Anda di halaman 1dari 4

SAUDARA BARU DAN JABATAN AGAMA

(Mohd Norfaeezwan Bin Buang)

Menyampaikan dakwah islam merupakan satu kewajipan samada kepada orang islam mahupun
yang belum islam. Dakwah sesama islam merupakan hak antara seorang muslim dengan muslim
yang lain sebagaimana disebut dalam hadis:

Hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain ada 6 perkara. Rasulullah SAW
ditanya: Apakah dia wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Apabila kamu bertemu hendaklah
memberi salam kepadanya, apabila ia mengundang ke rumahnya maka hendaklah engkau
memenuhi undangannya, apabila ia minta nasihat berilah nasihat kepadanya, apabila ia bersin
lalu memuji Allah dengan Alhamdulillah maka doakan ia dengan yarhamukallah dan apabila
sakit lawatilah dan apabila ia mati hendaklah engkau mengiringinya.

Dalam kitab Al-Quran juga dinyatakan dalam beberapa surah anataranya:

Berilah peringatan kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman

Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang beriman dan
mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk
kesabaran.

Penyampaian dakwah kepada orang yang bukan islam pula hendaklah secara berhikmah dan
tidak memaksa mereka menerima islam. Perkara ini telah disebut dalam Al-Quran:

Tiada paksaan dalam (menganut) agama (islam) . . . .

Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan
berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih
mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan dialah yang lebih mengetahui siapa yang
mendapat petunjuk.

Kita berasa amat gembira dan berbangga apabila ada orang beragama lain menukar akidahnya
dengan memeluk islam. Islam tidak menetapkan apa-apa syarat untuk seseorang menganut
agama islam kecuali beberapa prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa jabatan agama
islam setiap negeri. Prosedur yang ditetapkan bukanlah untuk menyukarkan pertukaran agama
tetapi untuk memudahkan proses pendaftaran memeluk agama islam.

Walaupun kita tidak pasti niat mereka memeluk agama islam, namun golongan ini hendaklah
diberi bimbingan berterusan supaya mereka tidak merasakan diri mereka terasing. Ada yang
benar-benar ingin mendalami keindahan islam itu sendiri, ada juga yang memeluk islam atas
faktor perkahwinan.

Setiap jabatan agama negeri pasti ada menganjurkan program-program khusus untuk saudara
baru. Jabatan Agama Islam Sarawak khususnya di Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching juga
tidak ketinggalan menganjurkan program untuk saudara baru. Antara progam berkala dan
program tahunan khusus untuk saudara baru ialah Kursus Intensif Saudara Kita, Kursus Lanjutan
Saudara Kita, Ziarah Saudara Kita, Bengkel Kesempurnaan Solat, Program Bimbingan Akidah
dan lain-lain.

Program-program ini adalah program anjuran Unit Dakwah Pejabat Agama Islam Bahagian
Kuching dengan sokongan Jabatan Agama Islam Sarawak. Program anjuran Unit Dakwah ini
juga turut bekerjasama dengan beberapa agensi lain seperti Tabung Baitulmal Sarawak dan
Pejabat HIKMAH Bahagian Kuching.

Kursus Intensif Saudara Kita (KISK) merupakan kursus yang dianjurkan khusus untuk mereka
yang baru memeluk islam. Kursus Intensif anjuran Pejabat Agama Bahagian Kuching diadakan
di Pusat Penerangan Islam, Jalan Ong Tiang Swee Kuching. Setelah memeluk agama islam dan
selesai proses pendaftaran memeluk agama islam, saudara baru ini akan menerima satu surat
jemputan menghadiri kursus. Mereka dikehendaki menghadiri kursus yang diadakan pada bulan
berikutnya daripada bulan seseorang itu memeluk islam. Kursus ini diwajibkan kepada saudara
baru bagi membolehkan mereka mendapatkan kad dan sijil perakuan memeluk agama islam. Kad
dan sijil perakuan memeluk agama islam akan diserahkan setelah selesai kursus pada hari
tersebut. Namun begitu, bagi mereka yang tidak boleh menghadiri kursus pada tarikh atau di
lokasi yang telah ditetapkan dalam surat jemputan yang diedarkan, mereka boleh membuat
permohonan untuk ditukarkan tarikh kepada tarikh kursus pada bulan berikutnya. Kursus intensif
ini sangat bermanfaat bagi saudara baru kerana dalam kursus ini akan membincangkan tajuk-
tajuk asas dalam agama islam seperti kaedah bersuci, ibadat solat, puasa dan lain-lain.
Selepas mengikuti kursus intensif, para saudara baru atau muallaf dijemput untuk menghadiri
satu lagi kursus iaitu Kursus Lanjutan Saudara Kita (KLSK). Kursus ini adalah susulan kursus
intensif yang telah diakan sebelum itu. Peserta kursus ini adalah daripada mereka yang telah
mengikuti kursus intensif siri yang lepas. Kebiasaannya peserta kursus ini adalah peserta kursus
intensif daripada tiga hingga empat siri yang lepas. Pengisisan KLSK ini lebih tertumpu kepada
pengetahuan akidah dan perkara-perkara tambahan daripada kursus intensif. Turut diselitkan
dalam kursus ini ialah semakan bacaan dalam solat setiap saudara baru yang hadir yang mana
bacaan-bacaan ini telah didedahkan pada kursus intensif yang lepas. Ini adalah bertujuan untuk
mengenal pasti tahap kebolehan mereka dalam mempelajari sesuatu ilmu.

