Anda di halaman 1dari 9

Pemimpin Berkesan

Untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan perlu mewarisi ciri-ciri berikut:

1. Mengetahui dan melatih diri.


Kebanyakan pemimpin terdiri daripada mereka yang berpengaruh, pintar, agresif,
berinisiatif dan mempunyai keyakinan diri dan kebolehan menyelia diri.

2. Mengetahui dan mengawal gaya.

Gaya yang terbaik sekali bergantung kepada banyak faktor (selain daripada
berorientasikan tugas dan berperikemanusiaan). Maka perlu bagi mereka
menganalisis dan memahami gaya tersendiri untuk mengekalkan suatu keadaan
fleksibel supaya dapat dipadankan kepada situasi berkenaan.

3. Mempercayai perkara-perkara terbaik tentang orang lain.

Mengikut andaian-andaian Teori Y, Mc Gregor. Dengan mempercayai bahawa


manusia adalah pandai, kreatif, sanggup bekerja, bertanggungjawab dan ingin
menyelesaikan masalah, dapat meningkatkan lagi pertumbuhan sifat pemimpin yang
berkesan.

4. Memenuhi keperluan-keperluan staf.

Ini merupakan secara mudah kenyataan pemikiran Maslow dan Mc Gregor. Tetapi di
dalam amalannya, beraneka masalah dihadapi. Umpamanya, bagaimanakah dia
mendorong pekerja yang keperluan mereka tidak dapat dipenuhi melalui kerja
mereka? Bagaimanakah dia dapat meyakinkan staf supaya mempersetujui matlamat
organisasi? Mc Gregor telah mencadangkan suatu teknik seperti penyertaan staf dan
sesi-sesi dialog yang membincangkan perkara-perkara seperti matlamat-matlamat
organisasi.

5. Bertindak sebagai pemimpin.

Dalam semua hal, pemipin perlu bertindak sebagaimana yang dijangka dan diingini
oleh pengikut atau staf, agar mendapat sanjungan yang setimpal dengan taraf
pemimpin.

Mengikut Renihan (1996) terdapat tujuh kemahiran utama pengurusan sekolah yang
berkesan, iaitu:

1. Kemahiran hubungan manusia


2. Kemahiran kepimpinan
3. Kemahiran organisasi
4. Kemahiran komunikasi
5. Memahami, sabar dan empati
6. Konsisten dan jelas matlamata serta
7. Latar belakang akademik

Model atau Teori

Teori kepimpinan yang digunakan untuk menggambarkan kajian ini adalah teori
kontigensi. Menurut Robiah (2003), teori kontigensi mengandaikan bahawa
keberkesanan kepimpinan adalah bergantung kepada kesesuaian atau keselarasan
personaliti pekerja dan tingkah laku pemimpin dengan faktor-faktor situasi seperti
struktur tugas, kuasa, kedudukan atau jawatan, dan kemahiran serta sikap pekerja.
Teori ini juga menganggap tiada satu pun gaya kepimpinan yang baik dan sesuai
untuk semua situasi, semuanya bergantung kepada situasi semasa dan tahap
keupayaan pekerja. Pengurus sekolah sebagai seorang pentadbir dan juga
pemimpin harus mengenal pasti faktor-faktor yang paling penting yang boleh
mempengaruhi tingkah laku kakitangan atau ahli yang dipimpinnya dalam situasi
yang tertentu, dan meramalkan gaya kepimpinan yang paling berkesan untuk situasi
tersebut. Model teori yang digunakan di bawah teori kontigensi ini ialah model teori
laluan matlamat House yang telah diasaskan oleh Martin G. Evans dan Robert
House pada tahun 1971, diambil dan diubahsuai daripada buku Teori Asas
Pendidikan oleh Robiah Sidin (2003), seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1 di
bawah.

Rajah 1 : Model diubahsuai dari Model Teori Laluan Matlamat House

GAYA KEPIMPINAN

- Kolaboratif Terbuka
- Autoritatif Membina
- Situasi
- Transformasi
- Pengajaran
- Pemudah Cara

PERUBAHAN TINGKAH LAKU

- Tahap motivasi dan kepuasan guru


- Pemantapan pengurusan sekolah
- Pengembangan potensi diri dan inovasi
- Amalan pengajaran dan pembelajaran (P&P) berkesan.

Proses amalan gaya kepimpinan dikomunikasikan kepada kakitangan


Model Teori Laluan Matlamat menyokong Teori Kontigensi Fielder dan berdasarkan
Teori Motivasi Harapan. Mengikut teori ini, pemimpin dianggap berkesan apabila
pemimpin boleh meningkatkan tahap penerimaan dan motivasi dalam kalangan
pekerja yang diuruskannya. Fokus teori ini adalah tingkah laku pemimpin, bagaimana
pemimpin dapat mengubahsuai stail kepimpinannya supaya berkesan dengan
keadaan atau situasi yang dihadapi. Selain itu, menurut teori ini motivasi, kepuasaan
dan pelaksanaan kerja seorang pekerja (guru) bergantung kepada gaya kepimpinan
yang dipilih. Kepelbagaian dimensi tingkah laku kepimpinan diselidik melalui teori ini.
Antaranya, termasuklah struktur permulaan pemimpin, pertimbangan, autoritatif,
pengaruh hierarki dan darjah keakraban penyeliaan. Setiap dimensi itu dianalisis
berdasarkan variable laluan Matlamat, seperti valens dan instrumentaliti.

Gaya-gaya kepimpinan yang akan dibincangkan adalah gaya kepimpinan


kolaboratif terbuka, gaya kepimpinan autoritatif membina, gaya kepimpinan situasi,
gaya kepimpinan transformasi dan gaya kepimpinan pengajaran. Berdasarkan teori
ini, proses pengurus sekolah mengamalkan gaya kepimpinannya akan
mempengaruhi kakitangannya dengan mengambil kira situasi organisasi dan
personaliti pekerja. Situasi organisasi dirujuk kepada struktur tugas, peraturan dan
sistem kuasa manakala personaliti pekerja pula merujuk kepada keperluan peribadi,
kebolehan pekerja dan kawalan diri. Proses ini akan membentuk perubahan tingkah
laku kakitangannya. Gaya kepimpinan pengurus sekolah akan meningkatkan
motivasi dan kepuasan guru, memantapkan pengurusan sekolah, mengembangkan
potensi diri dan inovasi guru dan pelajar, dan meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran. Perbincangan mengenai jenis gaya kepimpinan dan
pengaruhnya dalam perubahan tingkah laku kakitangan akan dibincangkan dibawah.

Kesan Amalan Gaya Kepemimpinan Terhadap Peningkatan Motivasi dan Kepuasan


Kerja Guru

Amalan gaya kepemimpinan seseorang pengurus sekolah mampu memberi kesan


terhadap motivasi dan kepuasan kerja guru-guru dan staf dibawahnya. Shukri
(2004), sependapat bahawa gaya kepimpinan pengurus sekolah mempunyai
pengaruh terhadap peningkatan motivasi dan kepuasan kerja pekerja. Contohnya,
mendapati bahawa amalan komunikasi kepemimpinan ketua sama ada kolaboratif
terbuka atau autoritatif membina mempunyai pengaruh yang ketara terhadap
kepunyaan yang kuat oleh warga organisasi (motivasi intrinsik) dan mempengaruhi
sikap penglibatan mereka dengan berkesan terhadap tugas dalam organisasi
(motivasi ekstrinsik). Walau pun kedua-dua gaya kepimpinan tersebut memberi
kesan positif terhadap motivasi dan kepuasan kerja staf, pengaruh gaya kepimpinan
kolaboratif terbuka didapati lebih kuat.
Mohd. Nor (2004) yang mengkaji amalan gaya kepimpinan guru besar kepada
stafnya pula mendapati tingkah laku (gaya) kepemimpinan pengajaran guru besar
memberi kesan positif kepada motivasi dan komitmen kerja guru. Faktor insentif
yang memuatkan cara-cara guru besar menghargai, memuji dan mengukuhkan
prestasi guru sebagai satu bentuk insentif kepada guru-guru dan seterusnya
meningkatkan motivasi dan kepuasan kerja guru.

