Anda di halaman 1dari 2

ISU PAKAIAN SERAGAM GURU: APAKAH SUATU KEPERLUAN UNTUK

MEMARTABATKAN DUNIA PENDIDIKAN?

Beberapa hari ini isu pakaian seragam guru menjadi bahan perbualan baik dalam
kalangan guru mahupun orang awam ekoran maklumat berantai yang tersebar
melalui media sosial. Maklumat ini hangat dibincangkan dalam kumpulan media
sosial yang melibatkan para guru seperti di Telegram dan WhatsApp tetapi sahih
atau tidak masih menjadi misteri. Walau bagaimanapun, sebagai pendidik yang
sudah 22 tahun berkecimpung dalam dunia perguruan, soal pakaian guru bukanlah
agenda utama yang harus dikedepankan dalam usaha memartabatkan sistem
pendidikan negara. Etika Berpakaian kakitangan awam, khususnya guru memang
jelas dipatuhi selama ini. Harus diingat, guru harus berpenampilan kemas dan
menarik kerana itu merupakan salah satu tarikan bagi pelajar untuk belajar. Cara
guru berpakaian biarlah guru yang tentukan asalkan tidak keterlaluan. Pada masa
ini, guru perlu memakai uniform (Unit Badan Beruniform) pada setiap hari Rabu dan
baju batik pada setiap hari Khamis. Bagi saya, cukuplah setakat itu, tidak perlulah
meminta guru memakai pakaian seragam khas.

Jika kita mahu memartabatkan dunia pendidikan dan menaikan imej guru, perkara
yang harus diperbetul adalah kekurangan kemudahan terutamanya di sekolah-
sekolah di luar bandar. Jika kita pergi ke sekolah-sekolah di pedalaman, guru-
gurunya tinggal di persekitaran yang serba ketiadaan dan kekurangan. Tempat
tinggal guru hanyalah rumah kayu yang apabila panas terlalu panas, apabila hujan
pula terpaksa berhadapan dengan kebocoran. Alat bantu mengajar sukar didapati.
Tahap capaian internet ibarat hidup segan mati tak mahu malahan ada sekolah yang
memang tidak ada langsung. Buku teks pun ada yang tidak mencukupi apatah lagi
buku rujukan. Bagi saya, perkara ini adalah lebih penting daripada pakaian seragam
guru. Isu-isu lain yang harus diselesaikan adalah seperti masalah disiplin pelajar,
keciciran sekolah, sistem pendidikan yang terlalu berorentasikan peperiksaan, dan
sebagainya. Soal pakaian seragam guru biarlah diketepikan dahulu.

Saya risau, jika benarlah pernyataan bahawa guru harus memakai pakaian seragam
maka akan wujud golongan yang menangguk di air nan keruh. Tender-tender akan
diberikan kepada pihak tertentu sahaja. Perkara ini akan menjadi lebih malang
apabila dasar ini tidak berkekalan seperti program PLKN. Sesuatu perkara yang
hendak dilaksanakan harus difikirkan dahulu baik dan buruknya. Jika dengan
memakai pakaian seragam itu boleh meningkatkan peratusan kemenjadian murid
yang tinggi sehingga mampu bersaing di pentas global moleklah diteruskan. Akan
tetapi, jika hanya sekadar untuk suka-suka lebih baik kita kuburkan hasrat itu dan
fokus kepada hal-hal lain yang lebih penting. Contohnya, fikirkan suatu dasar yang
boleh menjadikan rakyat Malaysia suka membaca buku-buku ilmiah bukannya gosip-
gosip artis dan ahli politik yang terpapar tanpa sekatan di media sosial.
Kita harus ingat bahawa peranan guru adalah untuk memanusiakan manusia.
Jutaan cerdik pandai yang lahir pada hari ini merupakan hasil didikan guru tanpa
pakaian seragam. Pakaian guru biarlah guru yang tentukan. Pada masa ini guru
terlalu tertekan dengan pelbagai tugas yang tidak berkaitan dengan skop kerja
mereka iaitu mengajar. Usahlah ditambah dengan isu pakaian seragam guru. Kita
harus ingat, guru juga manusia biasa, yang punya hati dan perasaan.
Sesungguhnya, kualiti kerja seseorang guru bergantung pada kebijaksanaan dan
ilmu mengajar yang mereka miliki, bukannya daripada pakaian yang mereka pakai
pada setiap hari. Jika ada guru yang bergaya, biarlah dia bergaya asalkan tidak
menjolok mata dan melanggar adab susila masyarakat Malaysia. Bukannya suatu
kesalahan jika guru perempuan bersolek untuk nampak cantik, manis, dan ayu.
Bukannya suatu kesalahan jika guru lelaki bergaya apabila datang ke sekolah. Yang
penting, mereka komited dalam melaksanakan tugas mereka sebagai pendidik.

Jika ada pakaian seragam, andai jiwa mendidik sudah tandus dijiwa maka sistem
pendidikan kita akan gagal juga, begitulah sebaliknya. Walaupun isu ini tidak
diketahui kesahihan dan ketepatannya, saya berdoa agar ianya tidak menjadi
kenyataan kerana manfaatnya tidak kelihatan dengan jelas. Jika sekadar nak kenal
guru melalui pakaiannya, usahlah terlalu ghairah melaksanakan dasar-dasar
sebegini. Guru yang baik tidak perlu dikenali tetapi hadirnya ditunggu, hilangnya
dirindu, ilmunya diburu, nasihatnya diseru, dan perilakunya ditiru.

Anda mungkin juga menyukai