Anda di halaman 1dari 4

LAPORAN MAJLIS ANUGERAH KUALITI SEKOLAH (MAKS) SMK TELAGA 2017

Pada 10 hingga 12 April 2017, sekolah telah menganjurkan Karnival Perdana Gemilang yang
melibatkan aktiviti sukan komuniti, gerai-gerai jualan dan ceramah Kesihatan dan Pergigian. Karnival
disertai oleh warga sekolah dan penduduk kampung sekitarnya. Majlis Anugerah Kualiti
Sekolah(MAKS) ke-9 merupakan kemuncak dalam karnival tersebut yang berlangsung pada 12 April
2017, bersamaan hari Rabu bertempat di Dewan Sri Perdana, SMK Telaga. Majlis bermula pada pukul
7.30 pagi dan tamat pada pukul 12.30 pagi. Objektif MAKS diadakan untuk memberi penghargaan
oleh pihak sekolah kepada para pelajar, guru dan AKP yang mencapai kecemerlangan dalam bidang
akademik dan kokurikulum serta bidang tugas pada tahun 2016.

Ketibaan para tetamu jemputan, ibu bapa dan tetamu kehormat bermula pada pukul 8.00 pagi.
Para penerima anugerah telah mendaftarkan kehadiran mereka di meja pendaftaran dan mereka
berkumpul di Dewan Sri Perdana sementara menunggu tetamu kehormat tiba.

Pada pukul 9.00 pagi para guru dan kumpulan pembawa bunga melur dan seri pinang telah
bersedia di hadapan dewan untuk menyambut ketibaan tetamu kehormat iaitu Encik Makir Abd Kadir,
wakil perasmi. Sebelum ke dewan, beliau sempat melawat tapak pameran oleh Jabatan Penerangan
Pitas, Kaunter Derma Darah dari Hospital Pitas dan Kaunter Pemeriksaan Kesihatan dikendalikan
oleh KOSPEN Kg Telaga Pitas. Ketibaan beliau disambut meriah lalu berarak menuju ke Dewan Sri
Perdana diiringi bersama Encik Shahrizan Abdullah, Pengetua SMK Telaga serta barisan pentadbir
sekolah masuk ke dewan dan mengambil tempat. Sebelum para tetamu diminta berdiri dan bersedia
untuk menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, persembahan Tarian Sambut Tamu telah
dipertontonkan.

Majlis pada hari ini telah dipengerusikan oleh Encik Jasley Muslin dan Puan Tinggian Hj.
Ibrahim. Pengerusi Majlis telah mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu yang hadir dan
merakamkan sekalung penghargaan atas keprihatinan dan kesudian para ibu bapa, penjaga dan tetamu
jemputan untuk bersama-sama menjayakan MAKS 2017. Demi memberkati majlis, bacaan doa
disampaikan oleh Ustaz Ahmad Farid bin Mohamad. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan alu-
aluan oleh Pengetua SMK Telaga Encik Shahrizan Abdullah kepada semua tetamu yang hadir.
Seterusnya ucapan diteruskan lagi dengan menjemput wakil perasmi, Encik Makir untuk
menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan MAKS 2017.

Sebagai penyeri majlis, satu persembahan tarian etnik dipanggil Tarian Mongigol telah
dipersembahkan oleh anak didik Encik Jasni Muhammad. Selepas itu, acara penyampaian hadiah dan
sijil kepada guru dan pelajar yang terlibat dalam bidang Kokurikulum dan HEM dimulakan yang telah
disampaikan oleh Puan Kwan Choi Mee selaku Penolong Kanan HEM merangkap pengarah MAKS
dengan diiringi oleh Encik Inus Gintan selaku Ketua Bidang Kemanusiaan. Kemudian, majlis
diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar dalam bidang Kurikulum yang
disampaikan oleh Encik Andrew Chungan, Penolong Kanan Pentadbiran dengan diiringi oleh Encik
Jemrol Tuyundo selaku Penolong Kanan Kokurikulum.

Setelah selesai sesi penyampaian hadiah bagi fasa 1, majlis berehat seketika dengan
persembahan selingan ketiga iaitu Tarian Sumazau yang amat menghiburkan. Seterusnya,
penyampaian sijil bagi kategori Mata Pelajaran Meningkat dalam PT3 dan SPM yang disampaikan
oleh Encik Pilen bin Harshad selaku Ketua Kampung Telaga diiringi oleh Encik Daniel Kiduta, Ketua
Bidang Sains dan Matematik. Selepas itu, penyampai hadiah seterusnya adalah Encik Shahrizan
Abdullah, Pengetua SMK Telaga diiringi oleh Encik Andrew Chungan, Penolong Kanan Pentadbiran
telah menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Peperiksaan Awam PT3 dan SPM dan Anugerah
Pelajar Cemerlang. Pelajar terbaik PT3 ialah Nur Fatin Aqilah bin Azman manakala pelajar terbaik
SPM ialah Masmeera binti Bakir yang masing-masing mendapat 7A dan 5A.
Persembahan keempat yang dinamakan Tarian Pakiring Kontemporari dipersembahkan oleh
13 orang pelajar yang sangat menarik dan menghiburkan para tetamu yang hadir, juga dibawah
bimbingan Encik Jasni Muhamad. Kemudian, majlis mencapai kemuncaknya dengan penyampaian
hadiah dan sijil bagi Anugerah Pengurusan : Kepimpinan (Encik Ajamain Gandi), Kejurulatihan
(Encik Marcus Khoo, Encik Jasni Muslin) dan Pengurusan Keceriaan Bilik Darjah (Encik Jasni bin
Muhamad), Anugerah Khas Pengetua, Aungerah Cemerlang AKP (Encik Jasley Muslin), Guru (Ustaz
Husni Abd Hamid, Ustaz Ahmad Farid Muhamad dan Encik Mianus Galong), Ketua Bidang (Encik
Mianus Galong), Penolong Kanan (Encik Andrew Chungan) dan Anugerah Keluarga Cemerlang
(Encik Bakir b Midah) yang disampaikan oleh perasmi majlis iaitu Encik Makir. Anugerah Keluarga
Cemerlang dianugerahkan kepada keluarga Encik Bakir bin Midah dari Kampung Malubang.

Sebelum majlis berakhir, Encik Shahrizan Abdullah, Pengetua SMK Telaga telah
menyampaikan cenderamata kepada tetamu kehormat atas kesudian beliau menghadirkan diri dalam
majlis ini. Majlis diakhiri dengan nyanyian Lagu Sekolah. Para tetamu khas dan semua jemputan telah
dijemput ke Bilik Mesyuarat untuk menikmati merarau tengah hari. Manakala para ibu bapa dijamu
dengan makanan tengah hari yang telah siap dibungkus bersama air mineral botol. Secara
keseluruhannya, majlis MAKS ke-9 pada tahun ini telah disempurnakan dengan jayanya, hasil usaha
gigih dan kerjasama semua warga sekolah SMK Telaga dari peringkat awal hingga akhir dan berjaya
mencapai objektifnya.

GAMBAR CORETAN SEPANJANG KARNIVAL MAKS KALI KE-9


USAHA TONGGAK WAWASAN

Laporan disediakan oleh,


Cik Jumaidah Yusof (Ketua)
Encik Mohd. Saiful Bin Majin
(AJK Kamera, Video dan Dokumentasi)
18 April 2017

Anda mungkin juga menyukai