Melalui gaya kepemimpinan situasi, pengurus sekolah mengamalkan gaya


kepemimpinan berbeza kepada guru yang berbeza dalam situasi-situasi berbeza.
Cara pengurus sekolah menggunakan pendekatan berbeza mengikut kesesuaian
situasi ini membantu mewujudkan suasana kondusif dan bermotivasi dalam kalangan
guru apabila mereka diuruskan dengan adil dan sesuai dengan tugas yang diberi
(Maimunah, 2004). Contoh gaya berbeza terhadap individu berbeza adalah seperti
berikut :

a. Gaya mengarah biasanya kepada guru-guru baru/ guru berprestasi rendah/


mengelak tugas.
b. Gaya membimbing biasanya kepada guru yang kurang pengalaman dan
pengetahuan tentang kelas.
c. Gaya menyokong biasanya kepada guru berpengalaman.
d. Gaya mendelegasi biasanya kepada guru kanan/ pentadbir sekolah.

Kajian terhadap amalan gaya kepimpinan transformasional dalam kalangan


pengurus sekolah juga mendapati bahawa pengurus sekolah dapat mengenal pasti
keperluan pengikut dan sentiasa cuba meningkatkan keperluan pengikut ke
peringkat motivasi dan kematangan yang lebih tinggi. Pada masa yang sama juga,
pengurus sekolah cuba memenuhi keperluan perkembangan potensi kakitangan
(Chan, 2004).

Kesimpulannya, gaya kepimpinan yang diamalkan oleh pengurus sekolah sama ada
gaya kepimpinan kolaboratif terbuka, gaya kepimpinan autoritatif membina, gaya
kepimpinan pengajaran, gaya kepimpinan situasi atau gaya kepimpinan
tranformasional memberi kesan positif terhadap motivasi dan kepuasan kerja guru.
Guru yang bermotivasi dan mendapat kepuasan kerja dapat membantu mewujudkan
sekolah berkesan dan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.

Kesan Amalan Gaya Kepemimpinan Terhadap Pemantapan Pengurusan


Sekolah

Gaya kepimpinan pengurus sekolah memberi kesan terhadap pemantapan


pengurusan sekolah. Gaya pemudah cara, gaya pengajaran, situasi dan
transformasional adalah gaya yang dinyatakan memberi kesan positif terhadap
pemantapan pengurusan sekolah.
Kecemerlangan organisasi banyak dipengaruhi oleh elemen-elemen seperti guru dan
murid, struktur pentadbiran sekolah, teknologi pendidikan dan persekitaran sekolah
yang sihat. Pengurus sekolah yang mengamalkan gaya pemudah cara sentiasa
mengemaskini elemen-elemen tersebut, menyediakan spesifikasi kerja yang baru,
mengatasi apa jua konflik yang dihadapi dan mengadakan perancangan untuk
meningkatkan keberkesanan pentadbiran sekolah.

Dalam konteks keberkesanan sekolah-sekolah rendah di luar bandar, faktor


kepemimpinan pengajaran merupakan salah satu faktor utama yang menentukan
keberkesanan sesebuah sekolah (Mohd Nor, 2004). Sekolah yang berkesan
mempunyai guru besar yang berfungsi sebagai pemimpin pengajaran yang
berkesan.

Dalam kajiannya, Maimunah (2004) mendapati pengurus sekolah yang menjadi


respondennya mengamalkan gaya kepimpinan membimbing sebagai gaya
kepemimpinan utama dan gaya menyokong sebagai gaya kepemimpinan kedua. Ini
bermakna pengurus sekolah tersebut mengamalkan gaya kepemimpinan mengikut
kesesuaian situasi dan masalah yang berlaku. Mereka berkebolehan dan berani
dalam membuat keputusan. Ini adalah positif apabila seorang ketua dilihat boleh
menguruskan sesuatu perkara dan tahu bertindak sewajarnya dan menjadikan
pengurusan berkesan.

Gaya pemudah cara telah membantu pentadbir memberi tumpuan kepada aspek
pengurusan sekolah dengan tidak perlu lagi memikirkan bebanan yang akan
ditanggung oleh guru-guru. Sementara Chan (2004) pula mendapati gaya
kepimpinan transformasional memupuk para pentadbir untuk mewujudkan
pengurusan yang kolaboratif dan keberkesanan pengurusan sekolah.

Kesimpulannya, gaya-gaya kepimpinan pemudah cara, gaya pengajaran, situasi dan


transformasional telah menunjukkan kesan yang positif terhadap pemantapan
pengurusan sekolah. Gaya-gaya tersebut juga didapati memberi kesan positif
terhadap keberkesanan sekolah kecuali gaya kepimpinan pemudah cara. Noordin
(2004) mendapati bahawa gaya kepimpinan pemudah cara hanya memberi kesan
yang rendah terhadap tekanan kerja guru dan tidak mempengaruhi keberkesanan
organisasi.

Kesan Amalan Gaya Kepemimpinan Terhadap Perkembangan Potensi Diri dan


Inovasi

Gaya kepimpinan pengurus sekolah mempunyai pengaruh terhadap perkembangan


potensi diri dan inovasi pekerja. Perkembangan potensi diri dan inovasi
mencerminkan kebolehan guru atau staf dalam sesebuah sekolah untuk
menggunakan bakat atau potensi diri dalam melakukan perubahan dalam suatu
kaedah P&P atau proses kerja. Perkembangan potensi diri dan inovasi ini
memerlukan dorongan daripada kepimpinan.

Chan (2004) mendapati bahawa gaya kepimpinan transformasional yang diamalkan


oleh pengurus sekolah cuba memenuhi keperluan perkembangan potensi kakitangan
apabila beliau dapat mengenal pasti keperluan pengikut dan sentiasa cuba
meningkatkan keperluan pengikut ke peringkat motivasi dan kematangan yang lebih
tinggi. Amalan pengurus sekolah ini juga berupaya membentuk keazaman diri dan
kemampuan mendorong seluruh warga organisasinya melaksanakan inovasi dalam
pendidikan dan mempunyai inisiatif untuk melakukan perubahan. Sementara Shukri
(2004) pula mendapati gaya kepemimpinan kolaboratif terbuka dan autoritatif
membina yang diamalkan oleh pengurus sekolah berupaya menerbitkan perlakuan
yang menghargai dan memartabatkan organisasi secara sukarela, ceria dan inovatif.

Satu kajian berkaitan gaya kepemimpinan pemudah cara dalam mempengaruhi


tekanan kerja, telah menunjukkan bahawa hanya terdapat sedikit sahaja guru yang
mengalami tekanan hasil dari tingkahlaku pemimpin organisasi sesebuah sekolah
(Noordin, Sharifudin & Azizi, 2004). Ini menunjukkan tingkah laku positif seorang
pengurus sekolah menghasilkan tingkah laku yang positif daripada kakitangannya.

Kesimpulannya, gaya kepimpinan pengurus sekolah yang positif juga dapat


mendorong guru dan staf untuk memperkembangkan potensi diri dan melaksanakan
inovasi dalam urusan kerja seharian. Gaya yang positif ini juga dapat mengurangkan
tekanan kerja yang dihadapi oleh guru dan staf.

Kesan Amalan Gaya Kepemimpinan Terhadap Peningkatan Amalan Pengajaran


Dan Pembelajaran Yang Berkesan.

