Anda di halaman 1dari 14

LAPORAN PELAKSANAAN

KEJOHANAN RAGBI BAWAH 12 MSSD PASIR GUDANG 2016

Pada 12 dan 13 Julai 2016, sebuah kejohanan ragbi telah dilangsungkan di bawah
nama Kejohanan Ragbi Bawah 12 MSSD Pasir Gudang 2016, bertempat di Sekolah
Kebangsaan Taman Johor Jaya 1 (SKTJJ1), Pasir Gudang. Kejohanan ini merupakan
acara tahunan dan buat ke sekian kalinya SKTJJ1 telah dipilih menjadi tuan rumah.
Pada tahun ini, sebanyak 13 buah pasukan dari 9 buah sekolah sekitar daerah Pasir
Gudang telah menyertai kejohanan. Sekolah-sekolah yang terlibat ialah SKTJJ1 sendiri,
SK Taman Rinting 1, SK Sungai Tiram, SK Kota Masai, SK Kota Masai 2, SK Permas
Jaya 3, SK Pasir Gudang 4, SK Taman Pasir Putih dan SK Taman Nusa Damai.
Kejohanan berprestij ini dianjurkan bertujuan mencungkil bakat baru ragbi untuk
diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Pencungkilan dari peringkat akar umbi
seperti di sekolah rendah ini amatlah penting bagi menyediakan mentaliti atlet yang
sentiasa inginkan penambahbaikan potensi masing-masing, dan juga menanam rasa
cinta yang mendalam terhadap sukan ragbi. Perkara ini adalah benar bukan sahaja
untuk para atlet, malah kepada para pegawai dan pihak pengelola juga.
Aturcara telah dimulakan seawal jam 7.30 pagi (12 Julai 2016). Pada waktu ini,
pihak tuan rumah telah bertungkus lumus menyediakan peralatan dan prasarana yang
kondusif untuk para peserta dan pegawai yang terlibat. Sementara itu juga, sekolahsekolah yang dijemput telah tiba satu persatu dan mereka disambut meriah.
Setiap sekolah bergerak ke khemah masing-masing dan melakukan aktiviti
memanaskan badan dengan dipantau oleh pegawai pembantu. Pengadil-pengadil
perlawanan juga telah diberi taklimat akhir oleh En. Hazaadzim Adnan dari SK Taman
Rinting 1. Perlawanan pertama bermula pada lebih kurang jam 9.45 pagi.
Kejohanan tahun ini menggunakan format liga bagi pusingan awal dan kalah
mati bagi pusingan akhir. Dalam pusingan awal, para pasukan dibahagikan kepada 4
kumpulan; A, B, C dan D. Pusingan akhir pula menggunakan format kalah mati dan

melibatkan johan, naib johan dan tempat ketiga untuk setiap kumpulan dan juga playoff
bagi merebut trofi Bowl, Plate dan Cup. Pusingan awal memperlihatkan permainan
yang menarik di antara semua pasukan yang bertanding.
Keputusan akhir hari ini adalah seperti berikut; SK Taman Rinting 1 (A) (Johan
Kumpulan A) telah menewaskan SK Pasir Gudang 4 (Naib Johan Kumpulan D) untuk
ke pertembungan Semi Cup esok, berdepan dengan pasukan tuan rumah, SK Taman
Johor Jaya 1 (A) (Johan Kumpulan B) yang menewaskan SK Kota Masai (B) (Naib
Johan Kumpulan C). SK Pasir Gudang 4 dan SK Kota Masai (B) pula akan bertembung
dalam Semi Plate esok. Satu lagi pertembungan Semi Cup bakal menyaksikan pasukan
SK Kota Masai (A) (Johan Kumpulan C) berdepan pasukan SK Taman Rinting 1 (B)
(Johan Kumpulan B) yang masing-masing menewaskan SK Sungai Tiram (Naib Johan
Kumpulan B) dan SK Taman Johor Jaya 1 (B) (Naib Johan Kumpulan A). SK Sungai
Tiram dan SK Taman Johor Jaya 1 (B) pula akan bertembung dalam satu lagi
perlawanan Semi Plate. Bagi pertembungan Bowl, tempat ketiga bagi setiap kumpulan
telah dapat mengesahkan tempat ke Semi Bowl, setelah kemenangan pasukan SK
Taman Pasir Putih ke atas SK Kota Masai 2 (A) dalam perlawanan playoff. Kesemua
perlawanan dapat dihabiskan pada lebih kurang jam 4.00 petang. Aturcara 12 Julai
2016 ditamatkan dengan taklimat ringkas berkenaan pergerakan kejohanan untuk hari
esok (13 Julai 2016) kepada para pegawai dan atlet oleh pihak tuan rumah.
Pada 13 Julai 2016, aturcara telah bermula pada awal pagi juga, seawal jam
8.00 pagi. Hari ini adalah hari untuk pusingan akhir. Perlawanan pertama bermula pada
jam 9.10 pagi, menyaksikan pertembungan di antara SK Taman Pasir Putih (pemenang
playoff) dan SK Taman Nusa Damai (tempat ketiga kumpulan D) bagi merebut tempat
untuk ke Final Bowl. SK Taman Nusa Damai menewaskan SK Taman Pasir Putih dan
berjaya mara ke penentuan Final Bowl, dan berdepan dengan satu lagi pemenang
Semi Bowl, iaitu SK Kota Masai 2 (B). Final Bowl akhirnya berjaya dirangkul oleh SK
Kota Masai 2 (B).
Bagi pertembungan untuk merebut trofi Plate pula, pasukan yang berjaya mara
ke Final Plate adalah SK Pasir Gudang 4 yang berjaya menundukkan SK Kota Masai
(B) dan juga pasukan tuan rumah, SK Taman Johor Jaya 1 (B) yang berjaya

