Anda di halaman 1dari 11

TAJUK : PEMBANGUNAN SENI PEMBUATAN GENDANG MELAYU SARAWAK

(JURNAL)
PENYELIA : ENCIK SHAIK AZAHAR BIN SHAIK HUSSAIN
NAMA : NUR LIYANA BINTI ADAM
NO. MATRIK : 37992

ABSTRAK

Kajian ini dilakukan bertujuan mengkaji pembangunan pembuatan GMS dari segi proses
pembuatan GMS dan perkembangan mengikut kronologi masa serta mengenalpasti bentuk
pemasaran yang digunakan. Kaedah kualitatif telah digunakan dalam kajian ini.Faktor
kekurangan golongan pelapis muda menjadi faktor utama oleh kerana GMS ini merupakan salah
satu elemen penting dalam aktiviti bermukun di Sarawak.

PENGENALAN

Kraf merupakan barangan yang dihasilkan dengan menggunakan kemahiran tangan, di keluarkan
atau menggunakan peralatan mudah serta dijalankan secara persendirian atau tidak langsung
dikeluarkan oleh pengusaha-pengusaha kraf. "Keluaran Kraftangan" bererti apa-apa keluaran
artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu
proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan
termasuklah apa-apa barang. Kraf diperbuat daripada buluh, rotan dan mengkuang. Antara
contoh kraf yang dihasilkan rotan adalah bakul-bakul, daripada mengkuang adalah tikar
mengkuang dan daripada buluh ialah sumpit.

Selain itu, pertukangan kraftangan seharusnya dikerjakan secara perseorangan atau secara kecil-
kecilan. Seterusnya hasil kraftangan selalunya membawa kepentingan kebudayaan dan
keagamaan sesuatu bangsa. Pengenalan kesenian wujud dan berkembang dan diturunkan dalam
atau melalui tradisi-tradisi atau masyarakat. Kesenian ini merupakan milik masyarakat dan
dilihat sebagai cara hidup yang bertalian dengan keindahan dari para masyarakat. Kesenian ini
juga menjadi tunjang kepada kebudayaan masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Dengan
adanya kesenian seperti identiti masyarakat melayu lebih terserlah dan dikenali ramai. Warisan
seni tradisional di kalangan masyarakat Melayu disampaikan secara lisan dari satu generasi
kepada satu generasi, namun artis sebagai individu yang menghasilkannya mempunyai ruang
untuk menggalakkan kreativiti dan mempertahankan nilai-nilai estatik karya seni tersebut.

Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia di mana ianya merangkumi keluasan 12.3 juta
hektar dan merupakan negeri yang mempunyai pelbagai etnik yang terdiri daripada Melayu,
Iban, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu, dan banyak lagi. Sarawak atau lebih sinonim lagi dengan
panggilan Bumi Kenyalang memaparkan kepelbagaian budaya, adat dan seni yang unik.
Masyarakat Melayu Sarawak sememangnya kaya dengan aktiviti-aktiviti kesenian yang
berteraskan adat dan budaya. Antara kesenian tradisi yang paling popular di kalangan
masyarakat Melayu Sarawak ialah bergendang.

Bergendang ialah khazanah budaya dan kesenian yang dipusakai masyarakat Melayu Sarawak
daripada nenek moyang mereka sejak zaman-berzaman. Aktiviti unik ini mempunyai
keistimewaan tersendiri sebagai aktiviti bersuka ria yang diadakan dalam keadaan terbuka dan
terang-benderang. Masyarakat Melayu Sarawak telah menjadikan aktiviti ini sebagai hiburan
utama dalam majlis keramaian. Antara alat muzik yang digunakan semasa bergendang ialah
gendang Melayu Sarawak. Gendang Melayu Sarawak sering dikaitkan dengan tradisi bermukun
dan bergendang dalam masyarakat Melayu dan Melanau di Sarawak yang lazim dipersembahkan
semasa meraikan majlis perkahwinan, khatam al-Quran dan majlis kebesaran yang lain. Budaya
bermukun dikatakan bermula sebelum era Brooke ataupun lebih awal. Gendang melayu ini
wujud untuk mendidik budaya berbahasa juga mendidik akhlak menerusi pantun dan tandak
(tarian) mudah. Namun, budaya ini pernah disalahgunakan oleh segelintir individu sebagai
medium 'menjerat' dan maksiat.

Isu tersebut menjadi sindiran menerusi novel Melati Sarawak oleh Mohamad Rakawi Yusuf
terbitan tahun 1932 mengenai kelonggaran akhlak masyarakat Melayu Sarawak dalam bermukun
pada tahun 1927 dan 1928. Pandangan serong terhadap seni gendang tersebut ternyata memberi
konflik terhadap golongan bangsawan, perabangan, pengiran, syed dan tunku yang tergolong
dalam istilah 'Melayu Sarawak'. Disebabkan perkara tersebut, mereka yang menggemari budaya
ini memenuhi kehendak mereka dengan memakai topeng bagi menyembunyikan wajah sambil
berpantun dan bertandak. Sejak itu, lahirlah istilah 'menopeng' dalam budaya bermukun. Selepas
kenduri Majlis bergendang selalunya diadakan pada waktu malam setiap kali selepas kenduri doa
selamat, bercukur rambut, pindah ke rumah baru, berkhatan, lawatan menantu baru, mendapat
laba atau anak baru dan menerima tetamu baru. Apabila majlis doa selamat atau berzikir
diadakan pada siangnya, lazimn yang terlibat ialah orang tua-tua. Hanya segelintir muda-mudi
yang terlibat.

Selain itu, untuk bersikap adil, majlis bergendang diadakan pada sebelah malamnya, khusus bagi
muda-mudi. Ia juga diadakan untuk melepaskan rasa letih dan tegang setelah bertungkus-Iumus
mengendalikan majlis kenduri pada siangnya. Pada zaman dahulu, majlis berkhatan diadakan
secara besar-besaran seperti majlis perkahwinan. Pelamin dibina dan pukulan hadrah
berkumandang. Kanak-kanak yang akan berkhatan dihias seperti pengantin dan diarak keliling
kampung. Kanak-kanak tadi “disandingkan” di atas pelamin dan ditepung tawar. Majlis berzikir
atau doa selamat diadakan. Selepas kanak-kanak itu dikhatankan, majlis bergendang diadakan
dan aktiviti ini bukan sahaja diadakan satu malam malahan sehingga tiga malam berturut-turut. la
diadakan agar kanak-kanak yang berkhatan tadi dapat berjaga. Sekiranya kanak-kanak itu tidur,
tindih menindih akan berlaku. Ini boleh menyebabkan luka selepas khatan itu berdarah semula.
Keadaan ini amat berbahaya kepada kanak-kanak berkenaan. Pada waktu siang, kanak-kanak itu
boleh tidur dengan pengawasan rapi kaum keluarga mereka.

Dalam majlis acara bergendang ini, kaum wanita akan ditempatkan "di balik tabir” (langsir atau
kain batik) iaitu sepadan yang memisahkan lelaki dan wanita. Mereka duduk sejajar atau
kelompok secara berselerak mengikut keselesaan masing-masing. Kalangan wanita yang duduk
di balik tabir tadi, terdapat dua atau tiga wanita yang berperanan memukul gendang sambil
berpantun. Mereka ini dipanggil "tukang gendang" atau "seh gendang". Kaum lelaki pula akan
duduk sejajar atau pun berselerak mengikut keselesaan masing-masing di luar tabir. Namun
begitu, mereka akan meninggalkan ruang di bahagian tengah, berdekatan tabir dan seh gendang
sebagai gelanggang tarian. Mereka menari secara bergilir dengan pasangan masing-masing.
Kaum lelaki berperanan bermain biola atau akordian mengiringi seh atau gendang. Irama yang
dimainkan oleh penggesek biola itulah yang akan menjadi ikutan seh gendang ketika berpantun
dan bermukun. 

Majlis bergendang ini biasanya berjalan sepanjang malam sehinggalah ke subuh mengikut
kehendak dan kemampuan seh gendang dan topeng dengan keizinan tuan rumah. Tidak dinafikan
tujuan utama majlis ini dilangsungkan adalah untuk bersuka ria. Sambil bersuka ria, secara tidak
langsung majlis ini juga menjadi temasya muda-mudi mencari pasangan. Semasa temasya ini,
mereka dapat mengenali dengan jarak dekat gadis dan jejaka idaman mereka apatah lagi pada
zaman dahulu, anak gadis jarang keluar rumah.

Secara tradisi, apabila pihak lelaki tersebut berkenan, mereka akan menyusul pula dengan majlis
merisik dan meminang. lrama pantun sering bertukar-tukar mengikut kemahiran seh gendang dan
penggesek biola. Biasanya, irama itu berdasarkan pembayang maksud pantun tersebut. Pantun
orang tua-tua dahulu mempunyai irama yang disebut Labuan, Asam Paya, Samsudin, Air Amboi,
lndung Anak, Selendang Mayang, Air Pasang dan Lela Majnun. Bermukun dan bergendang
dijadikan medium pemikiran cinta sama ada tersurat atau tersirat. Pemikiran tersebut menjadi
fungsi utama bergendang sebagai hiburan santai bagi melegakan jiwa. Pantun yang berlandaskan
cinta dan kasih sayang berbentuk ringan, sederhana dan menghiburkan bagi menyampaikan isi
dan makna pantun dalam konteks etika dan beradab.

Menurut kajian dari Institut Bahasa Melayu Malaysia Kuala Lumpur, pantun bermukun dan
bergendang merupakan gambaran world view masyarakat mengenai konsep cinta terhadap
Tuhan, manusia, dan alam. Kini, budaya bermukun dan bergendang menjadi aktiviti pelajar
pengajian tinggi dan institut perguruan di Sarawak selain dari menjadi acara hari perkahwinan
dan majlis-majlis keramaian.
Alat muzik utama yang digunakan dalam aktiviti ini ialah gendang Melayu Sarawak. Gendang
ini juga turut menggunakan sidak. Sidak ialah lengkungan rotan untuk menegangkan kulit
kambing pada gendang supaya bunyi gendang tadi kuat apabila dipukul. Sidak yang diselit antara
birai gendang sebelah dalam dengan kulit kambing akan dikeluarkan sekiranya gendang itu tidak
digunakan. Ada juga yang menggunakan kulit kayu yang dipintal seperti tali rotan, tetapi alat ini
sukar diperolehi. Biola juga turut digunakan sekiranya ada penggesek.

Sumber : http://upimbtpnsarawak.blogspot.com, 2010

Akordian akan digunakan sebagai satu alternatif lain sekiranya tidak ada biola atau tiada yang
mahir menggesek biola. Gong juga digunakan untuk berpadu irama dengan paluan gendang di
sesetengah tempat. Satu lagi alat muzik yang digunakan dalam aktiviti ini ialah Gendang Melayu
Sarawak dimana pengkaji akan memfokuskan lebih lagi terhadap perkembangan seni pembuatan
alat muzik dalam kajian ini.

Gendang Melayu Sarawak merupakan salah satu alat muzik tradisional yang mempunyai fungsi
dan keunikan tersendiri. Gendang tergolong dalam kategori membranofon. Ia bermaksud alat-
alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui kulit yang ditegang dan dipalu. Pelbagai jenis alat
gendang dan rebana Melayu tergolong dalam kategori membranofon. Kebiasaannya digunakan
di dalam menghasilkan lagu-lagu rakyat dan muzik tradisional seperti dalam permainan gamelan,
caklempong, dan sebagainya. Gendang ini diperbuat daripada kayu keras seperti merbau,
meranti, belian, menggeris, tanjan dan tapang. Kulit yang sering digunakan pada gendang ialah
kulit kambing yang kering yang disimpai atau diketatkan dengan rotan dan sidak.

Rotan yang dilentur untuk dijadikan sebagai sidak gendang

Setiap bangsa mempunyai nama gendang dengan nama yang tersendiri. Gendang boleh didapati
dalam pelbagai saiz dan mempunyai kegunaannya. Terdapat tujuan gendang yang dimainkan
adalah semasa persilatan orang Melayu, digunakan untuk menyambut perayaan atau pertabalan
diraja. Gendang Melayu dimainkan oleh masyarakat melayu yang mempunyai bahagian muka
yang berlainan saiz. Pada bahagian satu muka yang dipasang dengan belulang lembu dan
terdapat satu lagi bahagian muka yang dipasang dengan belulang kambing.

Kemudian, belulang tersebut akan disirat dengan tali rotan dan dililit dengan rotan yang dibelah
dua. Belulang itu ditegangkan dengan memasang gelung-gelung yang diperbuat daripada rotan.
Manakala bahagian badannya pula diperbuat, daripada kayu nangka yang dipanggil temiang.
Kayu temiang ini, berdekatan dengan bahagian permukaan besar, melengkung sedikit dan
kemudian dililit dengan rotan. Gendang terbahagi kepada dua saiz, iaitu saiz yang besar dikenali
sebagai gendang ibu dan saiz yang kecil dikenali sebagai gendang anak. Secara kebiasaanya,
gendang akan dimainkan dengan cara meriba dengan kedudukan melintang dan permukaannya
akan dipukul atau dipalu dengan tapak tangan.

Cara memainkan gendang ini ditala (tune) ialah dengan cara mengetatkan talinya. Sebaliknya,
dapat dilihat penggunan gendang dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak, gendang
merupakan alat muzik tradisional yang sering digunakan terutamanya semasa majlis, perayaan-
perayaan atau upacara-upacara tertentu seperti Hari Gawai dan aktiviti bermukun.
Kebiasaannya, hanya satu sahaja jenis gendang masyarakat Iban. Gendang ini diperbuat
daripada kayu yang ditebuk memanjang, permukaannya pula agak kecil iaitu lebih kurang lapan
inci dan panjang gendang lebih kurang satu meter. Selain itu, permukaan gendang yang dipasang
dengan kulit binatang seperti kulit kambing, kulit kijang atau rusa ditegangkan dengan rotan.

Seterusnya, di dalam kajian ini dapat mengenalpasti pembuat gendang Melayu Sarawak
antaranya Encik Ramli Bin Gelam merupakan seorang pengusaha pembuat Gendang Melayu
Sarawak di Kampung Pindah Jaie Sadong Jaya 94600 Asajaya Sarawak. Terdapat juga
organisasi yang terlibat dalam membangunkan dalam perkembangan Gendang Melayu Sarawak.
Salah satu badan organisasi yang terlibat dalam pembangunan ini adalah Perbadanan Kemajuan
kraftangan Negara cawangan Sarawak terletak di Lot 3075, Blok 18, Daerah Salak Petrajaya,
Jalan Stadium 93050 Kuching Sarawak. Jarak kawasan kajian daripada Kota Samarahan adalah
20 kilometer dan dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan
ditutup pada hari minggu dan cuti umum.

Kraftangan Malaysia merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan


Malaysia. Ditubuhkan di bawah Akta 222, Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia,
tahun 1979 dan Akta A562 Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Pindaan) 1983.
Diketuai oleh Pengerusi, dan ahlinya yang terdiri daripada Timbalan Pengerusi, Ketua Pengarah
Kraftangan Malaysia dan wakil daripada agensi Kerajaan dan pihak swasta.

Pentadbiran Kraftangan Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarah dan dibantu oleh dua orang
Timbalan Ketua Pengarah. Peranan kemajuan kraftangan Malaysia adalah mengiat dan
memulihkan kemahiran pertukangan kraftangan. Selain itu, bagi memelihara standard dan
perusahaan dengan pelbagai cara termasuk mengadakan perkidmatan penyelidik. Kraftangan
Malaysia juga membantu pengusaha kearah cara moden pengeluaran, mengawal, meninggikan
dan memperbaiki kualiti dan menyelenggara standard dan keluaran-keluaran kraftangan untuk
pasaran tempatan dan luar negara dimana dapat memajukan pemasaran dan pengeksportan
barangan kraftangan khususnya Gendang Melayu Sarawak.

DAPATAN KAJIAN

Kajian yang dijalankan oleh pengkaji iaitu bertajuk Pembangunan Seni Pembuatan Gendang
Melayu Sarawak. Kajian ini mengenai beberapa peranan dan usaha yang dilakukan oleh pihak-
pihak tertentu seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak dan
seorang individu yang masih mengekalkan seni pembuatan Gendang Melayu Sarawak. Faktor
peredaran masa telah banyak mengubah minat golongan muda untuk meminati aktivi membuat
gendang dan melibatkan diri dalam acara bermukun. Usaha dan peranan dalam mengekalkan
seni pembuatan Gendang Melayu Sarawak amat penting untuk dilakukan kerana ia merupakan
salah satu lambang identiti Sarawak. Tambahan pula, acara bermukun masih bergiat aktif di
beberapa tempat di negeri Sarawak terutama sekali di kawasan kampung. Oleh itu, daya usaha
dalam mengekalkan penghasilan seni pembuatan gendang perlu dipergiatkan agar ia tidak ditelan
zaman.

Adiguru Pembuat Gendang Melayu Sarawak

Pengkaji telah pergi ke Kampung Jaie, Asajaya untuk berjumpa dengan Encik Ramli bin Gelam.
Beliau merupakan salah seorang pembuat Gendang Melayu Sarawak yang masih aktif di
kampung tersebut. Beliau pada mulanya bekerja sebagai nelayan dan berhenti apabila mencapai
umur 50 tahun. Beliau kemudiannya menceburkan diri dalam bidang pembuatan gendang. Isteri
beliau juga merupakan seorang seh gendang dalam acara bermukun yang diadakan di kampung
tersebut.

Pengkaji telah berkesempatan untuk melihat sendiri cara penghasilan Gendang Melayu Sarawak
dilakukan oleh Encik Gelam. Batang kayu yang telah dibuat pada bahagian tengah dijadikan
sebagai badan gendang. Saiz gendang bergantung dengan permintaan pelanggan yang
menempah. Kebiasaannya saiz yang digunakan dalam acara bermukun ialah berdiameter 18 inci.
Kulit kambing selalunya digunakan untuk menutup bahagian atas badan gendang. Kulit kambing
sering digunakan memandangkan kulit kambing lebih mudah untuk dikendalikan.

Beliau merendam terlebih dahulu kulit kambing yang kering semalaman dan akan digunakan
setelah kulit tersebut menjadi lembut. Kulit kambing akan dipotong mengikut saiz gendang yang
dibuat. Sebatang rotan digunakan dengan membelah rotan tersebut kepada empat bahagian.
Setiap bahagian akan dihalusi dengan menggunakan sebuah tin kosong yang telah ditebuk halus.
Beliau memasukkan setiap bahagian rotan ke dalam lubang tersebut supaya bahagian tepi rotan
tidak tajam dan mudah untuk dikendalikan. Tidak ada peralatan yang khusus yang digunakan
oleh beliau dalam membuat gendang ini. Termasuklah alat bermata tajam yang dibuat oleh beliau
sendiri dengan menggunakan dawai tebal dan kayu sebagai hulu alat dan diikat. Alat ini
digunakan oleh beliau untuk menebuk lubang untuk memasukkan lilitan rotan bagi
menyambungkan kulit kambing ke badan gendang.

Proses pembuatan lilitan pada sekeliling gendang tersebut dinamakan sebagai proses bersanggit.
Beliau telah menjadikan corak yang dibuat sebagai tanda produk yang dihasilkan oleh beliau.
Harga bagi sebuah gendang selalunya bernilai RM300 – RM450 bergantung dengan saiz
gendang. Encik Gelam turut membuat servis membaik pulih gendang contohnya pelanggan ingin
menukar kulit gendang yang telah lama kepada baru. Servis ini beliau mengenakan bayaran
sebanyak RM60 – RM100 bagi setiap gendang. Sebuah gendang dapat dihasilkan dalam masa
tiga hari ke seminggu bergantung dengan keadaan.

Selain daripada membuat gendang bersaiz besar yang digunakan dalam acara bermukun, beliau
juga ada membuat Gendang Melayu Sarawak bersaiz mini. Pada mulanya beliau hanya berniat
untuk membuat gendang saiz ini sebagai koleksi peribadi untu beliau sahaja namun ada
pelanggan yang tertarik untuk membeli dengan harga RM50 sebiji. Gendang yang bersaiz kecil
mempunyai nilai komersial yang tinggi sekiranya dipasarkan kerana ia melambangkan satu
produk yang dihasilkan oleh pribumi Sarawak sendiri. Saiznya yang kecil akan menarik minat
pelancong untuk membelinya memandangkan mudah untuk mereka membawa gendang mini
tersebut. Kehalusan kerja tangan Encik Gelam telah memikat ramai pemain gendang untuk
mendapatkan perkhidmatan beliau dalam menghasilkan gendang yang bermutu tinggi.

Menurut beliau belum ada lagi golongan muda yang ingin mempelajari seni pembuatan gendang
ini dengan beliau secara serius. Kebanyakan pembuat gendang yang ada sekarang telah berumur.
Kekurangan golongan pelapis muda dalam penghasilan produk warisan Sarawak ini akan
menenggelamkan sekali acara bermukkun di Sarawak memandangkan gendang merupakan salah
satu elemen penting dalam acara bermukun.

RUMUSAN

Hasil daripada kajian yang telah dilakukan, pengkaji mendapati bahawa seni pembuatan
Gendang Melayu Sarawak masih lagi diamalkan di sesetengah tempat di negeri Sarawak. Namun
kekurangan golongan muda yang ingin melibatkan diri dalam aktiviti pembuatan gendang telah
melambatkan pembangunan seni pembuatan gendang ini. Hal ini akan menyebabkan acara
bermukun akan semakin dilupakan oleh masyarakat setempat dek perkembangan arus teknologi
moden yang semakin maju seiring dengan peredaran zaman. Walaupun acara bermukun masih
lagi aktif di kawasan kampung untuk majlis-majlis tertentu seperti majlis kesyukuran dan majlis
perkahwinan namun ia masih memerlukan usaha dalam memastikan kegiatan pembuatan
gendang ini dapat dikekalkan kepada generasi akan datang. Tanpa adanya instrumen muzik ini
acara bermukun menjadi tidak lengkap.

Pada masa dahulu, pembuatan gendang dilakukan secara manual dari proses pengambilan kayu
utuk badan gendang, membelah rotan, proses penyediaan kulit binatang dan seterusnya alatan
yang dibuat sendiri untuk menghasilkan gendang. Kesemua proses ini menggunakan tenaga kerja
tanpa menggunakan mesin.
CADANGAN PENGKAJI

Penyediaan Prasarana Untuk Golongan Pembuat Gendang Melayu Sarawak


Dalam usaha mengekalkan warisan kepakaran membuat Gendang Melayu Sarawak ini ia
memerlukan tempat pembelajaran yang sesuai. Dengan menyediakan prasarana seperti bengkel
dan kelas membuat gendang merupakan antara langkah bagi menarik golongan muda untuk
menjinak-jinakkan diri dalam aktivi membuat gendang ini dan penyediaan prasaran ini haruslah
strategik supaya mudah bagi golongan ini untuk datang memandangkan tidak semua golongan
muda mempunyai kenderaan sendiri. Mengadakan kelas bengkel secara praktikal dan percuma
kepada golongan muda yang ingin menceburi dalam bidang pembuatan gendang ini. Bengkel
yang dikendalikan oleh tenaga pakar yang mahir dalam bidang ini, Maka dengan adanya
prasarana yang kondusif dan strategik akan sedikit sebanyak dapat menyumbang dalam
pembangunan seni pembuatan Gendang Melayu Sarawak ini.

CADANGAN UNTUK PENGKAJI AKAN DATANG


Pengkaji ingin mengemukakan beberapa cadangan untuk para pengkaji akan datang yang ingin
mengkaji mengenai Gendang Melayu Sarawak. Antaranya ialah:

Penerimaan Masyarakat Terhadap Acara Bermukun


Para pengkaji akan datang digalakkan untuk meninjau dan mengkaji lebih terperinci tahap
penerimaan masyarakat sama ada dalam kawasan bandar ataupun luar bandar. Fungi acara
bermukun pada masa dahula dan sekarang berbeza dimana dahulu masyarakat menggunakan
medium ini untuk mencari jodoh manakala sekarang acara ini dilakukan hanya untuk hiburan
para penonton.

Perbandingan Gendang Melayu Sarawak Dengan Gendang Di Negeri Lain


Pengkaji menggalakkan pengkaji pada masa akan datang membandingkan Gendang Melayu
Sarawak ini dengan gendang yang digunakan dalam acara lain yang dilakukan oleh negeri lain.
Dengan adanya kajian ini kita dapat melihat kelebihan yang ada pada Gendang Melayu Sarawak
ini jika dibandingkan dengan gendang yang lain.
RUJUKAN

Hardwick, Patricia Ann, (2005). “Bridging the Secular and the Sacred: Movement, Metaphor and
Meaning in the Tarian Menghadap Rebab” dlm. Global and Local Dance in
Performance. (ed.), Mohd Anis Md Nor and Revathi Murugappan, 431–48. Kuala
Lumpur: Cultural Centre University of Malaya and Ministry of Culture, Arts and
Heritage.

Ali, J. K. H. (1998). “Gendang Melayu Sarawak Kedudukannya dalam Masyarakat Melayu


Sarawak Dulu dan Kini: Satu Perbandingan” dlm.Sarawak Gazette, 125, 31-36. UMS.

Bujang, M. “Masyarakat Melayu Sarawak: Pantun-Pantun dalam Majlis Bergendang”.


Unpublished thesis/dissertation. Universiti Kebangsaan Malaysia)

Mary Fatimah Subet & Salbia Haji Hassan, (2009).“Bergendang dan Bermukun dalam
Masyarakat Melayu Sarawak”.Proceedings of Seminar Budaya Melayu Sarawak V,
Kompleks Pelancongan Sarawak, Kuching.Prosiding Seminar Budaya Melayu Sarawak
Mac 19-21 2009.

Mohd. Fauzi Abdullah, Abd. Hamid Mukri, Roselan Baki Omar Mamat, Raja Ahmad Raja
Musa, Ahmad Shahril Rajain. Pemikiran Cinta Bermukun dalam Gendang Melayu
Sarawak. Institut Bahasa Melayu Malaysia, Kuala Lumpur

Hamdan, M. (2001). “Budaya Ekpresif Melayu Sarawak: Satu Kajian Mengenai Gendang
Melayu di Kampung Semerah Padi Baru.” Tesis, Universiti Malaya.

Othman, Nyak Zaini, (1999). Gendang Melayu Sarawak.Kebudayaan Kesenian & Warisan
Malaysia (KEKKWA).

Rahmah, Bujang & Hamidon, N. A. (2006).Kesenian Melayu. Kuala Lumpur: Akademi


Pengajian Melayu Universiti Malaya

Yu, R. H. (2010). Kajian Budaya Bergendang di Kalangan Orang Melayu Sarawak. Institut
Perguruan Batu Lintang, Kuching.

Mohd, H.A. (2004). “Idiosyncratic Aspects of Malaysia Music: The roles of the Kompang in
Malay Society”. Dilayari pada Jun 2, 2008, daripada
http://portal.unesco.org/culture/en/files/21753/10891249663abdullah.pdf/abdullah.pdf
Ismail, S. Z. (1997). The Traditional Malay Handicraft Design. Malaysia: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
(2011). Laporan Tahunan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 2011. Malaysia:
Kraftangan Malaysia.
Manan. (2012). Buletin Kraf.Hala Tuju dan Cabaran, pp. 4-5.
Chai, L. T. (2013, Mac). Sarawak handicraft : Preserving a heritage threatened by extinction.
BIZHIVE WEEKLY, 7-10.
Gendang Melayu Sarawak. (n.d.). Dilayari pada November 20, 2013 daripada
http://gendangmelayusarawak.tripod.com/
Perkembangan dan Perubahan Struktur Persembahan Tradisi Gendang Melayu Sarawak. (n.d.).
Dilayari pada November 20, 2013 daripada http://jurnalmelayu.dbp.my/wordpress/?p=206
Gendang Melayu Sarawak. (2010). Dilayari pada November 20, 2013 daripada
https://rahsiakite.wordpress.com/2010/02/01/gendang-melayu-sarawak/
Gendang Melayu Sarawak. (2004). Dilayari pada November 20, 2013 daripada
http://ybms.com.my/gendang.html

Anda mungkin juga menyukai