Anda di halaman 1dari 9

Fiqh Keutamaan: Konsep dan Aplikasinya

dalam Kehidupan Daie di Kampus

1.0 Pengenalan
Fiqh di sini bermaksud faham. Ini bersumber dari sabda Nabi s.a.w, Sesiapa
yang dikehendaki Allah kebaikan, nescaya dia akan diberikan pemahaman
agama. Manakala keutamaan diambil dari Bahasa Arab, awlawiyyaat. Al
Quran dan sunnah menunjukkan kepada kita bahawa iman, amalan, ilmu
serta peringkat syurga dan sebagainya mempunyai tingkatan-tingkatan
tersendiri yang membezakan antara satu sama lain walaupun sepintas lalu,
kesemuanya itu adalah sama-sama baik dan sama-sama diperlukan.
Tingkatan-tingkatan yang berbeza ini menyebabkan ada sesuatu yang
didahulu dan diutamakan, dan ada yang dikemudiankan. Memahami
tingkatan-tingkatan ini dinamakan sebagai fiqh keutamaan.

Dalam realiti dakwah zaman kini, fiqh keutamaan dipopularkan oleh Syeikh
Yusof Al Qaradawi melalui bukunya Fi Fiqh Awlawiyyat: Dirasati Jadidati fi
Dhaui al Quran wa Sunnah (Keutamaan tugas-tugas kaum muslimin: Satu
kajian baru dari perspektif al Quran dan Sunnah). Perbincangan Fiqh
Keutamaan ini adalah kesinambungan dari perbincangan tulisan beliau
sebelumnya iaitu Al-Sahwatul Islamiyyah: Bainal Juhud wal Tatarruf
(Kebangkitan Islam antara Penolakan dan Melampau). Jadi sudah tentu
kedua-dua perbincangan ini sangat penting dalam kehidupan daie.

2.0 Konsep Fiqh Keutamaan


Fiqh Keutamaan yang dimaksudkan adalah ilmu dan pemahaman dalam
meletakkan sesuatu pada peringkat dan tangga yang sebenar, sesuai dengan
pertimbangan ilmu, keadilan, hukum hakam, akhlaq, keadaan semasa dan
keadaan setempat. Segala sesuatu mesti diletakkan secara adil menurut
syariat Islam tanpa adanya mana-mana bahagian yang dirugikan atau
diabaikan.

Beberapa prinsip hasil dari pemahaman fiqh ini adalah:

1.Perkara yang paling penting mesti diutamakan berbanding dengan perkara


yang penting dan perkara yang penting mesti diutamakan berbanding
dengan perkara yang kurang penting. Iaitu mendahulukan perkara yang
darurat (daruriyyat) daripada perkara yang diperlukan (hajiyyat), dan
mendahulukan perkara yang diperlukan berbanding dengan perkara
pelengkap (tahsiniyyat). Daruriyyat melibatkan lima kepentingan yang dijaga
oleh hududuLlah iaitu agama, nyawa, aqal, harta serta maruah dan
keturunan.

2.Perkara yang besar mesti diutamakan berbanding perkara yang kecil,


perkara yang usul mengatasi perkara yang cabang, perkara yang fardu dan
wajib lebih utama dari perkara yang sunat, perkara yang wajib segera lebih
utama daripada wajib boleh ditangguh.

3.Perkara yang bersifat sosial/jamaie lebih utama dari perkara yang bersifat
individu.

4.Membasmi perkara yang mungkar dan jelas haram lebih utama dari
memerangi perkara makruh dan syubhah

Dalam menilai sesuatu yang penting:

Mengutamakan kemaslahatan yang diyakini terjadinya berbanding


dengan kemaslahatan yang belum diyakini terjadi.

Mengutamakan kemaslahatan yang besar berbanding dengan


kemaslahatan yang kecil.

Mengutamakan kepentingan orang ramai dan jemaah berbanding


kepentingan individu.

Mengutamakan kepentingan golongan yang lebih banyak dari


golongan yang sedikit.

Mengutamakan kepentingan yang bersifat kekal berbanding dengan


kepentingan bersifat sementara.

Mengutamakan kepentingan yang bersifat mendasar berbanding


dengan kepentingan bersifat sampingan dan pinggiran.

Mengutamakan kepentingan yang bersifat masa depan yang kuat


berbanding dengan kepentingan sekarang yang lemah.

Dalam menilai sesuatu yang merosakkan, terdapat usul fiqh yang sangat
jelas iaitu:

Dilarang menyebabkan timbulnya kemudaratan dan dilarang


membalas balik kemudaratan kepada orang lain.

Kemudaratan mesti dihalangi mengikut kemampuan.

Kemudaratan tidak boleh dihalangi oleh kemudaratan yang sama


atau lebih besar daripada kemudaratan yang sedia ada.

Apabila terpaksa memilih antara dua yang memudaratkan, maka


hendaklah pilih yang kurang dan kecil akibatnya.

Untuk menghalangi kemudaratan yang lebih besar, dibolehkan untuk


melakukan kemudaratan yang lebih kecil.

Untuk menghalang kemudaratan yang melibatkan orang ramai,


dibolehkan melakukan kemudaratan yang menimpa individu.

Dalam hal ini, bila berlaku konflik antara kebaikan yang perlu dibuat dengan
kerosakan yang perlu dicegah, ulama fikah juga menetapkan panduan
seperti berikut:

Mencegah kerosakan lebih utama dari membuat kebaikan.

Membuat kerosakan yang kecil dibolehkan demi untuk mendapatkan


kebaikan yang lebih besar.

Melakukan kerosakan yang bersifat sementara dibolehkan demi untuk


mendapatkan kemaslahatan yang bersifat berterusan.

Kebaikan yang diyakini wujud tidak boleh ditinggalkan demi


kerosakan yang mungkin berlaku.

Kita menerangkan prinsip-prinsip fiqh keutamaan ini dengan terperinci


supaya daripada formula-formula ini boleh disesuaikan untuk atasi masalah-
masalah yang dihadapi di tempat dan suasana berbeza. Ahli-ahli yang
ditarbiah tidak lagi kelu dan kaku dalam membuat keputusan untuk kebaikan
Islam dan dakwah.

3.0 Fiqh yang Tidak Matang


Kesilapan pemahaman daripada fiqh dan metodologinya menyebabkan
munculnya fiqh yang negatif. Antaranya:

Fiqh Mehnah. Fiqh mehnah adalah muncul disebabkan oleh tekanan


yang dahsyat kepada gerakan Islam. Ini menyebabkan fiqh yang
terbit dalam suasana tersebut agak melampau. Pendakwah
mengasingkan diri daripada masyarakat dan merasakan diri mereka
lebih tinggi daripada masyarakat. Mereka menjadi komuniti yang
ekslusif. Tempat solat dan keterlibatan dalam aktiviti masyarakat
adalah berasingan. Apa yang dilakukan oleh masyarakat dinilai salah
tanpa ada peluang untuk dibaiki. Hasil dari pemikiran ini, mereka
cuba melakukan perubahan total dalam masyarakat tanpa menilai
keutamaan-keutamaan yang disebutkan sebelum ini.

Fiqh al Zhahiri. Iaitu fiqh yang berlandaskan kepada tekstual nas


semata-mata tanpa melihat apakah maksud nas secara umum
(maqosid syariyyah), perbandingan dengan nas-nas yang lain serta
keutamaan-keutamaan dalam masyarakat.
Fiqh al Khariji. Ini adalah fiqh yang berjalan mengikut landasan
khawarij yang terdahulu. Pengikutnya boleh jadi ikhlas dan berani
tetapi pemikirannya terhad dan pandangannya sempit. Mereka
keras, cepat menolak, menuduh dan berprasangka buruk kepada
golongan pendokong Islam sendiri. Al Qaradawi menyebut bahawa
mereka mempunyai sifat ujub dengan pandangan mereka yang
sangat membinasakan. Keadaan ini sangat bahaya, biasa mengena
pemuda-pemuda yang bersemangat dan baru berjinak dengan
dakwah.

Fiqh Taqlidi. Ini adalah fiqh ikut-ikutan yang mencari penyesaian


masalah mengikut satu-satu pandangan, aliran atau mazhab sahaja.
Mereka hanya mengambil pandangan dari guru mereka sahaja yang
boleh jadi sesuai di zaman guru tersebut. Mereka tidak melihat
syariah dalam konteks yang lebih luas dan kesesuaian dengan
keadaan semasa.

4.0 Kepentingan Memahami Fiqh Keutamaan


Kefahaman dalam fiqh ini membawa perancangan kepada masa depan
ummah dan gerakan. Bidang-bidang yang menjadi keperluan ummah tidak
akan terabai atau tercicir kerana perancangan yang rapi serta pengurusan
ahli yang meliputi pelbagai kepakaran hidup yang diperlukan ummah. Setiap
golongan dan individu tidak terlepas dari menjadi sasaran dakwah oleh
gerakan Islam meliputi orang yang paling lemat sampailah yang paling kuat.
Tumpuan diberikan kepada bidang yang lemah dan kekurangan pakar. Setiap
orang berperanan dalam bidang keutamaan mereka.

5.0 Keutamaan-keutamaan dalam Kehidupan Kampus


Keutamaan menuntut Ilmu. Keperluan menuntut ilmu yang diamanahkan
ini sangat tinggi keutamaannya. Bahkan keutamaan lain tidak seharusnya
mengatasi keutamaan ini, dalam erti kata sekiranya mengancam objektif
utama sebagai pelajar. Menuntut ilmu juga melibatkan banyak konsep-
konsep keutamaan yang kita sebutkan sebelum ini.

Keutamaan amal jamaie. Dalam keadaan jauh dari keluarga yang, maka
sahabat yang memahami kepentingan amal Islami menjadi benteng
seseorang daie dari terseleweng. Telah banyak dijelaskan perkara ini dalam
sesi yang lain. Cukuplah kita mengatakan bahawa amal jamaie ini adalah
sunnah yang ditunjukkan oleh nabi dan rasul apabila mereka berdakwah.
Walaupun mereka mendapat petunjuk secara langsung dari Allah, rasul-rasul
a.s ini masih bersama jemaah. Maka kita juga menuruti jalan mereka, sangat
utama untuk berjemaah. Hubungan dengan ahli jemaah adalah secara
komplimentari dan sinergi, iaitu saling tampung menampung kelemahan satu
sama lain dan saling kuat menguat kelebihan ahli.
Keutamaan kualiti dari kuantiti. Walaupun Rasulullah mahukan umat
yang ramai, tetapi baginda tidak berbangga dengan ummah yang bodoh,
fasiq dan zalim. Beliau nyatakan, Manusia itu seumpama kelompok unta,
ada seratus ekor tetapi tidak boleh dijadikan tunggangan. Inilah yang
berlaku dalam perang Hunain dan inilah keadaan ummah akhir zaman ini.
Jadi pembentukan daie di alam kampus perlu mengutamakan kualiti. Oleh
itu, kita berpandangan sekiranya keadaan ahli yang terhad, pembentukan
dalaman kader adalah lebih utama dari penguasaan persatuan luaran yang
bersifat umum.

Keutamaan menjaga masa. Masa yang ada dalam kehidupan muslim


adalah sangat pendek berbanding dengan bebanan dan tugas yang
ditanggung. Oleh itu penjadualan masa dan penggunaan masa yang
optimum adalah sangat penting. Penjadualan masa seharusnya meliputi
tugas-tugas akademik, jamaie dan aktiviti sosial, khidmat diri, perbincangan
agama, masa untuk bersendiri dengan Allah dan sebagainya. Semuanya
perlu disemak dari masa ke semasa supaya tiada masa yang terlalai,
terbuang atau tertangguh. Dalam hal ini, kita mesti memahami bahawa
masanya adalah sekarang dan harinya adalah hari ini adalah milik kita.
Semalam adalah sejarah yang tidak mungkin berubah dan esok adalah
angan-angan yang belum tentu berlaku. Oleh itu gunalah masa sekarang
dengan sebaik mungkin. Ingatlah pesanan Nabi s.a.w, Gunakan lima
sebelum lima; masa hidup sebelum mati, masa sihat sebelum sakit, masa
lapang sebelum sibuk, masa muda sebelum tua, masa kaya sebelum papa.

