Anda di halaman 1dari 5

Katalog Awam Dalam Talian ( KAWAT ) ( OPAC - Online Public Access Catalog )

Maklumat terperinci (artikel akhbar) Cerpen Gelodak dan Penunggu: berjaya mengemukakan persoalannya Pengarang Sutung Umar Rs
Carian Baru

No Panggilan Subjek Rujuk Silang Abstrak

0144828 Cerpen Melayu Malaysia - Ulasan Wan Omar Ahamed Ulasan cerpen-cerpen berjudul 'Penunggu' karya Ibenin Hajar dan'Gelodak' karya Sh. Irman Rosli.

Akhbar Akhbar

Bacaria

Keluaran

02/06/1983

No ID

96203

ULASAN CERPEN BULAN MERDEKA DAN HARI WANITA - Ungkapan cinta terus mewangi Oleh IBENIN HAJAR SAAD MENGIKUT Kamus Dewan edisi ketiga, cinta membawa maksud perasaan, amat berperasaan, sangat kasih kepada (negara, orang tua, kebebasan dan lain-lain) dan sangat berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dengan perempuan (hal. 241). Cinta tidak hanya berkisar dalam hubungan antara teruna dan dara seperti sangkaan ramai tetapi makna dan peranan cinta itu sebenarnya sangat luas. Membaca empat cerpen yang tersiar dalam Mingguan Malaysia sepanjang Ogos 2002, boleh disimpulkan bahawa cerpen-cerpen tersebut telah dicipta bertemakan cinta. Persoalannya sahaja yang berbagai-bagai. Cerpen tersebut diolah dengan baik oleh pengarangnya yang memilih sudut-sudut cinta tertentu. Pembuka tirai Ogos ialah cerpen Cinta Hot Chocolate (CHC) karya Helmy

Samad. CHC bertemakan cinta terhalang bagi dua watak utamanya. Aku telah berbual dengan Farah di sebuah kafe tentang kecintaan terhadap kekasih masing-masing. Mereka saling meluahkan perasaan agar ketegangan dapat diredakan. Kekasih Aku masih hidup tetapi telah menjauhkan diri kerana mengejar sesuatu. Kekasih Farah pula telah maut dalam kemalangan jalan raya. Mereka saling mendedahkan perasaan. Ternyata cinta Farah kepada kekasihnya begitu kuat. Ini dapat dikesan pada ayat mula cerpen Helmy di mana Farah berkata: ``Dia segalanya bagi saya...'' Kematian Fazlan menjadikan Farah tidak menentu. Hidupnya sudah tiada bermakna. Semuanya ini telah diluahkan di hadapan Aku, sahabatnya sejak sekolah rendah. Suasana tidak bermaya Farah ini boleh diperhatikan pada kata-katanya: ``Saya tak tahu apa nak buat. Semuanya tak kena. Rasa lemah dan benar-benar tertekan kerana semuanya ini. Rasa kehilangannya begitu menghimpit dan entah mengapa, diri saya juga hilang entah ke mana. Tiada arah, setiap kali membuka mata dari tidur yang penuh resah, saya memandang dinding, berfikir, mencari, mengapa saya masih di sini keseorangan.'' Kekecewaan Farah yang teramat sangat itu menyebabkan hidupnya terpesong dalam mentakhtakan tujuan hidup. Farah seolah-olah meletakkan cinta pada lelaki itu sesuatu yang paling penting mengatasi segala-galanya. Kegagalan cinta meruntuhkan seluruh hidupnya. Aku dalam CHC pula bertindak dalam dua keadaan. Di samping cuba memikat Farah untuk menggantikan tempat Maznah yang pergi mengejar pelangi, Aku juga sebagai kaunselor yang cuba mengubah Farah agar menjadi manusia yang lebih positif menempuh hari depan. Sebagai sahabat yang bersimpati dan tidak ingin melihat Farah menjadi lebih tertekan jiwanya Aku cuba-cuba menasihat dan memberi pandangan. Sikap aku jelas pada kata-kata pujukan berikut: ``Sabarlah. Masa mengubati dengan membiasakan diri pada keadaan.'' Cinta Aku patah buat kali kedua apabila Farah datang berjumpa Aku dengan membawa kekasih baru. Lebih memilukan Aku ialah orang yang diperkenalkan oleh Farah itu merupakan Razlan iaitu abang kepada arwah kekasihnya. Jadi, apa yang dimaksudkan dengan CHC adalah sebenarnya kemanisan yang datang hanya sekejap dan kemudian menghilang. Sama seperti kita meneguk secawan hot chocolate. Cerpen kedua ialah Aku Dan Si Puteri (ADSP) karya Mohd. Kasim Mahmud. Cerpen ini disesuaikan daripada cetera ke-27 teks historiografi Melayu yang terkenal iaitu Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang. Walaupun buku tersebut terkarang pada tahun 1612 di Riau tetapi banyak cerita menarik yang boleh dijadikan teladan. Cerpen Mohd. Kasim bertemakan cinta pada keharmonian dan keadilan sejagat. Watak utama dalam ADSP ialah ``Aku'' yang didakwa oleh Dang Raya Rani sebagai cucu cicit Tun Mamat. Watak Aku mengimpikan satu situasi adil dalam komunikasi dengan Dang Raja Rani. Cucu cicit Tun Mamat ini mahu perdebatan dua hala berlangsung dengan bebas mengeluarkan pendapat. Bagaimanapun, hanya Dang Raya Rani yang berkhutbah sedangkan Aku

disuruh mengunci mulut. Aku tidak berupaya berbuat apa-apa kerana tiada kuasa. Bagi cucu cicit Tun Mamat, Dang Raya Rani ialah seorang yang angkuh dan bersikap tidak demokratik. Bagi Dang Raya Rani, oleh kerana kemuncak Gunung Ledang didominasinya, tiada sesiapa boleh menyanggah kata-katanya. Dia seperti mahu membalas dendam kisah sekitar tahun 1500 Masihi yang tidak sempat dilunaskannya. Bijaksana Ironisnya, Dang Raya Rani juga nampaknya mahukan orang lain bersikap lemah-lembut, adil, bijaksana, kasih-mengasihi, menghormati sesama insan dan bertindak bijaksana. Katanya, sebagai pemerintah, janganlah nafsu diutamakan. Akal fikiranlah yang patut diberi keutamaan. Dang Raya Rani telah menghamburkan sifat-sifat buruk dan keji yang didakwa telah dilakukan oleh Sultan Mahmud Melaka pada abad ke-16. Cerpen ini telah menyampaikan mesej cintakan kedamaian dan keadilan. Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-45 pada 31 Ogos 2002 maka cerpen ketiga yang bertema cinta negara tersiar di Mingguan Malaysia. Bersama Sengsara Kami Cincang Mereka (BSKCM) karya Lutfi Ishak disiarkan sempena kemerdekaan ke-45 negara. Cerpen ini mengambil latar zaman permulaan penjajahan khususnya oleh Inggeris pada suku akhir abad yang ke-19. Dalam buku teks Sejarah KBSM tingkatan dua terselit dua topik yang bertajuk Perjuangan Menentang Penjajah dan Kebangkitan Semangat Kebangsaan. Ia bertujuan menanamkan semangat cintakan negara. Apabila seseorang memiliki semangat kebangsaan, dia akan taat setia kepada tanah airnya. Dia sedia berkorban mempertahankan negara daripada sebarang pencerobohan. Begitulah halnya dengan watak-watak penting dalam BSKCM. Mereka adalah warganegara yang tinggi cintanya kepada tanah air. Mereka sedia mempertaruhkan nyawa asalkan negara tidak terjajah. Panglima Hitam, Panglima Putih dan Piin adalah bukti kepada semua ini. Mereka tersungkur di muncung senapang penjajah. ``Kami' watak penting dalam BSKCM mungkin manusia yang hidup sezaman dengan Datuk Maharaja Lela di Perak, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan Dol Said di Naning. Selain semangat untuk mempertahankan negara daripada dijajah, mereka juga menjunjung Islam yang mungkin tergugat dengan kehadiran tentera kafir seperti terungkap dalam cerpen ini; Khabarnya penjajah juga bawa salib untuk kita (para 5 bab 3). Bagi watak `Kami' terserlah betapa kental dan kuatnya semangat patriotik dalam diri mereka. Bila penjajah menembak dengan peluru timah, mereka tidak bertempiaran lari, bahkan sanggup pilih untuk lawan, atau dalam bahasa lebih tepat, pilih syahid jika syahid itu milik kami. Kami menerkam tanpa secebis takut (para 1 dan 2, bab 1). Mereka adalah pejuang gigih yang sanggup mendirikan kubu sendiri dengan semangat dan keringat (para 1, bab 2). Mereka juga pandai mengatur strategi dengan berundur dahulu ke rimba. Berundur bukan

