Anda di halaman 1dari 4

Tajuk : Ketokohan Sahabat Rasulullah Model Insan Bestari

Oleh : Cik Nawal bt Abd Kadir


Penyampai : akir.ii

Assalamualaikum….
Bissmillahirrahmanirrahim

Terima kasih buat saudari pimpinan majlis, yang dimuliakan barisan para hakim yang arif
lagi bijaksana seterusnya para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulilah bersyukur kita kehadrat Allah tatkala kita dipertemukan dalam satu majlis
keilmuan yang mana para malaikat turut berpusu-pusu duduk bersama kita,
berzikir dan mendengar fikrah islamiyyah.

Insya-allah, pada hari ini saya akan cuba membawa hati-hati para hadirin agar turut serta
bersama saya menyelami, mendalami akan satu mauduk islami yang berjudul.

“KETOKOHAN SAHABAT RASULULLAH MODEL INSAN BESTARI ”

Namun sebelum itu ayuh kita perdengarkan dahulu apakah definisi di sebalik tajuk syarahan
saya. Frasa Ketokohan Sahabat Rasulullah merujuk kepada kepimpinan tokoh-tokoh yang
beriman dan pernah bertemu dengan Nabi Muhammad saw manakala Model Insan
Bestari pula ialah suri tauladan yang baik bagi melahirkan manusia yang bijaksana.

Hadirin yang dimuliakan Allah sekalian,

Meniti wacana fikrah saya yang pertama, “Keimanan Bilal b. Rabah Model Insan
Bestari”.

Ahad, Ahad, Ahad.. Kalimah tauhid inilah yang membasahi lidah sahabat Rasulullah Bilal b.
Rabah tatkala dirinya disiksa dan diheret mengelilingi Kota Mekah di bawah terik mentari.
Namun , keimanan yang kental telah merasuk jiwa Bilal lantas dirinya sedikit pun tidak
berpaling daripada mengesakan Allah. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 102,

“ bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa”

Masihkah kita ingat akan peristiwa kemalangan maut di Mesir yang melibatkan pelajar
perubatan Malaysia, Muhammad Ammar b. Zulkifli? Ibunya telah menerima kehilangan anak
ini dengan penuh yakin bahawa ada hikmah terselindung di sebalik ujian . Maka, jelaslah
terbukti bahawa Keimanan Bilal B. Rabah Model Insan Bestari”.

Hadirin pencetus minda bijaksana,


Wacana fikrah saya yang kedua ialah “ Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq
Model Insan Bestari”.

Abu Bakar merupakan tokoh sahabat yang paling akrab dan dikasihi oleh Rasulullah.
Setianya Abu Bakar saat menutup lubang ular dalam Gua Thur dalam peristiwa hijrah dan
patuhnya beliau apabila sanggup menderma seluruh hartanya untuk perjuangan Islam.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 59,

Maksudnya : “Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu”

Kakitangan awam negeri Perlis haruslah mematuhi seruan Menteri Besarnya, Datuk Dr. Mad
Isa b. Sabu yang berharap agar kualiti kerja dan ketepatan masa menjadi keutamaan dalam
bekerja. Oleh itu, ternyata Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Insan
Bestari”

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Wacana fikrah saya yang ketiga di bawah frasa “ Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-
Khattab, Model Insan Bestari ”.

Sikap keberanian Umar al-Khattab terbukti ketika beliau mengisytiharkan keislamanya


secara terang-terangan. Pemimpin berjiwa rakyat ini juga sanggup menyamar sebagai
rakyat marhaen untuk meninjau keadaan rakyatnya. Keberanian Dato Dr Sheikh
Muzaffar dalam mengambil risiko meneroka angkasa lepas wajar dicontohi kita. Sikap
pemimpin yang sebegini harus menjadi contoh generasi baru kini untuk menjadi bijaksana
dalam segenap aspek. Hal ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah,

‫رعيته عن مسؤول وكلكم راع كلكم‬


Maksudnya “ Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan atas
kepimpinannya”.

Terbukti di sini bahawa, “Kepimpinan dan Ketegasan Umar al-Khattab Model Insan
Bestari”.

Hadirin penjana minda berwawasan,

Wacana fikrah saya yang keempat di bawah lembayung kata “Keluasan Ilmu Ali b. Abi
Talib, Model Insan Bestari”

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini adalah bertepatan dengan didikan
yang telah diberi oleh Nabi Muhammad kepada Ali b. Abi Talib semenjak beliau kecil lagi.
Oleh yang demikian, beliau merupakan antara sahabat yang memiliki ketinggian ilmu
sehingga dilantik menjadi penulis wahyu. Nik Nur Madihah seorang pelajar cemerlang SPM
2008 pasti telah mencontohi Saidina Ali Karamallahu wajhah ini dalam kesungguhan
menuntut ilmu selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,

‫مسلم كل على فريضة العلم طلب‬


Maksudnya : Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap orang Islam ( lelaki atau perempuan )

Maka, jelaslah bahawa Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib Model Insan Bestari.

Hadirin penjana transformasi negara,

Wacana fikrah saya yang kelima ialah “ Ketinggian Akhlak dan Sikap Dermawan Uthman
b. Affan Model Insan Bestari”

Sikap dan keperibadian Saidina Uthman yang dermawan dan mulia terbukti apabila beliau
telah membeli sebuah sumur ‘Bir Raumah’ lantas mewakafkan bagi keperluan umat Islam.
Rasulullah sangat mengasihi Uthman sehingga menyifatkanya sebagai teman baginda di
dalam syurga. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, seorang jutawan Malaysia telah
menubuhkan Yayasan Bukhari yang berperanan membantu golongan miskin dan
menyokong perkembangan seni dan budaya Islam bertepatan dengan firman Allah dalam
surah al-Maidah ayat 2 ,

“dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan janganlah
tolong menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan..”

Hadirin yang dihormati sekalian,

Wacana fikrah saya yang terakhir ialah “ Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Insan
Bestari”.

Matlamat akhir bagi setiap umat Islam adalah untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dan
inilah wawasan Khalid al-Walid, sahabat Rasulullah yang mendapat gelaran pedang Allah.
Beliau sangat bercita-cita untuk mati syahid di medan peperangan dan sikapnya sangat
positif dalam menghadapi setiap rintangan perjuangan. Walau bagaimanapun, impian
tersebut tidak tercapai kerana perancangan Allah mengatasi segalanya.

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 54

“ Mereka merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang”

Khalid telah meninggal dunia di atas katil. Demikianlah kekuasaan Allah dan manusia akan
kembali kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya. Namun, wawasan akhirat Khalid ketika
berjuang di medan jihat, wajar dijadikan contoh seterusnya membuktikan bahawa Wawasan
Akhirat Khalid al-Walid, Model Insan Bestari.
Akhir kalam, dengan mengambil keenam-enam wacana fikrah saya sebentar tadi, Maka
dapatlah deduksikan bahawa ketokohan para sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah ini
dapat melahirkan seorang muslim yang bestari.

Seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dicontohi oleh
masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat Negara yang cemerlang, gemilang
dan terbilang pasti akan menjadi kenyataan.

Sekian.wabillahi taufiq wal hidayah .assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuhh.

Anda mungkin juga menyukai