Penyakit ketuat kelamin atau condyloma acuminata merupakan sejenis penyakit kelamin yang boleh merebak melalui hubungan seksual. Penyakit ketuat kelamin (condyloma acuminata) ini boleh menyebabkan pesakit menghadapi masalah daya seksual. Penyakit ketuat kelamin biasa didapati pada lelaki dan wanita yang aktif dalam hubungan seksual pada semua peringkat usia, bangsa dan kelas sosial di seluruh dunia dan dikaitkan dengan gangguan emosi. Pesakit ketuat kelamin mudah menjadi murung dan rendah diri serta kurang berminat terhadap hubungan seks. Sekiranya tidak dirawat, bagi pesakit wanita risiko mendapat barah pangkal rahim meningkat, sementara pesakit lelaki pula menghadapi risiko meningkatnya barah prostat.
Penyakit ketuat kelamin (condyloma acuminata) boleh tumbuh sama ada di luar atau bahagian dalam tubuh. Ketumbuhan pada bahagian luar alat kelamin mudah dikenal pasti dan kebiasaannya ia tumbuh seperti ketumbuhan atau benjolan pada vulva (bibir faraj) di dalam dan di sekitar faraj atau dubur. Bagi lelaki pula ketuat kelamin ini boleh dikesan pada zakar, kerandut zakar, ari-ari atau peha. Selain itu bahagian dijangkiti berasa gatal, atau berasa panas, perit dan seperti terbakar di bahagian jangkitan tersebut. Tanda-tanda ketuat kelamin (condyloma acuminata) dalaman agak sukar dilakukan kerana ia mungkin terletak dalam saluran kencing atau faraj atau dalam dubur. Di samping itu, penyakit ketuat kelamin ini sering mengikut warna kulit dan tidak menyakitkan. Bagi mereka yang mendapati terdapat walau sedikit kelainan kepada mana-mana bahagian kulit, dinasihatkan berjumpa doktor bagi mendapatkan penjelasan mengenai sebarang penyakit yang mungkin dijangkiti. Walau bagaimanapun, bukan semua orang yang dijangkiti HPV - "human papillomavirus" ini menunjukkan tanda-tanda masalah ketumbuhan ketuat alat kelamin. Ini menyebabkan ramai yang tidak mengetahui langsung mereka mengidap penyakit tersebut.
Terdapat juga doktor yang mungkin mencadangkan rawatan Electrocautery bertujuan menghapuskan tisu yang dijangkiti, dengan menggunakan terapi laser atau pembedahan. Suntikan ubat Interferon secara langsung kepada kawasan yang dijangkiti juga turut boleh digunakan untuk merawat penyakit ketuat kelamin ini. Selain itu penggunaan sejenis krim yang dinamakan krim Imiquimod yang boleh dibeli di kebanyakan farmasi yang dikenali sebagai pengubah tindak balas daya tahan atau "immune response modifiers" juga boleh digunakan. Pengunaan krim ini dikatakan kaedah rawatan alternatif terbaik berbanding terapi pemusnahan tisu kerana ia lebih selamat, berkesan dan mudah digunakan.