkatkan kefahaman tentang kewajipan menutup aurat dan cara-cara menutup aurat dengan
betul. Kefahaman ini dapat dipertingkatkan dengan mengikuti kelas agama, membaca buku-buku
agama dan membaca al-quran serta hadis.

7.0 Rumusan kajian

Kajian yang bertajuk “Tuntutan menutup aurat dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia” telah
dijalankan untuk mengetahui definisi sebenar menutup aurat dan ciri-ciri pakaian menurut Islam. Di
samping itu, kajian ini juga telah dijalankan adalah untuk mengenal pasti punca-punca masyarakat
Islam di Malaysia tidak menutup aurat dan cadangan ke arah masyarakat yang menutup aurat. Dalam
proses menyiapkan kertas kerja ini, penyelidik menghadapi beberapa batasan ataupun kekangan.
Antaranya adalah sumber rujukan yang terhad. Penyelidik hanya membuat rujukan kepada buku-buku
dan juga al-Quran. Hal ini telah menghadkan penyelidik untuk mengetahui lebih mendalam berkaitan
tajuk yang telah dipilih. Selain itu, batasan lain yang penyelidik hadapi ialah penyelidik tidak
mendapat gambaran yang sebenarnya mengenai masalah tidak menutup aurat. Ini disebabkan rujukan
penyelidik hanya tertumpu kepada resensi perpustakaan sahaja iaitu berdasarkan buku-buku dan al-
Quran

8.0 PENUTUP

Kesimpulannya, aurat merupakan sesuatu yang perlu dijaga dengan baik agar kehidupan di dunia ini
dipenuhi dengan keberkatan dan tergolong dalam golongan yang terpuji di akhirat kelak. Allah itu
Maha Pengampun dan Maha Mengasihani umatnya. Segeralah memohon keampunan Allah S.W.T.
Syaitan merupakan musuh utama umat Islam. Jadi janganlah masyarakat Islam di Malaysia pada hari
ini mudah tertipu dengan godaan syaitan. Semua pihak seperti yang dibincangkan sebelum ini perlu
sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam mewujudkan masyarakat Islam yang menutup aurat
supaya kehidupan di dunia ini diberkati Allah S.W.T. Yakinlah bahawa Allah S.W.T Maha Adil dalam
menentukan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita.

Anda mungkin juga menyukai