6.0 Keutamaan-keutamaan Gerakan Islam dalam Konteks Semasa

Keutamaan mengetahui teknik dakwah. Sifat bagi gerakan itu bergerak, jadi
gerakan Islam tidak dapat lari daripada menyampaikan dakwah. Kaedah dan
kemahiran menyampaikan Islam sangat penting kerana kita tidak mahu Islam
yang cantik menjadi tercemar kerana kesilapan pendakwah. Tuan Guru Dato
Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat perumpamaan, Orang yang mahu
menyampaikan Islam tetapi tidak betul caranya seperti menghidangkan
makanan sedap tetapi dalam tempurung. Walaupun yang dihidangkan itu
nasi minyak berlauk ayam, tetapi siapa yang sudi makan nasi tersebut.

Kepentingan pembukaan medan dakwah baru. Kita sering membuat


perumpamaan seperti persaingan AirAsia dan MAS. Kita semua sedia maklum
bahawa MAS berpuluh tahun ditubuhkan dalam negara. Sasaran penumpang
MAS adalah orang yang ingin bermusafir jauh, dalam tempoh cepat dan
berkemampuan. Pasaran ini tidak lebih dari 10% daripada keseluruhan
pengguna pengangkutan. AirAsia pula baru ditubuhkan dalam sekitar 10
tahun lepas. Sasaran penumpang bagi AirAsia adalah semua pengguna
pengangkutan awam termasuk bas, teksi, keretapi, kapal terbang serta juga
kenderaan sendiri. Jadi skop sasaran AirAsia jauh lebih besar daripada MAS.
Penjualan tiket berkali-kali lebih banyak dari MAS dan terbukti selepas itu
AirAsia mengatasi MAS. Begitu juga dengan daie. Skop madu mestilah
diluaskan supaya tidak terhad kepada orang yang baik sahaja, mat surau
sahaja atau minah jilbab sahaja. Bahkan skop dakwah mestilah meliputi
semua golongan daripada setinggi-tingginya sampailah serendah-rendahnya.

Semua golongan samada muslim atau non-muslim, penagih dadah, mat


rempit, homoseks, pelacur, orang miskin, pegawai atau pemimpin. Semuanya
seharusnya menerima sentuhan dakwah kita. nMenjadi suatu yang utama
bagi gerakan untuk menyediakan ahli yang berkemahiran untuk berdialog
secara terbuka dan tertutup dengan golongan kafir, sekular dan feminis.
Perjuangan pada masa ini adalah dengan kekuatan hujah melaui dialog
bukan lagi pertentangan fizikal. Kemenangan nanti adalah kemenangan
menawan hati dan perasaan mereka, bukan lagi kemenangan berbalah
dengan mereka. Menjadi satu perkara yang utama juga bagi gerakan untuk
menyediakan tenaga kaunseling dan pusat pemulihan yang sesuai untuk
penagih dadah, homoseks, pelacur dan sebagainya itu supaya mereka
mendapat sokongan untuk berubah.

Kepentingan membezakan mungkar dan pelaku mungkar. Sebolehnya daie


boleh membezakan antara perbuatan mungkar dan pelaku mungkar. Yang
mesti dicegah adalah perbuatan mungkar tetapi pelaku mungkar adalah
madu yang mesti didekati. Dalam hal ini kita sentiasa tekankan tentang
dakwah dengan cinta (dakwah bil hubbi) bukannya dakwah dengan
kekerasan dan permusuhan (dakwah bil harbi). Kita mencintai madu, kerana
itu kita tidak mahu mereka terus menerus melakukan kemungkaran. Kita
mengajak diri kita dan mereka kepada kebaikan kerana kita semua mahu
selamat dari bakaran api neraka. Kerana cintalah, kita berdakwah.

Kepentingan mengkategorikan madu. Oleh kerana madu kita datang dari


pelbagai latar belakang dan peringkat kefahaman agama, maka sudah tentu
kita perlu untuk menyampaikan dakwah selari dengan peringkat mereka.
Madu dikategorikan mengikut latar belakang, tahap pendidikan, bidang
pekerjaan dan kedudukan dalam masyarakat. Bahasa dan istilah yang
digunakan mestilah dapat difahami oleh madu. Kita bercakap mengikut
bahasa mereka, bukannya bahasa kita. Perbincangan tentang iman, amalan-
amalan, adab dan akhlak hendaklah sesuai dengan ilmu dan kefahaman
mereka. Bentuk-bentuk tawaran Allah kepada hamba yang taat dan
ancaman Allah kepada hamba yang engkar mestilah sesuai dengan suasana
dakwah. Dalam berdakwah kepada orang besar dan berjawatan, tidak
semestinya kita mesti menjadi lebih besar atau berjawatan lebih tinggi
daripada mereka. Kadang-kadang dengan menjadi pesakit boleh berdakwah
kepada doktor, kadang-kadang dengan menjadi murid boleh berdakwah
kepada guru.

Kepentingan media dakwah baru. Selain skop madu, kita mesti memikirkan
kaedah dakwah baru yang meliputi media baru seperti blog, facebook,
youtube dan sebagainya. Sentuhan dakwah ini sangat penting sebagai
persaingan dalam media baru yang dipenuhi dengan segala unsur maksiat,
fitnah dan penipuan. Sasaraan madu juga mencecah jutaan pengikut dari
seluruh dunia berbanding media tradisional yang sangat terikat dengan
undang-undang dan sempadan negara.

Kepentingan merancang pengkhususan ahli dan mempelbagaikan bidang


pengkhususan. Telah disebutkan tentang fardu kifayah dan kelemahan umat
Islam apabila satu-satu bidang fardu tersebut telah diabaikan. Menjadi tugas
kepada gerakan Islam untuk merancang pengkhususan ahli yang sesuai
dengan minat dan kepakaran mereka supaya tidak ada bidang yang terabai.
Ahli-ahli yang ditugaskan tidak boleh mengambil bebanan sambil lewa sahaja
sehingga menjejaskan kepentingan ummah keseluruhannya.

Kepentingan dialog yang matang. Perkara ini sangat penting dan disebut
berulang-ulang kali kerana perjuangan dan jihad yang utama pada masa ini
adalah dialog yang matang. Islam berdiri di atas asas yang sangat kukuh
untuk memberikan cahayanya kepada semua kelompok manusia. Dialog
yang matang ini mesti dilakukan dengan semua kelompok tersebut
termasuklah bukan Islam, sekular dan seks merdeka. Dialog dan penyelasan
juga mesti dilakukan gerakan Islam lain, pihak berkuasa agama dan orang
perseorangan. Gerakan Islam perlu melatih sebahagian dari ahli yang
berkemampuan supaya boleh menampilkan diri untuk mempertahankan
Islam melalui lidah dan kalam. Kita juga menekankan bahawa dialog ini
bukan semestinya berlaku secara berdepan. Dialog boleh jadi melalui surat
menyurat. Dialog boleh jadi juga melalui balasan kepada pandangan mereka
melalui media yang dipilih oleh mereka. Sekiranya mereka memberikan
pandangan dalam akhbar, jawabannya juga melalui akhbar tersebut.

Kepentingan menjaga kebajikan ahli. Apabila bercakap tentang Islam,


kebajikan adalah sangat penting. Ini meliputi kebajikan untuk ahli gerakan
dan kebajikan madu yang memerlukan.

7.0 Kesan Pengabaian Fiqh Keutamaan (Baca this whole para)


Imam Al Ghazali dalam Ihya Ulumuddin memberikan beberapa contoh fiqh
keutamaan, kemudian membuat rumusan seperti berikut: Barangsiapa yang
tidak mengambil kira urutan keutamaan perkara-perkara tersebut,
sebenanya diriya telah terpedaya dengan hawa nafsu. Perangkap ini sangat
halus dan rapi sehinggakan orang yang terperangkap iu melakukan salah
satu amal soleh, tetapi kerana kurang teliti dan waspada, jadilah amalan taat
itu maksiat kerana dia telah mengabaikan amal soleh lain yang lebih utama.

