Bermaksud meluahkan atau menyatakan apa yang dirasa dan difikir secara bebas. Penyataan atau luahan ini haruslah ada mediumnya dan medium itu biasanya berupa permukaan yang boleh dicalitkan atau digoreskan. Catan, arca, lukisan merupakan produk hasil daripada ekspresi diri ini dalam konteks seni visual. Kanak-kanak merupakan golongan yang gemar menyatakan ekspresi diri ini. Ekspresi diri kanak-kanak adalah lebih tulen kerana mereka menyatakan perasaan tanpa sedar dan tanpa diarah oleh sesiapa. Sebab itu kita kerap melihat kanak-kanak suka menconteng. Tampakan yang mereka hasilkan nampak bersahaja dan tidak terkawal. Golongan pelukis pula menyatakan ekspresi diri mereka melalui catan, arca atau lukisan. Contoh pelukis seperti Vincent Van Gogh, Jackson Pollock. Kesimpulannya, Seni Visual adalah penyataan perasaan, emosi, idea dan manifestasi fikiran.
Seperti juga bidang yang lain, seni tampak juga mempunyai laras bahasanya sendiri. Bidang sastera ada laras bahasa sendiri seperti monolog, imbas kembali, dan lain-lain.
Seni tampak pula mempunyai laras bahasanya sendiri seperti unsur-unsur seni (warna, jalinan dan lain-lain ), prinsip rekaan (kontra, harmoni, pergerakan dan lain-lain), bahan dan alat (berus, plaster, cat minyak dan lain-lain), teknik dan gayaan (basah atas basah, realistik dan lain-lain). Tanpa pengetahuan laras bahasa ini, seni dilihat tanpa makna.