Anda di halaman 1dari 23

PERADABAN DAN JATI DIRI MELAYU Oleh Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan Akademi Pengajian Melayu

Universiti Malaya, Kuala Lumpur

1.0

Terlebih dahulu saya memohon maaf meminda tajuk yang dicadangkan

daripada Jati Diri dan Peradaban Melayu kepada Peradaban Melayu dan Jati Diri. Pindaan ini dibuat lantaran saya ingin memulakan daripada suatu persoalan yang lebih luas atau umum kepada persoalan yang lebih khusus. Maka di dalam makalah ini tiga perkara pokok yang akan dibincangkan iaitu konsep peradaban, peradaban Melayu dan jati diri Melayu.

2.0

Konsep peradaban boleh disamaertikan dengan konsep tamadun. Kata

peradaban berasal dari kata akar Arab yang bermaksud kesusasteraan. Tetapi adab dalam bahasa Melayu bermaksud perilaku atau pekerti yang baik, sopan, halus dan bertatasusila. Tamadun pula berasal dari kata Arab maddana, satu kata kerja yang merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota serta perbuatan

memperhalus budi pekerti. Dari kata kerja maddana, terdapat perkataan madani yang merujuk kepada sifat sesuatu yang berkaitan dengan pembangunan perbandaran serta budi pekerti yang halus. Kata maddana dan madani berasal dari kata deen yang bermaksud kehidupan beragama.

Kehidupan beragama dan daya keberagamaan bukan sekadar perilaku yang ritualistik sahaja, tetapi menuntut interaksi yang amat mendalam antara makhluk dengan Khalik. Suatu tuntutan yang habluminallah, yang menyatu antara yang

ritualistik dengan ketaqwaan dan keimanan, juga interaksi perilaku dan tutur kata yang habluminannas sesama manusia.

Natijah dari pentakrifan ringkas di atas, peradaban ialah pencapaian tatasusila, moral dan etika yang tinggi. Peradaban di dalam kerangka natijah berkenaan menuntut manusia untuk melaksanakan nilai-nilai yang tauhidik dan manusiawi.

Manusia sebagai makhluk Allah diberikan fungsi yang amat besar iaitu untuk menegakkan keadilan dan kebenaran Tuhan di muka bumi sebagai khalifat-ul-ardh atau wakil Tuhan di muka bumi. Sebagai khalifah, manusia bukan sahaja tunduk dan taat kepada perintah Allah s.w.t., melaksanakan fungsi memakmur dan membawa kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Kemakmuran dan kesejahteraan sewajibnya dengan memanfaatkan seluruh khazanah bumi yang dianugerah Allah untuk kemanusiaan. Kemakmuran dan kesejahteraan juga dilaksanakan melalui hukum peraturan dan perundangan untuk memastikan kemanusiaan di atas landasan akhlak, susila, moral dan etika. Oleh sebab itu peradaban bukan sahaja persoalan pencapaian kehidupan melalui kemajuan kota dan bandar yang penuh pencakar langit atau kemajuan ekonomi yang berasaskan sains dan teknologi, tetapi apa yang lebih penting ialah kejayaan manusia memanusiakan dirinya pada masyarakatnya di dalam kehidupan yang berakhlak, bertatasusila, bermoral dan beretika dan beradab.

Seluruh natijah peradaban dan ketamadunan adalah suatu yang ideal yang telah diungkapkan oleh para pemikir dan sarjana peradaban serta ketamadunan. Di

Malaysia secara khusus di universiti awam dan swasta terdapat kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dan terdapat juga buku teks khasnya yang diedit oleh Chandra Muzaffar dan lain-lain pada tahun 2001 kemudian diulang cetak pada 2002. Buku ini menjadi panduan kepada seluruh siswa pengajian tinggi di Malaysia.

Walau bagaimanapun persoalan peradaban atau ketamadunan digerakkan dan dikembangkan oleh manusia melalui masyarakat dan kebudayaan. Secara

evolusi kebudayaan berkembang dari masyarakat sederhana (tribe) atau puak ke masyarakat yang kompleks, dari budaya rendah ke budaya tinggi. Peradaban atau ketamadunan dengan rancaknya berkembang di masyarakat yang kompleks dan berbudaya tinggi.

Di dalam kerangka tatasusila dan hukum peraturan, masyarakat sederhana mempunyai tatasusila dan hukum peraturan yang mengutamakan permuafakatan dan nilai-nilai kolektif serta egalitarian, walau pun terdapat puak yang memiliki hierarki. Masyarakat kompleks memiliki tatanan (struktur) sosial, ekonomi dan politik yang kompleks; lazimnya berhierarki dan jauh lebih maju berbanding masyarakat sederhana. Lazimnya masyarakat kompleks dan maju bermukim di kawasan bandar atau kota manakala masyarakat sederhana di desa atau di luar bandar atau pendalaman.

3.0

Peradaban Melayu

Peradaban Melayu telah lama bertapak di Asia Tenggara. Peradaban ini telah berkembang dari kebudayaan Melayu, yang merupakan di antara penduduk asal

rantau ini (Nik Hassan Suhaimi, 1993). Wilayah peradaban atau ketamadunan tersebut dikenali dengan pelbagai nama seperti gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago), Nusantara, Alam Melayu dan Tanah Jawi. Dua perkara penting yang mewarnai peradaban wilayah ini ialah bahasa Melayu yang menjadi lingua franca dan agama Islam yang merupakan pelengkap pembentukan peradaban ini.

Memperkatakan

peradaban

Melayu,

ia

merujuk

kepada

kemunculan

masyarakat yang mempunyai struktur sosial yang kompleks seperti masyarakat yang pernah wujud di pusat-pusat kerajaan Melayu awal. Pusat-pusat berkenaan wujud di pelbagai negara-kota (city-states) atau pusat bandar (urban-centres).

Di Asia Tenggara manifestasi peradaban Melayu terawal berlaku semasa pembentukan kerajaan Melayu awal (Ahmad Hakimi, 1998). Antara kerajaan Melayu pra-Islam awal ialah Funan, Langkasuka, Kuala Selinsing (Selangor) dan Lembah Bujang (Kedah). Dengan sokongan sistem ekonomi kuat khasnya dalam penghasilan sumber makanan mampu menampung keperluan penduduk kota atau bandar. Walau pun terdapat peradaban di luar Asia Tenggara yang berasaskan pertanian atau masyarakatnya agraris, namun sebahagian besar kerajaan Melayu awal merupakan kerajaan maritim.

Kerajaan-kerajaan Melayu awal telah wujud sekurang-kurangnya 2500 tahun lalu di Malaysia seandainya berasaskan penemuan kesan-kesan arkeologi di Lembah Bujang dan Kuala Selinsing (Ahmad Hakimi, 1998, Bellwood, 1997). Kedua-dua kerajaan awal tersebut meninggalkan bukti arkeologi yang membuktikan terdapat pelabuhan yang didirikan oleh mereka yang terlibat di dalam perdagangan

jarak jauh. Perdagangan jarak jauh ini memerlukan rangkaian perhubungan yang besar dan petempatan yang agak lama dan tetap serta sistem kepimpinan yang efektif, satu tanda wujudnya masyarakat yang kompleks. Petempatan yang wujudnya di bahagian utara Sumatera dan di Segenting Kera serta di Semenanjung Tanah Melayu mewujudkan jaringan masyarakat dan komuniti yang disebut oleh Andaya (2008:14) sebagai the sea of Malayu.

Kebudayaan dan peradaban orang Melayu wujud dan muncul pada masa itu kerana teknologi Melayu pada masa itu mampu untuk menguasai perdagangan

jarak jauh yang melalui perairan yang dikuasai oleh kerajaan Melayu, khasnya Selat Melaka. Empayar Funan dan Srivijaya menguasai laluan perdagangan di kawasan mereka.

Salah satu cara pemikiran sosio-politik Melayu pada masa itu adalah pembentukan kerajaan-kerajaan dan empayar-empayar berdasarkan pengaruh. Konsep ini berbeza dengan pemikiran Eropah Barat yang mengembangkan wilayah melalui penaklukan dan penetapan sempadan wilayah secara fizikal. Oleh sebab masyarakat Melayu pada dasarnya adalah kumpulan manusia yang tinggal di kawasan kepulauan, mereka kurang memberi perhatian kepada penguasaan fizikal wilayah mereka. Seandainya ada yang tidak setuju mereka boleh keluar dari sesuatu tempat untuk menuju ke tempat lain. Penguasaan kawasan bukannya berdasarkan kepada penguasaan tanah, tetapi berteraskan kepada penguasaan laluan air serta kebolehan menarik orang datang ke sesuatu tempat.

Sebelum kedatangan agama Islam, peradaban Melayu terawal dipengaruhi oleh agama-agama Hindu dan Buddha. Agama Hindu dan Buddha telah

menghasilkan tamadun Melayu yang berlawanan. Sentiasa terdapat persaingan antara peradaban Melayu yang beragama Hindu dengan peradaban Buddha untuk menguasai laluan perdagangan, dengan kemunculan agama Islam telah mengubah bentuk-bentuk peradaban Melayu dan dengan memeluk agama Islam membolehkan mereka menguasai perdagangan di kawasan ini.

Selepas Funan, Srivijaya, Kutei, Langkasuka, dan Majapahit, telah muncul kerajaan dan kesultanan Melayu seperti Pasai, Brunei, Melaka, Johor-Riau, Sambas, Aceh, Manila, Pagarruyung, Palembang, Jambi, Bugis-Makassar, Buton, dan lain-lain dari abad ke 14 hingga ke 18. Kesemua kesultanan ini telah berkembang dari pelabuhan kecil di pelbagai terusan perdagangan sehingga menjadi pelabuhan yang ternama yang kemudiannya dikuasai oleh kuasa Eropah. Dari abad ke 14 hingga

ke 17 adalah abad yang penting kepada Ismail Hussien (1990:72) sebagai zaman keemasan kesedaran Melayu. Pada zaman inilah yang disebut oleh Ried (1993) sebagai zaman perdagangan yang hebat (the age of commerce).

Selain dari perdagangan, kesultanan ini juga berperanan sebagai pusat peradaban Melayu khasnya dari segi persuratan. Hikayat Raja-Raja Pasai, Salalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah, Hikayat Sambas, Hikayat Aceh, Hikayat Siak, Hikayat Banjar, Hikayat Patani, Hikayat Merong Mahawangsa, Misa Melayu (Perak) dan lain-lain salasilah seperti Salasilah Melayu-Bugis atau syair seperti Syair Perang Makasar dan Syair Awang Semaun (Brunei) adalah di antara hasil-hasil kesusasteraan yang muncul dari abad ke 14 hingga ke 19, meriwayatkan

pelbagai pensejarahan atau historiografi Melayu yang meriwayatkan kerajaan atau kesultanan berkenaan.

Hikayat, salasilah maupun syair tersebut melengkapi kitab-kitab agama, naskhah saduran dan pelbagai naskhah kepustakaan Melayu yang ditulis dan disalin dalam tulisan jawi. Teuku Iskandar (1995) telah menyenaraikan sejumlah besar

kitab-kitab dan naskhah yang telah dihasilkan sama ada secara saduran dan ditulis oleh penulis tempatan. Pada zaman transisi Hindu-Islam telah disesuaikan kitab Ramayana ke Hikayat Sri Rama; kitab Mahabharata ke Hikayat Pendawa Jaya. Dengan masuknya Islam dihasilkan Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Iskandar Dzulkarnain. Pada zaman kesultanan Melaka disebut dalam Sulalatus Salatin, ada kitab yang datang dari Pasai bernama Durr al-Mandhum. Di kurun ke 16, di Aceh disalin kitab Aqaid al-Nasafi, di samping karya-karya Hamzah Fansuri seperti Asrar al-Ariffin, Syair Perahu dan lain-lain. Seorang lagi ulama Aceh, Syamsuddin Pasai telah menulis di antaranya Mirat-al-Qulub; Nuruddin al-Raniri pula dengan Sirat alMustaqim, Bustan-al-Salatin dan lain-lain lagi.

Di samping kitab-kitab agama terdapat juga naskhah-naskhah perundangan seperti Undang-Undang Melaka (Hukum Kanun Melaka), yang kemudiannya menjadi asas kepada Undang-Undang Johor, Undang-Undang Aceh, Undang-Undang

Pahang dan Undang-Undang Kedah. Terdapat juga kitab-kitab ketatanegaraan seperti Taj-ul-Salatin, Thamarah al-Muhimmah, Kitab Nasihat Raja-Raja. Kitab-kitab ini dikatakan disadur dari Nasihat al-Mulk (karya al-Ghazali) dan lain-lain karya Parsi seperti Qabusnama (Jelani Harun, 2003).

Seluruh kitab-kitab atau naskhah-naskhah yang dihasilkan di dalam tulisan jawi yang berkembang sebagai tulisan Melayu. Ada pendapat yang mengatakan bahawa bahasa Melayu berasal dari hulu sungai Kapuas di Kalimantan Barat (Adelaar, 1995; Collins, 1995). Hipotesis ini berdasarkan andaian bahawa di hulu Kapuas terdapat lebih banyak variasi bahasa Melayu. Hipotesis ini mungkin benar namun belum ditolak oleh para pengkaji bahasa dan linguistik Melayu. Bahasa Melayu menjadi lingua franca lantaran terdapatnya peranan kesultanan Melayu yang mengembangluaskan bahasa berkenaan melalui perdagangan serantau dan antarabangsa pada masa itu. Surat-surat raja-raja dan sultan-sultan Melayu serta pembesar Melayu kepada pegawai-pegawai British dan Belanda ditulis dalam bahasa Melayu (Gallop, 1994; Drakard, 1999).

Kitab-kitab dan naskhah-naskhah Melayu ditulis dengan aksara Jawi membantu menyebarluaskan bahasa Melayu. Di Aceh, bahasa Melayu adalah

bahasa istana, malah Hikayat Aceh juga ditulis dalam bahasa Melayu (Braginsky, 2003).

Kemunculan dan kehadiran Islam dalam peradaban Melayu tidak boleh dipisahkan daripada Islamisasi yang lebih luas yang berlaku di Asia Tenggara, khususnya di Nusantara atau alam Melayu. Berdasarkan fakta sejarah yang telah ada, dapat dirumuskan bahawa lautan ini telah menerima pengaruh Islam dari pelbagai penjuru, dari Tanah Arab, China, India dan Parsi yang dibawa oleh para pendakwah sama ada peniaga, ahli sufi atau para mubaligh. Islam berkembang di pelbagai tempat, bukan di satu tempat sahaja (Mohammad Abu Bakar, 2000; 23-24).

Islam telah membawa perubahan yang transformatif, dari mengamalkan kepercayaan tradisi yang animistik kepada kepercayaan yang tauhidik yang bertaqwa kepada Tuhan yang esa. Walau pun Islam berkembang secara sinkretis namun secara beransur-ansur transformasi tersebut berlaku secara menyeluruh,

mensenyawakan satu sintesis yang amat erat sehingga menjadi faktor yang mentakrif Melayu sama ada dari segi kultural dan konstitutional. Sintesis atau transformasi kebudayaan tidak akan berlaku seandainya pengaruh yang datang itu tidak kuat, tidak praktikal berbanding dengan kepercayaan yang sedia ada.

Penerimaan Islam oleh kesultanan Melayu, seperti Melaka sebagai contoh, membuka lembaran baru dalam sejarah Islam umumnya dan sejarah masyarakat dan budaya Melaka khasnya. Penerimaan Islam melalui istana maka rakyat turut sama menerimanya seperti terakam di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Transformasi terpenting ialah konsepsi dan pandangan dunia bahawa raja adalah bayangan Tuhan di muka bumi telah ditukar kepada wakil Tuhan di muka bumi (khalifat-ul-ardh). Nilai politik Islam diubahsuai seperti mana terkandung di dalam Hukum Kanun Melaka. Yang menarik Adat Raja yang dibawa dari Palembang, atau ada yang menyebutnya sebagai Adat Temenggung yang diwarisi oleh Melaka terus berfungsi dengan orientasi Islam.

Kedatangan Islam bukan sahaja telah membawa kebudayaan berpangkal kepada ajaran Tauhid bahkan menukarkan kepercayaan tradisi dari Hindu-Buddha kepada Islam. Jiwa kebudayaan Melayu dan Islam dapat dilihat dari cara pemakaian, minum, pengembangan ilmu pengetahuan, kesenian dan persuratan dan falsafah. Islam menjadi jiwa dan roh Melayu dan kemelayuan, malah menjadi ideologi Melayu.

Persoalan peradaban Melayu menjadi fokus Anthony Milner (2008) untuk membicarakan persoalan kemelayuan. Terdapat empat perkara yang menjadi fokus kemelayuan, iaitu raja atau sultan Melayu, agama Islam, bahasa dan kebudayaan atau adat (Reid, 2004; Shamsul Amri, 2004).

4.0

Jati Diri Melayu

Sering terdengar dan terbaca bahawa apa itu Melayu (?). Di Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perkara 160 Perlembagaannya

menyatakan bahawa Melayu itu ertinya seseorang yang menganut agama Islam, lazim bercakap Melayu, menurut adat istiadat Melayu. Pentakrifan yang

konstitutional ini juga digunakan secara kultural di alam Melayu, walaupun Melayu itu dikatakan satu etnik di Singapura dan Indonesia.

Pentakrifan ini membuktikan bagaimana sintesis antara Melayu dan Islam berlaku. Islam menjadi faktor pentakrif Melayu. Ia juga boleh merupakan takrif kultural sehingga yang bukan Melayu, apabila memeluk Islam dan berkahwin dengan perempuan atau lelaki Melayu dikatakan masuk Melayu dan akhirnya jadi Melayu. Ia bukan sekadar penanda kultural tetapi juga ideologikal.

Dari takrifan berkenaan dapat dikesani bahawa tiga perkara pokok yang menentukan Melayu, iaitu Islam, bahasa dan adat Melayu. Dari perbincangan di atas persoalan kemelayuan yang diperkatakan di atas turut mengesahkan faktor yang sama. Selain daripada raja atau sultan Melayu, yang masih kekal pada masa kini di Persekutuan Malaysia, Islam turut berperanan mentakrif Melayu. Walaupun

10

faktor raja dan sultan tidak menjadi faktor di Singapura dan Indonesia serta juga daerah Melayu lain, namun Islam, bahasa dan adat Melayu tetap menjadi teras kemelayuan.

Sebagai pelajar bidang Pengajian Melayu, amat disedari bahawa bahasa dan adat Melayu itu dinamik. Bahasa Melayu yang berkembang ribuan tahun lalu mungkin berbeza dengan bahasa Melayu kini dari segi kosa-kata, tata-bahasa, pembangunan dan sebagainya. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Persoalan yang bakal dikemukakan di antara kedinamikan bahasa Melayu ialah persoalan kesantunannya yang menjiwai kemelayuan itu. Maka isu jati diri Melayu sewajarnya juga dibincangkan bukan sahaja dari sudut jati diri lahiriah sahaja tetapi juga dari sudut batiniah.

Bahawa jati diri Melayu itu ada jiwa dan rohnya. Kemelayuan bukan sahaja dilihat dari sudut siratan yang bertali kepada asal-usul sejarah, bahasa, budaya, agama dan wilayah. Penerokaan selanjutnya ialah menyelusuri aspek dalaman atau batiniah Melayu. Aspek batiniah ini bukan sekadar rasa atau emosi, atau sekadar persoalan cinta kasih sayang seperti yang dihadapi oleh remaja Melayu kini. Ada persoalan yang besar dari rasa atau emosi. Apakah yang mendasari atau persoalan utama di dalam the Malay mind itu, atau di dalam the Malay psyche itu(?).

Untuk

meneroka

persoalan

ini,

perlu

disedari,

terdapat

khazanah

kepustakaan seperti mitologi, kesusasteraan lisan dan tulisan, perundangan dan adat, malah ideologi dan falsafah yang terkandung di dalam pepatah, peribahasa

11

gurindam, pantun dan sebagainya boleh dikaji untuk memahami persoalan ini. Tenas Effendy (2004, 2007), Harun Mat Piah (2001) di antaranya telah menghimpun dan mengkaji pemikiran Melayu dari sumber-sumber berkenaan. Muhammad Haji Salleh (1991, 1999, 2000) sebagai contoh juga telah berusaha menyelongkar dari perut khazanah kesusasteraan Melayu akan persoalan ini.

Di dalam naskhah Adat Raja-Raja Melayu yang dikarang oleh Datuk Zainuddin pada 1779, terdapat satu fasal khusus Asal Mulanya Nama Melayu, yang di antaranya tercatat:

Fasal pada menyatakan, ada-nya erti Melayu ini adalah ia melayukan diri-nya, iaitu yang di-ibaratkan orang dahulu kala daripada erti Melayu, ada-lah sa-umpama puchok kayu yang melayukan diri-nya dan bukan layunya itu kerana kena panas atau api. Bahasa-nya dengan sahaja2 ini juga yang melayukan diri-nya, yaani ia merendahkan diri-nya dan tiada ia mahu membesarkan diri-nya, baik daripada adab-tertib-nya atau daripada bahasa peratoran-nya atau daripada adab makan minum-nya dan perjalanan-nya dan kedudukan-nya sama ada di-dalam majlis atau pada tempat yang lain. Maka daripada perkara itu, tiada di-perbuat-nya itu dengan mamang, melainkan ada-lah dengan perangai-nya yang lemah lembut, tiada dengan berlebih-lebihan dan dengan kekurangan itu-lah ada-nya. Hamba terima daripada Tuan Haji Abdul Arif didalam Riau ada-nya. Entah al-kalam dari-pada sa-genap perkara-nya, itu-lah erti Melayu yang dibahagikan orang dahulu. Shahadan maka lagi ada-lah yang di-kehendaki oleh istiadat orang Melayu itu dan di-bilangkan anak yang majlis, ia itu apabila ada ia mengada ia atas sa-suatu kelakuan melainkan dengan pertengahan jua ada-nya, yaani daripada segala kelakuan dan perbuatan dan pakaian dan perkataan dan makanan dan perjalanan-nya sekalian itu tiada dengan berlebih-lebehian dan dengan kekurangan melainkan sekalian di-adakan-nya dengan keadaan yang sederhana juga ada-nya. Maka orang itu-lah yang dibilangkan anak yang majlis; tambahan pula dengan adab pandai ia menyimpan diri-nya, maka berlebih2 lendib atau 12

sidib ada-nya, seperti kata hukama: Hendak-lah kamu hukum-kan kerongkongan kamu di-dalam majlis makan dan hukumkan mata-mu tatkala melihat perempuan dan teguhkan lidah-mu daripada banyak perkataan yang sia2 dan tulikan telinga-mu daripada perkataan yang keji2. Maka apabila sampai-lah sa-orang kepada segala syarat ini, iaitulah orang yang majlis nama-anya dan demikian lagi perkataan segala orang yang arif budiman kepada hamba yang daif ini.

Apa yang telah dirakamkan bukanlah satu rakaman mengenai ciri-ciri fizikal atau tempat asal usul tetapi lebih merupakan catatan mengenai adat, adab, perangai, tingkah laku, peribadi, perlakuan dan pengucapan. Satu kenyataan yang menggambarkan perwatakan atau karakter Melayu yang cukup khas. Beberapa perkara yang menarik untuk direnungkan mengenai jati diri Melayu antaranya:

a)

melayukan diri iaitu merendahkan diri, tiada mahu membesarkan diri, baik, baik dari segi adab-tertib, bahasa pertuturan, adab makan minum, perjalanan dan kedudukan.

b)

Tidak mamang iaitu lemah lembut (tidak kasar), tidak berlebihlebihan, tidak berkurangan.

c)

Anak atau orang yang majlis dengan pertengahan (sederhana) sama ada perlakuan, perbuatan, perkataan, pakaian, makanan dan perjalanannya.

d)

Adab pandai menyimpan diri mengawal perasaan

Apa yang dikemukakan oleh fasal yang berkenaan merupakan ciri keunggulan perwatakan kemelayuan. Frasa-frasa melayukan diri dan anak yang majlis adalah penghuraian kepada keunggulan akhlak dan budi pekerti Melayu. Persepsi

13

pengarang terhadap watak unggul Melayu itu terpancar ke dalam maksud bahawa Melayu itu beradab dan beradat, berakhlak dan beretika. Sesuai dengan persepsi tersebut, terdapat satu konsep yang sudah sebati dengan Melayu dan kemelayuan iaitu budi. Budi merupakan satu fakulti, alam jiwa, yang mengamal, mengatur akhlak atau pekerti, etika, adab dan moral manusia. Sebagai fakulti ia adalah hikmat yang menerangkan, mengetahui dan mampu membuat pilihan. Lantaran itu budi adalah struktur batiniah Melayu yang terpancar dari hikmah yang Maha tertinggi (Allah).

Dalam hal yang demikian akal-budi, hati-budi, budi-bicara adalah fakulti atau alam fikiran yang menentukan kewarasan akal dan kejernihan perasaan (hati atau qalbu) untuk membuat tindakan yang bijaksana. Lantaran itu akhlak atau budi pekerti atau melayukan diri atau anak yang majlis adalah satu keseluruhan kesan struktur lahiriah dari pancaran struktur batiniah. Struktur lahiriah tersebut dapat dilihat dari pengucapan, tatatertib, kesantunan, adab, adat, resam, sambaan cakap,

perangai, tindakan dan keputusan, atau keseluruhan perlakuan fizikal manusia yang berlaku di pelbagai tahap interaksi sosial setiap insan.

Persepsi melayukan diri dan anak yang majlis adalah persepsi yang menjelaskan watak manusia Melayu yang budiman. Penerapan nilai budiman

bertujuan untuk melahirkan manusia Melayu yang bermoral, berakhlak, beretika, beradab, beradat, berhati mulia, berakal, berilmu, bijaksana, tahu membalas budi, cukup ajar dan yang paling penting ialah beriman dan bertakwa kepada Allah. Lantaran itu melayukan diri dan anak yang majlis atau budi dan budiman ialah teras kemanusiaan, moraliti dan etika Melayu yang berpaksikan ketauhidan atau ketuhanan.

14

Kata kunci penting ialah budi dan segala gugusan berhubung dengannya iaitu akal budi, hati budi, budi bicara, budi bahasa, dan budi pekerti. Budi adalah suatu konsep yang menyeluruh yang menyatakan persoalan tatasusila yang dibincangkan awal di atas.

Namun kadangkala persoalan ini sering bertindih dengan satu lagi konsep tatasusila Melayu iaitu adat. Walaupun berasal dari kosa-kata Arab iaitu addah

namun perkataan ini sudah sedia ada dalam masyarakat di Alam Melayu. Lantaran perkataan atau kosa kata tersebut sudah menjadi kosa kata Melayu, tetapi makna asal kosa kata itu ialah kebiasaan, namun ia kategori dan tahap makna adat. merupakan salah satu daripada

Secara generic atau secara umum adat merujuk kepada satu cara hidup atau budaya. Orang Melayu di Alam Melayu sering menyebut mengenai sesuatu fenomena budaya sebagai ini adat kami atau ini cara kami. Adat ialah satu

konsepsi yang menjelaskan satu keseluruhan cara hidup orang Melayu di Alam Melayu. Perlu disedari sebelum kata budaya atau kebudayaan digunakan, orang Melayu menyebut adat untuk maksud budaya tau kebudayaan.

Adat juga bermaksud usaha atau cara manusia mengatur kehidupan. Setiap masyarakat di dunia bermatlamat agar kehidupan mereka aman, rukun, teratur,

tersusun dan sejahtera, dan mereka berusaha menghindari hidup yang penuh kacau bilau serta porak peranda. Masyarakat mengadakan pelbagai institusi seperti sosial, ekonomi, politik, sistem nilai, sistem hukum dan sebagai untuk mengatur kehidupan bermasyarakat. Masyarakat Melayu mengatur kehidupan dengan adat, seperti

15

hukum adat yang sebagainya.

meliputi adat beraja, adat bernegeri, adat memerintah dan

Konsep adat dalam masyarakat Melayu di Alam Melayu memancarkan kesan hubungan yang mendalam lagi bermakna antara sesama manusia, antara manusia dengan alam sekeliling, termasuk alam tabii, alam sosial, dan alam ghaib. Setiap hubungan diucapkan sebagai adat yang dapat dilihat dalam perlakuan, sikap, dan acara/upacara.

Seperti budi, adat merupakan struktur atau binaan asas yang menghubung seluruh kehidupan manusia Melayu yang menegaskan sifat atau ciri keperibadian sesebuah masyarakat. Lantaran itu dalam masyarakat tradisi Melayu di Alam Melayu adat mempunyai cerita asal usulnya, ada legenda, ada watak asal usul yang gagah, bijaksana dan unggul. Cerita asal usul ini memberi asas makna dan mengabsah setiap perkara atau peristiwa yang berlaku dalam pusingan kehidupan manusia, kewujudan setiap institusi dalam masyarakat.

Adat memancarkan kepada masyarakatnya tata-perlakuan yang betul dan halus, suatu kehidupan yang bermatlamat kesejahteraan sosial, bukannya keporakperandaan, untuk mengekal kesejahteraan sosial, maka adat mewujudkan sistem hukum dan peraturannya.

Adat bukan sahaja merupakan struktur terkuat masyarakat Melayu tetapi juga memberi jati diri kepada mereka. Adat adalah jati diri yang menyatupadukan seluruh anggota masyarakat. Adat adalah struktur atau binaan yang mengukuh keperibadian

16

setiap anggota masyarakat seperti seorang yang beradat, atau tahu adat. Adat adalah satu kehalusan perlakuan, sikap, tindakan, yang dapat diterima sebagai betul dan wajar. Seorang yang beradat atau tahu adat ialah seorang yang bersahsiah tinggi, berwatak, mempunyai karakter yang baik, bermoral, beretika, yang semuanya diperoleh dari satu proses sosialisasi dan enkulturasi atau pembudayaan yang telah diatur dan ditetapkan oleh adat.

Setiap anak Melayu akan menempuh pelbagai istiadat rites de passage seperti cukur jambul, bersunat, mengaji, bertunang, kahwin dan mati. Istiadat ini bukan sekadar satu upacara peningkatan tahap, dari tahap dalam perut ibu, ke tahap bayi, ke tahap kanak-kanak, remaja dan dewasa. Ia adalah lambang kepada peningkatan kemelayuan yang berlaku di dalam pusingan kehidupan mereka. Dia dimelayukan melalui istiadat atau upacara berkenaan.

Adat Melayu mengalami perubahan lantaran perubahan masyarakat, di samping prinsip adat mengizinkan perubahan, sekali air bah, sekali pandai berubah. Adat yang berubah disebut sebagai adat baru, seperti yang berlaku di dalam istiadat perkahwinan Melayu. Di dalam adat perkahwinan Melayu setiap

tetamu akan dibekalkan kuih muih, pulut dan telur. Sekarang ini diganti dengan buah-buahan, jeli, coklat dan gula-gula.

Telur dan bunga telur yang dibekalkan merupakan satu perlambangan tentang kehidupan dan kesuburan. Telur di dalam masyarakat Melayu adalah lambang

kejantanan, keberanian di samping lambang kesuburan dan kehidupan; bunga telur pula adalah pohon kesuburan atau kehidupan. Lantaran itu perkahwinan adalah

17

usaha meneruskan kehidupan dan membukti kesuburan. Apabila diganti dengan gula-gula atau coklat, maka makna perlambangan itu sudah berbeza. Gula

membawa erti manis, ibarat manis tebu, atau ibarat manis di bibir. Manis tebu di pangkal tidak serupa ke pucuk, sedangkan manis di bibir tidak kekal ia sementara. Perkahwinan bukannya penyatuan kesementaraan dalam konteks orang Melayu, ia adalah hubungan antara keturunan untuk mendapat zuriat.

Perkahwinan adalah di antara institusi yang melanjutkan kemelayuan. Melalui hubungan perkahwinan orang Melayu menyusur-galurkan zuriat dan keturunan. Orang Melayu tidak melihat semata-mata dari pihak ibu sahaja atau pihak bapa sahaja. Orang Melayu menyusur-galurkan keturunan melalui kedua-dua pihak, iaitu pihak bapa dan ibu. Sistem ini dinamakan sebagai sistem bilateral atau duasisi atau duanisab. Ada juga orang Melayu yang melihat kerabatnya dari satu nisab, iaitu nisab ibu seperti orang Minangkabau atau nisab bapa seperti orang Batak.

Di atas tadi saya telah menyebut di antara psyche orang Melayu, dan saya cuba memberi penjelasan dengan memetik fasal usul nama Melayu dari teks Adat Raja-Raja Melayu. Kekuatan semangat, jiwa dan roh Melayu dan kemelayuan dimantapkan oleh Islam, selain dari apa yang telah dihuraikan di atas.

Islam dan adat Melayu merupakan dua elemen yang saling melengkapi, terintegrasi di dalam wadah kemelayuan. Kedua-dua bukan sahaja boleh wujud sendirian, bukan sahaja dualistik, tetapi diintegrasi ke dalam wadah kemelayuan itu. Wadah yang terintegrasi ini dapat dilihat secara luaran apabila kita melihat tafsiran Melayu dan kemelayuan di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara

18

160. Sedangkan wadah batiniah atau dalamannya dapat dilihat di dalam seluruh akal-budi, hati-budi Melayu itu.

Adat Melayu meletakkan keutamaan orang yang majlis, yang halus pekertinya, santun bahasanya, berilmu, waras akalnya, adil dan saksama hati budi serta budi bicaranya. Seluruh aspek akhlak dan moral Melayu itu terpancar daripada karektor Melayu yang berkualiti tinggi. Kualiti atau nilai tertinggi yang perlu ada di dalam diri seorang Melayu ialah nilai keilahian atau ketauhidan seperti yang dituntut oleh Islam. Paling tidak kesempurnaan lahiriah ini membentuk seseorang menjadi manusia, menjadi orang.

Di satu sisi seorang yang beradat ialah seorang yang tahu mengatur tuntutan fardu ainnya, dan sisi lain pula tahu tuntutan fardu kifayahnya. Seorang Melayu yang beradat tahu di dalam paksi vertikal kehidupannya, ia tidak memutuskan hubungan sejati lagi abadi dirinya dengan Allah, dan sentiasa pasrah kepada Allah. Secara horizontal tahu akan kewujudan orang lain. Melayu tahu apa yang dimaksudkan dengan habluminallah dan habluminannas.

Pancaran Islam ke dalam diri Melayu, khasnya ketamadunan Melayu di Alam Melayu cukup kuat dan mantap. Islam berkembang melalui bahasa Melayu dan perdagangan maritim, di samping menjadi agama rasmi kesultanan Melayu. Islam memancar cahayanya ke dalam tradisi keintelektualan Melayu seperti yang

terkandung di dalam korpus kesusasteraan Melayu. Islam memancarkan cahaya ketauhidan dan ilmu kepada Melayu dan kemelayuan sehingga sukar untuk memisahkan Melayu dari Islam, dan Islam jadi faktor denitif kemelayuan. Benarlah

19

kata perbilangan adat Melayu untuk membuktikan betapa terintegrasi Melayu dan Islam:-

Adat bersendikan hukum Hukum bersendikan syara Syara bersendikan kitabullah

Perbilangan atau ungkapan di atas membuktikan betapa sintesis Melayu Islam itu berlaku di dalam sistem perundangan Melayu. Namun di dalam menghadapi cabaran kehidupan moden sama ada Melayu di Malaysia atau di Singapura, terdapat ungkapan menyebut

Agama dijunjung Adat dipangku Moden dikelek

Melayu Singapura secara khasnya memiliki seorang pendeta bahasa dan budaya iaitu Muhammad Ariff Ahmad yang telah menulis Nilam, Nilai Melayu Menurut Adat (terbitan Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu, Singapura. Buku ini adalah sumbangan besar beliau mengenai adat Melayu Singapura yang sudah tentu merupakan jati diri Melayu Singapura.

5.0

Kesimpulan

Tata-susila,

akhlak,

moral

dan

etika

yang

dikemukakan

di

atas

menggambarkan suatu kehalusan manusia Melayu yang dicernakan melalui budi dan adat. Namun amat disedari bahawa jati diri adalah suatu yang dinamik, boleh dikenal pasti dari pelbagai sudut serta dimensi dan secara berterusan akan sering 20

ditakrif lagi. Kedinamikan tersebut amat bergantung pada perkembangan sosiobudaya yang berlaku. Melayu sebagai satu konsep kebudayaan dan kemelayuan sebagai unsur peradaban akan menghadapi cabaran perubahan. Adalah amat diharapkan jati diri batiniah Melayu akan terus kekal. Namun seandainya bahasa Melayu atau dialek Melayu ditarik keluar dari jiwa raga serta benak akal Melayu, akan mengurangkan salah satu unsur kemelayuan. Begitu juga jika agama Islam ditolak keluar dari jiwa dan roh Melayu, maka runtuhlah benteng utama kemelayuan. Jarang terdapat di dunia jati diri seseorang itu ditakrif berdasarkan bahasa dan agama. Konsep etnisiti yang digunakan di tempat lain tidak bahasa dan agama. dijiwai oleh faktor

Kepustakaan 1. Adelaar, K.A, 1995, Borneo as a Crossroad for Comparative Austronesian Linguistic, dlm. Belwood. P, Fox. J and Tryon. D, eds, The Austronesian, Department of Anthropology, PSPAS, ANU, Canberra, pp. 75-95. Ahmad Hakimi Khairuddin, 1998, Arkeologi Pra-Sejarah dan Pengajian Melayu, dlm. Hashim Awang, Zahir Ahmad dan Zainal Abidin Borhan, ed, Pengajian Sastera dan Sosio-Budaya Melayu: Memasuki Alaf Baru, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Andaya, L.Y, 2008, Leaves of the Same Tree, Trade and Ethniaty in the Straits of Melaka, Universiti of Hawaii Press, Honolulu. Bellwood. P, 1997, Prehistory of the Indo-Malaysian Archipelago, University of Hawaii Press, Honolulu. Braginsky. V.I, 2003, Satukan Hangat dan Dingin, Kehidupan Hamzah Fansuri: Pemikir dan Penyair Sufi Melayu, DBP, Kuala Lumpur. Collins. J.T, 1995, Pulau Borneo Sebagai Titik Tolak Pengkajian Sejarah Bahasa Melayu, Dewan Bahasa, 39, 868-879. Drakard, Jane, 1999, A Kingdom of Words: Language and Power ini Sumatera, Oxford University Press Kuala Lumpur.

2.

3.

4.

5.

6.

7.

21

8.

Gallop, Annabel Teh, 1994, The Legacy of Malay Letters, The British Library, London. Harun Mat Piah, 2001, Pantun Melayu, Bingkisan Permata, Yayasan Karyawan, Kuala Lumpur. Ismail Hussein, 1990, Between Malay and National Culture, Malay Literature 3, 2, 54-74. Jelani Harun, 2003, Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu, DBP, Kuala Lumpur. Milner, Anthony, 2008, The Malays, Wiley-Blackwell, United Kingdom. Mohammad Abu Bakar, 2000, Islam Dalam Pembinaan Tamadun di Malaysia, dlm. Mohd Taib Osman dan A. Aziz Deraman, ed, Tamadun Islam di Malaysia, DBP, Kuala Lumpur, hal. 21-65. Muhammad Haji Salleh, 1991, Yang Empunya Ceritera: Mind of The Malay Author, DBP, Kuala Lumpur. ____________________, 1999, Menyeberang Sejarah, DBP, Kuala Lumpur. ____________________, 2000, Puitika Sastera Melayu, DBP, Kuala Lumpur. Nik Hassan Suhaimi, 1993, Menyusuli Asal Usul Orang Melayu: Dari Perspektif Arkeologi Semenanjung Malaysia, dlm. Nik Hassan Suhaimi, Mohd. Samsuddin dan Kamaruzzaman Yusoff, ed, Sejarah dan Proses Pemantapan Negara Bangsa, Prosiding Kongres Sejarah Malaysia Kedua, Jilid II, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur. Reid, Anthony, 1993, Southeast Asia in the Age of Commerce, Yale University Press, New Haven. ___________, 2004, Understanding Melayu (Malay) as a Source of Diverse Modern Identities, dlm. Barnard, Timothy, ed, Contesting Malayness, Malay Identity Across Boundaries, Singapore University Press, National University of Singapore. Shamsul, A.B, 2004, A History of an Identity, an Identity of a History: The Idea and Practice of Malayness Malaysia Reconsidered, dlm Barnard, Timothy ed, Contesting Malayness, Malay Identity Across Boundaries, Singapore University Press, National University of Singapore. Tenas Effendy, 2004, Tunjuk Ajar Melayu, Balai Kajian Pengembangan Budaya Melayu dan Penerbit Adicipta, Jogjakarta.

9.

10.

11.

12. 13.

14.

15. 16. 17.

18.

19.

20.

21.

22

22. 23.

____________, 2007, Khazanah Pantun Melayu Riau, DBP, Kuala Lumpur. Teuku Iskandar, 1995, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, Malindo Printers, Shah Alam, Selangor. Zainal Kling, 1997a, Adat Collective Self Image, dlm. Hitchock and King, Victor, ed, Images of Malay Indonesian Identity, Oxford University Press, Kuala Lumpur, pp. 45-52. ___________, 1997b, Adat: Dasar Budaya Melayu, dlm. Parnikel, Boris, ed, Kebudayaan Nusantara Kepelbagaian Dalam Kesatuan, DBP, Kuala Lumpur, hal. 42-65.

24.

25.

23

Anda mungkin juga menyukai