bererti kalah tetapi mereka mahu mengumpul kekuatan bagi serangan kali kedua (para 3, bab 2). Di akhir cerpen, penulis berpesan bahawa dalam berpakat-pakat mengatur strategi untuk mengganyang musuh ekoran daripada rasa cinta terhadap negara, kita janganlah pula untuk bersengketa. Rasa diri lebih daripada orang lain dan dengki terhadap pencapaian rakan seangkatan hendaklah dijauhi. Ini terkesan apabila Si Bali yang tidak senang dengan perlantikan Khadijah sebagai ketua kumpulan telah lari membawa diri. Akibatnya strategi menentang musuh telah bercelaru. Sempena sambutan Hari Wanita 25 Ogos muncul cerpen Forum Wanita karya Beb Sabariah. Cerpen ini mengambil latar di sebuah dewan mesyuarat. Ahli-ahli yang bermesyuarat pada hari itu semuanya wanita. Sekali lagi bolehlah dikatakan yang persoalan dalam cerpen ini berkisar kepada perasaan cinta wanita kepada keadilan untuk wanita sendiri. Wanita tidak mahu ditindas, dikongkong, dianiayai dan dikunci mulut mereka. Wanita-wanita dalam forum itu mahu merdeka daripada sebarang keadaan. Mereka mahu menjadi Faridah Hanum dalam novel Hikayat Faridah Hanum karya Syed Syeikh al-Hadi yang membicarakan tentang emansipasi wanita awal abad ke-20. Hari ini setiap kita didedahkan melalui media massa tentang cerita sumbang mahram, rogol, bunuh, perceraian, penderaan, ugutan dan lainlain kejadian jenayah yang melibatkan wanita. Justeru, Beb Sabariah tidak selesa dengan perkhabaran buruk serupa ini yang tentunya mengheret sama kaum sejenis dengannya. Cerpen Forum Wanita dimulakan dengan pengakuan Puan Nina Chong menerusi klip video yang menceritakan kisah dirinya dinodai sejak berusia tujuh tahun oleh abang kandungnya. Puan Nina tidak melapor kejadian itu kepada sesiapa pun lantaran jahil dengan situasi sedemikian. Saluran Forum yang dipengerusikan oleh Puan Rajemah boleh dianggap sebagai saluran untuk wanita-wanita sedar dengan perlakuan tidak senonoh tersebut dan tahu menyelesaikannya. Oleh kerana sayangkan kaum sejenis, Ustazah Balkis selaku salah seorang ahli panel dalam forum itu telah berkhutbah tentang fadilat perkahwinan. Katanya, perkahwinan boleh memberi ketenangan hati dan keselamatan hidup. Sumbang mahram adalah tanda-tanda kekosongan nilai dan pegangan hidup. Kata Ustazah Balkis lagi lelaki seharusnya menjadi rajul atau pelindung wanita (para 9). Selanjutnya Ustazah Balkis memberitahu, Allah sangat menekankan kewajipan suami supaya sentiasa memberi layanan yang baik kepada isteri (para 18) dan isteri pula wajib menjaga tubuh dan hijab, membatasi tingkah-laku, menjaga percakapan serta taat setia kepada suami selagi hayat dikandung badan (para 28). Seorang lagi ahli panel dalam FW tersebut ialah Dr. Rubiah, seorang graduan undang-undang syariah UIA. Beb Sabariah telah menggunakan Dr. Rubiah untuk bercakap dari sudut undang-undang yang boleh melindungi hak wanita.