menjinakkan SK Sungai Tiram. Perlawanan akhir berlangsung sengit dan akhirnya juara
menjadi milik SK Pasir Gudang 4.
Manakala dalam perebutan Cup, pasukan tuan rumah, SK Taman Johor Jaya 1
(A) telah tumpas kepada SK Taman Rinting 1 (A) dalam penentuan sudden death,
melayakkan SK Taman Rinting 1 (A) ke Final Cup, menentang SK Kota Masai (A) yang
telah mengalahkan SK Taman Rinting 1 (B). Perlawanan akhir yang berlangsung sengit
dalam keadaan selepas hujan, telah menyaksikan kejayaan pasukan SK Kota Masai (A)
merangkul kejohanan Cup bagi tahun ini.
Dalam kejohanan kali ini, kekuatan yang dapat dilihat dengan begitu jelas adalah
semangat dan kebersamaan setiap pegawai dan atlet yang terlibat. Pihak sekolah yang
dijemput memberikan kerjasama yang begitu baik. Bagi yang sampai awal, mereka
membantu dalam persiapan tempat dan sebagainya. Bagi urusan protokol dan
kepengadilan pula, arahan diikuti dengan begitu baik dan pegawai-pegawai baharu
begitu bersedia untuk menimba pengalaman dalam kejohanan, manakala pegawaipegawai berpengalaman pula tidak kedekut dalam berkongsi ilmu. Para atlet juga
menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan acara berakhir tanpa sebarang
masalah seperti provokasi dan insiden pergaduhan. Seterusnya, kebajikan setiap
individu yang terlibat dilihat dijaga dengan begitu rapi oleh pihak penganjur.
Dari sudut kelemahan pula, kejohanan kali ini mengalami sedikit gangguan
teknikal dalam beberapa aspek. Pertamanya, pengurusan waktu yang agak longgar, di
mana terdapat beberapa aturcara yang mengalami penangguhan dan menjejaskan
aktiviti seterusnya di dalam aturcara. Penangguhan ini adalah disebabkan faktor natural
seperti kesesakan trafik dan masalah kesihatan atlet dan pegawai. Peralatan pula ada
yang tidak mencukupi menyebabkan kesulitan pada beberapa sudut kejohanan
seperti khemah untuk menampung atlet dan pegawai daripada keadaan cuaca yang
kadangkala berubah ekstrem, dan juga alatan paramedik bagi tujuan rawatan
kecemasan.
Kejohanan

kali

ini

berlangsung

dengan

lancar,

namun

sudah

pasti

penambahbaikan dapat dilakukan untuk kejohanan akan datang. Antara cadangan yang

dapat diusulkan di sini adalah dari segi unjuran waktu yang lebih sistematik untuk
persediaan setiap pasukan bagi menghadapi kejohanan. Peraturan dan denda yang
lebih ketat harus dikuatkuasakan bagi pasukan yang tidak menepati masa tanpa alasan
yang munasabah dan sebagainya. Dalam aspek kepegawaian pula, kursus-kursus khas
harus diadakan bagi menghasilkan pegawai yang lebih cekap. Kita mempunyai
pegawai-pegawai yang begitu bersemangat dan berpotensi untuk menjadi sebahagian
nadi kejohanan namun mereka kekurangan platform untuk meningkatkan kemahiran.
Begitu juga dalam aspek keselamatan dan perubatan. Seterusnya, penambahbaikan
dari sudut kelengkapan dan peralatan juga harus dilaksanakan dengan menambah
peralatan-peralatan asas untuk meningkatkan kelancaran kejohanan.
Kesimpulannya, Kejohanan Ragbi Bawah 12 MSSD Pasir Gudang 2016
merupakan satu kejohanan yang mempunyai kelasnya yang tersendiri, dan adalah
platform yang amat baik bagi mencungkil bakat baru atlet, pengadil dan pegawai dalam
sukan ragbi. Kejohanan seperti ini amatlah baik untuk diteruskan lagi bagi tahun-tahun
mendatang.

GAMBAR-GAMBAR SEPANJANG KEJOHANAN

Anda mungkin juga menyukai