Anda di halaman 1dari 13

Ringkasan Eksekutif

Pendahuluan Malaysia perlu bergerak selaras dengan perkembangan ekonomi dunia. Oleh itu, negara kita memerlukan guna tenaga tempatan yang boleh mendokong hasrat kerajaan untuk meletakkan Malaysia pada persada ekonomi dunia. Majikan memerlukan guna tenaga yang berkemahiran dan berkebolehan untuk membolehkan Malaysia bersaing dalam ekonomi global. Kemahiran literasi penting untuk menangani faktor-faktor seperti pengurusan, kawalan kualiti, pemindahan teknologi dan penyelidikan dan pembangunan (R&D). IPTA berperanan sebagai gedung ilmu dalam menghasilkan guna tenaga terlatih negara dan perlu sentiasa peka dan berupaya memenuhi kehendak majikan. Sesuai dengan dasar kerajaan yang menekankan aspek pembangunan modal insan (human capital), perancangan rapi harus dibuat, khususnya pada peringkat pengajian tinggi. Modal insan yang komited, berdisiplin, berkualiti dan bertanggungjawab menjadi pilihan majikan.

Penyataan Masalah Dengan bertambahnya jumlah pengangguran dalam kalangan siswazah, ada pihak yang menyalahkan siswazah sendiri dan ada juga yang menyalahkan pihak universiti yang dikatakan tidak menyediakan kurikulum yang bersesuaian dengan kehendak majikan. Perancang pembangunan sumber manusia perlu cekap dalam menangani masalah pengangguran yang semakin serius, khususnya dalam kalangan golongan yang berpendidikan tinggi. Siswazah yang dilahirkan pada era digital ini perlu bersikap positif, terutama terhadap pekerjaan dan alam pekerjaan yang akan dilalui nanti. Kelulusan akademik sahaja tidak menjamin pekerjaan yang diingini.

Objektif Kajian Objektif kajian ini adalah untuk meninjau kemahiran dan keupayaan yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan sebagai persediaan untuk melahirkan siswazah sains dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mempunyai literasi tempat kerja (workplace literacy) dari perspektif majikan, ahli akademik dan siswazah.

xiii

Ringkasan Eksekutif

Sorotan Literatur Dapatan yang diperoleh juga menunjukkan pengangguran bukan disebabkan oleh tahap pencapaian akademik siswazah, tetapi disebabkan kemahiran insaniah yang kurang diberikan penekanan dalam sistem pendidikan tinggi di Malaysia. Kajian Pencapaian Akademik dan Kebolehgunaan Tenaga Siswazah di Institusi Pengajian Tinggi (Morshidi et al., 2004b) mendapati kemahiran berbahasa Inggeris mempunyai kesan yang signifikan terhadap kebarangkalian bekerja. Oleh hal yang demikian, bagi seseorang siswazah penguasaan bahasa Inggeris amat penting untuk mendapatkan pekerjaan, terutama di sektor swasta. Kajian ini berlandaskan satu rangka yang mempunyai empat komponen utama iaitu: (i) literasi alaf digital (digital age literacy); (ii) komunikasi efektif (effective communication); (iii) pemikiran inventif (inventive thinking); dan (iv) kemahiran produktiviti tinggi (high productivity skills).

Metodologi Kajian Kajian ini bertujuan untuk memperoleh jawapan kepada masalah yang berkaitan dengan pengangguran dalam kalangan siswazah IPTA di Malaysia. Untuk mendalami isu-isu yang berkaitan dan mencari punca yang menyebabkan permasalahan ini, kaedah penyelidikan kualitatif dan kuantitatif digunakan. Umumnya data kualitatif dan kuantitatif bagi kajian ini diperoleh daripada kumpulan responden siswazah yang menganggur, majikan industri dan ahli akademik IPTA. Data yang berbentuk kualitatif diperoleh terutamanya melalui temu bual dengan siswazah yang menganggur, majikan industri dan ahli akademik. Temu bual untuk setiap kumpulan telah dijalankan secara kumpulan berfokus. Kekuatan kaedah ini adalah berdasarkan keupayaannya untuk melihat kepada interaksi antara peserta kajian. Kaedah ini juga mampu memperlihatkan sikap dan pengalaman sebenar para responden kajian. Memandangkan kajian ini ingin melihat sikap dan pengalaman majikan, ahli akademik dan siswazah yang menganggur, maka kaedah ini dapat menjelaskan permasalahan siswazah menganggur di Malaysia dengan berkesan. Data kuantitatif pula digunakan untuk mengesahkan tema-tema yang dikenal pasti melalui data kualitatif dengan melihat: (a) persepsi siswazah yang menganggur, majikan industri dan ahli akademik terhadap faktor/kriteria untuk memperoleh pekerjaan. (b) persepsi siswazah yang menganggur, majikan industri dan ahli akademik terhadap kemahiran yang diperlukan untuk memperoleh pekerjaan.