Menurut Dr. Rubiah, wanita patut sedar tentang adanya akses atau saluran untuk menuntut keadilan jika teraniaya (para 22). Setiap wanita harus lebih berani mendedahkan permasalahan masing-masing (para 23). Wanita juga hendaklah berpengetahuan, berkemahiran, bertanggungjawab, bersikap positif, sentiasa sihat dan bijak mengurus sumber (para 26). Akhirnya cerpen ini diakhiri dengan Puan Rajemah mengisytiharkan dirinya bebas dan merdeka daripada nama `Rajemah' kerana perkataan itu bermaksud ``sentiasa direjam''. Apa yang hendak disampaikan oleh penulis di sini ialah mungkin wanitawanita selama ini tidak mendapat kebebasan sepenuhnya. Oleh itu pada hari yang bersejarah bagi kaum wanita dan menerusi watak Puan Rajemah, Beb Sabariah telah membuang rantai yang mengikat kaum sejenisnya. Nama baru Puan Rajemah ialah Puan Azimah. Azimah bermaksud ``yang mulia''. Begitulah bersungguh-sungguhnya para wanita dalam Forum Wanita dalam membela dan memperjuangkan nasib mereka. ======================== Catatan Arkivis Istimewanya mengiringi rencana ini terpampang wajah beb Sabariah dalam warna-warni. Inilah rasanya kali pertama wajah Bab Sabariah diberi paparan sedemikian. Tahniah sekali lagi daripada saya. Saiee Driss

Apa kata rakan Cerpen-cerpen yang tersiar dalam Mingguan Malaysia sepanjang Ogos 2002, boleh disimpulkan, dicipta bertemakan cinta. Persoalannya sahaja yang berbagai-bagai. Sempena sambutan Hari Wanita 25 Ogos muncul cerpen Forum Wanita karya Beb Sabariah. Cerpen ini mengambil latar di sebuah dewan mesyuarat. Ahli-ahli mesyuarat pada hari itu semuanya wanita. Cerpen ini berkisar kepada perasaan cinta wanita kepada keadilan untuk wanita sendiri. Wanita tidak mahu ditindas, dikongkong, dianiayai dan dikunci mulut. Wanita-wanita dalam forum ini mahu merdeka daripada sebarang keadaan. Mereka mahu menjadi Faridah Hanum dalam novel Hikayat Faridah Hanum karya Syed Syeikh al-Hadi yang membicarakan tentang emansipasi wanita awal abad ke-20. Hari ini setiap kita didedahkan melalui media massa tentang cerita sumbang mahram, rogol, bunuh, perceraian, penderaan, ugutan dan lain-lain kejadian jenayah yang melibatkan wanita. Justeru, Beb Sabariah tidak selesa dengan perkhabaran buruk serupa ini yang tentunya mengheret sama kaum sejenis dengannya. Apa yang hendak disampaikan oleh penulis di sini ialah mungkin wanita-wanita selama ini tidak mendapat kebebasan sepenuhnya.begitu bersungguh-sungguhnya para wanita dalam Forum Wanita dalam membela dan memperjuangkan nasib mereka. ~Ibenin Hajar Saad- Mingguan Malaysia 29 September 2002

Anda mungkin juga menyukai