Anda di halaman 1dari 9

Cabaran Pendidikan dalam Pembangunan Nasional Oleh: Khairul Bariah binti Kassim 5 April 2010 Dunia pendidikan di Malaysia

sedang melalui era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Semakin negara mengejar kemajuan dan pembangunan, sistem pendidikan di Malaysia tidak pernah dipinggirkan. Namun demikian, dunia pendidikan masih menghadapi banyak cabaran dan kelemahan. Dalam dunia pendidikan negara, alam mengajar dan belajar. Justeru pendidikan negara juga turut tidak terlepas daripada mengalami rencam keadaan, pusingan roda turun naik berputar-putar menerbitkan kesan,sebab dan akibat mencuit semua aspek. Jika dihalusi, cabaran-cabaran ini boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk cabaran seperti berikut : Cabaran pertama dunia pendidikan kini adalah untuk mengekalkan kualiti sistem pendidikan. Salah satu agenda penting kerajaan adalah untuk membangunkan satu sistem pendidikan bertaraf dunia. Oleh itu Kementerian Pelajaran mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi selain daripada melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran. Menyedari hakikat ini, Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ) telah merangka satu Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah disempurnakan pelancarannya oleh Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 di Putrajaya. PIPP disusun dengan matlamat untuk menghasilkan pendidikan berkualiti untuk semua. Terdapat enam teras utama dalam PIPP iaitu : membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan serta melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

Dua

pendekatan

utama

telah

dikenalpasti

dalam

Pelan

Induk

Pembangunan Pendidikan. Namun begitu, cabaran dalam PIPP ini ini lebih jelas dilihat pada pendekatan pertama yang digunakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu pendekatan untuk menyelesaikan tugas yang masih belum selesai dan kesamarataan peluang pendidikan. Pendekatan ini meliputi aspek penyediaan peluang pendidikan yang adil dan saksama tanpa mengira lokasi, kaum, kelompok kurang upaya, orang Asli dan suku minoriti lain. Menurut Basir Zahrom (melalui artikel yang pernah disiarkan di Berita Harian pada 22 Disember 2008) masih terdapat ramai golongan Orang Asli yang tercicir dalam mengejar pendidikan. Menurut laporan jawatankuasa diatas kajian Pendapat Mengenai Pelajaran dan Masyarakat ( Laporan Keciciran ) pada tahun 1973, kajian ini mendapati bahawa ramai pelajar miskin di luar bandar yang tercicir berbanding dengan rakan-rakan mereka di bandar. Kadar keciciran yang paling tinggi ialah di peringkat peralihan persekolahan iaitu dari sekolah rendah ke menengah rendah (Tingkatan 1 hingga 3). Melalui situasi di atas, jelas menunjukkan hasrat KPM untuk

merealisasikan PPSMI melalui terasnya yang keempat ( merapatkan jurang pendidikan ) ternyata masih gagal. Jurang pendidikan yang ingin dirapatkan ternyata masih belum menampakkan hasil yang lumayan kerana ternyata masih ramai lagi pelajar terutama yang tinggal di kawasan luar bandar yang masih belum mampu untuk mendapatkan pendidikan secara formal. Adapun pelajar yang mampu mendapatkan pendidikan secara formal, namun, disebabkan kedudukan sekolah yang berada di luar bandar atau pedalaman ditambah dengan faktor ketersampaian yang agak sukar telah menyebabkan kelengkapan infrastruktur serta kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik tidak disediakan. Ternyata keadaan ini menggugat keselesaan pelajar dan guru-guru sewaktu sesi persekolahan. Selain kemudahan asas yang tidak teratur, kemudahan infrastruktur juga turut dipertikaikan. Seharusnya para pelajar

mempunyai hak untuk memiliki setiap kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah melalui peruntukan yang disediakan oleh kerajaan seperti meja dan kerusi sebagai galakan dan motivasi di samping mewujudkan suasana yang kondusif di dalam kelas. Tetapi, masih terdapat lagi sekolah-sekolah yang masih menafikan hak-hak pelajarnya dengan alasan kadar ketersampaian ke sekolah berkenaan terlalu sukar. Adakah hasrat kerajaan untuk melahirkan sistem pendidikan negara yang mana pengurusannya becorak tanpa cela dapat dicapai sebelum tibanya tahun 2020 yang pastinya cabaran lebih besar menanti sistem pendidikan negara kita ? Dan bagaimana pula dengan nasib pelajar-pelajar di kawasan pedalaman yang seakan-akan di anak tirikan serta dinafikan hak mereka daripada menerima pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur yang sepatutnya menjadi milik mereka. Cabaran kedua yang melanda dunia pendidikan kini adalah berkaitan perlunya inovasi dalam sistem kurikulum di Malaysia. Menurut Ohmae ( 1995 ), perkembangan dalam teknologi maklumat dan arus globalisasi telah menyebabkan berlakunya kecairan sempadan nasional yang telah melahirkan paradigma baru kepada semua organisasi, termasuk institusi pendidikan. Seperti mana-mana negara di seluruh dunia, Malaysia tidak dapat mengelak daripada menghadapi cabaran tersebut sebagai kesan daripada arus globalisasi. Hallinger (1998) pula menegaskan globalisasi telah mendorong berlakunya anjakan paradigma yang amat ketara di kebanyakan negara dalam konteks untuk mencari makna terhadap kualiti pendidikan dan juga kurikulum yang ditawarkan. Bagi mengatasi cabaran ini, kerajaan melalui KPM telah memperkenalkan beberapa strategi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Antaranya seperti Projek Sekolah Bestari, Projek Sekolah Net, Projek Smart Lab serta Projek Sekolah Vista. Keseluruhan projek ini memberikan tumpuan terhadap proses pengembangan dan pemupukan pembelajaran dengan menggunakan komputer dan penggunaan multimedia disamping penggunaan jaringan internet dan