Kajian-kajian yang dilaksanakan mengenai gaya kepimpinan pengurus sekolah


menunjukkan bahawa gaya kepimpinan transformasional , gaya kepimpinan
pengajaran dan gaya pemudah cara apabila diaplikasikan oleh pengurus sekolah
dapat meningkatkan amalan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan di
sekolah.

Gaya kepimpinan transformasional membantu para pentadbir ke arah menggalakkan


perkembangan pembelajaran pelajar melalui program-program pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Jelas menunjukkan bahawa terdapat perubahan
kepada pengajaran dan pembelajaran melalui gaya kepimpinan pengajaran. Cara
Pengurus sekolah memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar
yang berjaya dalam kurikulum dan aktiviti kokurikulum membuktikan bahawa sekolah
yang berkesan dari sudut pengajaran dan pembelajaran dapat diwujudkan. Seorang
pengurus sekolah yang mempunyai kemahiran dalam pemimpin pengajaran boleh
membawa perubahan dalam pengajaran guru dan pembelajaran para muridnya.

Kajian Mohd Anuar, Azizi & Mohd Yusope (2004) pula mendapati bahawa pengurus
sekolah membawa perubahan kepada proses pengajaran dan pembelajaran melalui
gaya pemudah cara dan tingkah laku beliau dalam menangani perubahan.
Sebilangan besar guru bersetuju bahawa pengurus sekolah bekerja sama dengan
guru dan memberi keutamaan kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Kesimpulannya, amalan gaya kepimpinan transformasional, gaya kepimpinan
pengajaran dan gaya pemudah cara oleh pengurus sekolah mampu memberi kesan
terhadap amalan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Melalui gaya-gaya
kepimpinan ini, pengurus sekolah mendapat kerjasama guru dan pelajar yang terlibat
secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran.

Rumusan

Kepimpinan adalah proses di mana individu mempengaruhi ahli kumpulan lain bagi
mencapai matlamat kumpulan atau matlamat organisasi. Pengurusan dan
kepimpinan pendidikan yang berkualiti, berwibawa dan berkesan akan dapat
menggerakkan anggota-anggota sekolah melaksanakan tugas mereka dengan
penuh dedikasi ke arah mencapai aspirasi dan objektif-objektif yang telah ditentukan.
Kajian ini menekankan bahawa kepimpinan sangat mustahak bagi menentukan
kejayaan organisasi malah mungkin ia faktor terpenting yang boleh menentukan
kejayaan atau kegagalan organisasi. Namun begitu, gaya kepemimpinan pemudah
cara yang diamalkan oleh pengurus sekolah hanya memberi kesan yang rendah
terhadap tekanan kerja guru dan tidak mempengaruhi keberkesanan organisasi.

Berdasarkan bukti-bukti daripada kajian ini menunjukkan bahawa gaya kepimpinan


pengurus sekolah adalah faktor yang membantu perubahan tingkah laku dalam
organisasi. Gaya kepimpinan yang positif membantu mewujudkan perubahan yang
positif dalam organisasi seterusnya menggalakkan kewujudan organisasi sekolah
yang berkesan.

Kaedah kepimpinan situasi oleh Kenneth Blanchard dan Paul Hersey menegaskan
bahawa pemimpin mesti menggunakan stail yang berbeza pada situasi yang
berbeza. Model ini membenarkan kita sebagai pemimpin menganalisis situasi
tertentu dan seterusnya menggunakan stail yang terbaik bersesuaian dengan situasi
yang dihadapi. Bergantung kepada kompetensi seseorang pengikut disamping tahap
komitmen terhadap tugasnya stail kepimpinan yang diaplikasikan berbeza dari
seorang pengikut kepada pengikut yang lain.

Blanchard dan Hersey mengkategorikan stail kepimpinan kepada empat kategori


berasaskan kepada tahap arahan dan sokongan yang diberikan oleh pemimpin
kepada subordinatnya . Ianya pula mestilah disesuaikan dengan tahap kompetensi
dan komitmen pengikut. Empat stail tersebut ialah mengarah, memimpin,
menyokong dan mendelegasi.