Oleh itu, kita melihat sekiranya fiqh keutamaan diabaikan, individu yang
terlibat seolah-olah syok sendiri. Walaupun seolah-olah dia melakukan amal
soleh, tetapi sebenarnya dia mengabaikan amal soleh lain yang lebih utama.
Contoh yang jelas perkara ini adalah keseronokan mengerjakan umrah atau
haji yang sunat berkali-kali dengan meninggalkan kewajiban membantu
tetangga serta umat Islam yang memerlukan. Dalam hal jemaah kampus
juga kita dapati sebahagian kaum muda yang sangat bersemangat dengan
amal Islami sampai meninggalkan kewajiban asasi dalam akademik. Kita
sering tekankan bahawa bahawa Kebaikan yang diyakini wujud pada masa
depan (dengan ilmu tersebut) tidak boleh ditinggalkan demi kepentingan
atau kerosakan yang sedikit dan sementara berlaku sekarang. Dan juga
kewajiban fardu kifayah yang tidak selesai dengan gagalnya seseorang
pelajar dari pengajiannya. Itu belum lagi termasuk dengan wang ringgit yang
dihabiskan oleh keluarganya, rakyat dan masyarakat untuk membiayai
seseorang pelajar. Berkenaan hal ini juga, kita sering tekankan adalah
penggunaan masa yang optimum serta pengagihan tugas yang sesuai
supaya pelajar yang komited dengan amal islami dan amal jamaie
berkeupayaan untuk berjaya dalam segenap aspek kehidupannya.

Dalam hal ilmu-ilmu yang bersifat keduniaan dan fardu kifayah, Imam Al
Ghazali sangat terkedepan dalam fiqh keutamaan. Beliau memberikan
komentar terhadap masyarakatnya yang terlalu menjurus kepada ilmu
agama sehinggakan hanya ada seorang sahaja tabib Nasrani di tempatnya.
Tiada muslim yang mempelajari ilmu perubatan sehingga melayakkan
mereka menjadi tabib yang boleh membantu masyarakat muslim.
Sedangkan banyak hukum Islam bergantung kepada penilaian kesihatan oleh
doktor dan tabib. Dalam realiti semasa masyarakat Islam dapat diperhatikan
bagaimana doktor muslimah dalam bidang perbidanan dan sakit puan masih
belum mencukupi. Bidang penyelidikan juga masih ketinggalan sehingga
banyak ubat-ubatan yang digunakan oleh umat Islam masih berasal dari
sumber haram. Kebanyakkan penyelidikan umat Islam bersifat pengguna
bukannya pelopor menyebabkan umat Islam menjadi pengikut sahaja dalam
era kemajuan sains dan teknologi sekarang, bukannya seperti era
kegemilangan Islam. Masih terdapat pekerja Islam yang tidak dapat
membezakan antara sekular dan agama. Mereka lantas beranggapan bahawa
mempelajari sains dan teknologi adalah sekular. Padahal membuang sains,
teknologi dan kehidupan dunia daripada Islam itulah yang sekular. Islam
adalah payung kepada kehidupan dunia dan keperluan-keperluannya.

Dalam bidang sosio-politik, pendakwah masih mundur kerana takut untuk


mengemukakan pandangan. Kumpulan nasionalis pelampau, sekular, atheis,
feminis, seks bebas dan sebagainya kelihatan lebih berani mengemukakan
pandangan. Berahsia (sir) dan berhati-hati (hazar) tidak dibincangkan dalam
skop membangunkan minda pekerja dakwah terutama dalam berdebat dan
mengemukakan pandangan. Perbincangan-perbincangan masih lagi dalam
era mehnah. Konsep-konsep ini sering mereka tertukar dengan pendidikan
amniyyah sehingga daie yang mampu berhujah tidak dapat dihasilkan.

8.0 Penutup
Kita sudah nyatakan prinsip-prisip fiqh keutamaan secara umumnya.
Kefahaman kepada prinsip-prinsip ini membawa kita menjadi pendakwah
yang bijak dan boleh berperanan dalam masyarakat. Kefahaman ini bagi
gerakan Islam membawa mereka kepada perancangan tenaga daie pada
masa depan supaya tidak ada bidang atau kumpulan sasaran dakwah yang
diabaikan. Abdullah Ibn Al Mubarak menyatakan, Seseorang dikatakan alim
selama mana dia mencari ilmu, sekiranya dia merasakan dia sudah alim,
itulah tanda-tanda kejahilan, dan dia telah mencari ilmu dan berjihad hingga
akhir hayatnya. Akhirnya kita ingatkan semula tentang pengkhususan dan
keutamaan ilmu disebut oleh Allah: Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang
mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari
tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam
pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada
kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat
menjaga dirinya. (At Taubah : 122)

Anda mungkin juga menyukai