Anda di halaman 1dari 4

Laporan

Contoh soalan: Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu telah mengadakan satu lawatan
sambil belajar ke sebuah kilang membuat kain batik.

Sebagai setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, kamu dikehendaki menulis sebuah laporan
tentang lawatan tersebut.

Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Batik

Pada 3 Jun 2015 yang lalu, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Pengkalan
Chepa telah mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Kilang Batik Nusa Jaza yang terletak
di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa.

Tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk menambahkan pengetahuan ahli-ahli persatuan
cara-cara membuat kain batik. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk memberi
pendedahan kepada ahli-ahli persatuan tentang kepentingan perusahaan batik kepada
ekonomi penduduk setempat.

Lawatan yang disertai oleh tiga puluh orang ahli persatuan dengan diiringi oleh tiga orang
guru ini telah bertolak dari sekolah dengan sebuah bas. Kami bertolak pada pukul 10.00 pagi
dan tiba di kilang batik tersebut pada pukul 10.30 pagi.

Setibanya di sana, kami telah diberi taklimat oleh pengurus kilang tersebut. Dalam
taklimatnya, pengurus kilang iaitu En. Osman Ahmad mengucapkan terima kasih atas
kesudian kami melawat ke kilang batiknya. Setelah selesai taklimat kami diiringi oleh dua orang
penyelia kilang tersebut untuk melihat cara-cara memproses kain batik.

Kami sangat terpesona melihat kemahiran para pekerja mencanting dan melukis batik.
Corak-corak batik yang dihasilkan sangat menarik dan bermutu tinggi. Ahli-ahli persatuan juga
mendapat pengetahuan baru apabila diberi peluang mencanting dan mewarna batik.

Sebelum pulang, Pihak kilang batik telah memberikan cederamata berupa sehelai kain batik
yang dilukis khas untuk Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa.
Kami amat gembira menerima cenderahati tersebut.

Laporan disediakan oleh, 10 JUN 2015

Amar Muhaimmin

(AMAR MUHAIMIN)
Setiausaha,

Persatuan Bahasa Melayu,

Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa

Tajuk: Surat Kiriman Rasmi

Soalan:

Kamu telah menghilangkan buku cerita yang kamu pinjam daripada perpustakaan sekolah.
Tulis sepucuk surat kepada guru Pusat Sumber Sekolah kamu untuk menyatakan tentang
kehilangan buku itu.
Tulis surat kamu selengkapnya.

Nur Liza Binti Fahami,


Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa,
16100 Pengkalan Chepa,
Kelantan.
___________________________________________________

Guru Pusat Sumber Sekolah,


Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa,
16100 Pengkalan Chepa,
Kelantan. 21 SEPTEMBER 2017

Tuan,

Kehilangan Buku Cerita Badai Semalam

Merujuk kepada perkara di atas, saya Nur Liza binti Fahami merupakan seorang murid
daripada kelas 6 Nilam .

2. Pada 13 September yang lalu, saya telah meminjam sebuah novel yang berjudul Badai
Semalam. Buku tersebut sepatutnya saya pulangkan semula seminggu kemudian iaitu pada 20
September 2017. Walau bagaimanapun saya gagal berbuat demikian kerana buku tersebut
telah hilang.

3. Saya telah meminjamkan buku tersebut kepada seorang kawan yang sangat berminat
dengan cerita novel tersebut. Malangnya buku tersebut telah hilang kerana dia tertinggal di
dalam bas ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

4. kami telah berusaha mencari novel tersebut namun gagal. Saya berjanji akan mengganti
novel tersebut . Saya juga akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Saya memohon maaf atas kecuaian saya menjaga buku tersebut.
Sekian, terima kasih

Yang benar

NURLIZA

(NUR LIZA BINTI FAHAMI)

Karangan cerita

Soalan:

Pada cuti sekolah yang lalu, kamu telah bercuti di kampung datuk dan nenek kamu.

Ceritakan pengalaman kamu sepanjang berada di sana.

Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah berpeluang pulang ke kampung datuk dan nenek
saya yang terletak di Pasir Puteh Kelantan. Saya bertolak ke sana pada awal pagi dengan
menaiki bas dari Kota Bharu. Datuk menunggu saya di stesen bas Pasir Puteh.

Setibanya di rumah datuk, nenek sedang menunggu dengan hidangan makan tengahari.
Saya makan dengan berselera sekali kerana terlalu lapar, tambahan pula masakan ikan
haruan dan puyu yang nenek sediakan amat menyelerakan.

Setelah berehat dan bersolat Zohor, datuk mengajak saya ke sungai yang terletak tidak jauh
dari rumahnya untuk memancing dan melihat lukah yang ditahannya. Saya sangat seronok
kerana inilah aktiviti yang amat saya tunggu-tunggu. Datuk mengajar saya teknik memancing
ikan di sungai. Saya bersorak kegembiraan apabila dapat memancing seekor ikan sebarau
yang agak besar. Datuk hanya tersenyum melihat gelagat saya.

Pada sebelah petang pula, datuk mengajak saya ke sawahnya. Sawah datuk sangat
luas. Di sini, saya berpeluang melihat beberapa orang petani bekerja di sawah mereka. Ada
yang sedang merumput, membaja dan membaiki batas-batas sawah. Datuk mengatakan
bahawa padi-padi tersebut akan dituai pada bulan hadapan. Saya berasa agak kecewa kerana
tidak berpeluang melihat kerja-kerja menuai padi.

Keesokan harinya, beberapa orang sepupu saya mengajak saya ke hutan untuk mencari
buluh. Mereka bercadang untuk membuat wau. Saya berasa sangat teruja kerana ini adalah
peluang keemasan kepada saya untuk belajar membuat wau. Sepupu-sepupu saya mengajar
saya menebang buluh, membelah, dan meraut buluh untuk dibuat wau. Setelah seharian
bertungkus-lumus, saya berjaya membuat sebuah wau kucing yang sederhana besarnya. Wau-
wau yang kami buat akan kami terbangkan di padang berhampiran rumah datuk.

Setelah seminggu berada di rumah datuk dan nenek, ayah dan ibupun datang menjemput
saya pulang kerana cuti akan berakhir tidak beberapa lama lagi. Walaupun agak keberatan
untuk meninggalkan kampung datuk dan nenek, tetapi saya berasa amat gembira kerana
mendapat pelbagai pengalaman menarik pada cuti kali ini.

Soalan:

Guru seumpama ibu bapa kepada murid-murid semasa berada di sekolah. Oleh yang demikian
guru perlu dihormati.

Tulis sebuah karangan bertajuk Cara-cara menghormati guru.

Semasa kita berada di sekolah, gurulah yang menjaga dan mendidik kita. Guru seumpama
ibu bapa kepada kita sepanjang masa kita berada di sekolah. Kerana peranan yang sebegini
besar maka guru amat perlu dihormati sepanjang masa.

Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menghormati guru. Salah satu caranya adalah
dengan mengucapkan salam ketika kita bertemu dengan guru. Seorang guru akan merasa
senang hati apabila murid-murid mengucapkan salam dan mendoakan kesejahteraanya.

Seterusnya, sikap tekun belajar dan mendengar dengan teliti setiap ajaran guru ketika
berada di dalam kelas juga merupakan satu cara untuk menghormati guru. Guru akan berasa
bahagia dan dihargai apabila kita mendengar dengan teliti ketika mereka mengajar. Guru kita
pasti akan mengajar kita dengan penuh kesungguhan.

Selain itu, kita juga boleh menghormati guru dengan cara bersikap sopan santun dan
berbudi bahasa ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru. Murid yang berbudi
bahasa dan bersopan santun juga akan lebih disayangi oleh guru. Sekiranya kita bersikap
biadap ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru, sudah pasti akan membuatkan
guru berasa terhina dan tidak dihormati. Oleh yang demikian kita hendaklah menjaga kelakuan
kita ketika bercakap dengan guru.

Di samping itu, jika kita melakukan kesilapan atau terlupa menyiapkan tugasan yang diberi
oleh guru, kita hedaklah memohon maaf. Sebagaimana di rumah, sekiranya kita tersilap maka
kita meminta maaf daripada ibu bapa kita. Demikian juga ketika berada di sekolah. Murid yang
meminta maaf dan mengakui kesilapan yang dilakukan akan membuatkan guru berasa senang
hati dan berasa lebih dihargai dan dihormati.

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menghormati guru. Oleh yang
demikian kita hendaklah sentiasa menghormati guru-guru kita kerana mereka telah
menjalankan tanggungjawab mereka mendidik kita.

Anda mungkin juga menyukai