Andaian asas model kepimpinan situasi ini ialah pemimpin mampu dan sanggup
memilih orientasi berasaskan aras kesediaan orientasi pengikut dan dimensi kerja
serta hubungan dengan pengikut. Peroses pemilihan stail dalam kepimpinan situasi
dimulai dengan pemimpin membuat penilaian yang menyeluruh terhadap
subordinatnya. Melihat aras komitmen dan kompetensi terhadap tugasan yang diberi.
Pemimpin akan menentukan aras arahan "directive" yang bersesuaian dengan
subordinat. Berbincang tentang situasi yang ada dengan subordinat, menetapkan
matlamat bersama, memberi sokongan dan seterusnya memantau dan menyelaras
pembetulan yang perlu.

Pengurus sekolah mengamalkan stail kepimpinan situasi dalam mengurus dan


mentadbir sekolah. Bersesuaian dengan pendekatan kepimpinan situasi Pengurus
sekolah mengutamakan sifat kefleksibilan apabila berhadapan dengan subordinat
yang berbeza dalam situasi yang berbeza Stail kepimpinan yang utama ialah
membimbing, adakalanya menyokong, mengarah dan mendelegasi. Pengurus
sekolah sentiasa bersedia dan berani memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada
guru-guru di samping mewujudkan hubungan dua hala yang baik. Pengurus sekolah
dapati kebaikannya di antara lain ialah arahan tugas adalah jelas, tunjuk ajar yang
dilakukan secara berterusan, pendapat guru diambil kira dalam membuat keputusan
yang diambil oleh Pengurus sekolah. Stail kepimpinan yang berbeza diamalkan
kepada guru yang berbeza. Keadaan ini bergantung kepada faktor komitmen dan
tahap kompetensi guru-guru berkenaan. Batasannya ialah ada kalanya rumusan
yang Pengurus sekolah dapati dalam menganalisis situasi tidak begitu tepat.

Bibliografi

Chan Yuen Fook. 2004. Kepimpinan Transformasional Dan Inovasi Pendidikan.


Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-12, Institut Aminuddin
Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Hussein Mahmood (1993). Kepimpinan dan keberkesanan sekolah. Kuala Lumpur:


DBP.

Ishak bin Din. 2003. Gaya Kepimpinan Transformasi dan Pengajaran. Gaya
Manakah Yang Manakah Diperlukan Oleh Pengetua? Jurnal Pengurusan dan
Kepimpinan Pendidikan. Institut Aminudin Baki: 9-10.

Maimunah bt Muda. 2004. Kepemimpinan Situasi Di Kalangan Pengetua Sekolah di


Malaysia. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-12, Institut
Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Mohd Nor bin Jaafar. 2004. Kepimpinan Pengajaran Guru Besar, Komitmen dan
Kepuasan Kerja Guru : Satu Kajian Perbandingan dan Hubungan Antara Sekolah
Berkesan dengan Sekolah Kurang Berkesan. Seminar Nasional Pengurusan dan
Kepimpinan Pendidikan ke-12, Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran
Malaysia..

Noordin Hj Yahaya, Sharifudin Ismail, PM Dr. Azizi Hj Yahaya. 2004. Tingkah Laku
Kepimpinan Pengetua dan Hubungannya Dengan Tekanan Kerja dan Keberkesanan
Organisasi, Di Beberapa Buah Sekolah Terpilih Di Negeri Sembilan. Seminar
Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-12, Institut Aminuddin Baki,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Razali bin Mat Zin. 1996. Kepimpinan Dalam Pengurusan. Utusan Publications and
Distributors Sdn. Bhd.

Robiah Sidin. 2003. Teori Pentadbiran Pendidikan. Bangi: Penerbit Universiti


Kebangsaan Malaysia.

Shukri bin Haji Zain. 2004. Komunikasi Kepemimpinan dan Hubungannya Dengan
Motivasi. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-12, Institut
Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai