Anda di halaman 1dari 4

Kacang Putih Makanan Ringan 1Malaysia

Written by Nashirah Abdullah

Bagi mereka yang sering berulang alik atau sering menggunakan perkhidmatan bas berhenti-henti dari Stesen Bas Ipoh, pasti akan bertemu dengan Thanggaraja Solayapan, 55 yang berniaga kacang putih di sana.

Thanggaraja adalah generasi ketiga yang meneruskan tradisi keluarganya dalam industri produk kacang putih. Selepas 25 tahun bekerja keras membangunkan perniagaan warisan keluarga, dia kini gembira kerana perniagaannya kelak bakal diwarisi oleh anak saudaranya. Mereka kini bergilir-gilir membuka gerai kacang putih di beberapa lokasi di sekitar Ipoh.

Muruku campur, pakoda, sivel, dhall, aulu, poori, pakoda srilanka, omom, kadalai dan kerepek ubi adalah di antara jenis-jenis kacang putih yang dijual di gerainya. Malah daripada 50 jenis muruku dan kekacang yang dijual, 19 daripadanya dihasilkan sendiri di rumahnya yang terletak di Kampung Kacang Putih, Buntong, kira-kira lapan kilometer dari Bandar Ipoh.

Selain itu, pengusaha kacang putih ini turut menjual manisan seperti laddu, jalebi, athirasam yang diperoleh daripada pembekal berbangsa Sikh yang telah lama dikenalinya.

Menurutnya, kadangkala dia berjaya menjual sehingga 200 bungkus kacang putih terutamanya di musim-musim menjelang cuti perayaan. Pelanggan pula terdiri daripada

1/4

Kacang Putih Makanan Ringan 1Malaysia


Written by Nashirah Abdullah

pelbagai kaum. Dia turut mengakui berasa bangga apabila ada di kalangan pelanggannya yang berbangsa Melayu dan Cina pandai menyebut nama-nama kacang putih yang dijualnya.

Dia berpendapat kacang putih sejak 30 tahun yang lalu bukanlah makanan kaum India sahaja, tetapi ia telahpun menjadi makanan ringan 1Malaysia.

Sememangnya perniagaan atau industri Kacang Putih adalah antara Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terkenal di Ipoh. Menurut Thanggaraja, terdapat 40 daripada 50 buah keluarga yang menetap di Kampung Kacang Putih adalah pengusaha produk tersebut.

Perusahaan kacang putih amat dibanggakan oleh warga Kampung Kacang Putih. Malah Thanggaraja sangat berbesar hati dan bersungguh-sungguh mahu membawa Tim Liputan ACT ke rumahnya. Bagi peniaga ini kacang putih adalah lambang dan simbol kejayaan masyarakat kampungnya.

Selain berjaya memelihara tradisi keluarga, mereka juga berjaya membuktikan dengan menjual kacang putih, mereka mampu memberi keselesaan kepada keluarga dan menghantar anak-anak menyambung pelajaran.

2/4

Kacang Putih Makanan Ringan 1Malaysia


Written by Nashirah Abdullah

Kata Thanggaraja, kacang putih bukan sahaja sebagai sumber pendapatan, malah kerana kacang putih jugalah kampungnya dikenali. Kampungnya pernah dikunjungi krew Majalah 3 dan juga pihak media. Sejak itu mereka sering menerima kunjungan pelancong luar yang ingin melihat sendiri perkampungan kacang putih dan membeli kacang putih dari kawasan tersebut.

IMBAU SEJARAH

Sambil membungkus kacang putih, perbualan diteruskan mengenai sejarah Kampung Kacang Putih. Menurutnya, penduduk perkampungan itu berasal dari kaki Gunung Cheroh, Ipoh, Perak. Iaitu berhampiran dengan Kuil Sri Subramaniar yang sering dikunjungi ramai penganut Hindu di Perak untuk meraikan Thaipusam.

Mereka berhijrah dari India ke Tanah Melayu sejak abad ke-19 dan menetap di kaki gunung batu kapur tersebut. Kumpulan ini berjualan kacang putih secara kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan.

Khabarnya berlaku satu kejadian batu kapur runtuh pada tahun 70-an menyebabkan mereka kehilangan ramai ahli keluarga dan akhirnya ditempatkan di penempatan baru di Buntong sehinggalah sekarang. Oleh kerana perusahaan kacang putih telah lama menjadi sumber pendapatan, mereka sepakat meneruskan tradisi tersebut yang kekal hingga ke hari ini.

3/4

Kacang Putih Makanan Ringan 1Malaysia


Written by Nashirah Abdullah

Bagi Thanggaraja, usaha keras dan tidak putus asa serta persaingan sihat di kalangan penduduk kampung telah membantu mereka mengubah taraf kehidupan. Sikap positif dan saling menyokong antara satu sama lain membawa kejayaan sehinggakan beberapa keluarga telah berjaya membuka kilang perusahaan kacang putih. Malah produk IKS ini berjaya juga dipasarkan ke luar negara seperti Australia, Thailand, Jepun dan Taiwan.

ACT mengucapkan syabas kepada warga Kampung Kacang Putih yang tidak jemu-jemu mempertahankan warisan keluarga mereka. Walaupun tidak ramai golongan muda di kampung tersebut yang berhasrat meneruskan perniagaan tersebut ekoran tuntutan kerja, kehadiran segelintir golongan muda yang bersedia menjadi generasi penerus wajar dipuji dan disokong agar nama Kampung Kacang Putih dan perusahaan ini kekal sebagai salah satu perusahaan makanan ringan kegemaran rakyat Malaysia.

--ACT@2011

4/4

Anda mungkin juga menyukai