Selain daripada penganjuran kursus, Unit Dakwah Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching juga
mengadakan program ziarah saudara kita. Program ziarah ini bertujuan untuk mengeratkan lagi
hubungan pejabat agama dengan masyarakat di luar khususnya golongan saudara baru. Mereka
akan berasa lebih dihargai dan tidak dipinggirkan apabila ada kalangan pegawai-pegawai agama
datang menziarahi mereka. Antara lain tujuan ziarah diadakan ialah untuk mengikuti
perkembangan keluarga mereka dan juga membantu dari segi keperluan harian dan bimbingan
yang berterusan daripada pihak yang bertanggungjawab seperti agensi-agensi islam.

Begitulah aktiviti-aktiviti sokongan untuk saudara baru anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak
dan Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching dengan sokongan agensi-agensi islam yang lain.
Pembinaan dan sokongan spiritual terhadap golongan yang baru mengenali islam dilaksanakan
menerusi pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah, pengetahuan hokum hakam dalam ibadat dan
muamalat, pembentukan akhlak dan adab-adab dalam islam serta sokongan moral. Golongan
saudara baru ini juga tergolong dalam lapan orang asnaf yang layak menerima zakat seperti yang
disebut dalam surah Al-Tawbah ayat 60:

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir,


dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang
muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak
memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan
pada) jalan Allah SWT, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam
perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan
(yang datangnya) daripada Allah SWT. Dan (ingatlah) Allah SWT amat
mengetahui lagi amat bijaksana.

Sesungguhnya tiada perbezaan antara seseorang manusia dengan manusia yang lain walaupun
seseorang itu berjawatan besar. Hal ini juga pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Ketika
Abu Sufyan Bin Harb memeluk Islam, tiada perbezaan dari sudut layanan sosial didapati dalam
tindakan Rasulullah s.a.w. Abu Sufyan bin Harb merupakan seorang yang senang dan sukakan
dengan kebanggaan lalu Rasulullah SAW memasukkan rumahnya dalam senarai yang diberi
jaminan. Ini dapat dibuktikan melalui hadith baginda yang terkenal sebelum penaklukan Kota
Mekah iaitu,
Barangsiapa memasuki rumah Abu Sufyan bin Harb, ia aman. Barangsiapa yang
menutup pintu rumahnya, ia aman. Dan barangsiapa memasuki Masjidil Haram, ia
aman.
Tindakan Rasulullah SAW kepada Abu Sufyan bin Harb ini merupakan satu
pengiktirafan yang boleh dibanggakannya walaupun beliau baru sahaja memeluk Islam
(Ibn Hisyam 2009:448)

Aktiviti dan program anjuran jabatan agama bertepatan dengan sejarah dakwah
Rasulullah SAW. Dapat kita lihat bahawa golongan saudara baru mendapat sokongan
dan jaminan yang amat baik. Mereka mendapat sokongan dalam pelbagai cara dari
peringkat permulaan memeluk islam sehingga menjadi muslim sejati. Begitulah jua
harapan kita supaya dapat membantu golongan saudara baru di Malaysia khususnya di
Sarawak dengan apa juan bantuan terutama bantuan dan sokongan dari sudut moral.
Semoga ia menjadi sumbangan besar kita terhadap islam.

Anda mungkin juga menyukai