Anda di halaman 1dari 8

http://ummatanwasatan.

net/2012/11/kemenjadian-murid-dan-kerangka-baharu-sistem-pendidikan-
malaysia/
Kemenjadian Murid dan Kerangka Baharu
Sistem Pendidikan Malaysia.
November 1, 2012 Editor Komentar No Comment

Bersamaan tarikh ulang tahun runtuhnya World Trade Center yang ke-11, Perdana Menteri
melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di
Kuala Lumpur City Centre, menara berkembar yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Secara kebetulan ramai yang berfikir, kenapakah pelancaran PPPM itu dilakukan pada tarikh
yang begitu banyak kesannya kepada psikologi masyarakat antarabangsa akibat serangan menara
berkembar yang menempatkan para pedagang saham di New York sehingga mempertajamkan
lagi hubungan barat dengan Islam.
Tragedi 911 itu turut merubah perspektif hubungan antara Islam dan barat dalam kancah
persengketaan yang lebih besar sehingga lebih ramai aktivis sosial melihat semula apakah faktor
agama menjadi penyumbang terbesar kepada sikap ganas. Malang sekali, penelitian tersebut
tidak banyak membantu dalam memperbetulkan rasa takut kepada Islam, kerana itulah setiap
ikon yang berhubung dengan Islam dilihat mempengaruhi sikap ganas.
Pemilihan KLCC sebagai tapak pelancaran Laporan Awal PPPM memberikan perspektif bahawa
menerusi pendidikanlah akan merubah keadaan yang sedang dialami oleh masyarakat Malaysia
sekarang, yang sistem pendidikannya dilihat semakin berkecamuk dan penuh masalah.
Dalam laporan awal PPPM terpampang usaha yang sedang dan bakal dilaksanakan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memperbetulkan simpang-siur sistem pendidikan negara
dengan mensasarkan kedudukan yang lebih baik di peringkat antarabangsa sama ada dari aspek
kemenjadian murid, keseimbangan kos, profesionalisme guru, kebahasaan, sokongan sistem,
persekitaran masyarakat, sokongan komuniti (ibu bapa dan sektor swasta) dan hasrat yang
hendak dicapai oleh negara ketika perjalanan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi
sedang giat dipersiapkan.
Dalam perjalanan menuju ke tahap negara maju itulah tersimpuh semula makna dan maksud
pendidikan yang hanya berkisar kepada keperluan menghasilkan modal insan yang bukan sahaja
mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, bahkan turut seimbang antara keperluan jasmani, emosi,
rohani dan intelek, sebagaimana dihasratkan menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan sejak
mula dimaktubkan pada tahun 1986.
Jarak antara tahun 1986 hingga 2012, iaitu selama 26 keseimbangan sahsiah dan kemenjadian
murid tidak berjaya dilaksanakan sepenuhnya. Di dalam laporan awal PPPM ini terserlah banyak
kelemahan termasuk kedudukan pencapaian pelajar dalam kelompok satu pertiga ke bawah
dalam 74 buah negara yang menyertai PISA (Programme for International Student Asessment)
dan menurun daripada kedudukan di atas purata pada tahun 1999 kepada di bawah purata
antarabangsa pada tahun 2007 dalam TIMSS (Trends in International Mathematics and Science
Study).(Hal. E-5 dan E-6).
Maknanya, semakin lama penyertaan Malaysia dalam kajian tersebut, prestasi pelajar dalam tiga
bidang yang diukur telah menurun, iaitu kebolehan Membaca, Matematik dan Sains. Jika
dibandingkan dengan Thailand, prestasi pelajar Malaysia berada di dua tahap terkebawah dalam
kebolehan bacaan, lima terkebawah dalam matematik dan di satu tangga di belakang dalam
bidang sains.
Hampir 60 peratus murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA gagal mencapai tahap
kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44 peratus dalam Bacaan dan 43 peratus
dalam Sains. Terdapat perbezaan sebanyak 38 mata, maksud ketinggalan selama setahun dengan
Thailand dan tiga tahun atau lebih dengan Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai.
