Anda di halaman 1dari 1

SUJUD SAJADAH

Bersujud wajahku kepada Tuhan yang menciptakannya, yang membelah pendengaran dan penglihatannya dengan Daya dan KekuatanNya, Maha Suci Allah, sebaik-baik Pencipta. (HR. AtTirmidzi 2/474. Ahmad 6/30 dan Al-Hakim) Solat subuh pada setiap hari jumaat, suami akan membaca ayat sajadah dan membuat sujud sajadah. Bagi sesiapa yang belum mengetahui apa yang dimaksudkan dengan sujud sajadah, aku petik dari desertasi ustaz Iskandar Zulkarnain mengenainya. Sujud sejadah itu ialah perbuatan sujud apabila seseorang itu bertemu ayat sajadah dalam bacaan alQuran sama ada di dalam solat ataupun di luar solat. Orang yang mendengar juga dituntut sujud apabila mendengar ayat sajadah. Ini bermaksud, orang yang dituntut sujud ialah orang yang membaca ayat sajadah dalam solat, orang yang membacanya di luar solat, orang yang mendengar tidak dalam solat dan tidak membaca. Ketiga-tiga keadaan ini dituntut sujud sajadah. Jika seseorang itu membaca al-Quran bersendirian dan sampai pada ayat sujud sajadah hendaklah dia sujud. Manakala jika seorang imam membaca ayat sajadah lalu apabila sampai pada ayat sajadah dia pun sujud, maka wajib bagi makmum mengikut imam dalam sujud. Dalam tertib sujud pula disunatkan bertakbir sebelum sujud dengan tidak mengangkat kedua tangan dan hendaklah memelihara adab ketika sujud seperti mana sujud dalam solat. Bacaan yang disunatkan dalam sujud sejadah ialah Allahumma laka sajdtu wa bika aamantu, wa laka aslamtu, sajada wajhiya lillazi khalaqahu wa sawwarahu, wa syaqqa sam'ahu wa basarahu wa quwwatihi, fa tabarakallahu ahsana al-Khaliqin. Adapun syarat sujud bagi mereka yang di luar solat adalah seperti berikut; pertamanya suci daripada hadas kecil dan hadas besar, keduanya; menutup aurat, ketiganya; berniat untuk sujud sajadah, keempatnya; menghadap kiblat, kelimanya;takbiratulihram dan takbir bagi sujud, keenam; memberi salam. Sekiranya terdapat halangan yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat sujud, seperti berhadas kecil, dalam kenderaan atau mendengarnya dari corong masjid, maka diharuskan mengucapkan: SubhanAllahi walhamdulillahi, wa laa Ilaha illahi, wallahu akbar." Ramai yang tidak mengetahui tentang sujud sajadah ini. Semasa di Madinah dan juga di Mekah, iman selalunya akan membaca ayat sajadah pada subuh hari jumaat. Aku perhatikan memang ramai ma'mum yang tidak sujud bersama imam semasa imam sujud tatkala bacaannya sampai pada ayat sajadah. Mereka yang tahu, akan turun sujud. Mereka yang tidak tahu agaknya teragak-agak sama ada mahu rukuk atau sujud bersama mereka yang turun sujud. Yang rukuk lebih ramai daripada yang sujud.

Anda mungkin juga menyukai