pelbagai perisian aplikasi sebagai alternatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran . Usaha serta peruntukan yang disediakan oleh KPM wajar diberi pujian kerana hampir keseluruhan sekolah yang terpilih mampu mengaplikasikan kemudahan yang diberikan kepada mereka. Penyelidikan dan inovasi juga haruslah dijalankan terhadap fenomena kekangan masa dan exam-oriented yang dihadapi oleh pelajar. Sindrom exam oriented menekankan murid-murid dalam proses pembelajaran kerana mereka hanya belajar untuk mendapatkan markah yang baik dalam peperiksaan sahaja. Impliksinya, ramai pelajar tidak mempunyai semangat belajar untuk menimba ilmu dan menjadi orang yang terdidik . Akibatnya para pelajar tidak ada motivasi, minat , dedikasi serta inovasi semasa mereka belajar di sekolah. Pelajaran yang dipelajari secara hafalan dan sikap positif dalam mencari ilmu seperti sikap suka membaca juga semakin hilang ditelan zaman. Oleh itu sistem pendidikan yang baru dan terkini haruslah diwartakan supaya hasrat kerajaan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi turut juga cemerlang dalam segenap aspek kehidupan dapat dilahirkan. Seiring dengan perubahan pada persekitaran global juga, kurikulum di Malaysia telah melalui satu era transformasi dari segi penggunaan bahasa Inggeris dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat rendah dan menengah. Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ini telah mula diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada Julai 2002. Walaubagaimanapun, pelaksanaan penuh PPSMI hanya dilakukan bermula pada Januari 2007. Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari

peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi. Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris. Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini. Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir berpendapat bahawa Malaysia makin ketinggalan dalam arus globalisasi dan diharapkan dasar ini memberi kelebihan kompetitif kepada negara, mencontohi kejayaan Singapura dan Korea Selatan yang semakin melangkah ke depan kerana kebiasaan dengan bahasa Inggeris. Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI banyak menghadapi cabaran dan pembidasan serta tentangan berkenaan idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri. Antara isu-isu yang diketengahkan pihak-pihak tersebut termasuklah kesukaran murid-murid mengikuti pelajaran dan guru-guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid-murid, terutama di peringkat sekolah rendah. Persoalan bahasa juga turut diambil kira. Bahasa Inggeris itu penting, tidak dinafikan. Namun, jelas menunjukkan bahawa PPSMI telah mencabar kedudukan Bahasa Melayu mengikut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Penggunaan Bahasa Inggeris akan menyebabkan identiti sesuatu bangsa menjadi lemah dan lenyap sedikit demi sedikit selain merosakkan masa depan bahasa ibunda dan akhirnya meruntuhkan jatidiri bangsa Melayu itu sendiri. PPSMI menimbulkan lagi polemik berhubung nasib pelajar Melayu di kawasan luar bandar, masyarakat Melayu setinggan dan juga kumpulan pelajar

yang tidak mempunyai peluang komunikasi di dalam bahasa Inggeris dengan baik. Nasib mereka perlu dipandang serius kerana ia melibatkan masa depan pelajaran dan peluang pekerjaan buat mereka. Pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu pun belum tentu dapat dikuasai dengan baik apatah lagi kedua-dua subjek kritikal ini diajar dalam bahasa Inggeris. Bahasa itu terlalu dekat dengan bangsanya. Banyak negara-negara lain yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam sistem pendidikan mereka, masih tetap maju di persada dunia. Adakah kerajaan mahu berundur sebagaimana 50 tahun yang lalu apabila wujudnya jurang sosial dan ekonomi yang besar di antara pelajar dari sekolah Inggeris dan sekolah Melayu ? Sedar akan hal itu, Dasar (PPSMI) akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012, iaitu dua tahun lagi dari sekarang. Pengumuman ini baru dibuat oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata bahawa di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran berkenaan. Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Sudah tentu ramai yang menarik nafas lega apabila pelajaran Matematik dan Sains kembali diajar dalam bahasa Melayu dan pada masa yang sama berusaha untuk menggandakan usaha pengajaran bahasa Inggeris semaksimum mungkin. Kesannya, anak-anak kita akan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan pada masa yang sama tidak mengganggu perkembangan intelektualisme dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Selain itu, bahasa Melayu juga dapat dimartabatkan semula seiring dengan pemodenan dan pembangunan yang kita kecapi pada hari ini.

Kebanyakan isu datang dan pergi selepas bertemu penyelesaian. Tetapi, antara isu yang tidak kunjung bertemu noktah, tentunya isu yang berkait rapat dengan disiplin pelajar. Cabaran yang ketiga ini merupakan isu yang seringkali

mencabar kredibiliti dunia pendidikan. Apa tidaknya, isu disiplin semakin meningkat dari hari ke hari sejak kebelakangan ini. Hasrat untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan individu pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani sedang menghadapi ujian dari segi keberkesanan pelaksanaannya kerana masyarakat masa kini sedang berhadapan dengan arus globalisasi yang bersamanya membawa masuk pelbagai budaya yang bertentangan dengan budaya setempat. Menurut Hussein Ahmad (2001), proses globalisasi yang melanda dunia hari ini telah membawa perubahan yang mendadak terhadap perlakuan hidup dan norma kehidupan manusia di seluruh dunia.

Kesan yang paling ketara akibat pengaruh globalisasi adalah perubahan gaya hidup terutama dalam kalangan anak-anak remaja di bangku sekolah yang begitu terpengaruh dengan amalan negatif kehidupan Barat. Fenomena yang berlaku boleh dikatakan sebagai satu petunjuk di mana asas-asas budaya, agama dan citra bangsa sendiri mulai longgar secara tidak kita sedari sehinggakan para remaja tidak berasa bersalah untuk meniru secara melulu gaya kehidupan barat seperti kehidupan berfoya-foya dan berseronok-seronok, pergaulan bebas, penganjuran majlis-majlis sosial yang melampaui batas, penonjolan pelbagai fesyen pakaian ala Barat yang keterlaluan dan sebagainya. Lebih dahsyat lagi, seks luar nikah serta seks bebas seolah-olah menjadi permainan mereka pada hari ini. Pelaku seks yang juga terdiri daripada pelajarpelajar sekolah tidak malu untuk mengaku perbuatan mereka kerana bagi mereka inilah yang dikatakan sebagai pemodenan. Implikasinya, terdapat ramai pelajar perempuan yang hamil anak luar nikah dan seterusnya mengambil jalan singkat dengan membuang bayi yang telah dilahirkan. Inilah cabaran sebenar yang dihadapi oleh warga pendidik pada hari ini. Bagaimana pelajar-pelajar yang masih di bawah umur boleh melakukan perkara yang sensitif dan tidak wajar

seperti ini ? Apa pula tindakan yang harus diambil oleh KPM bagi mengatasi gejala tidak bermoral ini ? Apakah peranan guru kaunseling di sekolah ? Guru tidak seharusnya dipersalahkan dalam hal ini. Memang benar, tugas guru adalah untuk mendidik pelajar-pelajarnya di sekolah sehingga melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Tetapi, sejauh mana ibu bapa memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak sewaktu berada di rumah. Ini kerana para pelajar hanya berada di sekolah selama 7 hingga 8 jam sehari. Selebihnya, mereka sepatutnya berada di bawah jagaan ibu bapa mereka. Pendidikan awal bermula dari rumah. Di sinilah mereka diajar untuk menghormati antara satu sama lain, bersopan santun dan berakhlak mulia. Pihak sekolah pula terpaksa memberikan tumpuan terhadap semua pelajar-pelajarnya pada satu-satu masa. Jadi, adakah releven untuk seorang guru membentuk pelajarnya dengan baik tanpa pelajar itu terlebih dahulu dididik oleh ibu bapa mereka sendiri ? Masyarakat masa kini sangat prihatin dan mengikuti perkembangan pendidikan dengan penuh minat dan bersikap kritikal terhadap isu-isu berbangkit yang berkaitan dengan kemajuan anak-anak mereka. Pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan masalah secara sambil lewa dan memberi tumpuan kepada aspek tertentu akan menghalang pelaksanaan pendidikan kita terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri. Para pendidik disekolah juga perlu melihat ke hadapan dengan pandangan dan paradigma baru di mana pendidikan dalam era globalisasi ini perlu ditafsirkan secara holistik. Tidak perlu ada pemisahan antara kesungguhan guru, komitmen terhadap pengajaran dan pembelajaran dan juga kesediaan untuk mendidik generasi pelajar di mana kesemuanya perlu bergerak selari dan sentiasa beriringan.

Anda mungkin juga menyukai