Maknanya, semakin lama penyertaan pelajar Malaysia dalam ukuran tersebut semakin terperosok
dan atas keperluan itulah maka ianya perlu dilakukan rombakan.Dalam rombakan yang sedang
dilaksanakan ialah mengatasi punca kelemahan para pelajar, kerana sejak diperkenalkan
pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun
2002, ia turut menjejaskan kualiti guru.
Faktor bahasa dikatakan sebagai pengekang kepada prestasi. Hampir kesemua pakar pendidikan
bersetuju bahawa proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan adalah dilaksanakan
dalam bahasa ibunda ataupun bahasa yang digunakan secara meluas dan bahasa pertuturan utama.
Oleh itu, adalah tidak menjadi sesuatu yang janggal apabila KPM membuat keputusan untuk
kembali proses pengajaran dua mata pelajaran wajib itu menggunakan bahasa Melayu.
Proses tersebut mengakibatkan perubahan dasar, yakni dari PPSMI kepada MBMMBI, iaitu
memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuh bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris
diperkukuhkan dengan menambahkan jumlah masa pengajaran, meningkatkan kualiti guru,
memperkenalkan program mentor-mentee (guru penutur jati) dan membangunkan profil
kemahiran berbahasa dalam kalangan guru bahasa Inggeris.
Sayangnya, MBMMBI mendapat reaksi kurang senang daripada segelintir ibu bapa yang tetap
mahukan PPSMI dengan memberikan pilihan kepada sekolah untuk membuat penentuan. Dalam
menangani keresahan tersebut, KPM akhirnya membuat semula jajaran pelaksanaan
MBMMBI menerusi soft-landing, yakni sepatutnya pelajar tingkatan satu akan mula belajar
matematik dan sains dalam bahasa Melayu pada tahun 2012, ia dibenarkan sehingga tamat
tingkatan lima pada tahun 2016. Ini bermakna MBMMBI akan dilaksanakan sepenuhnya di
semua peringkat sekolah menengah pada tahun 2021.
PPPM turut menerima kecaman daripada sekumpulan pertubuhan-pertubuhan pendidikan China
yang terus mahu memperjuangkan peluang sama proses pengajaran dan pembelajaran dalam
bahasa Mandarin walaupun pada peringkat sekolah rendah, SJK (C) dan SJK (T) dibenarkan
berbuat demikian. Mereka turut mahukan bahasa Mandarin dijadikan salah satu bahasa pengantar
di sekolah menengah kerana menganggap usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu di sekolah-sekolah akan mengakibatkan bahasa ibunda lain berhadapan dengan masalah.
Oleh kerana itulah mereka terus mendesak agar KPM boleh menerima kesemua cadangan yang
dikemukakan kerana melihat inilah peluang terbaik setelah kerajaan turut menerima calon-calon
yang lulus dalam UEC (Unified Chinese Education) memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG)
pada tahun lalu bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah SJK (C).
Dalam masa yang sama, Lembaga Penasihat Sekolah (LPS) tidak mahu menerima guru-guru
yang tidak mahir berbahasa Mandarin mengajar di sekolah-sekolah vernakular itu walaupun
untuk mata pelajaran Bahasa Melayu.
Desakan daripada pejuang-pejuang bahasa Melayu dan Sastera Melayu turut menampakkan ada
kecenderungan melihat PPPM tidak akan melonjakkan kedudukan bahasa Melayu kerana
kejelasan laluannya tidak terarah ke peringkat pendidikan tertiari. Hal ini menyebabkan mereka
terus mendesak agar berlaku semacam akujanji daripada IPTA untuk melakukan transformasi
penggunaan bahasa pengantar sebagaimana pernah dilaksanakan pada awal tahun 1980-an. Hari
ini sistem pendidikan di universiti banyak menggunakan bahasa Inggeris manakala proses
penterjemahan karya-karya ilmiah sedikit terbantut.
Pasaran buku akademik berbahasa Melayu cukup kecil oleh kerana tidak semua IPTA
menggunakan buku-buku tersebut sebagai rujukan. Para pensyarah bebas menentukan bahan
rujukan kerana pendidikan tinggi tidak perlu tertakluk kepada konsep buku teks sebagaimana
berlaku di peringkat sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Apa yang berlaku di IPTA ialah
kurikulum yang fleksibel, di mana para pensyarah bebas menerokanya secara kreatif, kerana
hayat sesuatu subjek yang ditawarkan bergantung kepada sambutan dan penerimaan para pelajar,
terutama subjek bukan teras.
PPPM 2013-2025 sudah menemukan jalan keluar secara makronya bagaimana untuk
membangunkan modal insan daripada aspek kemahiran akademik dan kebolehpasarannya,
terutama dalam persekitaran ekonomi baharu yang lebih tertumpu kepada kreativiti dan inovasi.
Bagaimanapun, kekurangan yang amat ketara ialah bagaimana perancangan PPPM itu untuk
menjadikan seorang murid benar-benar menjadi dalam aspek bukan akademik, terutamanya
sahsiah dan daya tahan moral.
PPPM tidak menemukan kaedah atau jalan yang mampu memperkuatkan nilai keinsanan dalam
diri pelajar setelah berada di bangku persekolahan wajib selama 11 tahun (sekolah rendah 6
tahun dan sekolah menengah 5 tahun), kerana persekitaran pembelajaran yang selari dengan
pembangunan sahsiah dan keagamaan tidak diberikan ruang yang luas.
Apa yang cuba dipaparkan ialah sekadar meningkatkan jumlah guru dalam pengajaran dan
pembelajaran pendidikan Islam dan moral, pengukuhan sekolah-sekolah agama dan
pembangunan kurikulumnya, tetapi tidak banyak disentuh bagaimana kemenjadian pelajar itu
sendiri dalam pembangunan diri. Pola hubungan etika secara berkesan tidak dimasukkan sebagai
landasan utama, maka hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dijangka sekali lagi menerima
kegagalannya.
Mungkin ketika perumusan pelbagai pandangan, sumbang saran daripada kumpulan fokus (750
pengetua dan guru besar;15,000 guru; 22,000 murid; dan 300 pegawai JPN/PPD), perbincangan
terbuka (8,000 orang guru; 2,000 ahli PIBG dan 2,000 orang awam), panel penilai bebas (12
orang), panel antarabangsa (4 orang), universiti tempatan (6 buah) dan makmal pendidikan (9 )
tidak menyentuh keperluan tersebut.
PPPM mengambil kira 9 bidang utama, profesion keguruan, keupayaan kepimpinan sekolah,
kualiti pengajaran, rangka kerja kurikulum dan pentaksiran, kemahiran pelbagai bahasa,
kesediaan murid ke pendidikan tinggi dan pasaran kerja, menganjak pendidikan dari sistem
sekolah kepada sistem pembelajaran, kos dan produktiviti, dan peningkatan penyampaian dan
pelaksaan. Masih belum berbuah persoalan membentuk etika belajar dan lebih kondusif antara
guru dan pelajar, sedangkan inilah falsafah yang amat diberikan perhatian dalam Islam.
Al-Ghazali (1058-1111M), seorang intelektual muslim yang berpengaruh hingga ke hari ini
walaupun sudah meninggal lebih sembilan ratus tahun, saranannya masih tetap relevan bagi
menyelesaikan persoalan ummah dan hasil limpahan keunggulan akademik menerusi pencapaian
skor A ataupun jumlah peratusan cemerlang.
Salah sebuah bukunya yang termasyhur dalam bidang tasauf, Ayyuhal Walad dan kemudiannya
ditulis semula dalam bahasa moden oleh Islah Gusmian dan diterbitkan oleh PT Mizan Pustaka
pada tahun 2006 dengan judul, Surat Cinta al-Ghazali, memberikan kita kaedah bagaimana untuk
mendidik dengan lebih baik dan berkesan.
Buku ini disifatkan mempunyai kekhususan yang tersendiri kerana al-Ghazali menjadikan nilai-
nilai tasauf sebagai mata air gagasan pendidikan. Diberikan penekanan yang luar biasa hubungan
antara tasauf sebagai satu disiplin spiritual dengan amalan pendidikan.
Buku ini dimulai dengan rasa resah seorang murid al-Ghazali dan sebagai pengantarnya, Islah
Gusmian melatarinya dengan berkata: Saya telah penat mengkaji ilmu-ilmu itu. Kini, saya tidak
tahu ilmu yang manakah lebih bermanfaat bagi diri saya sebagai wahana menggapai cahaya
Tuhan dan lebih mampu memimpin saya menghadapi masa hadapan. Saya pun tidak tahu ilmu
mana yang tidak bermanfaat sehingga ia dapat dihindari dan saya dapat menjaga diri darinya.
Murid al-Ghazali berhadapan dengan kemelut ilmu sebagaimana pernah beliau alami ketika
mengajar di Madrasah Nizamiyyah sehingga menyebabkan beliau berkelana jauh meninggalkan
dunia akademik untuk mencari kebenaran.
Hampir sebelas tahun lamanya al-Ghazali mencari kebenaran dengan mendekatkan diri dengan
Allah SWT di persekitaran masjid di Syria, Palestin dan kemudiannya mengerjakan haji sebelum
pulang semula ke kampung halamannya mendirikan madrasah. Beliau kemudiannya kembali
semula ke Madrasah Nizamiyah untuk beberapa ketika dengan pengalaman yang baharu, dan
sebahagian besar pengalaman tersebut diterjemahkan menerusi ratusan kitab yang dihasilkan
selepas menjalani proses mencari kebenaran.
Resah diri itulah menyebabkan muridnya menulis sepucuk surat untuk meminta nasihat,
bimbingan dan doa. Guru, tulisan murid tersebut, apabila jalan menuju jawapan bagi saya
telah tertulis dalam pelbagai bukumu, seperti Ihya Ulumudin, Kimiya al-Saadah, dan sebagainya,
sesungguhnya muridmu ini tumpul nalar untuk menelaahnya. Saya mohon kepada Guru, sebuah
ringkasan yang dapat saya. Risalah itulah kemudiannya ditulis dan diberikan judul Ayyatul
Walad oleh al-Ghazali.
Dialog itu juga membuktikan bahawa penekanan utama yang dilaksanakan oleh al-Ghazali ialah
membolehkan muridnya mudah memahami, dan seterusnya dapat dijadikan teladan amalan
terbaik. Itulah ilmu yang kita perolehi daripada kemuliaan hati seorang guru yang bernama al-
Ghazali, beliau tidak pernah berkata: Kamu bacalah apa yang saya tulis.
Al-Ghazali meletakkan hubungan guru-murid seperti hubungan ayah dengan anaknya sendiri,
maka proses pembelajaran berjalan secara mesra dan bersifat dialog yang memberikan kejelasan,
kefahaman dan bersifat afektik. Ini tidak berlaku dalam kebanyakan proses pengajaran dan
pembelajaran dalam sistem pendidikan moden, kerana para guru hanya mengajar dan mengajar,
tetapi tidak menjiwai ilmu itu terlebih dahulu.
Para guru, yang sebahagian besar memilih kerjaya tersebut bukan kerana minat. Mereka memilih
kerjaya keguruan kerana tidak ada pilihan lain yang sesuai dengan bidang pengetahuan yang
dipelajari ketika di universiti. Kerjaya guru boleh memberikan jaminan keselamatan sekurang-
kurangnya hingga tahap umur persaraan mandatori, kerana seseorang guru tidak dinilai
sejauhmanakah penerokaan ilmu selanjutnya, meskipun ada sebahagian berusaha melanjutkan
pendidikan pasca siswazah. Ini belum memadai kerana ramai juga para guru tidak menjadikan
alam sebagai gedung ilmu dan pemerhatian sebagai sumber pengetahuan paling berharga.
Guru juga kurang berminat membaca buku-buku ilmiah di luar bidang pengajarannya, maka
beruntunglah guru-guru di Malaysia selagi anda tidak dikenakan tindakan disiplin, kedudukan
anda tetap selamat. Anda masih boleh menerima gaji yang lumayan walaupun anda kurang
mengajar. Anda tetap dibayar gaji, maka kerana itulah apabila berlaku beberapa program
transformasi, ramai guru yang menyuarakan kebimbangan dan mempersoalkan kedudukannya.
Ada guru marah-marah apabila PPPM diperkenalkan, mereka akan bekerja dengan kelajuan yang
lebih dan beban yang semakin sarat. Menerusi PPPM, sistem peperiksaan sudah berubah menjadi
Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), maka gurulah yang akan membuat penilaian
secara berhemah ke atas para pelajarnya, dan setiap perubahan psikomotor dan penguasaan
murid perlu direkodkan sebagai evidence. Di situlah bermula segala-galanya, kerana ramai
guru dilanda sindrom kasut baharu.
Dalam sindrom itu ramai guru mula ragu-ragu, apakah hasil pengajaran selama ini tidak dapat
menghasilkan kemenjadian murid? Ramai yang mengambil sikap lepas tangan, bagaimana
kemenjadian murid itu boleh ditingkatkan kerana murid sendiri tidak menunjukkan sikap ingin
berubah ataupun jadi lebih pandai.
Maknanya, selagi revolusi dalam diri guru tidak dimulakan, maka nasib PPPM akan mengalami
kesan yang serupa dengan program-program pendidikan yang gah ketika permulaannya. Ramai
yang masih ingat, ketika PPSMI diperkenalkan ramai guru yang terbabit merasakan skeptik
kerana terpaksa mengajar dalam bahasa Inggeris, sedangkan sejarah persekolahan yang
dilaluinya adalah dalam bahasa Melayu.
Bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan (PPSMI), kerajaan
memperuntukan ratusan juta ringgit bagi menyediakan buku teks, alat bantu mengajar
(kemudahan komputer, skrin dan projekter), latihan dan kursus berbahasa Inggeris, bahan-bahan
interaktif, tetapi akhirnya prestasi pelajar tidak juga meningkat.
Bahkan, bila dilaksanakan pembinaan pengkalan data penguasaan berbahasa Inggeris, ramai guru
yang gagal, maka semangat itu mula berubah, proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik
darjah bercampur-campur (bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia). Bukti kajian oleh KPM sendiri
sudah memadai bagi menggambarkan situasi tersebut.
Begitu juga dengan kegagalan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar walaupun proses
pembelajarannya mengambil masa yang panjang. Sebelas tahun belajar bahasa Inggeris, akhirnya
murid tidak juga boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa tersebut, kerana ada guru
bahasa Inggeris, sama ada yang bukan opsyen ataupun opsyen tidak melepasi tahap
kecemerlangan berbahasa berdasarkan standard ujian yang digunakan.
Lebih menyedihkan peratusan pencapaian adalah begitu rendah dan ia memerlukan latihan
semula yang menyebabkan ratusan juta ringgit lagi perlu dibelanjakan. Apakah ini akan terus
berlaku dalam situasi selepas terbitnya laporan akhir PPPM nanti, atau di akhir tempoh 2025,
masih ramai guru bahasa Inggeris tidak lancar dan mampu berbahasa Inggeris dengan baik?
Inilah yang menjadi misterinya, kerana lorong yang disediakan semakin kerap perlu diturap dan
bukannya dibina semula dengan asas yang lebih kukuh.
Harapan rakyat Malaysia ialah proses pengambilan calon guru mestilah dilaksanakan secara
terbuka dengan memilih calon-calon yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan
peringkat universiti. Calon-calon itu perlulah dijadikan sebagai kadet untuk tempoh tertentu,
apabila penilaiannya sampai ke tahap membanggakan, maka mereka akan diserap masuk ke
dalam kerjaya perguruan.
Jangan jadikan bidang keguruan sebagai kerjaya tangkap muat bagi mengurangkan
pengangguran dan lambakan siswazah. Biarlah mereka berkelulusan dalam bidang pendidikan
itu bersaing secara sehat dalam pasaran terbuka, manakala seluruh IPG yang ada menjadi pusat
latihan dalam perkhidmatan.
Biarlah guru siswazah berada di sekolah rendah mahupun sebagai guru prasekolah. Mereka
boleh menjadi seorang guru yang baik kerana mereka meminati profesion tersebut, dan bukannya
sebagai pilihan terakhir. Setiap mereka yang mengajar perlu diberikan tahap ikhtisas oleh satu
badan profesional, seolah-olah sijil amalan keguruan. Sijil tersebut tentunya boleh ditarik balik
sekiranya guru melanggar etika dan tidak mampu menghasilkan kemenjadian murid.
Bahkan, apabila seorang guru berkata: tanggungjawab seorang guru ialah menjadikan anak
muridnya lebih pandai daripada guru sendiri. Kalau hanya guru lebih pandai akhirnya daripada
anak murid, itu adalah kegagalan. Itu bermakna guru tidak benar-benar memahami dan
membudayakan amalan pengajaran yang baik. Bolehkah kemenjadian murid, berdasarkan
kecerdasan intelek, spiritual dan emosi dibentuk menerusi sistem pendidikan yang sedang dirintis
dalam PPPM ini berlaku? Kalau ada, apa jaminannya?
Itu adalah falsafah dan harapan yang masih lagi kabur, kerana PPPM hanya menggariskan
pencapaian dan kemenjadian murid dari aspek kebolehpasaran, kerana selepas tahun 2020,
Malaysia diharapkan telah mencapai tahap negara berpendapatan tinggi. Kita hanya mengukur
kemenjadian murid berdasarkan kehendak pasaran, dan bukannya kehendak membentuk meeting
of minds yang dilingkari oleh kesedaran moral dan spiritual secara bersepadu, kerana sifat
keinsanan merangkumi kesemuanya.
Bahkan, konsep pendidikan yang dirintis oleh al-Ghazali turut dikembangkan oleh Ibnu Khaldun
dan kemudiannya Malek Bennabi. Sayangnya, dalam penerobosan psikologi pendidikan
barat,kita sebenarnya sudah lupa dengan kemurnian asas spiritual Islam yang telah melonjakkan
kedudukannya sebagai pusat ilmu dan tamadun yang amat besar pengaruhnya kepada seluruh
masyarakat dunia, termasuk barat sendiri. Sistem pendidikan barat hanya mampu melahirkan
manusia yang bertamadun, tetapi hilang ghairahnya (jiwa).
Pendidikan merupakan satu proses asimilasi (penghadaman) antara keyakinan dan nilai sehingga
mampu memberikan kaedah penyelesaian kepada setiap permasalahan kehidupan secara
seimbang dan bukannya menambahkan lagi berat bagasi sosial, seperti gejala sosial, bunuh diri
dan perobohan institusi keluarga, sosial dan sebagainya. Itulah yang diharapkan, kerana proses
menjadikan seseorang itu benar-benar menjadi tentunya bermula dari rebungnya. Tetapi,
kenapa rebung pula mahu dipatahkan sebelum diberikan peluang untuk membesar dan menjadi
buluh?
Jawapannya, tentu boleh dicari di mana-mana. Tetapi, hingga kini masih belum ditemui dengan
jelas dalam laporan awal PPPM 2013-2025. Maka, laporan akhirnya nanti, mungkin ada harapan
yang jelas, kerana kita tidak mahu rasa berdosa yang teramat besar apabila rebung pada hari ini
tidak akan menjadi buluh dalam tempoh yang sepatutnya.
Muhamad Irfan Iskandar

Anda mungkin juga menyukai