Anda di halaman 1dari 2

@@KEBAIKAN MEMBELI BARANGAN BUATAN TEMPATAN@@

Dalam meniti era modenisasi, negara Malaysia dilihat sudah semakin gah di persada dunia setanding dengan negara Eropah, bak kata pepatah,"duduk sama rendah, berdiri sama tinggi". Teknologi yang moden merupakan faktor perdana yang mempengaruhi ekonomi negara. Hal ini terbukti apabila produk buatan Malaysia seperti baju batik dan kereta Proton mula mendapat tempat di hati penduduk negara luar. Menurut mantan Perdana Menteri Malaysia yang juga digelar Bapa Pemodenan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau sangat menitikberatkan kualiti sesuatu produk yang boleh menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Pada pandangan saya, kualiti produk buatan Malaysia haruslah ditingkatkan dari semasa ke semasa agar produk buatan tempatan dapat dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Antara keistimewaan membeli barangan tempatan ialah kita dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga. Hal ini demikian kerana produk buatan tempatan lebih murah berbanding dengan barangan import yang telah dikenakan cukai tambahan sekali gus dapat meringankan beban golongan keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai masalah kewangan . Buktinya, sebanyak 10 hingga 15 peratus cukai tambahan telah dikenakan ke atas barangan import dan menyebabkan harga barangan dua kali ganda lebih mahal daripada harga asal. Pada pendapat saya, kita mestilah menyokong barangan buatan tempatan kerana hal ini dapat menyumbang dalam sektor ekonomi negara.

Di samping itu, kebaikan lain membeli barangan buatan tempatan adalah dapat menyemai semangat patriotisme dalam diri setiap warganegara Malaysia. Hal ini demikian kerana produk buatan Malaysia ini merupakan lambang kebanggaan dalam sanubari rakyat negara ini apabila produk kita dipasarkan ke luar negara. Buktinya, apabila kita melancong atau menuntut di luar negara seperti di London dan Indonesia, pengangkutan awam seperti teksi menggunakan kereta import dari Malaysia, iaitu Proton. Secara tidak langsung, perasaan cinta dan sayang akan negara dapat disemai serta segar dalam jiwa anak jati Malaysia. Pada fikiran saya, seluruh rakyat negara ini mestilah menyokong jenama Malaysia kerana produk Malaysia juga mampu berdiri teguh dalam pasaran antarabangsa.

Dalam bidang ekonomi misalnya, Malaysia telah berjaya mengeluarkan kereta sendiri . Kejayaan ini telah meningkatkan imej negara dengan mengeksport kereta ke negara-negara lain. Pelbagai jenis kenderaan dengan pelbagai versi tenaga kenderaan dapat dilihat menyusur di jalan raya di negara kita, seperti Kancil, Proton,

Kenari dan sebagainya. Dengan perkembangan ini, tidak mustahil Malaysia akan menjadi salah sebuah negara pengeluar kenderaan bermotor yang terkenal kelak. Pada pendapat saya, kita perlu mempunyai idea yang kreatif dan inovatif serta berpotensi tinggi bagi menghasilkan ciptaan atau produk Malaysia yang moden.

Dari perspektif yang lain pula, membeli barangan tempatan juga dapat meningkatkan industri tempatan. Dengan ini, taraf hidup masyarakat tempatan juga dapat ditingkatkan dan hidup dalam keadaan yang lebih selesa. Hal ini dapat membolehkan mereka menghasilkan barangan hasil tempatan yang lebih berkualiti dan barangan ini dapat menarik minat pelancong untuk membeli barangan tersebut. Tambahan pula, barangan berkualiti ini juga dapat memberikan keuntungan yang besar kepada industri tempatan dan seterusnya digunakan bagi memajukan industri tempatan sekali gus meningkatkan ekonomi serta taraf hidup masyarakat di negara ini. Pada hemat saya, industri tempatan merupakan salah satu faktor yang signifikan dalam usaha memajukan ekonomi Malaysia. Oleh itu, pembelian barangan tempatan perlulah dititikberatkan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli barangan buatan tempatan boleh membawa pelbagai faedah yang dapat meningkatkan pembangunan ekonomi Malaysia . Justeru ,saya mencadangkan semua pihak alaf baharu ini perlu bertindak secara kolektif dengan membeli barangan buatan Malaysia agar dapat meningkatkan imej negara di persada antarabangsa. Kata orang tua-tua, peribahasa "bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat" wajar diimplementasikan oleh semua lapisan masyarakat di negara ini dengan menggembleng tenaga bagi meningkatkan jualan barangan buatan Malaysia di seantero dunia. Tuntasnya, pada pandangan saya, semua masyarakat Malaysia haruslah menyemai amalan membeli barangan tempatan negara sejak hari ini agar dapat mancapai visi kudsi Wawasan 2020 pada masa yang akan datang.

Anda mungkin juga menyukai