Anda di halaman 1dari 6

Faedah-faedah Membeli Barangan Buatan Malaysia (Bahagian A)

Pada marcapada ini, setiap negara berusaha dalam mengorak langkah dalam membangunkan ekonomi masing-masing agar mereka dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju lain. Oleh yang demikian, majoriti negara dunia yang sedang membangun akan sedaya upaya mereka untuk membuat barangan buatan sendiri supaya mereka boleh mengurangkan pengambilan barangan import yang mahal di samping dapat mengkomersialkan bahan buatan sendiri yang kualitinya hampir sama seperti barang-barang import. Maka dengan itu, sebagai warganegara Malaysia wajarlah kita membeli barangan buatan Malaysia kerana pelbagai faedah yang akan kita peroleh daripadanya. Faedah yang pertama ialah kita pasti akan dapat mengembangkan perniagaan usahawan tempatan. Hal ini kerana membeli barangan tempatan bermakna kita menyokong usaha masyarakat kita sendiri dalam bidang perniagaan. Secara tidak langsung, ini akan membuatkan rakyat Malaysia akan berlumba-lumba untuk menceburi bidang ini kerana mereka yakin bidang ini dapat menjanjikan keuntungan kepada mereka. Tambahan lagi, jika sesuatu barangan buatan tempatan mendapat perhatian orang ramai termasuk masyarakat asing, hal ini pasti akan membuatkan masyarakat dunia berminat untuk mengimport barangan buatan Malaysia lantas meningkatkan lagi ekonomi negara dan pendapatan orang tempatan yang menceburi bidang ini. Apabila permintaan untuk sesuatu barangan tempatan menaik, ini pasti akan memerlukan produktiviti yang lebih banyak. Jadi, kerajaan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat agar negara dapat memenuhi permintaan tersebut. Kemaslahatan seterusnya ialah negara dapat menggalakkan penggunaan bahan tempatan.Sudah menjadi norma tamadun manusia yang tidak akan lari daripada identiti bangsa, budaya dan kultur hidup yang mereka warisi sejak berabad lamanya, persis kata orang tua-tua, biar mati anak, jangan mati adat. Mereka pasti akan memasukkan sesuatu yang berkriteriakan latar belakang mereka apabila melakukan atau mereka sesuatu barangan. Oleh yang demikian, dengan ada lebih banyak usahawan tempatan maka lebih banyaklah penggunaan barangan tempatan. Sebagai contoh, barang daripada getah , bijih timah dan beberapa produk daripada kayukayan yang amat sinonim dengan masyarakat Malaysia pasti akan lebih banyak

digunakan dalam pembuatan sesuatu barang. Usahawan tempatan boleh membuat kasut, perabot, hasil kraftangan dan pelbagai barangan lagi mengikut kreativiti mereka yang pasti akan menarik minat warga tempatan dan juga masyarakat dari seantero global. Mengelakkan pengaliran wang ke luar negara juga antara impak positif yang dapat diperoleh menerusi membeli barangan buatan Malaysia. Mengapa? Hal ini kerana pengeluaran duit yang banyak mempengaruhi nilai mata wang sesebuah negara. Jika banyak duit yang dibelanjakan ke luar negara berbanding di dalam negara, nilai mata wang ringgit kita pasti akan merudum lantas kita tidak akan dapat menandingi negara-negara maju yang lain seperti United Kingdom dan negara-negara di Eropah yang mata wangnya bernilai 4 ke 5 kali ganda lagi mahal daripada kita. Lantaran itu, apabila kita membeli barangan buatan masyarakat tanah air yang bertuah ini mata wang ringgit kita pasti tidak akan jatuh kerana duit kita tidak akan mengalir ke luar negara. Bukan itu sahaja, jika barangan kita mendapat permintaan dari negara luar , duit daripada negara tersebut pasti akan mengalir masuk ke dalam negara kita sebagai pelaburan ataupun duit hasil eksport lantas ini akan meningkatkan lagi nilai mata wang kita. Konklusinya, terdapat banyak kebaikan yang dapat diperoleh apabila kita membeli barangan buatan tempatan. Semua kebaikan ini pasti akan menjadikan negara kita bertambah maju dan selangkah lagi ke arah negara berstatus negara maju. Sehubungan dengan itu, kita sebagai pengguna bijak hendaklah sentiasa memberikan kerjasama bagai aur dengan tebing dalam menyokong hasil produktiviti tempatan agar kita semua dapat bersama-sama mengecapi matlamat utama negara menjelang tahun 2020.

Sejajar dengan landaan gelombang globalisasi dengan pelbagai corak, roda pembangunan telah bergerak pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta ini sehingga mengalami anjakan paradigma ke arah menggapai hasrat sebagai negara maju. Namun, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini, terdapat lakaran suram yang terpahat di negara kita iaitu rakyat jelata Malaysia sentiasa mengagung-agungkan barangan import sehingga dapat menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan barangan import bak peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Pada hemat saya, anak watan Malaysia seyogianya mengikis sikap buruk ini sebaliknya mengubah stigma supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia akan menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai menyelam sambil minum air sekiranya kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya, apakah kemaslahatan dan faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan tempatan? Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan Malaysia. Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal daripada barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan Malaysia turut mempunyai kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada barangan import. Sebagai contoh yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama Bata telah mendapat anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa semasa bertanding di pasaran kasut di Itali. Sememangnya, hal ini jelas memanifestasikan bahawa barangan buatan tempatan bukan sahaja lebih murah harganya tetapi mempunyai jaminan dari kualiti barangan, Secara tidak langsung, kita dapat menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekali gus meningkatkan imej negara. Di samping itu, dengan harga yang lebih murah, anggota masyarakat dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli barangan buatan Malaysia. Tidak ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah semangat patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat sekiranya sikap sering mengagung-aguungkan barangan buatan tempatan yang luhur ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia. Mengapakah dikatakan demikian? Pada zaman serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau, onak dan duri ini, rakyat Malaysia khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara yang tipis bak senipis kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat tentang perkara dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan terlalu banyak barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun. Oleh hal yang demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan buatan tempatan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa sebenarnya Malaysia Boleh yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara kalau masih rebung, mudah dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi. Tegasnya, semangat patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, membeli barangan buatan tempatan merupakan teras kejayaan Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri. Kata-kata hikmat tersebut jelas menunjukkan bahawa sememangnya industri tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun pelbagai barangan import yang terkenal di seantero dunia telah membanjiri pasaran tempatan, namun produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan yang bermutu tinggi juga tidak kurang

daripadanya. Hal ini dapat merangsang perkembangan industri tempatan untuk bersaing dengan barangan import. Peningkatan dalam pembelian barangan buatan tempatan dapat membantu merancakkan industri tempatan secara tidak langsung. Deduksinya, kita dapat memajukan industri tempatan supaya dapat mencapai aspirasi negara menjadi negara industri. Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli barangan buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan kebaikan kepada seluruh strata masyarakat bak peribahasa bagai serampang dua mata dan bagai makan menanak nasi. Oleh hal yang demikian, segenap lapisan masyarakat mestilah berganding bahu dan berikhtiar bertungkus lumus untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia supaya dapat merealisasikan Wawasan 2020 yang telah diidam-idamkan selama ini. Wahai, anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh! [610 patah kata]

KARANGAN SPM 2 (2011) - BARANGAN BUATAN MALAYSIA


(a) Kepentingan Pembelian Barangan Tempatan Pendahuluan: - Kempen 'Beli Barangan Malaysia' bertujuan menggalakkan rakyat membeli barangan tempatan - perlu menyokong kempen tersebut - perlu mengubah sikap dan menerima barangan tempatan - perlu menjadi pengguna yang bijak - terdapat pelbagai kepentingan 1. Menjimatkan perbelanjaan - harga barangan tempatan lebih murah berbanding barangan import - harga motosikal buatan tempatan, iaitu Kriss lebih murah berbanding motosikal import - dapat menjimatkan perbelanjaan untuk membeli barangan lain - dapat menabung untuk masa depan, bak kata peribahasa sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit 2. Industri tempatan semakin berkembang - Banyak industri desa muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan - industri batik, kraf tangan, songket dan tembikar - dapat membantu rakyat hidup selesa 3. Peluang pekerjaan dalam bidang industri tempatan semakin berkembang - rakyat mendapat peluang pekerjaan dan pengangguran dapat dikurangkan - masalah sosial dapat dikurangkan - dapat menjana pendapatan keluarga - rakyat dapat menikmati hidup yang lebih selesa 4. Imej negara dapat ditingkatkan - negara dapat mengeluarkan barangan yang bermutu - mutu barangan buatan tempatan sama dengan mutu barangan import - barangan daripada kulit, seperti kasut, beg, dan dompet - menjadi buah tangan pelancong yang datang ke negara kita - Malaysia dikenali dalam kalangan pelancong kerana menghasilkan pelbagai barangan yang berkualiti 5. Pengaliran mata wang keluar negara dapat dikurangkan - wang dapat digunakan untuk membantu rakyat - kerajaan dapat menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat seperti jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan - rakyat dapat hidup dengan lebih sejahtera - ekonomi negara menjadi lebih stabil Penutup: - banyak memberi kebaikan kepada pelbagai pihak - perlu bekerjasama untuk memajukan industri barangan tempatan - bertanggungjawab untuk memastikan Malaysia duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju - Belilah barangan buatan Malaysia kerana barang buatan Malaysia kebanggaan kita bersama.

(b) Usaha-usaha Menggalakkan Pembelian Produk Tempatan Isi-isi:

1. Diri sendiri - membeli dan menggunakan barangan tempatan - barangan buatan Malaysia berkualiti dan setanding dengan barangan import - berbangga dengan barangan buatan Malaysia - contohnya kereta nasional Myvi, dan kasut Bata - perlu menggunakan barang buatan Malaysia dalam kehidupan seharian - sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga dan menyokong barangan keluaran Malaysia. 2. Ibu bapa - menggalakkan ahli keluarga membeli barangan buatan Malaysia - menjadi contoh kepada anak-anak dengan menggunakan barangan buatan Malaysia di rumah, contohnya perabot, pakaian, makanan dan barangan elektrik - anak-anak akan mengikuti jejak langkah ibu bapa, bak kata peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya - ibu bapa perlu menunjukkan teladan kepada anak-anak. 3. Guru - menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia - guru adalah suri teladan kepada pelajar - memupuk perasaan cinta akan negara - menerangkan kebaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran - sebagai contoh dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan kemahiran hidup - menjadi teladan kepada pelajar dengan menggunakan barangan buatan Malaysia seperti kereta nasional, bak kata peribahasa kepimpinan melalui teladan 4. Media massa sama ada media elektronik atau media cetak - menyiarkan iklaniklan berkaitan barangan buatan Malaysia - menjadikan iklan barangan buatan Malaysia sebagai selingan semasa menayangkan sesuatu rancangan - iklan-iklan yang kreatif ini mampu menarik minat rakyat untuk membeli barangan buatan Malaysia - rakyat akan dapat maklumat terkini berkaitan barangan buatan Malaysia 5. Kerajaan mengadakan kempen - mengadakan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia secara berterusan atau berketiak ulardan bukannya hangat-hangat tahi ayam - dapat menggalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia - memupuk perasaan cinta akan negara, bak kata peribahasa tak kenal maka tak cinta - kerajaan mengadakan promosi barangan buatan Malaysia melalui Karnival Barangan Tempatan - menggalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia demi Kerana Mu Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai