Wira dalam konteks cerita-cerita epik ini biasanya terdiri daripada tokoh-tokoh
legenda yang mempunyai peribadi mulia, penuh dengan sifat kemanusiaan yang
murni, sambil sifat diri tokoh itu dilebih-lebihkan menjadi super human, dengan
tujuan untuk menonjolkan sanjungan masyarakat terhadap tokoh berkenaan. Tokoh
tersebut selalunya dipandang sebagai sumber yang memancarkan cahaya yang
dapat menerangi kegelapan masyarakat setempat.
Dan ini jelas dapat dilihat kepada Amir Hamxah yang dianggap sebagai tokoh
sastera epik daripada sumber Islam, yang secara umumnya telah berjaya menjadi
sanjungan bukan sahaja di kalangan masyarakat Arab, tetapi juga sanjungan itu
telah meresap sama ke dalam masyarakat Melayu sejak kedatangan Islam ke rantau
ini lagi. Kemasukan cerita-cerita bercorak kepahlawanan Islam ke alam Melayu,
khasnya Hikayat Amir Hamzah ini, sebenarnya mempunyai tujuannya yang
tersendiri, iaitu untuk meninggikan semangat juang hulubalang-hulubalang Melaka
ketika menentang Portugis seperti yang diceritakan dalam Sejarah Melayu.
Maka Tun Indera Segara pun masuk menghadap Sultan Ahmad. Maka segala
sembah orang itu semuanya dipersembahkannya kepada ke bawah duli Sutal
Ahmad. Maka oleh Sultan Ahmad dianugerahkan Hikayat Amir Hamzah. Maka titah
Sultan Ahmad pada Tun Indera Segara, "katakan kepada segala anak tuan-tuan itu,
hendak pun kita anugerahkan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, takut tiada akan
berani segala tuan-tuan itu seperti Muhammad Ali Hanafiah, hanya jikalau dapat
seperti Amir Hamzah pun padalah, maka kita beri Hikayat Amir Hamzah.
(Shellabearm 1978: 203)
Sebagai sebuah hikayat bercorak Islam, Hikayat Amir Hamzah lebih menekankan
kepada kesejagatan agama Islam. Hikayat ini telah berjaya menonjolkan agama
Islam sebagai agama universal yang boleh dianuti oleh manusia di seluruh pelosok
dunia tanpa mengira bangsa, kelas dan warna kulit. Sesungguhnya agama Islam
boleh menjadi pegagan setiap manusia sama ada raja mahupun hamba. Dan di
sinilah kesesuaian Islam itu untuk dijadikan pegangan (Abu Hasan Sham, 1993:
272).
Hikayat Amir Hamzah yang didasarkan daripada kisah sebenar penghidupan bapa
saudara Nabi Muhammad s.a.w., Amir Hamzah ibnu Abdul Mutalib, adalah
merupakan wira Islam yang telah berjuang bersama nabi untuk menegakkan syiar
Islam di bumi Allah ini. Bagaimana akhirnya beliau telah terkorban syahid dalam
peperangan Uhud yang menyaksikan kekalahan tentera Islam kepada tentera
musyrikin Quraisy. Amir Hamzah merupakan tokoh pahlawan masyarakat Arab
Quraisy daripada keturunan Bani Hashim dan anak kepada Khoja Abdul Mutalib,
pemimpin masyarakat Quraisy ketika itu yang mempunyai anak lelaki seramai 12
orang, termasuk ayahanda Nabi Muhammad, Abdullah dan Abu Jahal yang menjadi
penentang kepada Nabi Muhammad, sepanjang baginda menegakkan Islam di
Mekah.
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, Hikayat Amir Hamzah adalah sastera epik yang
membawa persoalan peperangan. Sebagai seorang wira, Amir Hamzah bukan
sekadar dianugerahkan kekuatan semata-mata, tetapi beliau juga telah
dilengkapkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran peperangan. Dan sebagai
manusia biasa Amir Hamzah terpaksa mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan
peperangannya itu daripada orang lain. Ini dapat kita dilihat dalam cerita Amir
Hamzah Mendapat Alat-Alat Kebesaran Peperangan.
Selain mendapat ilmu memanah daripada pembuat busar, Amir Hamzah juga telah
mempelajari ilmu peperangan ini daripada Jibrail alaihissalam ketika beliau
membawa diri ke Bukit Abu Qabis. Dan sebagai pahlawan yang istimewa, Amir
Hamzah juga telah dibekalkan dengan pelbagai kelengkapan perang antaranya
busar Kiani, anak panah Judanggi, pedang Sumsum Qoamamtum kuda Janggi
Ishak, baju sarung Nabi Allah Ismail, ketopong Nabi Allah Hud, muza Nabi Allah
Salleh dan ikat pinggang Nabi Allah Ishak, yang kesemuanya digunakan untuk
membantu mengalahkan musuh.
Peperangan yang memainkan peranan penting mengawal keseluruhan isi cerita
Hikayat Amir Hamzah ini, cuma terserlah dalam cerita Amir Hamzah Berperang
dengan Jin Kafir di Bukit Kaf yang jelas telah menonjolkan kepahlawanan sebenar
Amir Hamzah sebagai panglima perang. Dan selaku epic heroic yang menjadi
sanjungan pendengar, Amir Hamzah berdiri sebagai legenda terulung di kalangan
masyarakat Islam setempat, dan menjadi wira yang mampu menegakkan kesucian
agama Allah daripada penentang-penentangnya. Amir Hamzah adalah penegak
keadilan dan kebenaran di samping menjadi penghapus penyelewengan dan
kerosakan.
Amir Hamzah tidak sahaja berperang dengan manusia tetapi juga mampu
mengalahkan jin kafir yang diketuai oleh Dewa Afrid. Dengan berbekalkan tunjuk
ajar Nabi Allah Khidir, Amir Hamzah telah berjaya mengembalikan takhta negeri
Sahasrstan Zaban kepada raja jin Islam, Arzuk yang sebelum ini telah ditawan oleh
jin-jin kafir. Kepahlawan Amir Hamzah sebagai pahlawan Islam yang unggul
diperakui sendiri oleh jin kafir.
Maka ada seorang jin tua dalam jin yang banyak itu, katanya, "Hai Afrid, bahawa
aku mendengar daripada Raja Sulaiman alaihissalam, pada akhir zaman bahawa
Allah Taala menyampaikan manusia amir Hamzah ke Bukit Kaf ini. Segala jin peri
dibukti ini habislah dibunuhnya Amir Hamzah itu. Maka pada bicaraku inilah
gerangan Hamzah itu."
Sampai begitu sekali sanjungan yang diberikan terhadap keperwiraan Amir Hamzah
yang begitu berani berperang menentang orang kafir yang mahu mencabar
kewibawaan orang Islam di bumi Arab. Dan memang pada asal penyebaran,
sastera epik seperti Hikayat Amir Hamzah atau Hikayat Muhammad Ali Hanafiah ini
sekadar mahu memaklumkan sejarah kehebatan pahlawan-pahlawan Islam kepada
orang-orang Islam di rantau sebelah timur ini sahaja yang jelas ketika itu hanya
menjadi bahan bacaan di sekitar istana sahaja.
Namun kerana kebetulan ketika itu orang-orang kafir dari barat juga sudah mula
mencari tapak baru di rantau sebelah timur, terutama di alam Melayu yang
penduduknya beragama Islam yang ketika ini sedang dikuasai sepenuhnya oleh
pedagang-pedagang Islam dari Timur Tengah, maka Hikayat Amir Hamzah dengan
sendirinya telah diangkat menjadi kafir, khasnya orang-orang Portugis yang sudah
mula mencari tapak baru di Melaka.
Lalu dibangkitnya satu batu hendak dilontar kepada Amir Hamzah. Maka Amir
Hamzah menjunjung perisai di atas kepalanya. Maka kata Amir Hamzah "Ya
Tuhanku, bahawa aku tidak berlindung kepada perisaiku. Yang aku berlindung
kepada Tuhanku juga."
Keadaan yang sama ditunjukkan Amir Hamzah ketika beliau berjaya mengalahkan
Dewa Afrid dan tentera jin kafir dengan mengucap syukur atas kemenangan itu
dengan mengerjakan sembahyang dua rakaat.
Dan nilai inilah sebenarnya yang mahu ditinggalkan oleh cerita-cerita yang terdapat
dalam Hikayat Amir Hamzah itu, iaitu satu nilai kecintaan manusia terhadap
khaliqnya di samping memperlihatkan keutuhan dan perpaduan orang Islam
terutama ketika berhadapan dengan musuh.
Pendewaan terhadap Amir Hamzah sebagai pahlawan yang ulung tidak sahaja
terselit kerana keperwiraan beliau, tetapi juga kepada tingkah laku baik beliau yang
dapat menjadi teladan kepada masyarakat pembaca. Beliau seperti kanak-kanak
lain misalnya masih mahu belajar mengaji daripada Mu’alim Sofian. Amir Hamzah
juga masih mahu berguru ilmu peperangan walaupun beliau ternyata sudah memiliki
kekuatan yang luar biasa. Selain itu Amir Hamzah juga pernah menangis kesedihan
apabila guru yang mengajarnya memanah, meninggal dunia. Inilah antara sifat-sifat
kemanusiaan yang dimiliki oleh seorang tokoh besar seperti Amir Hamzah. Beliau
juga tidak pernah merasa besar diri walaupun sudah memiliki segala keistimewaan
yang melebihi daripada orang lain.
Dan inilah yang membezakan beliau dengan Umar Umaiyah, watak pembantu yang
menjadi orang penting di belakang pergerakan Amir Hamzah. Umar Umayah
mempunyai peribadi yang agak kontras berbanding dengan peribadi Umar Umayah.
Banyak kelakuan melampaui Amir Hamzah didalangi oleh Umar Umayah.
Walaupun ada kalanya nasihat yang diberikan oleh Umar Umayah kepada tindakan
Amir Hamzah ada rasionalnya yang tersendiri, namun tindakan itu tetap akan
meninggalkan kesan tidak baik kepada pembaca. Antaranya:
· Ketika menyahut cabaran ahli gusti yang sombong, Umar Umayah menasihatkan
Amir Hamzah,
"Ya Amir tangkap kedua-dua kakinya, maka hempaskan ke bukit."
Tindakan ini tentu sahaja keterlaluan yang boleh menjejaskan imej Amir Hamzah
sebagai pahlawan yang agung.
· Membunuh penjaga rumah berhala serta membakar berhala berkenaan, yang
rasionalnya memang mahu menghalang orang menyembah lain daripada Allah,
namun tindakan itu tetap akan menjejaskan kewibawaan Amir Hamzah dan Khoja
Abdul Mutalib.
· Ketika berehat di bawah pokok kurma, Umar Umayah mencadangkan supaya Amir
Hamzah mencabut sahaja pokok kurma yang lebat buahnya kerana Amir Hamzah
ingin memakannya tetapi tidak tahu memanjat.
"Jikalau engkau tidak tahu menaiki pokok kayu pergilah engkau korek pohon itu."
Maka Amir Hamzah pun mencabut pokok berkenaan tanpa meminta izin tuannya
dahulu dan memakan buah kurma yang masak.
Kelakuan sebegini tentu sahaja berlawanan dengan prinsip yang dihajat oleh Islam
supaya tidak mengambil hak orang lain tanpa kebenarannya terlebih dahulu.
· Umar Umayah mencuri kaus gurunya dan menjualkannya kepada penjual halwa
kerana mahu membalas dendam kepada tuan guru Mualim Sofian yang telah
merotannya kerana terlalu banyak jenaka ketika mengaji.
Tindakan ini tentu sahaja tidak direstui oleh Islam.
· Umar Umayah menipu pemilik unta dan mencuri unta-unta gembala itu setelah dia
mengenakan ubat pelali kepada gembala tersebut.
"Beri apalah akanyalah kami muz tuaifi itu barang sedikit". Atas hal demikian, oleh
Umar diambilnya muz tuaifi yang sudah diubatinya dengan ubat bius itu. Hatta demi
di makan orang gembala itu, sekalian pun berbiuslah tiada khabarkan diri masing-
masing. Maka segera kuda dan unta itu dihalau oleh Umar itu serta dibawa kepada
Amir.
Tindakan sebegini sebenarnya tiada dalam Islam tetapi ia tetap diamalkan oleh
Umar Umayah yang dianggap menjadi orang penting Amir Hamzah. Inilah sedikit
kurang ketelitian yang ditonjolkan oleh pencerita.
Hikayat Amir Hamzah, yang cuba memperlihat ketinggian dan kemuliaan sifat
penganut-penganut agama Islam sepatutnya tidak dicemarkan dengan sifat tidak
bermoral Umar Umayah itu. Namun barangkali kerana pengarang mahukan
penampil Amir Hamzah sebagai tokoh pahlawan, yang lebih ditonjolkan, maka kisah-
kisah humor Umar Umayah yang diselitkan bersama kegemilangan Amir Hamzah itu
tidaklah ketara sangat kalau pembaca tidak menelitinya dengan berhati-hati. Dan
Hikayat Amir Hamzah yang dijadikan perangsang hulubalang Melayu menentang
penjajah zaman Portugis, harus dilihat sebagai hikayat yang berjaya menonjolkan
keutuhan perpaduan di kalangan orang Islam. Dan keunikan sifat kepahlawanan
Amir Hamzah itulah yang menjadi lambang kemegahan masyarakat Islam yang
mahu menghadapi musuh-musuhnya walau di mana sahaja.
Bibliografi
A. Bahar Hamid, 1967, Beberapa catatan Mengenai Sastera dari Susut
Pertumbuhan Masyarakat dlm Jurnal Dewan Bahasa 11:9 September.
Abu Hasan Sham, ‘Sastera Epik’ dlm. Kesusasteraan Melayu Tradisional, 1993,
Kuala Lumpur, DBP.
Arne, Antti dan Thomson, The Type of Folktale dlm. Warna Sari Sastera Melayu
Tradisional, Majlis Peperiksaan Malaysia.
Emeis M.G. 1988, Bungai Rampai Melayu Kuno, cet. 15, Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Halimah Hassan, Hajah, Mac 1997, Kertas kerja Taklimat Pendedahan Sukatan
Pelajaran Baru Kesusasteraan STPM, Penghayatan Prosa Tradisional.
Majlis Peperiksaan Malaysia, 1996, Warna Sari Sastera Melayu Tradisional, Kuala
Lumpur, DBP dan Penerbit Fajar Bakti.
Safian Hussain, et. al. 1998, Glosari Istilah Kesusasteraan, Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Siti Hawa Haji Salleh, 1987, Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional, Kuala
Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka