Anda di halaman 1dari 17

KERATAN AKHBAR

Jamal - Saleem bergabung satu pentas 03/03/2008 Oleh: NIEZAM ABDULLAH


JAMAL dan Saleem menjanjikan satu persembahan mantap bagi mengutip dana mengisi tabung Persatuan Pengasih Malaysia. Saleem dan Jamal Abdillah, dua ikon industri hiburan ini antara selebriti yang boleh dianggap sebagai bertuah. Mereka berdua bertuah kerana masih lagi diperlukan walaupun hakikatnya mereka hadir dengan pelbagai peristiwa hitam sepanjang melibatkan diri dalam bidang seni. Malah masyarakat juga tidak pernah menyisihkan mereka sekali pun Jamal dan Saleem pernah ditahan akibat penyalahgunaan dadah. Itulah istimewanya mereka apabila Tuhan itu menganugerahkan bakat dan kebolehan yang tidak ada kepada orang lain. Bagi Saleem dan Jamal, tentunya ingin melupakan peristiwa hitam itu tetapi sebagai manusia yang lemah mereka juga tidak berdaya melawan ujian hidup. Jamal pernah berkata, dadah ibarat berhantu dan seolah-olah ada suara yang memanggil. Jika tidak kuat imannya golongan itu boleh terjebak semula. Begitu juga Saleem yang sentiasa `dikunci dan tidak dibenarkan merayau-rayau seorang diri oleh isterinya, Julia bagi mengelak daripada terjebak dalam kancah penyalahgunaan dadah. Walaupun diri mereka diuji seperti itu tetapi hakikatnya mereka tidak pernah lupa untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Berbangga dengan bakat yang dikurniakan itu maka Saleem dan Jamal merasakan mereka perlu tampil untuk melakukan kerja-kerja amal menggunakan bakat tersebut. Mereka mengakui bimbang dengan masalah penyalahgunaan dadah yang semakin menjadi-jadi, matlamat untuk mencari dana bagi membantu Persatuan Pengasih Malaysia akan terus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Ia merupakan peranan kami terhadap persatuan Pengasih untuk mengumpul wang menolong golongan penagih, kata Saleem. Berjanji memberikan satu persembahan yang mantap, Saleem dan Jamal akan berkolaborasi untuk menjayakan Konsert Amal kasih - Jamal Abdillah & Saleem. Konsert yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 11 April depan tentunya akan menyuntik satu semangat luar biasa kerana ia dilakukan bukan untuk kepentingan mereka sahaja sebaliknya membantu penagih yang benar-benar ingin kembali ke pangkal jalan. Benar bak kata orang hanya penagih sahaja yang memahami hati dan perasan penagih lain. Hakikat itu diakui oleh Saleem dan Jamal. Maka menjadi hasrat Jamal dan Saleem untuk membantu golongan itu dengan bakat yang mereka miliki. Konsert yang akan diadakan selama dua jam bermula pukul 9 malam itu dijangka mampu mengutip dana lebih RM5 juta seperti yang diharapkan persatuan itu. Bertempat di Dewan Pleno, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), konsert itu akan turut menampilkan penyanyi undangan seperti Datuk Ahmad Nawab, Blues Gang, Misha Omar, Aris Ariwatan dan Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) Lebih menarik kehangatan konsert yang akan membariskan berpuluh lagu ini akan diserikan dengan kehebatan S. Atan sebagai pemimpin okestra. Tentunya konsert amal kasih itu akan membangkitkan perasaan kasih sesama insan. Berilah sokongan kepada saya untuk menjayakan konsert ini. Ia bukan untuk saya sebaliknya untuk mereka yang senasib dengan saya, terang Jamal. Bagi Ali Bakar selaku penerbit konsert, ia berbeza jika dibandingkan dengan konsert Jamal dalam One Night Only yang diadakan di Istana Budaya tidak lama dulu. Ini kerana gabungan Saleem dan Jamal kali ini akan menyaksikan satu kehebatan yang luar biasa dengan kemampuan masing-masing. Kata Ali, mereka akan saling menyanyikan lagu masing-masing selain berduet dengan penyanyi jemputan. Menganggap kedua-duanya sebagai mutiara dalam industri hiburan, pengalaman mereka tentulah dapat menarik minat orang ramai untuk menonton persembahan itu

nanti. Ditambah pula lagu-lagu Jamal sejak sekian lama tidak pernah basi mahupun lagu nyanyian Saleem yang tetap segar selamanya. Apa yang penting ialah kehadiran orang ramai sebagai tanda sokongan untuk membantu Pengasih mencari dana. Bukan sahaja untuk hiburan tetapi sokongan tersebut merupakan sebahagian daripada amalan kita membantu orang lain, katanya.

Kurang kasih sayang punca terbabit dadah 22/02/2008 Berita Harian

BACHOK: Kurang pendidikan agama serta kasih sayang adalah antara fakta yang menyebabkan meningkatnya jumlah pembabitan pelajar dan remaja di negeri ini dengan dadah. Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner (SACII), Amir Hamzah Ibrahim, berkata tahun lalu seramai 460 pelajar dan remaja negeri ini ditangkap kerana terbabit dengan dadah. Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang membimbangkan sekiranya dibandingkan pada 2006 yang mencatat seramai 316 orang. Keadaan ini amat membimbangkan dan ia perlu ditangani semua pihak masyarakat bukan hanya membabitkan polis. Kesedaran mengenai bahaya dadah perlu disemai sejak dari kecil lagi bagi mencapai matlamat negara bebas dadah menjelang 2015," katanya. Beliau berucap pada majlis Hari Antidadah Kebangsaan anjuran bersama Kolej

Islam Sains Teknologi (Kist) dan Pengasih Kelantan, di Kolej Ibnu Sina Kist, Telong, dekat sini, semalam. Hadir sama Ahli Lembaga Penasihat Kist, Roomai Nor Ali; Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Wan Addenan Wan Mohd Noor dan Yang Dipertua Pengasih, Mohd Yunus Pathi Mohd. Amir Hamzah berkata, mengikut statistik polis Kelantan, tahun lalu seramai 6,543 orang ditangkap dalam kes berkaitan dadah dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding 2006, dengan 5,346 orang. Katanya, daripada pesalah dadah yang ditangkap itu, ramai membabitkan golongan remaja dan penuntut pusat pengajian tinggi selain penganggur. "Masyarakat harus memainkan peranan masing-masing dalam mengatasi masalah ini terutama ibu bapa dengan memberi pendidikan dan kasih sayang sepenuhnya," katanya. Sementara itu Mohd Yunus berkata, Pengasih akan terus melaksanakan program pencegahan dadah secara menyeluruh, antaranya membabitkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Laporan Khas: Tiada kerja punca penagihan berulang 03/04/2008 Oleh Azrul Affandi Sobry
Sektor awam sepatutnya jadi contoh ambil bekas pesalah dadah bertugas. ADAKAH semua pihak benar-benar serius atau sekadar melepaskan batuk di tangga dalam usaha menangani masalah penagihan berulang? Adakah semua pihak hanya pandai menuding jari tetapi berdiam diri dengan membiarkan kemelut itu terus menjadi 'duri dalam daging' yang akhirnya memburukkan reputasi negara dengan kebanjiran penagih tegar. Menyelongkar senario ini, seakan banyak juga kelemahan dan kelompangan tanpa disedari, seakan menjadi kunci utama penggalakan lebih ramai penagih berulang melakukan 'kerjaya' yang sama, malah ada yang sudah cemerlang setapak ke depan melakukan jenayah lebih hebat.

