Anda di halaman 1dari 10

Peranan Pengetua Dalam Usaha Menerapkan Prinsip Etika Kerja KPM Untuk Kecemerlangan Sekolah

PENDAHULUAN Mengikut Kamus Dewan (1989), pemimpin bermaksud orang yang memimpin. Kepimpinan berlaku apabila seseorang itu berkebolehan mendorong, memujuk dan mempengaruhi orang lain untuk berusaha ke arah pencapaian sesuatu objektif tertentu. Kepimpinan boleh didefinisikan sebagai seni atau proses mempengaruhi kegiatan manusia yang berkaitan dengan tugas mereka supaya mereka rela bergiat dan berusaha ke arah pencapaian matlamat sesebuah organisasi. Dalam kepimpinan, pengaruh dan kecekapan pemimpin dapat membawa ke arah kecemerlangan sesebuah organisasi. Oleh itu organisasi seperti sekolah, pengaruh kepimpinan dan kecekapan pengetua amat penting dalam menentukan kejayaan sekolah di bawah pimpinannya. Peranan pengetua dalam menangani pelbagai masalah yang melibatkan sama ada kakitangan di bawah pimpinannya, komuniti di sekitar sekolah ataupun urusan di peringkat atas mempengaruhi prestasi sekolah. Etika ditakrifkan sebagai tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat (Intan, 1991). Manakala Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia pula adalah panduan tingkah laku yang menjadi pegangan setiap warga Kementerian Pelajaran Malaysia berlandaskan nilai-nilai akhlak mulia. Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia mempunyai objektif untuk menanamkan sikap positif dan menghapuskan sikap negatif dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan bagi mempertingkatkan kualiti kerja, meningkatkan disiplin diri bagi menghasilkan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dan organisasi dan memberikan sumbangan positif yang berterusan kepada negara (KPM, 1999). Cemerlang mengikut Kamus Sistem (1982) pula bermaksud berkilauan, bercahaya dengan terang, sangat baik dan sangat indah. Manakala berdasarkan Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (1987) pula, kecemerlangan membawa maksud hal atau keadaan cemerlang atau kegemilangan.Kesimpulannya kecemerlangan merupakan pencapaian terhadap sesuatu hasil kerja yang berjaya membawa sesuatu pihak atau organisasi ke peringkat yang lebih tinggi. Dalam usaha mencapai kecemerlangan sesebuah organisasi, budaya kerja cemerlang amat penting diterapkan dalam kalangan pemimpin dan kakitangan di bawah kawalannya. Budaya kerja merupakan satu kumpulan nilai-nilai atau prinsip-prinsip yang diterima oleh seseorang atau

sesuatu kumpulan sebagai amalan ketika menjalankan tugas atau tanggungjawab yang diamanahkan. Kecemerlangan sesebuah organisasi hanya boleh dicapai apabila mendapat sokongan secara bersepadu dan bantuan daripada pihak-pihak yang terlibat. Dalam konteks organisasi sekolah, kerjasama di antara pengetua, guru-guru, murid-murid, ibu bapa dan juga stakeholder adalah amat mustahak. Kecemerlangan sekolah mempunyai pelbagai takrifan. Secara umumnya takrifan inibergantung kepada persepsi serta nilai yang berbeza daripada pelbagai pihak. Umum memberikan penekanan kepada kecemerlangan akademik sebagai kayu pengukur kecemerlangan sekolah. Mengikut Sergiovanni (2001), terdapat aspek-aspek lain yang diberi penekanan selain akademik iaitu keprihatinan guru-guru terhadap pelajar, keselamatan di sekolah, dan kerjasama ibu bapa dan sekolah. Bagi pelajar pula sekolah berkesan dan cemerlang adalah sekolah yang memberi peluang yang sama, mempunyai persekitaran yang cantik, bersih dan harmonis serta mempunyai guru-guru yang membantu mereka meningkatkan prestasi pembelajaran dan kreativiti. Pihak sekolah pula menekankan perkembangan pelajar yang seimbang, komunikasi yang baik di kalangan staf, perkembangan staf yang berterusan dan persekitaran kerja yang baik (Garbutt, 1996). Jelaslah bahawa sekolah mempunyai pelbagai tuntutan daripada masyarakat.Justeru, sekolah haruslah berperanan sebagai sebuah organisasi yang dinamik dan mengamalkan strategi pengurusan yang bersesuaian dengan tuntutan semasa. Organisasi mengikut Kamus Dewan (1994) bermaksud kesatuan yang terdiri daripada bahagian atau golongan yang tersusun dalam sesuatu pertubuhan dan perbadanan. Weber (1948) pula mentakrifkan organisasi sebagai perhubungan sosial yang menghad atau menutup kemasukan orang luar dengan mengadakan peraturan. Dalam organisasi wujud pehubungan sosial, di mana ahlinya berinteraksi secara rasional dan aktif, serta terdapat hieraki dan pembahagian tugas. Kecemerlangan organisasi semestinya memberi kesan positif kepada mereka yang terlibat. Pelanggan akan mendapat barangan atau perkhidmatan yang lebih bermutu, pengurus dan pekerja mendapat ganjaran yang lebih tinggi. Sebaliknya jika prestasi organisasi merosot, akan memberi kesan negatif kepada semua yang terlibat. Sekolah sebagai sebuah organisasi pendidikan di mana pengetua adalah pemimpin yang bertanggungjawab atas jatuh bangunnya sesebuah sekolah. Kepimpinan pengetua adalah merujuk kepada kebolehan pengetua mempengaruhi, memotivasi dan mengubah sikap dan tingkah laku guru-guru, staf sokongan dan murid-murid bersikap positif, gigih dan penuh dedikasi untuk melaksanakan dasar dan programprogram sekolah dan bagi mencapai visi, matlamat dan aspirasi sekolah Dengan kata lain kepimpinan pengetua merupakan faktor utama kecemerlangan sekolah.Sekolah cemerlang kerana pengetua dan pasukan kerjanya cemerlang.Sekolah cemerlang memerlukan seorang

pengetua yang benar-benar mahir, yakin dan berkemampuan untuk menjadikan halangan sebagai satu cabaran, peluang sebagai satu kemudahan dan perubahan sebagai landasan kecemerlangan. Untuk mencapai kecemerlangan, sesebuah sekolah itu perlulah mencapai tahap optimum dalam aspek pengurusan kurikulum, pengurusan kokurikulum, pengurusan am sekolah, pengurusan kewangan dan penguruan prasarana dan penyelenggaraan sekolah.Sebagai pemimpin sekolah, pengetua seharusnya dapat melaksanakan pelbagai usaha dalam menerapkan lima Prinsip Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia untuk kecemerlangan sekolah. Prinsip tersebut ialahNiat Yang Betul, Perlakuan Yang Baik, Penggerak Ke Arah Kebaikan, Memperkotakan Apa Yang Dikata serta Berdisiplin Dan Beradab. 1. Niat Yang Betul Niat yang betul dalam Prinsip Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia bermaksud melaksanakan pekerjaan dengan niat yang betul sebagaimana yang dituntut oleh ajaran agama (KPM, 1999). Orang yang tidak mempunyai niat yang betul semasa bekerja tidak akan bekerja dengan baik. Orang itu tidak akan mempunyai komitmen terhadap kerja yang dilakukannya. Ramai orang yang bekerja tetapi tidak faham atau mengerti kenapa mereka bekerja selain daripada ingin menyara hidup. Dengan mengamalkan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan seperti amanah, benar, bijaksana, sentiasa bersyukur, dedikasi , ikhlas, tidak riak atau menunjuk-nunjuk, bekerja bukan kerana terpaksa dan penyayang akan mendorong guruguru dan staf sokongan melaksanakan tugas pada landasan yang betul. Pada mesyuarat awal tahun, penekanan terhadap peri pentingnya guru-guru mengamalkan dengan ikhlas dan jujur nilai-nilai tersebut dan menjadikan kerja sebagai satu ibadah yang dituntut oleh agama. Pengetuamenjelaskan kepada guru-guru dan staf bahawa sebagai penjawat awam, guruguru dan staf hendaklah memperbetulkan niat bekerja daripada bekerja untuk mendapat gaji dan faedah kewangan semata-mata kepada konsep kerja sebagai amal ibadah untuk diri dan masyarakat. Dengan kesedaran yang mendalam dalam sanubari mereka, diyakini bahawa setiap kakitangan di sekolah akan dapat menghasilkan kualiti kerja yang tinggi kerana mereka sentiasa menyedari bahawa kerja yang mereka lakukan sentiasa dipantau oleh Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan. Keimanan kepada Tuhan akan mendorong mereka melakukan pekerjaan yang terbaik agar diredai dan dirahmati oleh Allah.Pendapatan hasil kerja dengan niat yang betul akan mendapat kerahmatan kerana ia halal. Daripada pemerhatian dan pemantauan yang dilakukan, didapati berlaku perubahan tingkal laku hasil kesedaran yang mendalam terhadap tanggungjawab dan amanah yang dipikul berjaya menghasilkan kualiti dan keberkesanan dalam tugas. Tugasan dapat diselesaikan dengan sempurna dan tepat pada

waktunya. Guru-guru dan staf sokongan telah dapat menjalankan tugas utama dengan tekun di samping tugas-tugas tambahan sebagai satu tanggungjawab bersama dan dilaksanakan dalam semangat kerjasama tanpa rungutan. Mereka menyedari bahawa ganjaran yang mereka akan peroleh bukan sahaja di dunia malahan juga di akhirat.Penerapan nilai-nilai Islam yang diterapkan ini juga dapat diterima dan bersesuaian dengan kepercayaan dan anutan agama dalam kalangan guru-guru bukan Islam. Natijahnya didapati dalam kalangan guru-guru jelas 98 peratus dapat menepati aspirasi dan Prinsip Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia. Contohnya bilangan guru dan staf yang datang lewat amat berkurangan kecuali atas sebab-sebab kecemasan. Seterusnya dalam kalangan guru-guru baru, mereka dikehendaki melafazkan Aku Janji bagi memastikan mereka memahami serta menghayati matlamat sebenar menjadi seorang guru. Aku Janji adalah suatu kontrak antara penjawat awam dengan majikan. Penjawat awam mesti memahami, menghayati dan mematuhi Aku Janji sebagai asas kepada amalan nilai dan etika dalam perkhidmatan awam (P.U(A) 395). Peraturan-Peraturan Pegawai Perkhidmatan Awam Bahagian II Para A(2)(a)-(j). Aku Janji ini amat penting bagi memastikan semua guru baru menyedari bahawa apabila mereka melaporkan diri sebagai penjawat awam, secara automatik mereka telah terikat dan tertakluk kepada peraturan-peraturan am penjawat awam. Sebarang keingkaran yang dilakukan , tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada mereka. Selain itu, pada setiap sambutan Hari Guru pula saya bersama-sama semua guru melafazkan Ikrar Guru bagi membaharui azam dan janji untuk berkhidmat dan melaksanakan tanggungjawab serta amanah dengan cemerlang. Ikran dan janji yang diucapkan di hadapan murid-murid dapat membugar dan memperkukuhkan semula azam dan kesedaran guru-guru bahawa dengan niat yang betul sahajalah kepuasan akan dapat dirasai apabila ramai atau semua murid mencapai kecemerlangan dalam bukan sahaja dalam akademik, malahan juga kokurikulum dan sahsiah diri. Dengan niat yang betul akan meningkatkan kualiti kerja guru-guru dan staf sokongan. Selain mesyuarat awal tahun, mesyuarat bulanan pentadbir, mesyuarat bulanan guru-guru, staf dan kurusu profesionalisme bagi meningkatkan kecemerlangan mereka, pengetua sentiasa menekankan aspek kualiti dan keberkesanan kerja sebagai satu budaya yang perlu diamalkan secara berterusan dan istiqamah. Untuk mengamalkan budaya kerja cemerlang , ia bermula dengan niat yang betul, konsep ilmu yang betul, amalan yang betul, dinilai dan ditambah dengan amalan rohani secara berterusan. Antara pengisian dalam kursus profesionalisme ialah ceramah daripada pegawai Jabatan Pelajaran Johor mengenai pengurusan tatatertib penjawat awam, PT MC Care yang menyentuh tentang pentingnya mematuhi peraturan dan etika kerja, pemantapan

pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran di samping pembudayaan ICT dalam kalangan guru dan staf sokongan. Pemantapan nilai murni diperkukuhkan lagi dengan Program Membudayakan Al-Quran bagi guru, staf Islam dan murid-murid Islam manakala Program Penerapan Nilai-nilai Murni bagi guru dan murid-murid bukan Islam, pada waktu yang sama setiap pagi Jumaat. Justeru diharapkan agar berlaku perubahan positif dalam kalangan kakitangan khususnya darpada bekerja kerana kena arah atau disuruh kepada bekerja secara sukarela dan menawarkan diri, dari mudah berpuas hati kepada sentiasa ingin memperbaiki, dari bekerja untuk mendapat gaji kepada bekerja untuk amal ibadah diri sendiri dan masyarakat, dari menggunakan kuasa sebagai satu peluang untuk mengaut kekayaan dan disalahguna kepada kuasa sebagai satu amanah, bersikap adil dan akauntabiliti, dari menyusahkan dan dibenci pelanggan kepada diutamakan dan dihargai pelanggan, dari berpuas hati dengan ilmu yang ada kepada sentiasa belajar dan meningkatkan penguasaan ilmu, dari memberi layanan yang kasar, lambat dan menyusahkan kepada mesra, cepat dan memudahkan, dari mengkritik dan mencari kelemahan kepada menghargai dan mencari kehebatan, dari menunggu dan lihat sahaja peluang yang ada kepada mencipta dan mencari peluang, dari tidak menghargai kemudahan kepada menghargai dan menjaganya, dari mementingkan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain, dari menyalahguna dan memanipulasi pengetahuan kepada disebar dan dikongsi dan dari menafikan kesalahan dan meminta bukti kepada mengaku dan meminta maaf. Perubahan sikap ini amat penting ke arah pembudayaan kerja kelas pertama yang seterusnya menghasilkan kecemerlangan organisasi. Sebagai pemimpin, pengetua perlu sentiasa memastikan perhubungan yang baik dan mesra sentiasa terjalin dalam kalangan semua guru, staf dan murid-murid. Penekanan terhadap peri pentingnya hubungan baik, bekerjasama, faham-memahami, bertolak-ansur, hormatmenghormati dan sebagainya sentiasa dinyatakan bukan sahaja semasa perhimpunan mingguan, mesyuarat guru, mesyuarat staf, perjumpaan dengan murid asrama tetapi juga semasa mesyuarat bersama PIBG. Suasana harmoni yang terjalin menjamin kesejahteraan, ketenteraman dan keselesaan kepada murid untuk belajar dan guru untuk mengajar serta kepada staf yang menyumbang kepada kelancaran dan kesempurnaan sistem penyampaian kepada pelanggan di sekolah. Memperkukuhkan hubungan silaturrahim amat dituntut agama bagi menjamin kesejahteraan dan keseronokan bekerja di tempat kerja. Dengan merasai keseronokan bekerja guru-guru dan staf sokongan akan berasa gembira dan ingin kekal lebiih lama dalam perkhidmatan di tempat kerja dan seterusnya memberi sumbangan bakti kepada organisasi

dengan hati terbuka dan sanggup berkorban masa, tenaga bahkan wang ringgit semata-mata untuk kepentingan organisasi sekolah. Walaupun cara kerja segelintir kakitangan masih perlu ditingkatkan supaya lebih baik lagi, namun sebahagian besar kakitangan dapat mengurus masa dengan lebih baik dan bekualiti. Seterusnya kesan positif tidak terhenti di sini sahaja, bahkan kesan jangka panjang yang berlaku ialah merealisasikan kemenjadian murid menjadi insan yang harmonis dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang seterusnya menjadi modal insan kelas pertama sebagaimana yang diharapkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. 2. Perlakuan Yang Baik Perlakuan yang baik merujuk kepada melakukan tugas dengan sempurna ke arah mencapai hasil yang berkualiti di samping memperbaiki imej organisasi. Sebagai pemimpin, pengetua sentiasa menekankan tentang perlakuan yang baik amat perlu diamalkan pada setiap masa. Guru, staf sokongan dan murid sentiasa ditegaskan agar sentiasa bertutur dengan baik, menunjukkan penampilan diri yang kemas, bersih dan bersopan sepanjang masa agar dapat memberi kepuasan kepada pelanggan, menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usahanya dan organisasi. Sebagai pemimpin di sekolah, pengetua dapat menerapkan prinsip perlakuan yang baik dengan melaksanakan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita setiap tahun pada bulan Mac. Melalui kempen serupa ini warga sekolah dapat mengamalkan budaya berterima kasih terutama dalam kalangan guru, staf dan murid-murid terhadap segala usaha-usaha dan pencapaian yang telah dicapai oleh mereka. Budaya berterima kasih inibukan sahaja diamalkan di dalam kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan, tetapi juga dalam apa juga perkara yang dilaksanakan. Dalam perhimpunan mingguan pada setiap hari Isnin, budaya berterima kasih dapat ditonjolkan melalui ucapan terima kasih pengetua atas sumbangan guru dan murid-murid dalam setiap aktiviti sama ada di peringkat sekolah, daerah atau negeri serta peringkat yang lebih tinggi lagi tanpa mengira aktiviti atau pertandingan itu mencapai kejayaan utama ataupun tidak. Yang jelas dapat difahami oleh guru dan murid adalah setiap usaha yang telah dilaksanakan akan dihargai sekurang-kurangnya dengan ucapan terima kasih dan tahniah. Budaya berterima kasih juga perlu diterapkan dalam kalangan guru dan staf sokongan serta staf swasta bagi mewujudkan keharmonian di tempat kerja. Pengetua perlu memahami bahawa keupayaan, kemampuan dan tahap pendidikan, kematangan serta penerimaan kakitangan adalah berbeza-beza. Oleh itu pengetua perlu mengamalkan pendekatan yang berbeza bagi memastikan kakitangan dapat menjalankan tugas dengan sempurna. Dalam melaksanakan tugas, pengetua

perlu mempunyai kebolehan mengurus pelbagai peranan yang mereka perlu lakonkan dalam proses pelaksanaannya (Small, 1974). Oleh hal yang demikian, kemahiran pengetua dalam membaca segala aspek dari guru dan staf sokongan adalah penting. Pengetua boleh menggunakan kemahiran berkomunikasidengan cara berdepolmasi, logik dan boleh diterima oleh mereka. Selain itu, perlakuan yang baik diperkuatkan lagi dengan amalan budaya hormat-menghormati seperti ucapan salam dan selamat sejahtera kepada kakitangan dan murid-murid. Budaya bersalam-salaman antara pentadbir dan kakitangan sejenis ketika berjumpa di mana-mana dalam kawasan atau luar kawasan sekolah menguatkan lagi hubungan silaturrahim. Begitu juga dengan pelanggan yang hadir, mereka juga akan dilayan dengan sopan dan berbudi bahasa oleh pentadbir, guru-guru, staf sokongan dan murid-murid. Dengan itu imej sekolah dapat digambarkan sebagai sebuah organisasi pendidikan yang berjaya memupuk dan menerapkan nilai berbudi bahasa dan bersopan. Kursus berkaitan etika dan protokol diberikan kepada guru dan staf sokongan untuk memantapkan penghayatan dan amalan tersebut dalam kehidupan seharian di tempat kerja. Selain itu amalan kebersihan fizikal dan minda merupakan perlakuan yang baik yang saya terapkan di sekolah. Program Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kelas pada setiap minggu juga menjadi perangsang kepada semua guru tingkatan dan murid-murid memastikan kelas masing-masing sentiasa mengamalkan kebersihan pada setiap masa. Sekiranya kelas mereka mendapat markah tertinggi dalam penilaian program tersebut, guru dan murid kelas berkenaan akan berasa bangga dan dihargai apabila selain diberi ucapan tahniah, mereka akan diberi ganjaran berupa sijil dan banner serta sedikit wang untuk terus mereka gunakan bagi menceriakan kelas. Hasil daripada program ini didapati keseluruhan kelas sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan kelas sentiasa ceria. Pengetuajuga harus sentiasa mengingatkan semua guru semasa mesyuarat pentadbir, mesyuarat guru dan juga hari profesionalisme atau dalam ucapan perhimpunan agar mereka memastikan dulu kebersihan persekitaran kelas sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran supaya amalan mementingkan kebersihan ini menjadi ikutan dan amalan sebenar murid di mana sahaja mereka berada. Selain itu, sebagai pengetua perlu sentiasa mengamalkan kepimpinan melalui teladan dengan menunjukkan amalan-amalan yang baik sepertibersih, cekap dan amanah supaya guru-guru dan staf sokongan mencontohi perlakuan tersebut. Pengetua harus bertindak sebagai role model dengan memperlengkapkan diri dengan sikap, kemahiran dan ilmu pengetahuan. Sebagai pemimpin, pengetua amat mementingkan ketepatan waktu dalam kalangan guru dan staf

sokongn. Semua subordinat mesti mematuhi waktu kerja yang telah ditetapkan ketika masuk kelas, makmal, bengkel, mesyuarat dan juga majlis-majlis rasmi serta kursus-kursus di sekolah atau di luar sekolah. Sebagai pemimpin, pengetua juga hendaklah memastikan kehadirannya ke sekolah lebih awal. Dengan kehadiran awal ini pengetua mempunyai masa yang cukup untuk memantau kehadiran guru-guru, staf dan murid-murid ke sekolah. Sekiranya guru dan staf hadir lebih awal, proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat dilaksanakan tepat pada waktunya dan seterusnya waktu instruksional dapat dilindungi. Ini amat penting bagi memastikan waktu hak murid dapat diberikan kepada mereka dan murid dapat menerima ilmu dan kemahiran sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Pekeliling Iktisas Bilangan 2/1981. Pengetua akan bersama-sama dengan guru bertugas memantau kehadiran di pintu masuk utama sekolah. Selain dapat memantau kehadiran mereka pengetua juga dapat memantau keselamatan murid dan juga gelagat ibu bapa yang yang menghantar anak-anak ke sekolah. Melalui pemantauan di pintu masuk sekolah, dapat meningkatkan kepatuhan menepati masa dalam kalangan kakitangan dan pelajar-pelajar. Selain itu, pemantauan melalui management by walking about ke semua kawasan sekolah yang dilaksanakan memudahkan pengetua memantau ke seluruh kawasan sekolah. Melalui pemantauan secara meronda pengetua akan dapat memantau kebersihan dan keceriaan kelas dan kawasan sekolah, tahap keselamatan sekolah dan juga pemantauan proses pengajaran dan pembelajaran secara tidak formal. Tindakan semerta perlu diambil sekiranya terdapat kelas-kelas yang tidak ada guru atau guru yang lambat masuk ke kelas dengan menghubungi guru tersebut atau merujuk jadual guru ganti yang disediakan oleh Penolong Kanan. Penggunakan Buku Rekod Pengesanan Murid Ponteng Kelas dapat mengurangkan kes ponteng kelas.Pengetua juga sentiasa menegaskan tentang perlunya semua guru dan staf sokongan mematuhi ketepatan waktu penghantaran surat atau laporan atau kepada pengetua atau kepada Pejabat Pelajaran Daerah,Jabatan Pelajaran Negeri, Jemaah Nazir Sekolah atau Kementerian Pelajaran dan agensi-agensi lain yang berkaitan. Kesimpulannya, dalam kepimpinan melalui teladan, apa pun yang kita harap orang lain buat, jika kita sendiri tidak melakukannya, ia tidak akan berjaya.Walau bagaimanapun jika masih ada segelintir atau seorang dua yang masih lambat, pengetua perlu bertemu dan menasihati mereka mengenai hal tersebut. Dalam pertemuan itu, penjelasan perlu diberi tentang pekelilingpekeliling dan peraturan berkaitan seperti PKPA, PIN dan sebagainya. Perubahan jelas berlaku kerana mereka yang terbabit dapat menerima tindakan tersebut. Dengan melaksanana usahausaha ini kecemerlangan sekolah pada keseluruhannya dapat ditingkatkan.Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diberikan kepada lapan peratus guru dan staf sokongan bagi

menghargai komitmen dan usaha yang telah ditunjukkan sepanjang tahun. Ganjaran serupa ini jelas memberi motivasi kepada kakitangan untuk terus menunjukkan kualiti-kualiti yang baik sebagai seorang penjawat awam. 3. Penggerak Ke Arah Kebaikan Prinsip kerja Penggerak Ke arah Kebaikan bermaksud menampilkan diri sebagai seorang yang dinamik, maju, berdaya saing dan dapat mendorong seseorang melakukan kebaikan. Sebagai pengetua dan pemimpin sekolah hendaklah berusaha agar hasil kerja dan amalan dapat menonjolkan ciri-ciri kecemerlangan dan ketinggian kualiti yang boleh menjadi sumber inspirasi kepada rakan sejawat. Selain itu pengetua juga harus sentiasa menjadi pekerja yang terbaik (KPM, 1999). Pengaruh dan kecekapan pengetua sekolah amat penting dalam menentukan kecemerlangan sekolah di bawah kepimpinannya. Pengetua sekolah adalah kakitangan terpenting di peringkat sekolah. Pengetua merupakan jawatan tertinggi di peringkat sekolah menengah, dilantik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, bertanggungjawab atas apa yang berlaku di sekolah dan persekitarannya (Jemaah Nazir Sekolah-Sekolah Persekutuan, KPM, 1993). Selaku pemimpin sekolah, pengetua mestilah dapat menjelaskan hala tuju melalui visi dan misi sekolah. Visi dan misi sekolah mestilah difahami, dihayati dan dikongsi oleh semua wagra sekolah. Contohnya SMK(P) Temenggong Ibrahim Gemilang Di Malaysia Menjelang 2010. Penjelasan tentang visi dan misi sekolah boleh dilakukan pada mesyuarat pertama awal tahun persekolahan dan juga semasa perhimpunan sekolah. Visi dan misi sekolah juga perlu dipaparkan di semua tempat strategik seperti di pejabat, di dewan, di bilik guru, di makmal, di bilik-bilik mesyuarat, makmal dan juga dipaparkan di blok-blok bangunan yang strategik serta dipaparkan dalam Laman Web Rasmi Sekolah agar dapat dokongsi oleh semua warga sekolah dan stakeholder. Setiap anggota organisasi perlu mengetahui dan menghayati visi dan misi serta bidang tugas dan tanggungjawab serta akauntabiliti masing-masing. Diyakini, jika seluruh warga sekolah jelas tentang wawasan sekolah dan tindakan untuk mencapainya, sudah pasti kecemerlangan sekolah akan dapat dicapai. Standard atau piawaian organisasi dan sasaran pencapaian juga perlu dijelaskan . Kriteria Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan tindakan tatatertib atas salahlaku anggota juga dijelaskan. Visi sekolah boleh dicapai melalui kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah murid. Bagi merealisasikan visi tersebut pengetua mestilah dapat menterjemahkannya melalui perancangan strategik sekolah yang telah dirancang melalui kerja sepasukan. Dalam melaksanakan segala perancangan strategik pengetua tidak mungkin melakukannya seorang diri. Oleh hal yang demikian pengetua harus menurunkan kuasa

melalui empowerment kepada subordinat iaitu guru-guru penolong kanan, guru-guru kanan mata pelajaran dan uru-guru cemerlang. Banyak tugasan yang dilaksanakan secara bekerja sepasukan umpamanya pemantauan pengajaran dan pembelajaran, pemantauan buku latihan murid diturunkan kuasa kepada barisan pentadbir dan guru-guru kanan mata pelajaran, pemantauan kokurikulum dan hal ehwal murid diturunkan kuasa kepada Penolong Kanan Kokurikulum dan Penolong Kanan HEM. Empowerment yang diamalkan berupaya membimbing dan mendedahkan golongan pelapis untuk mengurus dan melaksanakan tugas bersama-sama. Ini akan menjadikan rasa kekitaan dan tanggungjawb terhadap kecemerlangan organisasi merupakan tanggungjawab bersama.Jaya atau tidaknya sekolah adalah bergantung kepada komitmen semua anggota dalam pasukannya. Sebagai pemimpin transformasi, pengetua sentiasa memberi sokongan secara individu dengan menunjukkan rasa hormat dan penghargaan kepada guru-guru dan mengambil berat tentang perasaan dan keperluan mereka. Pengetua juga sering menunjukkan pengharapan untuk melihatkecemerlangan, kualiti dan hasil kerja yang terbaik daripada guru-guru dan staf sokongan. Selain menggalakkan budaya kerja sepasukan, pengetua selalu memberi kepercayaan kepada guru-guru untuk membantu kerja-kerja yang mencabar. sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan guru-guru dan staf sokongan dan mengelakkan kecurigaan dalam menjalankan tugas. Pengetua juga membentuk permuafakatan dengan menggalakkan penglibatan guru-guru dalam membuat keputusan dan menanamkan sifat-sifat kepimpinan kepada guru-guru. Pengetua juga sentiasa menunjukkan sifat keterbukaan untuk membuat perubahan berdasarkan idea-idea atau kefahaman baru. Guru-guru dan staf sokongan boleh berjumpa untuk menyatakan pandangan, permasalahan atau berbincang mengenai tugas pada bila-bila masa kerana pintu pejabat sentiasa terbuka. Karenah birokrasi perlu dielakkan. Oleh hal yang demikian setiap guru dan staf sokongan boleh berbincang dengan pengetua bukan sahaja di pejabat tatapi juga di mana-mana tempat dan masa yang sesuai. Dengan itu guru-guru dan staf sokongan lebih mudah dapat menyel

Anda mungkin juga menyukai