Anda di halaman 1dari 4

Amalan bergendang di Sarawak.

Setiap etnik di Malaysia sememangnya kaya dengan budaya masing-masing. Terdapat beberapa contoh budaya dalam etnik masyarakat Malaysia seperti sastera rakyat, lagu tradisi, permainan rakyat, tarian dan sebagainya. Tidak terkecuali juga bagi masyarakat melayu Sarawak yang popular dengan bergendang atau lebih di kenali dengan nama bermukun. Walaupun begitu, amalan bergendang ini juga diamalkan oleh kaum melanau. Bergendang adalah kesenian yang di pusakai daripada nenek moyang mereka sejak berzaman-zaman. Aktiviti ini di katakan unik kerana ianya dilakukan hanya untuk bersuka ria serta di adakan dalam keadaan terbuka dan terang-benderang. Bagi masyarakat Melayu Sarawak pada zaman dahulu bergendang ini diadakan pada majlis-majlis tertentu sahaja. Contohnya, selepas kenduri doa selamat, bercukur rambut, berpindah ke rumah baharu, berkhatan, lawatan menantu baru dan sebagainya. Selalunya bergendang ini diadakan pada waktu malam setelah berpenat lelah mengendalikan kenduri pada siangnya. Majlis ini akan berlarutan sepanjang malam mengikut kemampuan seh gendang dengan keizinan tuan rumah. Dalam aktiviti bergendang ini, terdapat tiga elemen penting iaitu seh gendang, menopeng dan bertandak. Seh gendang juga dikenali sebagai tukang gendang yang terdiri daripada dua atau tiga orang yang berperanan sebagai memukul gendang sambil berpantun. Daripada makna pantun itu, kita mengetahui bahawa seh gendang mahu pantunnya dibalas oleh penari lelaki. Maka terjadilah jual beli pantun dengan irama gendang, geselan biola serta rentak tarian yang tersendiri. Menopeng pula istilah sebenarnya bermaksud menggunakan topeng. Budaya menopeng masyarakat melayu Sarawak pada zaman dahulu bermaksud penari menggunakan topeng ketika menari. Ini adalah untuk menyembunyikan identiti penari tersebut dengan menutup keseluruhan muka dan badannya dengan kain batik atau pelikat ketika menari. Pasangannya juga memakai topeng. Walaupun begitu amalan menopeng ini sudah jarang diamalkan semasa menari. Elemen yang ketiga ialah bertandak atau menari. Bertandak ini dilakukan di ruangan tengah berdekatan tabir (langsir) dan seh gendang sebagai gelanggang tarian. Mereka bertandak bergilir-gilir dengan pasangan masing-masing.

Bergendang atau bermukun ini selalunya diadakan pada waktu malam hingga ke subuh. Pada masa dahulu kebanyakkan bergendang dan bertandak ini hanya dilakukan oleh bangsa melayu atau melanau sahaja. Tetapi kini, sekiranya ada aktiviti bergendang atau bertandak, kaum lain pun datang beramai-ramai untuk ikut bersama bertandak. Malah sesetengah kaum lain pun turun mengamalkan amalan ini untuk bersuka ria. Adalah tidak sah sekiranya amalan bergendang atau bermukun ini tidak di adakan ketika perkahwinan. Walaupun aktiviti bergendang ini adalah untuk bersuka ria, namun terdapat juga pantang larang yang harus diikuti. Ia dilihat sebagai menghormati agama, jiran dan suasana sekeliling. Oleh itu, pada malam jumaat, majlis bergendang ini tidak akan diadakan sebagai menghormati malam tersebut. Begitu juga dengan malam-malam yang sepatutnya diadakan majlis-majlis agama seperti bulan Ramadan, Nisfu Syaaban dan Israk dan Mikraj. Sekiranya ada saudara mara dalam kampung atau kampung-kampung berdekatan meninggal atau sakit, majlis bergendang tidak akan diadakan. Peralatan bergendang adalah seperti gendang, sidak, biola, akordian dan gong. Gendang diperbuat daripada kayu keras seperti merbau, meranti, belian, menggeris, tanjan dan tapang. Kulitnya pula ialah kulit kambing yang kering yang diketatkan dengan rotan atau sidak. Sidak pula ialah lengkungan rotan untuk menegangkan kulit kambing tadi agar bunyi gendang itu kuat ketika dipukul. Sidak yang diselit diantara birai gendang sebelah dalam dengan kulit kambing dan akan dikeluarkan jika gendang tidak digunakan. Biola diperlukan sekiranya ada penggesek manakala akordian digunakan sebagai alternatif sekiranya biola tidak ada atau tiada yang mahir menggesek biola. Penggunaan gong pula digunakan untuk berpadu irama dengan gendang.

Pada hari ini, bergendang atau bermukun ini lebih banyak dibuat di majlis-majlis keramaian. Berbeza pada zaman dahulu yang hanya dilakukan di majlis-majlis tertentu sahaja. Konsep bergendang pada zaman sekarang sudah tidak lagi menggunakan topeng dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Walaupun golongan muda kurang mengikuti amalan bergendang ini, namun banyak usaha yang dilakukan oleh pihak yang menghargai budaya warisan ini. Antaranya ialah siarann langsung di Sarawak FM pada setiap hari sabtu pukul 10 malam. Maka tidak hairanlah acara indah ini diamalkan juga oleh etnik-etnik lain seperti iban, kedayan, cina selain dari kaum melanau. Kaun-kaum lain juga sudah mempelajari cara-cara bergendang dan bertandak dengan betul. Ini menandakan budaya bergendang dan bertandak ini boleh diterima pakai oleh kaum lain sebagai satu acara untuk bersukaria sesama mereka. Dengan ini juga dapat menarik minat golongan muda untuk meminati kebudayaan ini kerana kesenian inilah yang melambangkan identity sebagai masyarakat yang kaya dengan adat dan budaya ketimuran.

Anda mungkin juga menyukai