Memang benar, mengembalikan penagih kepada landasan sebenar bukan kerja mudah kerana menurut takrifan antarabangsa, penagihan adalah sejenis penyakit kronik berulang yang sukar dipulihkan. Namun, sejauh mana usaha yang dijalankan semua pihak termasuk agensi kerajaan menampakkan mereka benar-benar serius membantu penagih kembali kepada kehidupan sebenar kerana apa yang berlaku kini, ruang kepada bekas penagih untuk hidup selesa seakan-akan dinafikan. Nada Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Sabran Napiah, yang kecewa dengan polisi kerajaan dalam membuka ruang pekerjaan kepada bekas penagih, wajar diberi perhatian. Agak mengecewakan jika golongan bekas penagih yang sudah menunjukkan komitmen untuk berubah tidak diberi ruang dalam agensi pekerjaan di sektor awam sedangkan sewajarnya kerajaan memainkan peranan utama membantu pemulihan mereka. Justeru, tidak logik rasanya sektor swasta mampu menerima kemasukan bekas penagih bekerja di tempat mereka jika kerajaan sendiri 'menutup pintu' untuk membantu golongan itu menjadi rakyat biasa. Salah siapa jika akhirnya penagih memilih jalan untuk kembali menagih, melepak di lorong gelap, menyamun atau melakukan pelbagai jenayah lain untuk memenuhi keperluan kehidupan mereka selain mencari dana untuk menyara kos membeli bahan terlarang. Lihatlah sekeliling kita, sama ada di ceruk kampung atau di tengah bandar besar. Jarang ada masyarakat yang terbuka menerima bekas penagih bersama dalam komuniti yang sama. Penghinaan ke atas mereka berterusan meskipun jelas golongan itu sudah bersih sepenuhnya daripada najis dadah. Mengenai kaedah digunakan di penjara pula dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah termasuk penagih, sewajarnya diperhalusi kembali apabila kebanyakan bekas banduan menyifatkan penjara sebagai pusat latihan jenayah. Apabila dipertimbangkan pandangan mereka berdasarkan pengalaman berkali-kali keluar masuk penjara, senario itu seakan ada benarnya dan tidak boleh dinafikan.

Bayangkan, jika seorang penagih dijatuhkan hukuman penjara dan diletakkan bergaul dengan pelbagai jenis penjenayah yang mempunyai pelbagai kepakaran, adakah mustahil penagih itu belajar pula teknik mencuri, pecah rumah, meragut dan bermacam lagi skil melakukan jenayah? Akhirnya, daripada seorang penagih yang hanya tahu menghisap dadah, yang hanya tahu selok belok mengenai dadah, menjadi seorang yang pakar pula dalam hal jenayah lain apabila keluar dari penjara. Itulah tersirat dalam tersurat. Masyarakat memahami penjara sebagai institusi menghukum dan memulihkan pesalah tetapi tanpa disedari, ada penerapan ilmu negatif yang diperoleh tanpa dapat dikawal berlaku di dalam penjara. Apabila penagih keluar penjara dan bergelar bekas banduan, penolakan masyarakat dan kesukaran mendapat pekerjaan menyebabkan mereka menggunakan kemahiran yang ada untuk menceburi 'kerjaya' baru yang dipelajari daripada 'otai jenayah' di penjara. Jika putaran ini berterusan, sampai bila pun masalah penagih dan pesalah berulang tidak akan dapat diatasi dan terus menjadi kemelut kepada pihak berkuasa seterusnya meningkatkan kadar jenayah di negara ini. Melihat kepada statistik AADK dan Pengasih pula, jelas sekali menunjukkan penagih kini datang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk mereka yang berpelajaran tinggi. Jika dulu, penagihan hanya dikaitkan dengan golongan kelas bawahan, tetapi kini sudah ada penagih yang memiliki kelulusan tinggi sehingga ijazah kedoktoran, malah ada yang berkerja sebagai doktor dan peguam terbabit dengan aktiviti tidak sihat itu. Justeru, adakah senario kini menunjukkan negara ini semakin bebas daripada najis dadah jika penyakit itu sudah menular pula ke setiap pelosok lapisan masyarakat dan seterusnya melekat kuat pula lantaran terbukti sukar diubati. Kesimpulannya, tidak ada jalan mudah atau singkat bagi menangani isu ini kecuali kerajaan dan agensi berwajib perlu seiringan berganding tenaga mencari apa saja alternatif untuk menghapus atau mengurangkan jumlah penagih secara optimum.

Jangan sekadar melepaskan beban tugas itu kepada AADK atau agensi lain saja sedangkan masyarakat terus menjadi ejen utama menyuntik keinginan kepada penagih untuk kembali menagih selama-lamanya. Kerajaan pula perlu melihat semula polisi mereka yang selama ini memperlakukan penagih seperti 'anak tiri' sehingga seakan-akan menjadi salah satu badan yang menghalang bekas penagih menjadi manusia. Renung dan amati peranan masing-masing. Adakah benar kita membantu mereka menjadi insan atau sikap endah tak endah dan lepas tangan kita menjadi punca utama mereka kembali ke lembah kehinaan.

Perlu pantau pergerakan anak 26/11/2008

Harian Metro
MENGAMBIL langkah memantau pergerakan anak sama ada yang masih berada di bangku sekolah rendah atau menengah perlu diberi perhatian ibu bapa atau penjaga. Ia tidak sukar dilakukan. Lebih penting, ibu bapa atau penjaga perlu tahu: - ke mana hala tujunya (terutama selepas waktu sekolah) - kenali rakannya - tahu aktiviti atau rancangan sehariannya Mengetahui perkara yang dilakukan anak seharian, ibu bapa atau penjaga sebenarnya mengambil langkah penting untuk menjauhkan diri anak daripada gejala kurang sihat misalnya penyalahgunaan dadah. Mengikut kajian, anak-anak yang dipantau keluarga atau penjaga mereka mempunyai risiko empat kali lebih rendah untuk terbabit penyalahgunaan dadah berbanding anak-anak yang langsung tidak dikawal. Namun, tidak dinafikan usaha memantau sedemikian biasanya bertentangan dengan keinginan anak yang mahu lebih berdikari. Lalu, tidak hairan jika anak akan menyukarkan usaha ibu bapa atau penjaga mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai rutin seharian mereka. Usah biarkan ia menghalang matlamat anda. Si anak mungkin akan lebih terbuka untuk memberikan maklumat jika anda memaklumkan ia hanya untuk memastikan keselamatan dirinya atau anda menunjukkan minat pada aktiviti sehariannya. Apapun, perlu bersedia jika si anak menentang kerana apa yang diperoleh daripada langkah pemantauan itu sememangnya berbaloi. Waktu paling utama untuk mengetahui jadual sehariannya adalah selepas waktu persekolahan. Ini kerana mereka lazimnya lebih berisiko untuk terjebak dalam penyalahgunaan dadah dalam tempoh berkenaan. Galakkan anak untuk terbabit dalam aktiviti belia, seni, sukan, khidmat masyarakat atau kelab akademik. Jangan lupa pula untuk memastikan si anak

benar-benar mengikuti aktiviti berkenaan.

Kegiatan sukan bantu remaja jauhi dadah 03/04/2008 TAN SRI LEE LAM THYE,
SUKAN boleh digunakan sebagai 'senjata' untuk memerangi gejala dadah dari segi kesihatan fizikal dan mental. Kita perlu mengakui kuasa sukan sebagai ejen berkesan ke arah membendung masalah itu. Sukan juga mampu membangunkan potensi terbaik remaja dan membantu meningkatkan keupayaan kerja berkumpulan serta semangat setia kawan yang akan membantu mereka menghadapi dan mengatasi pelbagai cabaran sosial yang mengancam masyarakat dan negara. Justeru, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak prasarana sukan dan rekreasi untuk remaja. Kita memerlukan lebih banyak padang bola sepak, gelanggang futsal, badminton dan bola keranjang serta kemudahan lain yang mampu menarik remaja menyertainya. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kerajaan negeri perlu pastikan pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan sukan mencukupi di bandar dan daerah masing-masing untuk membantu meningkatkan kesihatan fizikal dan mental. Jika masalah penyalahgunaan dadah kalangan remaja tidak ditangani segera, mereka tidak dapat memberi sumbangan dan memainkan peranan dalam pembangunan negara. Banyak akan tumbang dan menjadi mangsa kepada ancaman dadah berbahaya dan ini adalah musibah. Strategi kempen pembasmian penyalahgunaan dadah perlu memberi perhatian lebih kepada golongan muda yang mudah terpengaruh kepada tekanan rakan sebaya. Sekiranya kita ingin menggalakkan cara hidup yang lain daripada penagihan dadah, semua anggota masyarakat termasuk kumpulan sivik, sektor swasta,

ibu bapa dan guru perlu mengambil peranan dengan memberikan perhatian kepada kehidupan anak muda ini serta memahami masalah mereka. Sudah sampai masanya semua pertubuhan dan persatuan serta setiap lapisan masyarakat Malaysia berusaha bersama-sama kerajaan demi satu hasrat, iaitu memerangi ancaman dadah untuk menyelamatkan generasi muda musnah kerana dadah. Kepada semua remaja yang menjadi aset paling besar kepada negara, saya ingin menasihatkan mereka supaya menjauhi dadah bukan saja untuk kebaikan diri tetapi juga untuk masa depan negara. Satu strategi yang lebih berkesan untuk membebaskan negara daripada cengkaman dadah menjelang 2015 perlu digerakkan mulai sekarang. Satu kunci untuk memerangi ancaman dadah adalah pencegahan yang membabitkan keluarga dan masyarakat. Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Ketatkan kawalan salah guna daun ketum, bahan sedutan 22/06/2011 Utusan Malaysia

MELAKA 21 Jun Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) akan mencadangkan kepada kerajaan supaya penggunaan daun ketum dan bahan sedutan diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta Racun 1952. Setiausaha Kehormat Pemadam cawangan Melaka, Kasim Dollah berkata, penyalahgunaan daun ketum dan kegiatan seperti menghidu gam semakin serius sekarang tanpa terdapat akta khusus bagi menanganinya. "Usul mengenai cadangan ini akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Pemadam Kebangsaan ke-36 yang akan berlangsung di Melaka Sabtu ini, katanya di sini hari ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan perhimpunan tersebut yang akan diadakan sempena Hari Dadah Antarabangsa di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka. Perhimpunan yang bertemakan Hari Ini Anak Dia, Esok Mungkin Anak Anda" dijangka dihadiri lebih 1,800 orang perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara. Bernama

Di mana penyelesaian isu arak ? 16/06/2011 Oleh NURUL ANUAR KARI Utusan Malaysia

MALAYSIA pengeluar utama arak di rantau Asia Tenggara! Kita juga antara 10 negara yang paling tinggi pengambilan alkohol di seluruh dunia! Itu antara dakwaan yang berulang kali dibangkitkan oleh para peserta sesi akhir Persidangan Meja Bulat Arak dan Pencegahannya anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bersama 13 agensi berkaitan baru-baru ini. Mengambil kira situasi pengambilan arak yang semakin serius di kalangan generasi muda kini, resolusi dari tiga sesi persidangan meja bulat itu akan dikumpulkan dalam satu laporan penyelidikan untuk mengenal pasti kaedah terbaik menanganinya. Bukan sekadar trend tajaan industri arak yang kian meresap dalam beberapa industri tempatan seperti industri hiburan negara, penglibatan sebilangan artis dengan 'ibu segala maksiat' itu juga dikhuatiri menjadi ikutan para remaja. Lebih membimbangkan, sebahagian besar pekerja pusat-pusat hiburan yang