xiv

Ringkasan Eksekutif

Dapatan Kajian Dapatan Kajian dari Perspektif Industri Pihak industri mementingkan kemahiran berbahasa, khususnya bahasa Inggeris tetapi kebanyakan siswazah tempatan tidak berani untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Pihak industri juga mementingkan kemahiran literasi komputer agar siswazah dapat menjalankan tugasnya dengan produktif. Pihak industri bersetuju bahawa siswazah tempatan mempunyai pengetahuan kemahiran tinggi yang baik tetapi tidak dapat menonjolkan pengetahuan ini dengan baik semasa temu duga. Walaupun siswazah memperoleh keputusan yang cemerlang, mereka tidak boleh berkomunikasi dengan berkesan kerana tidak mempunyai keyakinan diri dan tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Siswazah tidak sanggup memberikan komitmen yang tinggi, tidak bersedia menghadapi cabaran atau tidak berani mengambil risiko. Hal ini menunjukkan bahawa siswazah tidak menunjukkan kemahiran pemikiran inventif. Pihak industri mendapati bahawa siswazah tempatan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk membina keyakinan dan kemahiran dalam bidang pekerjaan mereka. Semasa menjalani latihan industri, ramai pelajar universiti tidak begitu komited dengan pekerjaan mereka untuk mencapai daya pengeluaran yang tinggi. Menurut pihak industri, penyemakan semula kurikulum perlu dibuat dari semasa ke semasa kerana tempat kerja sentiasa mengalami perubahan pengetahuan dan teknologi yang mendadak. Pihak industri turut menyatakan bahawa beberapa perjanjian untuk bekerjasama dengan universiti menemui jalan buntu kerana terdapat perbezaan yang tidak boleh dikompromi oleh pihak universiti. Terdapat kekurangan pada kurikulum universiti dari segi praktikal walaupun kurikulum tersebut menyediakan kemahiran tinggi yang amat baik untuk para siswazah. Pihak industri mencadangkan agar siswazah menjalani latihan di Industri Kecil dan Sederhana (IKS); oleh hal yang demikian, pihak universiti harus memberi perhatian yang serius terhadap penempatan dan penyeliaan pelajar. Pihak industri juga menekankan hubung kait antara sekolah dengan universiti untuk membolehkan pelajar mencapai keperluan pekerjaan. Tanggungjawab ini ialah tanggungjawab bersama dan sepatutnya tidak diserahkan kepada universiti semata-mata.

xv

Ringkasan Eksekutif

Dapatan Kajian dari Perspektif Ahli Akademik Warga akademik yang ditemu bual sebulat suara merasakan bahawa tanggungjawab menangani masalah pengangguran merupakan tanggungjawab kolektif (universiti dan industri). Warga akademik menyentuh isu tempoh pengajian di universiti sistem pendidikan tiga tahun perlu disemak semula kerana sistem tersebut tidak memberikan peluang kepada pelajar untuk mendalami sesuatu bidang ilmu yang dapat menyerap mereka ke dalam sistem pekerjaan. Dari sudut peranan universiti, pihak akademik mengingatkan dengan tegas peranan asal universiti yang harus dipelihara. Universiti perlu kembali kepada tanggungjawab asasnya; iaitu memberikan ilmu kepada pelajar. Ilmu yang dipelajari perlu digunakan untuk mendapatkan asas kemahiran pekerjaan. Warga akademik tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa siswazah universiti luar negara lebih berkualiti berbanding dengan tempatan. Jaminan kualiti kurikulum dan pentaksiran kurikulum universiti di IPTA dilaksanakan mengikut tatacara yang diperakukan pada peringkat kebangsaan (KPT, LAN, JPA) dan menepati piawaian antarabangsa. Bagi memastikan kurikulum tersebut relevan dan menepati keperluan masa dari segi kebolehpasaran dan kecekapan ilmu khusus, tinjauan pasaran dibuat terlebih dahulu dan mesyuarat juga diadakan dengan panel industri untuk menentukan kurikulum. Hasil temu bual yang dilaksanakan terhadap warga akademik menunjukkan bahawa kurikulum universiti perlu dinilai semula berdasarkan maklum balas pelajar, maklum balas industri, pengetahuan/maklumat terkini dan dapatan kajian dalam bidang berkenaan. Kurikulum program pengajian dinilai semula setiap tiga hingga lima tahun. Sekiranya penilaian ini dapat diluluskan oleh pihak kementerian dengan lebih cepat, maka perancangan dan pelaksanaan program pengajian yang dinilai semula dapat dilaksanakan secepat mungkin. Warga akademik juga mengesahkan bahawa pelajar didedahkan kepada kemahiran insaniah yang berkaitan, seperti strategi membaca, menulis dan berfikir secara kreatif dan kritis. Kekangan yang dialami oleh pihak univerisiti ialah input daripada industri terlalu banyak sehinggakan universiti tidak dapat memenuhi segala keperluan dan kehendak industri dalam kurikulum; dan prosedur yang perlu dilalui bagi sebarang penukaran (lebih daripada tiga puluh peratus) kepada kurikulum yang telah diluluskan mengambil masa yang terlalu lama sebelum dilaksanakan. Penguasaan bahasa Inggeris adalah penting bagi pengamatan bidang pengajian dan literasi tempat kerja. Oleh hal yang demikian, keupayaan pensyarah dalam bidang sains dan teknologi maklumat untuk mengajar dalam bahasa Inggeris adalah amat penting demi menggalakkan pembelajaran dalam kalangan pelajar.

xvi

Ringkasan Eksekutif

Dapatan Kajian dari Perspektif Siswazah Kelemahan siswazah menggunakan bahasa Inggeris menyebabkan mereka tidak dapat merebut peluang pekerjaan yang ada. Kelemahan dalam kemahiran komunikasi efektif dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang mengurangkan peluang siswazah untuk mendapat pekerjaan. Kelemahan yang paling menonjol yang dikesan daripada data ialah penekanan majikan kepada kemahiran antara perseorangan dan kemahiran interaktif; kedua-duanya didapati berkait rapat dengan kemahiran siswazah menggunakan bahasa Inggeris dan tahap keyakinan diri mereka. Para siswazah bersifat menerima apa-apa sahaja dan akhirnya menyalahkan diri mereka sendiri kerana tidak mempunyai kriteria tertentu yang diperlukan oleh industri. Pendekatan sebegini menggambarkan bahawa sikap menerima apa-apa sahaja merupakan satu kelemahan yang perlu diatasi oleh para siswazah kerana sikap ini menggambarkan ketiadaan proaktiviti dan hala tuju kendiri dalam kalangan siswazah; iaitu kelemahan dalam kemahiran pemikiran inventif. Siswazah juga melaporkan bahawa setelah menghadiri temu duga, mereka merasakan bahawa kursus-kursus yang diambil di universiti tidak diperhalus (isu kedalaman kandungan). Keadaan ini menyebabkan mereka lemah dalam bidang ilmu yang diambil, dan hal ini menyumbang pula pada kelemahan daya saing dalam kalangan mereka. Satu lagi aspek yang disentuh ialah kelemahan latihan industri. Terdapat universiti yang mewajibkan latihan industri dalam tempoh yang pendek, manakala ada pula universiti yang tidak mewajibkan latihan tersebut kepada pelajarnya. Berlaku juga ketidakpadanan latihan industri dengan program yang diambil yang menyumbang pada kelemahan siswazah dalam kemahiran literasi alaf digital (seperti literasi teknologi dan literasi maklumat) dan kemahiran komunikasi efektif, yang mengurangkan peluang mereka untuk memperoleh pekerjaan. Pendekatan pembelajaran dan penilaian di universiti perlu berpotensi memperkembang kemahiran kritis dan kebolehan berfikir aras tinggi. Pendedahan kepada bahasa Inggeris di universiti juga didapati terhad; contohnya, walaupun nota kuliah dicatatkan dalam bahasa Inggeris, kuliah disampaikan dalam bahasa Malaysia. Hal ini menyebabkan kesukaran kepada pelajar untuk menggunakan bahasa Inggeris.

Rumusan Dapatan Kajian dan Cadangan Kurikulum IPTA perlu berkembang selaras dengan perkembangan teknologi. Struktur dan kursus yang ditawarkan perlu dikaji semula agar sentiasa relevan dan terkini. Pemilihan kursus-kursus yang bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan juga perlu diberikan keutamaan. Hal ini bermakna IPTA harus peka dengan keperluan guna tenaga negara dan sentiasa menjalinkan hubungan yang rapat dengan pelbagai agensi sama ada kerajaan atau swasta.
xvii

Ringkasan Eksekutif

Perbincangan ini menjelaskan tentang kemahiran dan kecekapan yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan, kedudukan kurikulum di universiti dan menunjukkan hubung kait kurikulum dengan cabaran-cabaran yang dihadapi di tempat kerja mengikut sudut pandangan majikan industri, ahli akademik dan siswazah yang menganggur.

Pandangan Terhadap Kurikulum dan Keperluan Kemahiran dan Kecekapan dalam Pasaran Pekerjaan Kajian ini menunjukkan bahawa pihak industri, ahli akademik dan siswazah membangkitkan masalah kemahiran dan kecekapan dalam pasaran pekerjaan seperti berikut: Masalah 1 Kemahiran literasi alaf digital, khususnya kebolehan berbahasa Inggeris dalam kalangan siswazah adalah lemah sehingga menghalang mereka daripada mengutarakan pendapat dan idea semasa temu duga. Cadangan Pelajar perlu memiliki kelayakan minimum Band 4 Malaysia University English Test (MUET) untuk masuk ke universiti. Pelajar yang gagal memenuhi kriteria ini diberikan tawaran kemasukan bersyarat, iaitu mengikuti Kursus Intensif Bahasa Inggeris selama satu semester sebelum memulakan pengajian mereka. Kecekapan bahasa Inggeris (pelajar): Kecekapan berbahasa Inggeris perlu dijadikan syarat pengijazahan bagi semua pelajar. Sehubungan dengan itu, satu ujian nasional yang mengambil kira kemahiran bahasa tempat kerja perlu diwujudkan. Masalah 2 Siswazah menghadapi masalah dalam kemahiran komunikasi efektif, mungkin disebabkan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dan rasa kurang yakin pada diri sendiri. Cadangan Pendekatan pengajaran program pengajian perlu mengintegrasikan kemahiran berkomunikasi dan literasi abad ke-21. Satu modul perlu dibentuk bagi membantu dan melatih para pensyarah untuk menggubal sukatan pelajaran dan pendekatan pengajaran. Semua pelajar diwajibkan menyertai pasukan beruniform. Tindakan ini dapat membantu pelajar mengasah kemahiran literasi alaf digital (terutama kesedaran global), kemahiran komunikasi efektif dan kemahiran pemikiran inventif melalui pembabitan mereka dalam aktiviti-aktiviti berkaitan. Kurikulum universiti abad ke-21 perlu mengamati ciri-ciri kemahiran 21st Century Literacy Skills yang merentas kurikulum dan merentas bidang pengajian. Kurikulum
xviii

Ringkasan Eksekutif

seperti di atas perlu bagi mengatasi kelompangan integrasi kemahiran asas dan kecekapan berkomunikasi dalam pendekatan pembelajaran bidang pengajian (cara menyampaikan pengetahuan kandungan) yang diakui tidak wujud dalam kurikulum universiti yang sedia ada. Pensyarah perlu diberikan latihan dalam mengintegrasikan pembelajaran berasaskan kandungan dan kompetens literasi dalam pengajaran dan penilaian. Satu modul perlu diwujudkan dan siri latihan dibentuk untuk melatih pensyarah dalam perkara ini. Perubahan kepada pendekatan pengajaran daripada yang berpusatkan pensyarah (lecturer centred) kepada yang berpusatkan pelajar (learner centered) berada pada tahap kritis pada masa ini. Oleh sebab itu, langkahlangkah yang wajar perlu diambil dengan segera. Masalah 3 Pasaran pekerjaan memerlukan siswazah yang mempunyai daya pemikiran inventif, iaitu mereka yang sanggup mengambil risiko dan mempunyai komitmen yang tinggi. Kelemahan terdapat pada para siswazah yang takut untuk mengambil risiko ditambah dengan sikap mereka yang mahukan pekerjaan yang mudah. Cadangan Pendekatan pembelajaran perlu dijuruskan kepada perkembangan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis yang boleh menghasilkan pelajar yang berdikari (independent learners). Kandungan kurikulum juga perlu mula memasukkan unsur-unsur kreativiti dan pemikiran kritis, tidak terhad kepada fakta semata-mata. Masalah 4 Pihak industri amat mementingkan kemahiran daya pengeluaran yang tinggi. Perkara ini dikaitkan dengan latihan industri yang diperlukan agar siswazah dapat menunjukkan daya pengeluaran yang tinggi. Kebanyakan majikan juga membuat pemerhatian bahawa siswazah tempatan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk membina keyakinan dan kemahiran dalam bidang pekerjaan mereka. Semasa enam bulan tersebut, sebilangan siswazah ini menghadapi banyak masalah yang kadang-kadang menyebabkan mereka menyerah kalah dan meletak jawatan. Cadangan Peratus komponen amali/latihan industri dalam sesuatu program perlu ditingkatkan dalam lingkungan empat puluh hingga enam puluh peratus. Tempoh latihan industri dipanjangkan (enam bulan) dan pelajar ditempatkan di tempat yang sesuai. Objektif latihan industri perlulah disampaikan dengan jelas kepada pihak industri. Latihan industri diadakan pada setiap tahun pengajian. Pada tahun pertama pengajian, pelajar perlu mengikuti rancangan orientasi di industri berkaitan untuk mempelajari tentang struktur dan suasana industri. Pengisian orientasi bertambah mengikut tahun dengan kemuncak pengalaman ini dioperasikan dalam bentuk latihan industri dalam erti kata sebenar apabila pelajar benar-benar boleh menyumbang sesuatu kepada organisasi, dan bukan saja terhad kepada penulisan laporan pengalamannya, atau untuk mencukupkan jam kredit pengajian sematamata.
xix

Ringkasan Eksekutif

Semua IPTA perlu berbincang untuk merancang sistem penggiliran latihan industri bagi mengelakkan semua pelajar mengikuti latihan ini pada masa yang sama. Hal ini akan menjamin semua pelajar yang terlibat mendapat tempat dan peluang untuk menjalankan latihan industri dengan sempurna. Skop latihan industri juga perlu diperluas merangkumi penglibatan industri kecil dan sederhana (IKS). Penglibatan usahawan persendirian juga perlu diteliti kerana ini dapat mendedahkan pelajar IPTA kepada keusahawanan, dan hal ini sekali gus mengurangkan tekanan kepada industri tradisional dalam konteks latihan industri. Masalah 5 Pemikiran tradisional yang menetapkan universiti sebagai satu gedung ilmu yang hanya bertanggungjawab menyalurkan ilmu perlu diubah agar siswazah peka dengan keperluan terhadap kemahiran tempat kerja yang mengalami perubahan yang pesat. Cadangan Kurangkan kursus atau isi kandungan yang kurang relevan dalam sesuatu program dengan menyelitkan kandungan kursus yang boleh mengasah kemahiran pelajar (contoh: Kemahiran Abad ke-21). Langkah ini dilaksanakan untuk memastikan agar terdapat keseimbangan antara pengetahuan teknikal dengan kemahiran-kemahiran yang membolehkan mereka bekerja secara berdaya saing. Langkah ini juga penting untuk memastikan agar siswazah mempunyai kemahiran mengadaptasi. Masalah 6 Penyemakan semula kurikulum universiti tidak dijalankan dengan kerap dan cepat untuk memenuhi keperluan tempat kerja yang mengalami perubahan yang dinamik. Cadangan Penyemakan semula kurikulum universiti diperlukan dari semasa ke semasa untuk menghadapi keperluan tempat kerja. Pihak universiti perlu mengetahui jenis kemahiran yang diperlukan oleh industri semasa menjalankan penyemakan semula kurikulum. Masalah 7 Hubungan kerjasama industri dengan IPTA dalam perubahan kurikulum mengambil masa yang lama dan sering kali industri lebih suka bekerjasama dengan universiti swasta atau kolej swasta kerana mereka sanggup menukar kurikulum dengan cepat mengikut acuan yang dikehendaki oleh industri. Cadangan Proses penyemakan kurikulum perlu dijalankan dengan lebih cepat agar cabaran tempat kerja dapat dihadapi dengan berkesan. Masalah 8 Hubungan kerjasama industri dengan IPTA bermasalah disebabkan tanggapan yang berbeza berhubung dengan keperluan pasaran pekerjaan.

xx

Ringkasan Eksekutif

Cadangan Pertemuan dan perbincangan antara IPTA dengan industri diusahakan dengan lebih kerap dan teliti untuk menghasilkan pertukaran idea dan kerjasama yang produktif yang boleh membantu perkembangan kemahiran pelajar. Masalah 9 Kurikulum universiti menyediakan kemahiran tinggi yang amat baik kepada para siswazah, tetapi kelemahan aspek ini wujud kerana kekurangan aktiviti praktikal yang membolehkan siswazah mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam kemahiran tinggi. Cadangan Pendekatan pembelajaran perlu lebih menjurus kepada penyelesaian masalah, pembelajaran berasaskan masalah (problem-based learning), kajian kes dan sebagainya. Dua kebaikan pendekatan seperti ini ialah pelajar akan didedahkan kepada kes-kes sebenar dalam industri dan pelajar akan dapat mengasah kemahiran kreativiti, kemahiran berfikir aras tinggi, mengambil risiko, taakulan wajar dan kerja berpasukan (kemahiran pemikiran inventif) yang amat diperlukan dalam dunia sebenar. Masalah 10 Hubung kait sekolah dengan universiti dalam penyediaan pelajar yang memenuhi keperluan tempat kerja tidak diteliti. Cadangan Kaunselor sekolah perlu mengintegrasikan komponen dunia pekerjaan dalam program-program kerjaya sekolah dalam kalangan pelajar sekolah menengah supaya dapat membantu mereka menentukan hala tuju kerjaya mereka. Pada peringkat operasinya, melalui program ini, pelajar dapat mencontohi seseorang (shadowing), ataupun bekerja (tempoh jam seminggu ditetapkan) untuk mendapat gambaran tentang dunia pekerjaan yang sebenar. Hal ini juga dapat membantu pelajar memfokuskan fikiran mereka kepada bidang pengajian tertentu Masalah 11 Soal kebolehpasaran siswazah merupakan tanggungjawab kolektif (collective responsibility), iaitu bukan sahaja universiti malahan pihak industri dan masyarakat juga bertanggungjawab dalam menyediakan tempat dan peluang pekerjaan yang memadai untuk siswazah. Cadangan Insentif, melalui Kementerian Kewangan (contoh: pengecualian cukai) diberikan kepada industri bagi menggalakkan pembabitan industri dalam latihan industri pelajar IPTA berdasarkan kepada nisbah. Pihak kerajaan harus memberikan insentif kepada industri yang menunjukkan komitmen dalam program latihan industri. Ada baiknya pihak kementerian mewujudkan satu jawatankuasa yang memantau penglibatan pihak industri dalam program latihan industri. Jawatankuasa ini boleh
xxi

Ringkasan Eksekutif

mewujudkan satu rangkaian kerjasama perkongsian bijak sementara memantau kualiti pengalaman latihan industri yang dilalui oleh pelajar. Masalah 12 Tempoh pengajian di universiti yang pendek dan jumlah keluaran siswazah universiti yang ramai setiap tahun menyebabkan pihak industri sukar menyerapkan siswazah ke dalam sistem pekerjaan. Di samping itu, tempoh ini tidak memberikan peluang kepada pelajar untuk mendalami sesuatu bidang ilmu. Cadangan Struktur kurikulum universiti: Kandungan kursus (melebihi 120 unit) dan tempoh pengajian tiga tahun didapati terlalu padat untuk pelajar. Pihak yang berkenaan perlu menyemak semula program tiga tahun dan struktur kurikulum perlu memberikan ruang untuk kursus-kursus yang boleh mengembangkan pemantapan ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam kecekapan yang berkaitan dengan kebolehpasaran. Masalah 13 Penyemakan semula kurikulum menghadapi beberapa kekangan, seperti menyesuaikan kurikulum universiti mengikut kehendak industri; proses penyemakan semula kurikulum kerana prosedur yang mengambil masa yang lama dan struktur kurikulum yang menggunakan bilangan jumlah kredit yang terhad dari segi pemantapan ilmu pengetahuan serta terjejasnya pengamatan kemahiran dalam kecekapan berkaitan dengan kebolehpasaran. Cadangan Pendekatan pembelajaran perlu dijuruskan kepada perkembangan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, dan yang boleh menghasilkan pelajar yang berdikari (independent learners). Kandungan kurikulum juga perlu mula memasukkan unsurunsur kreativiti dan pemikiran kritis, tidak terhad kepada fakta semata-mata. IPTA diberikan autonomi untuk mengemas kini kurikulumnya melalui proses jaminan kualiti sekiranya tiada implikasi kewangan dan infrastruktur yang terlibat. Masalah 14 Siswazah lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris. Cadangan Penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran perlu ditekankan di universiti. Keupayaan pensyarah sains dan teknologi maklumat dan komunikasi mengajar dalam bahasa Inggeris adalah amat penting kerana mereka boleh dijadikan model untuk mendedahkan pelajar kepada amalan-amalan tempat kerja semasa. Mewajibkan pengajaran, pembelajaran dan penilaian sepenuhnya dalam bahasa Inggeris secara beransur-ansur pada setiap peringkat program tertentu di semua IPTA.
xxii

Ringkasan Eksekutif

Masalah 15 Siswazah menghadapi kelemahan dalam kemahiran komunikasi efektif, khususnya kemahiran antara perseorangan dan kemahiran interaktif; kedua-duanya didapati berkait rapat dengan kemahiran siswazah menggunakan bahasa Inggeris dan tahap keyakinan diri mereka. Cadangan Siswazah perlu didedahkan kepada persekitaran sebenar dalam dunia industri supaya mereka berpeluang untuk berkomunikasi dengan lebih efektif. Penilaian perlu lebih difokuskan dalam memperkembang kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar dan kemahiran abad ke-21 yang lain, seperti kemahiran kerja berpasukan, membentangkan kertas cadangan dan sebagainya (tidak terhad hanya kepada penilaian subjek). Penekanan perlu diberikan kepada latihan kemahiran berkomunikasi melalui pembentangan dan kerja berkumpulan. Dicadangkan supaya setiap pembentangan dan kerja berkumpulan diberikan penilaian yang berpatutan, bukan sekadar lima hingga sepuluh peratus sahaja. HaI ini amat penting dilaksanakan, terutama dalam kalangan pelajar yang terhasil daripada amalan yang berorientasikan peperiksaan (exam-oriented). Masalah 16 Keyakinan diri dikaitkan dengan ketidakmampuan para siswazah menonjolkan ketrampilan diri mereka kepada majikan. Kekurangan keyakinan diri juga dikaitkan dengan kelemahan mereka menggunakan bahasa Inggeris. Cadangan Pelajar harus diberikan pelbagai tugasan tentang penyelesaian masalah, kajian kes dan perkara yang berkaitan dengan dunia kerja sebenar. Oleh hal yang demikian, mereka berpeluang menguasai kemahiran kreativiti, kemahiran pemikiran aras tinggi, mengambil risiko dan taakulan wajar. Pembelajaran ini juga mendedahkan pelajar kepada penggunaan bahasa Inggeris di alam realiti, di samping mengembangkan keyakinan dan penampilan diri. Masalah 17 Majikan dikatakan selalu hendakkan siswazah yang berpengalaman dan telah menjalani latihan industri dengan sempurna untuk diambil bekerja. Cadangan Meningkatkan peratus komponen amali/latihan industri dalam sesuatu program (empat puluh hingga enam puluh peratus). Tempoh latihan industri dipanjangkan (enam bulan) dan pelajar ditempatkan di tempat yang sesuai. Objektif latihan industri perlulah disampaikan dengan jelas kepada pihak industri. Masalah 18 Dalam sesi temu duga, pihak siswazah mendapati industri meneliti kesesuaian kursus yang dipelajari di universiti dengan kerja yang ditawarkan dan latihan industri. Para siswazah mendapati kadangkala terdapat ketidakpadanan antara kursus yang
xxiii

Ringkasan Eksekutif

diambil oleh mereka dengan yang diharapkan oleh industri berdasarkan nama ijazah yang diperoleh. Cadangan Kurikulum universiti abad ke-21 perlu mengamati ciri-ciri kemahiran 21st Century Literacy Skills, yakni merentas kurikulum dan bidang pengajian. Kurikulum seperti di atas perlu bagi mengatasi kelompangan integrasi kemahiran asas dan kompetens berkomunikasi dalam pendekatan pembelajaran bidang pengajian (ways of communicating the content knowledge) yang diakui tidak wujud dalam kurikulum universiti yang sedia ada. Pensyarah perlu diberikan latihan dalam mengintegrasikan pembelajaran berasaskan kandungan dan kompetensi literasi dalam pengajaran dan penilaian. Satu modul perlu diwujudkan dan siri latihan dibentuk untuk melatih pensyarah dalam perkara ini. Perubahan kepada pendekatan pengajaran daripada yang berpusatkan pensyarah kepada yang berpusatkan pelajar berada pada tahap kritis masa ini. Oleh sebab itu, langkah-langkah untuk melatih pensyarah perlu diambil dengan segera. Kurangkan kursus atau isi kandungan yang kurang relevan dalam sesuatu program dengan menyelitkan kandungan kursus yang boleh mengasah kemahiran pelajar (contoh: Kemahiran Abad ke-21). Langkah ini adalah untuk memastikan bahawa terdapat keseimbangan antara kemahiran teknikal (subject-matter) dengan kemahirankemahiran yang membolehkan mereka bekerja dengan kompetitif. Langkah ini juga penting untuk memastikan siswazah mempunyai kemahiran mengadaptasi (adaptability). Pendekatan pembelajaran perlu lebih menjurus kepada penyelesaian masalah kajian kes dan sebagainya. Dua kebaikan pendekatan seperti ini ialah pelajar akan didedahkan kepada kes-kes sebenar dalam industri dan mereka akan dapat mengasah kemahiran kreativiti, kemahiran berfikir aras tinggi, pengambilan risiko, taakulan wajar dan kerja berpasukan (kemahiran pemikiran inventif) yang amat diperlukan dalam dunia sebenar. Pihak yang berkenaan harus menjadikan tempoh pengajian lebih fleksibel supaya pelajar boleh mengikuti pengajian berdasarkan kemampuan sendiri. Hal ini juga mengambil kira gaya pembelajaran individu yang berbeza dan memberikan peluang kepada pelajar untuk mengambil masanya sendiri dalam menerokai bidang pembelajarannya. Masalah 19 Tiadanya latihan industri atau tempoh latihan industri yang pendek, menyumbang kepada kelemahan siswazah dalam kemahiran literasi alaf digital (seperti literasi teknologi dan literasi maklumat) dan kemahiran komunikasi efektif, yang juga mengurangkan peluang pekerjaan mereka. Cadangan Latihan industri diadakan pada setiap tahun pengajian. Pada tahun pertama pengajian, pelajar perlu mengikuti rancangan orientasi di industri berkaitan untuk
xxiv

Ringkasan Eksekutif

mempelajari tentang struktur dan suasana industri. Pengisian orientasi bertambah mengikut tahun dengan kemuncak pengalaman ini dioperasikan dalam bentuk latihan industri. Dalam erti kata sebenar, pelajar benar-benar boleh menyumbang sesuatu kepada organisasi, bukan terhad kepada penulisan laporan pengalamannya atau untuk mencukupkan jam kredit pengajian semata-mata. Masalah 20 Siswazah mendapati pendedahan kepada bahasa Inggeris terhad di universiti. Cadangan Penekanan perlu diberikan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam penyampaian dan aplikasi ilmu bidang pengajian untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah. Tindakan rasmi harus diambil dalam menuntut pensyarah menggunakan bahasa Inggeris yang lebih baik dan lebih luas dalam bidang pengajian. Kecekapan bahasa Inggeris (pensyarah): Semua pensyarah IPTA wajib meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris masing-masing. Bagi pensyarah yang baru berkhidmat, mereka diwajibkan menduduki ujian kecekapan bahasa Inggeris (English Language Proficiency Test.) Mereka yang gagal mencapai tahap minimum yang ditetapkan, diwajibkan mengikuti kursus bahasa Inggeris secara berperingkat-peringkat.

xxv

Anda mungkin juga menyukai