bergelumang dengan arak terdiri daripada orang Melayu berikutan termakan sogokan kerja mudah untuk gaji lumayan hasil komisen jualan rokok dan arak kepada para pelanggan. Walaupun sesi dibuat secara tertutup, apa yang paling nyata adalah masalah definisi mengekang tindakan undang-undang diambil terhadap pihak berkenaan walaupun jelas sekali perbuatan mereka salah dari segi hukum syarak. Peruntukan undang-undang mengklasifikasikan arak sebagai minuman dengan kandungan alkoholnya melebihi dua peratus (2.0 peratus) sahaja sementara yang di bawah peratusan itu bukan arak. Hukum syarak yang diguna pakai di negara ini pula menegaskan arak adalah bahan yang mengandungi kandungan alkohol melebihi 0.01 peratus dan hanya di bawah peratusan itu baru boleh dikira sebagai bukan arak. Percanggahan definisi itu didakwa anggota agensi berkaitan telah digunakan sesetengah pihak untuk melindungi peniaga minuman beralkohol daripada tindakan undang-undang dan menyukarkan usaha melindungi umat Islam dan generasi muda daripada ibu segala maksiat itu. Sementara itu, agihan kuasa perundangan kepada pelbagai pihak dan agensi juga telah menyebabkan kekeliruan antara mereka tentang pihak yang memegang kuasa untuk mengambil tindakan. Ini juga membolehkan pihak tertentu membuat tafsiran sendiri bagi menyekat sebarang usaha pihak berkuasa mengawal penjualan arak secara terbuka terutamanya di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam. Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Ismail Hamzah menjelaskan, pihaknya juga tidak mempunyai kuasa penuh dalam isu arak tetapi dapat mengambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 (Akta 87). Selain itu katanya, Perintah Perihal Dagangan (penggunaan perbahasan 'halal' dan penandaaan makanan) 1975, juga di bawah Akta 87 turut digunakan untuk penguatkuasaan status halal. "Ini melibatkan sebarang petunjuk, indikasi, penyataan dan gambaran 'halal'

sesuatu produk secara langsung atau tidak, termasuk perbahasan, gambaran melalui imej dan tulisan Arab atau tajuk seperti 'Ramadan special'. "Secara lisan, pakaian (kopiah) atau letak sekali dengan barang halal juga indikasi sebagai 'produk halal' dan boleh jadi kesalahan jika produk itu tidak halal (termasuk jika masakan yang dicampur dengan alkohol)," tegasnya. Menurut beliau, pihak kementerian secara umumnya tidak memerlukan permit atau kelulusan halal mana-mana pihak untuk produk yang dipromosikan sebagai 'halal' selagi tiada penipuan dibuat terhadap status yang dipromosikan itu. Tambahnya, tindakan juga boleh diambil jika pihak tertentu menjual arak sebagai produk halal, kandungan alkohol berbeza dengan label, dinyatakan sebagai tiada alkohol tetapi ujian membuktikan sebaliknya atau premis halal menggunakan ramuan tidak halal (termasuk arak). "Kami juga telah menyiasat isu bir halal yang dibangkitkan baru-baru ini. Produk itu dilabel sebagai tiada alkohol (non-alcoholic) bersama perkataan dalam bahasa Arab. "Walaupun tiada perkataan halal, dua perihal (perbahasan) itu mungkin dilihat umat Islam sebagai 'halal' dan boleh diminum," jelasnya. Oleh itu, Ismail menjelaskan pihaknya boleh mengambil tindakan jika terbukti minuman itu mengandungi 0.05 peratus alkohol seperti yang didakwa sesetengah pihak. "Kami belum menerima hasil ujian dari Jabatan Kimia tetapi jika terbukti mengandungi 0.01 peratus alkohol (seperti ditetapkan syarak) juga boleh dikira kesalahan perihal dagangan palsu disebabkan label 'non-alcoholic' itu," dakwanya. Beliau turut menasihatkan pengguna Islam supaya tidak hanya mengikut ungkapan yang digunakan pada produk kerana banyak lagi elemen dalam syariah perlu diambil kira dalam menentukan halal dan haram untuk makanan atau minuman. Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Profesor Datin Paduna Dr. Zaleha Kamaruddin yang mempengerusikan sesi tersebut turut menekankan pentingnya definisi arak itu diselaraskan agar mengikut tuntutan agama Islam.

"Perkara ini akan diperincikan bersama Jabatan Peguam Negara untuk tafsiran arak yang jelas dan mengikut syarak. Selain itu, kita juga mahu diperjelaskan siapa sebenarnya yang patut menangani isu arak ini atau perlukah untuk satukan tindakan ke atas arak di bawah satu badan khas kerana arak sudah merosakkan sistem sosial kita," ujarnya. Beliau menegaskan, arak itu sememangnya ibu segala maksiat serta lebih merosakkan daripada dadah dan kerana itu memerlukan tindakan yang sama atau lebih tegas berbanding membendung dadah. "Kita tidak mahu orang Islam terus menjadi ejen masalah sosial dengan terus bekerja di pusat-pusat hiburan. Kita perlu mencari alternatif dan mendidik mengenai keberkatan hasil pendapatan mereka itu. "Selain itu, mungkin perlu diwujudkan satu badan bukan kerajaan (NGO) bagi memantau permohonan lesen premis arak di akhbar kerana satu bantahan atau aduan daripada penduduk setempat sahaja diperlukan untuk menyekatnya," jelasnya. "Adakah peniaga dengan suci hati berniaga secara jujur dalam memastikan antara halal dan haram untuk umat Islam, dengan niat atau tanpa niat? Kedai serbaneka menjual arak secara terbuka, begitu juga di pasar malam, kepada para remaja yang bermegah dengan rakan yang minum arak. Jika pedagang tidak jujur, penguatkuasalah yang perlu melindungi umat Islam di negara ini," tegasnya. Tambahnya, situasi di Kuala Lumpur dan Selangor kini amat menyedihkan di mana anak-anak muda Islam terpaksa terlibat dengan penjualan arak secara terbuka di pasar raya besar. "Arak kini bukan lagi masalah individu tetapi masalah sosial. Saya harap hasil perbincangan ini akan membawa kepada tindakan sewajarnya terutama dari segi pengeluaran lesen seperti negara Barat yang mengawal ketat lesen arak,"

Syabu, minyak meth RM38 juta dirampas di Ampang 10/06/2011 Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 10 Jun Polis Selangor merampas 23 kilogram syabu serta 40 kg minyak meth yang digunakan untuk menghasilkan dadah itu bernilai RM4.6 juta selepas memberkas dua lelaki tempatan di Taman Ampang Utama di sini semalam. Penahanan kedua-dua lelaki berumur 26 dan 29 tahun itu dilakukan setelah polis mendapat panggilan daripada orang awam yang melihat mereka dalam keadaan mencurigakan di satu kawasan kondominium di situ. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, bahawa setelah ditahan pada 1.40 petang, kedua-dua lelaki itu membawa polis ke sebuah unit di tingkat 15 kondominium itu yang dipercayai dijadikan makmal memproses syabu. Selain syabu yang dibungkus dalam plastik, polis juga menemui peralatan serta bahan untuk menghasilkan syabu termasuk minyak meth dan minyak thinner, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini. Turut dirampas ialah sebuah kereta. Tun Hisan berkata, jika kesemua syabu itu dipaket semula ke dalam tiub-tiub kecil ianya boleh menghasilkan 77,680 tiub bernilai RM60 setiap satu. Bernama

Gaji kecil, guru edar dadah 16/06/2011 Utusan Malaysia

SURABAYA - Seorang guru wanita di daerah Nganjuk, Jawa Timur ditahan polis kerana mengedar dadah jenis syabu. Endang Yayuk Agustini, 47, ditahan di rumahnya di Kampung Warungotok selepas polis yang membuat serbuan menemui 11 paket berisi syabu yang setiap satunya seberat 0.3 gram, lapor Pos Kota. Guru berstatus janda itu mengaku menjadi pengedar syabu sejak dua bulan lalu disebabkan kesempitan wang kerana gaji yang diterimanya rendah, selain dikelilingi hutang berpuluh-puluh juta rupiah. Ketua polis Nganjuk Kompol, Damin berkata, tangkapan dibuat selepas menerima laporan daripada masyarakat tempatan. "Pada awalnya, kami hanya menemui tiga paket syabu, tetapi selepas menggeledah semula kediaman suspek, kami berjaya menemui lapan lagi paket syabu yang disembunyikan di dalam bantal. Polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan untuk menjual barangan terlarang itu. "Mengikut keterangan Endang, setiap paket syabu itu bernilai Rp 300 (RM105) dan kami masih meneruskan siasatan bagi mengetahui di mana dia mendapatkan dadah itu," kata Damin. Jika disabit kesalahan, Endang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun atau minimum empat tahun. - AGENSI

Anda mungkin juga menyukai